Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Wednesday, July 30, 2008

MALAM ISRAK MIKRAJ

Hari ini telefon suami saya bukan main sibuk lagi berbunyi. Sekejap ada yang menelefon. Sekejap ada yang menghantar SMS Rupa-rupanya hari ini adalah hari ‘mirac kandili” menurut orang Turki. Itu pun baru saya sedar apabila suami bersalaman dan mencium dahi saya sambil mengucapkan mirac kandili. Oh..sudah 27 rejab rupanya. Sepanjang bulan Rejab ini hanya beberapa hari sahaja saya dapat berpuasa sunat kerana kesihatan tidak mengizinkan.
. Di Turki Israk Mikraj memang disambut besar-besaran seperti hari raya. Untuk golongan beragama, mereka mengadakan upacara maulud nabi, membaca Al-Quran, bersolat dan berdoa. Selepas itu mereka mengadakan jamuan serta bersalaman dan berpelukan antara satu sama lain. Anak-anak juga mencium tangan ibu bapa . Tetapi bagi orang-orang biasa yang sudah melupai agama. Mereka akan makan-makan, minum dan mengucapkan mirac kandili antara satu sama lain. Macam raya lagaknya.
“Antar ucapan sana sini, tapi tak solat buat apa..”
Saya berseloroh dengan suami. Bukan suami yang tidak bersolat, tetapi kawan-kawannya yang menghubungi suami, rata-ratanya bukannya orang yang kuat beragama. Bahkan ada yang kaki botol. saya tahu ramai sudah terpengaruh cara hidup orang eropah, bahkan tanpa segan silu botol arak memenuhi peti ais rumah mereka. Ah..lupakan sahaja pasal budaya orang Turki yang kadangkala memeningkan kepala!
Teringat saya semasa saya kecil. Israk mikraj disambut secara sederhana tetapi meriah di masjid-masjid. Arwah emak akan sibuk mengisar tepung pulut dan pulut hitam dengan pengisar batunya untuk membuat kuih koci. Kalau tidak kuih koci emak akan buat kuih gading galoh, kalau tidak sudah pasti kuih genggang.
Sebelum waktu maghrib kami sudah bersiap, mandi dan kemudian memakai baju yang elok sedikit dan terus ke masjid beramai-ramai. Arwah emak pasti akan membimbit kuih yang dibuatnya siang tadi. Selepas bersolat maghrib pasti ada seorang ustaz yang akan berceramah dan bercerita mengenai israk mikraj. Cerita yang setiap tahun pastinya sama walaupun ustaznya berlainan.
Dan sudah pasti acara yang paling saya dan kanak-kanak lain tunggu adalah selepas habis ustaz memberi ceramah dan usai solat isyak. Ketika itulah, hidangan akan dibuka dan diagihkan. Macam-macam kuih yang terhidang. Biasanya saya akan mencari kuih idaman hati saya seperti kek mangkuk ataupun karipap. Kadangkala terkena kuih emak yang diletak di hadapan saya, saya akan bangun dan beralih ke tempat lain. Itu zaman kanak-kanak. Zaman sekarang, saya tidak begitu menyambut iskrak mikraj saya lebih menanti malam Lailatuilqadar di bulan puasa terutamanya kalau tinggal di kampung. Ramai yang tidak tidur sepanjang malam, masing-masing membaca Al-Quran dan membuat amal ibadat.
Sebenarnya apakah hebatnya Israk Mikraj jika dibandingkan dengan malam Lailatuilqadar? Saya terjumpa jawapannya di dalam internet selepas saya menyelongkar mengenai Israk Mikraj.
Pendapat dari sesetengah ulama berkata dari segi hak Nabi saw, maka Malam Israk Mikraj adalah lebih afdhal kepadanya tetapi bagi umat, maka malam Lailatulqadar adalah lebih afdhal bagi kita sebagai umat.

Monday, July 28, 2008

SUSAHNYA NAK CAKAP TERIMA KASIH!

