Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Wednesday, February 25, 2009

SELESAI SUDAH TUGAS SAYA

Alhamdulilah, selesailah sudah tanggungjawab saya membawa adik ipar saya bercuti. Tanggungjawab ini akan diambil sepenuhnya oleh suami kerana pada hari Jumaat saya akan ke pesta buku Brunei. Syukur segalanya berjalan dengan cukup lancar sekali dan saya gembira kerana dapat mengembirakan adik ipar dan suaminya.

Percutian hari pertama ke Sungai Congkak. Saya memaksa adik ipar saya memeluk bahu suaminya. Suami adik ipar saya agak kuat beragama dan jarang mahu menunjukkan kasih sayangnya. Suami bergurau supaya gambar mereka suami isteri di sungai Congkak ini dihantar ke majalah Sufi..he.he..

Saya sekeluarga juga tidak lupa tumpang sekaki untuk bercuti. Lebih-lebih lagi Qaisaralah..seronoknya bukan main lagi bila dapat bermain air di sungai Congkak. Alhamdulilah. Orang tidak begitu ramai.


Selepas ke Sungai Congkak kami ke Bukit Merah. Saya suka ke Bukit Merah kerana banyak tempat yang boleh dilawati dan kami boleh bermain air di taman tema di sana. Saya ambil gambar ini ketika dalam perjalan ke pulau Orang Utan. Adik ipar saya sudah pandai bergambar mesra begini..he.he

Salah satu tempat yang kami lawati di Bukit Merah, adalah Pulau orang Hutan. Ini adalah Sultan Mike, ketua Orang Hutan di Bukit Merah. Mike mempunyai 4 orang isteri (Orang utan Islam ni) bernama Jenab, Babbon, Nicky dan yang paling disayanginya ada Nafisah. Perhatikan 'pad' di pipinya. Semakin besar 'pad' di pipi setiap orang hutan, (jantan sahaja yang mempunyai pad ini) semakin tampanlah mereka dan bertambah banyaklah orang utan betina yang akan tertarik .

Qaisara ni interframe sungguhla! Masih lagi di Bukit Merah di Eco Park.

Suami takut-takut berani dengan ular sawa ini.

Saya langsung tak berani. Cuma berani berdiri sahaja dengan ular sawa ini. Kaki itu, kaki sayalah.

Qaisara di ECO Park di Bukit Merah. Suka sangat dia melihat burung yang jinak-jinak

Di Eco Park banyak pengalaman baru yang dialami oleh adik ipar dan suaminya. Mereka benar-benar gembira kerana dapat mengambil gambar dengan burung-burung dan binatang yang banyak dilepaskan bebas di sini.


Biras saya bergambar dengan iguana. Mata iguana tersebut terkedip-kedip memandang kami. Rupanya iguana jenis ini hanya makan sayuran dan buah epal.

Riang sungguh adik ipar saya dapat bermain dengan air di Taman Tema Bukit Merah.

Bibik saya tangkap syahdu..mungkin terkenang kampung halaman..he.he


Selepas ke Congkak dan Bukit Merah, kami pulang ke Melaka. Saya bawa adik ipar saya ke taman rama-rama, Mini Malaysia, A-Famosa, Bangunan Merah dan akhirnya ke Tanjung Bidara.

Qaisara dapat main air dan pasir di Tanjung Bidara, sukalah dia. Tetapi di Tanjung Bidara, kami diganggu dengan beruk/monyet yang bukan main banyak sekali. Saya menjerit apabila makanan yang diletak di sebelah saya dirampas oleh mereka. Saya rasa pihak yang bertanggungjawab perlu mengadakan pemantuan di sepanjang pantai tersebut. Sayang pantai yang cantik, seperti Tanjung Bidara, diganggu dengan beruk/monyet yang cukup banyak. Surau di Tanjung Bidara..terlalu kotor . Tahi cicak merata sana sini. Saya lupa mahu mengambil gambar.

Balik daripada Melaka pokok bunga tulip saya semakin berkembang

Dan benih yang saya tanam juga semakin hidup subur. Moga-moga lepas saya balik dari Brunei nanti, pokok ini tetap hidup subur. Harap-harap suami saya tidak lupa menyiramnya.

Tuesday, February 24, 2009

TERIMA KASIH YA ALLAH

Dengan nama ALLAH yang maha pemurah maha mengasihani..maha penyayang, sentiasa mendengar doa umat-umatnya. Sentiasa memakbulkan...sesungguh tiada lain tuhan yang ku sembah melainkan ALLAH dan nabi Muhammad itu pesuruh ALLAH..sesuatu yang menakjubkan telah berlaku..

Ini pokok tulip yang telah melalui lebih 9000km dan 14 jam perjalanan, saya belai..saya taruh harapan hanya 50-50 untuk dia terus hidup subur akhirnya...


