Sudah berapa minggu Qaisara tak suka ke kelas pianonya. Macam-macam alasan diberi kepada saya dan saya tahu gurunya kurang mesra dan suka marah-marah. Setiap kali saya pergi saya akan lihat kelakuan guru tersebut dan pagi tadi ketika saya sedang berbaring dengan Qaisara, Qaisara bercerita.
"Umi, umi marah tak kalau Teta cerita?"
"Cerita apa sayang?"
"Cikgu kelas piano itu selalu cucuk tanganTeta dengan pen.."
Ya ALLAH saya mahu sahaja menjerit.
"Sakit ke tak?"
"Sakit juga ada satu kali tu Teta rasa nak menangis tapi Teta malulah umi."
Aduh dada saya rasa tersentap. Saya tak pernah cucuk anak saya dengan pen, kenapa guru ini melakukannya.
"Nanti umi jumpa dia. Umi nak tanya.."
"Tak apalah umi, tak payahlah. Selasa lepas dia tak marah Teta pun. Dia okay. Jangan marah dialah..."
Qaisara menegah, tapi hati saya tidak sedap. Air mata saya meleleh tanpa dikesan oleh Qaisara. Saya hantar anak saya belajar untuk suka-suka, kalau dia tidak pandai ajarlah. Tetapi tidak perlu mendera anak saya. Saya rasa saya perlu berjumpa dengan guru tersebut untuk meminta penjelasan tetapi saya harus menghormati perasaan Qaisara juga. Saya harus mendapat kebenaran dari anak kecil saya dan saya akan yakinkan Qaisara, berjumpa dengan gurunya bukan bermakna saya mahu bergaduh tetapi saya mengambil berat perihal anak saya.