Lima belas tahun dahulu, ketika saya bekerja di salah sebuah syarikat yang mengendalikan pasaran saham dan di masa yang sama belajar di salah sebuah kolej dalam bidang perakaunan. Saya dikejutkan dengan sindrom ‘brunomagli”. Kasut buatan Italy yang bukan kepalang mahal harganya dan memang benar-benar tidak mampu saya beli. Namun ketika itu pasaran saham tengah naik, maka pekerja di syarikat saya bekerja tidak sayang untuk membuang duit sebanyak RM500-RM3000 hanya semata-mata untuk mengalas kaki. Beberapa orang para pekerja wanita termasuk ketua saya, datang ke pejabat dengan memakai kasut tersebut.
“Murah yati. Bruno buat sales. Cuma RM700 sahaja kasut ini. Cantikkan?”
Tanya salah seorang rakan sekerja saya. Saya menelan air liur. Mata saya terkebil-kebil sambil memandang kasut yang berwarna merah jambu itu. Hati saya langsung tidak tertarik dengan kasut tersebut dan disudut hati saya mengatakan kasut di kedai Bata yang berharga tidak lebih dari RM50, lebih menarik di mata saya. Namun kerana takut dikatakan ketinggalan zaman dan orang kampung. Saya hanya mengangguk. Mengatakan kasut tersebut memang cantik walau di dalam hati mengatakan, cantik apa kasut berwarna merah jambu!
Ada sekali saya ke butik Burnomagli dan mencuba kasut-kasutnya yang dianggap ‘up to date’ di sana dan berlagak seperti orang berduit. Tetapi saya tidak membelinya kerana bukan rekabentuknya (banyak yang cantik-cantik sebenarnya selain berwarna merah jambu) tetapi harganya yang tidak menarik di mata saya.
“Aku tak akan beli kasut yang lebih dari RM200. Buat apa beli sesuatu yang begitu mahal hanya untuk dipijak.”
Salah seorang pekerja lelaki di situ menyuarakan pendapatnya, cuba membendung rasa ghairah pekerja lain yang asyik bercerita mengenai Brunomagli. Saya benar-benar bersetuju dengan pendapatnya.
Masa berlalu, tempat kerja lama saya tinggalkan. 5 tahun kebelakangan ini, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan berjalan dan mengembara bersama dengan suami. Setiap 2-3 bulan sekali kami akan merayap-rayap di dalam atau diluar negara. Kalau tidak mengikut suami yang menjalankan perniagaan ‘trading’nya, saya berjalan mahu mencari bahan untuk penulisan. Bahkan 2 tahun yang lepas, kami kerap berulang alik ke negara China untuk membeli barang. Merayau dari satu bangunan ke satu bangunan yang cukup besar bahkan berjuta-juta kaki persegi untuk memilih barangan untuk dijual.
Jadi sudah pasti saya memerlukan kasut yang ‘mesra dan lemah lembut’ dengan kaki saya.
Saya telah mencuba membeli pelbagai kasut. Dari pelbagai jenama yang terkenal, yang tidak terkenal bahkan buatan China sendiri. Amat sukar rasanya mencari kasut yang baik, bahkan kasut yang paling mahal pernah saya beli berharga RM400 pun asyik mengigit kaki saya. Penghabisan kasut tersebut hanya menghuni rak kasut di luar rumah.
Kalau ada kasut yang mesra dengan saya, walau hanya berharga RM20 sekalipun, saya akan pakai sehingga kasut tersebut lunyai. Pernah suami mentertawakan saya memakai kasut yang mesra dengan kaki saya di luar negara ketika musim salji. Kata dia, orang tak pakai kasut yang macam saya pakai ketika musim sejuk. Mesti orang ketawa melihat kasut saya. Ahh..peduli apa kata orangkan. Yang penting, kaki saya tak sakit dan dapat menampung badan saya yang boleh tahan beratnya!
aku bukan budak baik
7 months ago
0 comments:
Post a Comment