Tada...dia hidup subur dan berbunga dengan cantik sekali...saya benar-benar gembira dan ada dua kuntum lagi yang sedang menyorok-yorok mahu keluar daripada kelopaknya..

Friday, February 20, 2009

BINGKISAN DARI HOLLAND

Saya nak lupakan kisah-kisah sedih yang berlaku sejak dua tiga minggu ini. Saya nak tutup buku. Hari ini saya menerima kunjungan adik ipar saya yang datang dari Holland. Akan bercuti di Malaysia selama dua minggu. Banyaklah bingkisan yang dibawanya dari sana. Tetapi kebanyakkan untuk Qaisara....
Anak patung ini untuk Qaisara...

Jambangan bunga gula juga untuk Qaisara..


Kasut ini pun untuk Qaisara..

Lagi...baju untuk Qaisara..

Ini lagi..aduh..aduh...

Lagi....sebenarnya banyak lagi hadiah untuk Qaisara, cokelat jangan cakaplah..berpack-pack..semuanya pasti untuk Qaisara.

Ini untuk saya. Tulip..tak tahu sampai mana hayat tulip ini. tapi saya cukup gembira menerimanya

Ini benih tulip. Ada 50 biji benih semuanya. Kata suami nak hidup letak dalam air-cond. Alahai..sebab nak besarkan tulip..nanti duit elektrik saya melambung-lambung..
.
Ini hadiah untuk rumah saya...

Hadiah untuk rumah juga...


Ini sudah semestinya untuk suami. Sekarang saya tengah mabuk keju.


Ini bukan buah tembikai tapi keju buatan Holand..

Sebenarnya banyak lagi barangan yang dibawanya, kalau nak letak semuanya semalam pun tak siap saya nak upload. Paling gembira berjumpa adik beradiknya adalah suami saya..Pak Seyit!

SURAT DARI SRI


Semalam saya menerima surat daripada Sri. Dia memohon maaf dengan saya berkali-kali dengan apa yang berlaku. Dia menjelaskan secara terperinci kenapa dia melarikan diri. Saya sudah maafkan dia dan bagi saya, segalanya sudah berlalu. Dia hanya datang sekejap dalam hidup saya. Saya tidak perlu fikirkan sangat tentang Sri. Gadis itu sudah menjadi kenang-kenangan. Namun saya dapat lihat surat Sri amat berbeza dengan email manusia yang menyebabkan Sri lari. Surat Sri penuh rasa rendah diri, tetapi e-mail manusia yang menyebabkan Sri lari penuh dengan keegoan dan alasan mempertahankan diri.

“Umi, persahabatan memang sukar dibinakan..”

Pembantu rumah saya Sari bersuara sebaik sahaja usai membaca surat tersebut. Mungkin dia merujuk pada persahabatan dia dengan Sri. Dia yang membawa Sri bekerja dengan saya, tetapi kemudian Sri melarikan diri. Dia seperti bertanggungjawab dengan apa yang berlaku dan rasa bersalah dengan saya.

“Memang, persahabatan kena dibina secara perlahan. Melalui kepercayaan dan kasih sayang…”

“Tetapi bila musnah begitu pantas sekalikan. Begitu mudah. Hancur macam tu sekali”

Saya tersenyum sambil menganggukkan kepala. Saya dapat rasakan betapa gembiranya Sari mendengar khabar daripada Sri, walaupun surat dari Sri itu adalah untuk saya, bukan untuk dia.

“Persahabatan macam rumah, macam bangunan tinggi. Mengambil masa untuk dibina. Untuk dibangunkan. Kadangkala berbulan-bulan, kadangkala bertahun-tahun. Tetapi bila bencana datang dalam sekelip mata segalanya musnah. Kadangkala rumah yang roboh itu boleh dibangunkan semula. Kadangkala tidak.. Tetapi kalau sudah dibina semula, diperbaiki namun keretakkan itu pasti nampak juga..”

Panjang lebar saya memberitahu. Mata Sari seperti berkaca.

“Hati saya luka..”

“Saya tahu, kamu tidak boleh salahkan diri kamu. Kamu tidak bersalah apa-apa dalam hal ini. Sri yang bersalah, orang yang menyebabkan Sri lari itu bersalah”

Saya teringat sudah berapa ramai saya bersahabat dengan orang, berbuat baik dengan orang. Tetapi akhirnya saya ditikam dari belakang. Mereka langsung tidak menghargai persahabatan yang saya berikan. Saya sebenarnya sudah muak, terlalu muak dengan apa yang berlaku. Sekarang hati saya sudah tidak ada rasa lagi.

“Bolehkah kita maafkan orang?”

“Sudah pasti kita harus maafkan orang, tetapi terpulang pada kamu mahu membangunkan persahabatan itu semula atau membiarkannya..”

“Saya tidak boleh lupa sampai bila-bila..”

“Dia memang bersalah, membunuh kepercayaan kamu. Tapi dia ada sebab melakukan begitu. Tetapi ya,..kita tidak boleh lupa. Kamu kena belajar supaya tidak melupakan apa yang orang buat pada kita supaya ianya menjadi pengajaran berguna, tapi kita harus maafkan orang…”

Saya selalu melupakan apa yang orang lakukan pada saya, saya sering memaafkan. Tetapi manusia yang sudah terlalu selesa dengan saya ini selalu lupa diri. Sebab itu dia terus-terusan menikam saya. Sudah berkali-kali dia melakukannya. Sehingga saya sendiri tidak dapat mengira, sudah kali ke berapa dia melakukannya. Saya tahu sudah sampai masanya saya tidak memberi muka,tidak melupakan apa yang orang ini telah lakukan terhadap saya walaupun saya sudah memaafkan.

Wednesday, February 18, 2009

SETIAP JUMAAT


“Saya nak panggil awak siapa ya?”
Tanya Jasmine sambil matanya tertancap ke tangan lelaki tersebut. Lelaki itu menoleh pada Jasmine dan kemudian menyeringai lebar.
Mungkin pelik kerana sudah beberapa kali mereka bertemu, baru Jasmine mahu bertanyakan namanya.
“Apa-apa saja saya tak kisah...”
Lelaki itu menjawab. Seperti tidak mengacuhkan Jasmine. Jasmine terasa tetapi apabila melihat lelaki itu tetap dengan senyum lebarnya, mahu dengan tidak, Jasmine terpaksa menerima yang lelaki itu sebenarnya bergurau.
“Saya panggil Ultraman boleh?”
Lelaki itu ketawa. Ketawanya tidak terlalu besar. Tetapi lembut dan lepas.
“Boleh... boleh. Tak kisah. Awak?”
“Apa-apa saja...”
Kalau lelaki itu boleh berkata begitu padanya, kenapa dia tidak boleh? Si Ultraman yang sedang sibuk melukis itu menoleh kepada Jasmine buat seketika.
“Masako...”
“Masako?” Berkerut dahi Jasmine.
Bukankah itu nama isteri Putera Naruhito. Wanita yang dikatakan begitu tertekan sejak akhir-akhir ini kerana tidak suka tinggal di istana. Bahkan buku mengenai Masako yang kononnya menjadi tawanan di dalam istana, begitu meluas ditulis dan dijual pada orang ramai walaupun ada yang diharamkan untuk dijual di Jepun.
“Masako? Nanti cemburu pula Naruhito.”
Gurau Jasmine dan Si Ultraman ketawa. Ketawanya masih seperti tadi. Tidak besar tetapi lapang dan bebas.
“Nak cemburu apa? Awak tahu Masako lambang kebangkitan wanita Jepun yang selalunya berjalan di belakang lelaki. Awak sendiri tahu yang wanita di Jepun terutamanya di kampung-kampung selalu dilayan sebagai manusia kelas kedua?”
Kata-kata Ultraman itu menyebabkan Jasmine tersentak. Dia merenung para pelancong yang tidak begitu ramai dibawanya hari ini, sedang berkeliaran sambil mengambil gambar pokok sakura yang sekarang sedang menerbitkan buahnya.
“Ya... saya pernah baca apa yang Minoru Hamao tulis terhadap Masako. I felt she was a bit impudent...”
“Kurang ajar... itu yang dimaksudkan Minoru?”
Pertanyaan Ultraman itu disambut dengan anggukan oleh Jasmine.
Mungkin ramai orang di Jepun itu kenal siapa itu, Minoru Hamao. Orang yang menguruskan East Palace selama lebih 20 tahun, yang pernah menulis beberapa buah buku mengenai kehidupan diraja Jepun.
“Ya... ya. Itu pandangan Hamao. Mungkin dia merasakan Masako sedikit kurang ajar kerana tidak berpuas hati Masako berjalan di depan lelaki. Satu perkara yang jarang dilakukan oleh perempuan lain di Jepun ni. Awak tahu apa yang Hamao komen mengenai Masako…?”
“Tidak. Saya jarang membaca buku-buku di Jepun ni. Bahasa Jepun saya tak sebaik awak mungkin...”
“Alah... saya baca pun dalam bahasa Inggeris, awak…”
Ultraman ketawa. Jasmine tersenyum.
Above all she talked so much. She ever talked about things which she was not asked about. She did as she’s an Americans do-she walked in front of man because Westerners said ‘ladies first...’ Itu gambaran Hamao terhadap Masako tau!”
Sambung Jasmine. Apa yang dikatakan oleh Hamao, itulah yang diberitahu kepada Ultraman. Lelaki di sebelahnya.
Kah... kah... kah... Kali ini ketawa Ultraman cukup besar. Apa yang menggelikan hatinya, Jasmine tidak tahu.
“Agaknya Hamao fikir, perempuan Jepun yang lain akan dipengaruhi oleh Masako dan orang-orang lelaki Jepun yang akan menerima padahnya.”
Ultraman masih tergelak. Jasmine ketawa. Ketawa bukan kerana kata-kata Hamao, tetapi ketawa kerana melihat Ultraman ketawa.
“Dia menderita...”
“Siapa?” pantas Jasmine bertanya, tidak mengerti apa yang dimaksudkan oleh Ultraman itu.
“Masakolah. Dia menjadi tawanan dalam istana. Awak bayangkanlah, dia seorang diplomat, kemudian terpaksa duduk terperap di dalam Istana. Otaknya tak berkembang, dia tak boleh bercakap banyak seperti Hamao dakwa...”

TOLONG YA...

Salam mesra buat Kak Yati……

Terdahulu saya mohon maaf kerana e-mel ni tak ada di undang…

Saya memang seronok bace buku2 karangan kak Yati…

Tak banyak sikit ianya membantu kehidupan saya sehari hari…

Membuatkan saya berazam untuk menjadi manusia yang lebih baik dan kuat menghadapi cabaran J

Dah lama saya bace buku2 kak Yati kemudian baru saya jumpe blog Kak Yati…dari situ saya tau Kak Yati banyak menulis dari pengalaman…

Membuatkan saya semakin kagum dgn kak Yati…J

Ok lah sebenarnya saya nak minta pendapat kak Yati ..tu pun kalau kak Yati tak keberatan…

Saya ada seorang teman Siti nama nya….

Siti berkahwin pada usia muda kak…

Hmmm…tak muda sangat la…20 tahun…

Siti kini 25 tahun ,dah bercerai bulan januari lepas…so she’s having joined custody anak2 nya dengan bekas suami nya…

Saya tau siti da lalui terlalu banyak dalam usia muda…dia ditinggal suami ketika mengandung anaknya yang ketiga…

Suami nya datang ketika dia melahirkan namun dia menghilang kembali selepas itu..

Pada saya siti terlalu emosi dan agak pentingkan diri sendiri….

Mungkin usia nya yang muda yang belum puas dgn singlehood nya…

Siti mempunyai 3 orang anak berusia 4,3 thn dan 9 bln…

Siti is a job hopper…

And siti has got herself a lover…

Sebulan yang lalu siti sibuk beritahu saya dia mahu ikut boyfren nye ke Australia ..

Kate nye “I have to do something with my life” kemudian bile saya tanye sape nak jage anak2 kau?

Dia diam…siti juga pernah beritahu saya ibu bapa nye dah tak sanggup nak jage anak2 nye ialah siapa yang tahan kalau sambil tolong jaga kene tolong sponsor beli susu,diapers,ubat dan tanggung yuran sekolah anak2 nye skali!

Sekolah pre-school nursery dan play group bukan murah di sini…

Maka bermula la kehidupan siti menumpang dengan saudara mara yang sudi menanggung kehidupan dia dan anak2…lepas satu rumah ke satu rumah…

Kemudian pada minggu lalu dia tak ada pilihan selain kembali ke rumah orang tua nye…banyak saudara mara dah tak sanggup katanye…

Bekas suami nya juga tidak memberi nafkah yang sepatutnye..

Minggu lalu juga siti got dumped by her boifren…

So instead of worrying abt her kids siti keep asking me knape boifren aku tinggal kan aku? Dia da ada girlfren baru ke?

Hmmm…mane lah saye tau!!! Marah betul saya…

Kemudian semalam siti sms saya…mengadu susu dan pampers anak dah habis…

Setelah berbincang dgn suami kami pun sepakat untuk membelikan keperluan anak2 siti…

Pertama kali saya lihat baby nye yg berusia 9 bln hati saya sedih…

Anaknye kurus dan semacam ada kesedihan di mata baby tu kak…

Bapa siti tak bekerja kerana sakit2 ibu siti pula hanya keje part time…

Saya diberitahu yang mereka tak mampu untuk menyekolahkan anak2 siti..

Lalu saya terfikir apa yang akan terjadi pada anak2 ini…bagaimana kah masa depan mereka???

Kalau lah saya ada rezeki yang lebih sudah tentu saya akan ambil dan jaga anak2 siti …

Namun saya bukan orang berada…saya juga punya masalah dan tanggungan sendiri…

Apakah cara lain yang dapat saya lakukan untuk membantu siti kak?

Salam Sayang,

Diana



Ini e-mail yang saya terima. Saya sedang memikirkan cara yang terbaik untuk menjawab e-mail ini. tetapi saya cukup berbesar hati kalau-kalau pembaca blog saya ada sedikit nasihat untuk Diana. Marilah sama-sama kita berkongsi rasa dan pendapat.


Monday, February 16, 2009

SAJA AJE

Biasanya hari minggu adalah hari keluarga. Tetapi semalam kerana saya galit dengan komputer suami pula galit dengan berchatting kami keluar rumah sudah agak lambat jadi tidak ada tempat yang paling dekat untuk kami tuju kecuali Putrajaya. Mak ai..bila kami sampai di tasik putrajaya dekat dengan masjid, punyala ramai orang di situ. Nak parking kereta pun payah. Disebelah masjid apa lagi, parking sudah melimpah2.

Saya geram dengan pokok bunga yang ada di sini. Teringat saya, di Mekah, pokok bunga jenis ini ditanam subur di sana, walaupun Mekah kering. Rasanya mahu saya cabut ambil bawa balik. Tetapi bila teringatkan, esok di akhirat kena pikul cari tuanpunya pokok ni (arwah emak selalu ingatkan saya begitu). Alahai....tak jadila.
Matahari turun. Kalau dapat kamera yang canggih, mesti cantik gambar ni tapi ini kamera digital. He.he.he..inila hasilnya.

Part berposing, bagilah dekat Qaisara dengan babanya. Uminya memang jarang berada di dalam gambar.
Kemudian singgah di Alamanda, untuk makan malam di Manhattan Fish Market. Saya order crispy shrimps untuk pembuka selera. Sedap juga, Qaisara pun suka. Teringat saya, saya makan ikan kecil yang digoreng dengan tepung dan boleh dimakan tanpa tercekik tulang di tepi laut di Istanbul. Satu masa nanti saya perlu bawa Qaisara untuk merasa keenakkannya.
Ini memang kegemaran suami. Grilled Norwegian King Salmon Filet. Mana-mana dia pergi memang dia sukakan salmon. Kalau dapat makan salmon, komennya mesti..'very nice our dinner to night!', saya ingat masa dia ke Jepun..dia tak jemu hari-hari, makan ikan salmon, tapi di Turki tidak pernah pula saya jumpa Salmon. Turki makanan lautnya, memang cukup mahal
Ini makanan yang saya pesan. Grilled Platter for one, Ikan, calamari dengan 2 ekor udang. Bila baca menu memang nampak selera. Tapi apabila sudah menikmatinya..dalam hati saya cakap. Huhh..makan nasi dengan sambal goreng, ikan sepat masin lagi sedap..he..he.he..

Saturday, February 14, 2009

ANAKKU PANDAI MELARAM

Anak dara saya ni sejak akhir-akhir sudah pandai melaram. Kalau pergi bershopping, matanya cepat sahaja menangkap kedai menjual aksesori wanita. Apa sahaja kedai aksesori dia pasti akan masuk dan meninjau. Paling disukainya adalah rantai. Ke mana-mana sekarang, rantai akan dipakainya. Tidak kira siang dan malam. Dia juga sukakan anting-anting dan ada membeli beberapa koleksi anting-anting. Tapi sampai sekarang ini saya masih belum menindikkan telinganya. Bukan dia tidak meminta, tetapi saya takut melihat telinganya ditembak nanti.
Main basikal dipadang pun sekarang ini, Qaisara tidak akan lupa memakai rantainya. Rantainya macam nyawanya sekarang ini. Tak pakai rantai tidak mahu keluar rumah.
Ini posing sebelum masuk tidur. Bersama salah satu koleksi rantainya yang ada. Qaisara tak suka rantai kanak-kanak yang kebanyakkan di buat daripada plastik. Dia sukakan design untuk anak-anak remaja. Bila masuk kedai, matanya cepat sahaja menangkap apa yang dia suka.

Antara rantai kesukaannya. Murah aje dalam Rm13, dulu dua kali saya membelikan rantai tangan emas. Dua kali itulah rantai tangannya hilang . Kali pertama hilang, saya tahu siapa yang mengambilnya kerana selepas seorang lelaki mendukung Qaisara dipadang (lelaki itu kami kenal), rantai tersebut hilang dan kali kedua, apabila saya melepaskan dia ditempat permainan kanak-kanak di pusat membeli belah yang dipenuhi kanak-kanak dan ibubapa. Rantai tangannya hilang lagi. Dan sampai sekarang saya malas mahu membelikan apa-apa barang kemas yang diperbuat daripada emas.

Rantai yang ini, sebenarnya panjang untuk orang dewasa. tetapi kerana Qaisara sudah berminat, saya menyuruh jurujual di kedai itu memotongnya.


Wednesday, February 11, 2009

ANAKKU HAKIM

Dia antara anak buah kesayangan saya, bahkan saya selalu merujuk dia sebagai anak saya. Kalau umi dan ayahnya terpaksa keluar daerah, sayalah mengambil alih tugas menjaga dia dan abangnya Ojan. Bahkan dia dan abangnya Ojan, memang suka sekali tinggal dengan saya kerana saya yang agak longgar, peraturannya.
Antara anak-anak buah yang lain, Hakim seorang yang cukup agresif. Dia mewakili sekolah di dalam banyak bidang sukan. Bahkan Hakim seorang anak yang cerdik, arif tentang komputer dengan cukup baik walaupun usianya ketika itu baru 11 tahun. Agak degil dan kedegilan itu kadangkala membuat umi dan ayahnya kecut perut.
Satu keistimewaan Hakim, dia cukup disukai oleh anak-anak. Kalau ada Hakim, di situlah ada kanak-kanak yang menghurungi dia seperti menghurungi gula. Bahkan Qaisara begitu teruja sekali setiap kali nama Hakim disebut.Keputusan menghantar Hakim ke salah sebuah Sekolah Agama berasrama yang terkenal di Melaka, dibuat agak lama oleh kakak saya. Hatinya mungkin berbelah bagi, antara mahu menghantar ke sekolah berasrama atau membiarkan Hakim di depan mata dengan pelbagai ragamnya. Akhirnya kakak membuat permohonan dan menghantar borang, betul-betul ketika tarikh tutup permohonan. Jam 12 permohonan ditutup, jam 11.45 pagi borang permohonan kami hantar sendiri di pejabat pelajaran Melaka.
"Dari aku terjerit-jerit menyuruh dia bangun solat, baiklah dia belajar berdisplin di sekolah barunya."
Jadi Isnin yang lalu, kami semua menghantar Hakim ke Melaka. Kebetulan Selangor sedang bercuti, tetapi Melaka tidak. Sebak hati saya melihat Hakim yang berusia 12 tahun itu terpaksa mengharungi hidup di asrama sendiri. Makan minum, pakaian terpaksa diuruskan sendiri. Namun apabila mendengar taklimat di sekolah yang sekolah tersebut ada menyediakan perkhidmatan dobi, hati saya menjadi lega. Bukan apa, Hakim seorang anak yang cukup manja. Walau sudah berusia 12 tahun, makannya perlu disediakan, bila makan ayam goreng uminya terpaksa mencarik-carik ayam tersebut dari tulangnya. Setiap pagi, uminya meletakkan ubat gigi di atas berus giginya. Menarik dia ke bilik mandi untuk dimandikan. Kedengaran agak lucu..tapi itulah Hakim. Nakal, agresif, cerdik tetapi manja.
Sempat lagi kakak saya menjahit lencana sekolah di baju Hakim. Kakak saya nampak macam tenang dan tidak kisah. Tetapi hati dia siapa tahukan? Setiap kali saya beritahu dia, betapa sedihnya saya meninggalkan Hakim. Kakak saya akan berkata
"Isy..kau ni bukan dia tak balik. Esok-esok kita jumpala dia.."
Sudah jadi terbaliklah pulak. Saya yang emak saudara sudah menjadi terlebih sensitif. Umi Hakim sendiri tenang-tenang sahaja.

Baju-baju Hakim yang kami tolong susunkan. Esok-esok, macamana rupa almari ini....moga-moga Hakim akan belajar untuk lebih berdisplin dan berdikari.


Qaisara yang memang cukup manja dengan Hakim. Sempat lagi berposing atas katil sebelum pulang. Saya terpaksa memujuk Qaisara sepanjang perjalanan pulang apabila dia bertanya, kenapa abang Hakim terpaksa 'stay school' dan tidak pulang bersama kami. Sampai hari ini Qaisara pasti akan menyebut, kasihan Abang Hakim, stay school alone, umi ya..(anak saya bahasa da jadi rojak)..he.he

Ojan yang sekarang tinggal seorang di rumah. Kata kakak saya elok dia tinggal seorang di rumah. Kalau tidak, dia dan Hakim asyik berdengki sahaja siapa yang mahu membuat kerja rumah. Baik Hakim dan Ojan memang selalu bergaduh siapa yang perlu membuang sampah, siapa yang perlu mengangkat kain baju. Budak-budah. Begitulah sifatnya. Saya pasti Ojan akan merindui satu-satu adiknya.


Entah apa nasihat yang diberi oleh ayah kepada Hakim. Abang ipar saya terpaksa berkejar pagi-pagi balik ke Melaka kerana malam sebelumnya beliau baru sampai dari Jepun kerana urusan kerja. Saya dan kakak saya balik lebih awal sehari sebelum itu.

Tuesday, February 10, 2009

MACAM-MACAM MALAS.

Malas sungguh nak bangun pagi ni. Tapi sebab Qaisara menangis-menangis, mengigau. Mahu tak mahu saya terpaksa bangun juga. Jeling jam baru pukul 3.30 pagi. Saya ni dah macam burung hantu. Sejak bertahun-tahun yang lalu tidur saya memang tidak pernah berkualiti. Saya akan bangun 3-4 kali untuk membuat susu Qaisara dan menukar lampinnya.
Lepas solat saya menghadap komputer.
Malas sungguh nak baca suratkhabar sekarang ini.
Semakin dekat peralihan kuasa, semakin macam-macam berlaku.
Manusia sudah tidak menghormati antara satu sama lain
Macam tak fikirkan pasal mati pula.
Bila-bila manusia akan mati. Esok lusa akan mati.
Tapi orang-orang gila kuasa ni, fikir mereka, mereka immortal, akan hidup selama-lamanya.

Mahu menulis, malas sungguh….
Bukan saya kena writer block,
Idea ada macam-macam dalam kepala
Setiap Jumaat-dah selesai di edit,
Tunggu cover aje-si Nora ni mana dia cover den?
Teratak Alam dan melebihi 600 mukasurat.
Ini yang malas ni, nak kena baca semula.
Buku baru pula memerlukan saya ke kubur, menghayati kesedihan orang yang ditinggalkan
Terbayang pohon kemboja dan pokok puding atas kubur emak, hati jadi sayu.
Terasa rindu pada emak.
Terbayang nyamuk yang ganas mengigit, besar-besar…
Alahai malasnya nak pergi.

Teringat kata suami siang tadi.
Jom kita balik Turki, dah lama sungguh tak balik..
Terbayangkan 12-13 jam dalam perjalanan. Bosannya!
Qaisara mesti merayau dalam kapalterbang. Dia mana boleh duduk diam waima 5 minit.
Aduh malasnya.
Tapi kalau tak balik, kasihan pula suami.
Lagipun sekarang ada MAS Fair, Tiket ke Istanbul murah gila.
Tapi nak book online satu masalah juga..
Aduh malasnya…

Pukul 4.30pagi perut saya benar-benar terasa lapar.
Semalam balik dari kampung, menghantar Hakim ke sekolah berasrama di sana
Saya tak makan sampai malam.
Tetapi masa tengah hari, saya makan nasi ayam kari emak tiri.
Yummy yummy. Sedap sungguh.
Malasnya nak menyelongkar peti sejuk.
Nanti pembantu rumah cakap siapalah pulak, dekat dapur tu.
Bertambah malas bila terbayangkan
terpaksa memanaskan lauk pauk yang sudah mengigil kesejukan.
Malas sudah menjadi berganda-ganda!..

Pukul 4.35 pagi..
Terdengar suara anjing menyalak, berbalah sesama sendiri.
Saya pandang keluar. Banyaknya. Mereka bergaduh.
Ke semuanya anjing liar.
Mahu sahaja saya menghalau kerana terlalu bising.
Tetapi kali ini bukan malas..
Tapi saya takut…he.he.he..

Thursday, February 5, 2009

DIA YANG BERNAMA SRI

Saya kenal dia tidak lama, 3 minggu sahaja. Orangnnya memang cengeng. Cepat sahaja dia menangis. Saya ambil dia bekerja dengan saya sebagai pembancuh kopi dan membersihkan pejabat. Dia ada hubungan dengan pembantu rumah saya Sari. Dan kerjanya juga membantu pekerja di pejabat NB Kara melakukan beberapa kerja yang lain.
Bila tidak ada kerja di pejabat dia akan balik ke rumah saya membantu kerja-kerja di rumah saya pula dan malamnya pulang ke rumah pekerja yang saya sediakan. Kami selalu berbual. Dia suka bercerita mengenai buku. Dia tanya saya pernah baca tak buku mengenai Siti Nurbaya. Saya jawab, pernah. Tapi saya lupa. Siapakah penulisnya. Dia sendiri pun sudah lupa.
Kami berbincang mengenai banyak perkara, mengenai bahasa, mengenai buku.
“Gemuruh kalau di Indonesia, gemuruh ombak. Di sini rupanya gemuruh..hati yang tidak tenang ya..”
Dia memberitahu saya mengangguk sambil dia membasuh mangkuk saya masak. Dia banyak mengajar saya lagu-lagu kanak-kanak Indonesia. Saya masih ingat lagunya.
Cicak-cicak di dinding
Diam-diam merayap
Datang seekor nyamuk
Ngap..lalu ditangkap
Kakak saya Mijah pun sukakan lagu itu. Lagu pasal bunga, lagu macam-macamlah. Cuma lagu cicak itu masih kami ingat lagi.
“Sri..makan, jangan malu-malu. Di sini kamu tak perlu malu..”
Pernah satu hari saya memberitahu Sri. Sri tersenyum sambil menganggukkan kepalanya.
“Ya umi, saya tidak malu di sini. Tetapi malu pun ada batasnya. Orang yang tidak tahu malu akhirnya akan malu sendirikan umi..”
Saya ketawa. Memang bahasa yang dipakainya indah. Saya sering senang berbicaranya. Namun pada hari Isnin yang lalu dia melarikan diri. Esoknya dia menelefon, kata dia, dia lari bukan kerana saya, bukan kerana suami saya. Tetapi kerana sikap seseorang yang sering memperlakukan dia bukan seperti manusia.
Saya marahkan dia, saya beritahu dia. Kalau dia ada masalah beritahu saya. Tetapi dia membuat keputusan sendiri. Fikirannya bercelaru.
Namun saya faham. Kalau dia duduk serumah, orang tidak menegur dia. Membentak dan melarang dia memegang itu ini. Sudah pasti semua orang tidak akan tahan. Kalau di pejabat dia dilayan macam bukan manusia, sesiapa juga akan marah.
Manusia dari mana asalpun mereka, masih ada harga diri. Masih perlu dihormati.
Memang ada orang mengatakan yang dia hanya pembantu rumah, tidak layak dilayan dengan sewajarnya. Tidak akan boleh menjadi pandai. Tetapi Sri adalah seorang gadis yang gagal ke universiti kerana tidak berkemampuan dari segi wang ringgit bukan kerana dia tidak pandai. Gadis itu menghabiskan tingkatan enamnya dengan mudah.
Saya tahu..saya marahkan Sri, tapi saya kasihankan dia. Saya berdoa supaya ditempat baru..dia dirahmati ALLAH, diberi perlindungan dan diberi kekuatan.
Dan pemergian SRI telah benar-benar mencalarkan perasaan saya sebagai seorang manusia.

Tuesday, February 3, 2009

KECEWA DI HATI

Ada satu sikap buruk saya, bila kecewa. Saya suka beli komputer. Ini komputer yang ke 14 rasanya saya beli tadi. Tapi komputer itu tidak saya simpan semuanya. Sudah diberi pada adik, kakak dan juga abang saya.

Hari ini saya pandang Sari. (dia pembantu rumah saya)
Sari pandang saya.
Dia rasa kecewa, saya lagilah.
Saya rasa sudah lama tidak berperasaan begini.
Sama rasanya apabila mengetahui kucing kesayangan saya mati,
Sama seperti diberitahu yang saya gagal masuk universiti,
Sama seperti saya ditinggalkan kekasih..
Saya tak lalu makan,
Sari lagilah..dia tidak biasa menghadapi keadaan begini.
Saya tanya dia..
“Apakah sejak akhir-akhir ini saya pernah marah kamu seperti orang itu cakap?”
“Tidakla ibu, kitakan selalu bergurau. Ibu amat baik dengan saya..”
Kami senyap. Diam. Galau di hati terlalu sukar untuk diredakan. Kepala saya terasa sakit. Saya rasa tidak berdaya.
Saya tahu Sari pun begitu.
Sayang hari ini saya tidak boleh mengaji Al-Quran.
Mengadu pada ALLAH. Tapi Sari boleh.
Saya hanya mampu berzikir. Perasaan kecewa itu hilang dan datang lagi.
“Sudah jangan fikirkan sangat. Ada hikmahnya..sekarang kamu tahu, jenis-jenis manusia bagaimana. Orang yang bermuka macam mana. Orang yang gila kuasa macam mana?”
Saya rasa tidak berdaya. Suami memeluk dan menenangkan saya.
Kasihan Sari, tidak ada sesiapa yang akan memeluk dia. Meleraikan rasa derita yang ada di dalam dadanya sekarang ini.
“Umi kenapa?” Mata bulat Qaisara bertanya. Anak comel ini akan sentiasa perasan kalau saya tenggelam dalam kecewa. Kalau saya menangis, dia akan meraung hiba.
“Tak apa-apa sayang. Umi okay. Pergi tengok bibik. Bibik okay tak?”
Suruh saya. Qaisara akur. Entah bila resah ini akan hilang. Entah bila rasa sakit hati ini akan terbang.
Dan buat masa sekarang ini..rasa marah dan kecewa itu masih belum padam.

Komputer hijau, beg juga hijau. Orang kata hijau menenangkan perasaan saya. Tetapi entahlah...