Baru-baru ini seorang teman suami berpindah rumah. Kerana tidak sempat mengunjungi, saya membelikan beberapa peralatan rumah sebagai hadiah dan suami menyampaikan pada temannya.
“Awak dah bagi hadiah tersebut pada kawan awak?”
Hari itu sebaik sahaja suami pulang, saya bertanyakan hal tersebut. Suami hanya menganggukkan kepalanya.
“Apa kawan awak cakap?”tanya saya pada suami.
“Cakap apa, tak cakap apa pun..”
“Dia ada ucap terima kasih tak?”
“Mana ada, dia ambil dan terus masuk dalam kereta. Dia memang macam tu, tak pernah ucapkan terima kasih walaupun hampir saban hari saya belanja dia minum..”
Balas suami saya. Saya hanya mendiamkan diri dan menunggu kalau esoknya, si isteri menyampaikan salam terima kasih kepada saya. Namun sampai seminggu, sebulan pun perkara itu tidak berlaku. Bahkan si isteri langsung tidak menghantar SMS atau menelefon saya mengucapkan terima kasih. Ahh..mungkin sibuk atau terlupa. Saya cuba berbaik sangka. Namun saya mengutarakan perkara tersebut kepada suami saya.
“Ada orang memang tidak tahu berterima kasih. Mungkin cara dibesarkan atau cara mereka suami isteri memang begitu. Tak tahu nak ucapkan terima kasih. Saya kenal mereka, saya tahu cara mereka”
Beritahu suami saya. Saya termenung mendengarnya. Di dalam rumah tangga saya, perkataan maaf dan terima kasih memang sudah membudaya. Setiap kali saya menghidangkan makanan dan selesai suami menikmatinya. Ucapan terima kasih pasti ada untuk saya. Suami tidak pernah terlupa. Bahkan kalau suami menemani saya membeli belah, saya akan ucapkan terima kasih kerana menemani saya. Ucapan maaf akan kami hulurkan kalau masing-masing sedar akan kesilapan sendiri selepas melakukan kesalahan. Tidak pernah menunggu lebaran baru memohon maaf.
Dan dua hari yang lepas saya balik ke kampung, melihat abang ipar yang patah kakinya kerana jatuh ditempat kerja. Ada beberapa barangan yang saya bawak balik dan suruh kakak sedekahkan pada orang yang saya tahu memerlukannya.
“Dia tak cakap pun terima kasih. Dia ambil dan kemudian masuk rumah. Manusia ni kadangkala kau tahu kenapa dia miskin. Sebab dia miskin budi bahasa. Itu yang terus-terusan miskin tu..”
Kakak memberitahu saya dan macam tidak puas hati sebaik sahaja dia memberi barangan tersebut kepada orang yang saya maksudkan. Dan orang itu langsung tidak mengucap terima kasih.
“Aku hairan sungguh dengan orang yang tidak tahu berterima kasih…”
Kakak sudah duduk di hadapan saya.
“Di tempat kerja aku dulu, ada budak aku (kakak saya seorang supervisor di kilang). Rumah dia terbakar, kami kutip derma untuk dia. Langsung tak ucapkan terima kasih..”
“Mungkin dia terperanjat agaknya. Itu yang semua lupa..” saya meningkah cakap kakak.
“Ahh..kau pun ada bagi dia duitkan, mana dia ada cakap terima kasih pun…” saya hanya tersenyum.
Saya ingat lagi peristiwa itu, kakak menelefon saya memberitahu yang salah seorang pekerjanya ditimpa musibah. Rumahnya terbakar. Dia bertanya kepada saya, sama ada saya mahu menderma atau tidak.
Lantas saya memasukkan sedikit amaun ke dalam akaun kakak saya melalui online dan menyuruh kakak menyampaikan kepada pekerjanya. Kakak memang begitu, kalau mana-mana pekerjanya ditimpa musibah. Dia pasti akan mencari sesiapa yang boleh menderma. Dan selalu sasaran pertamanya adalah saya..he.he.
“Dia mana ada ucap terima kasih dengan aku. Ambik duit terus pergi.. Aku dok juga menunggu dia ucap terima kasih. Tak juga dia ucapkan. Berlainan pula seorang pekerja aku yang lain. Aku sedekah baju terpakai, dia ucap terima kasih berkali-kali. Sampai berapa hari, Itu baru baju terpakai..”
Itulah yang membezakan manusia di dunia ini. Budi bahasa. Ucapan terima kasih adalah salah satu kompenan budi bahasa. Walaupun ianya terlalu kecil tetapi cukup berharga bagi seseorang yang telah bersusah payah membantu seperti kakak saya.
Bagi saya apa salahnya, mengucapkan kata-kata tersebut. Bukannya susah sangat pun..hanya dua perkataan sahaja..TERIMA KASIH!

Tuesday, July 22, 2008

APA SUDAH JADI?

Nurul, masa kecilnya sering dilanda demam panas dan diramalkan akan menjadi lembam dan perlahan perkembangannya.

Baru-baru ini saya menghadiri konvo adik bongsu saya, Nurul Intissar. Rasa sedih dan terharu kerana adik yang bongsu ini berjaya menjejakkan kaki ke universiti juga. Semasa kecil dia dilahirkan bersama penyakit demam panas. Sekali-sekala bila diserang demam, badannya akan mengigil dan giginya akan terkancing. Saya masih ingat bagaimana kami kelam kabut meletakkan sudu atau garpu di giginya sebelum kami membawa dia ke doktor. Doktor meramalkan dia akan menjadi lembam dan perkembangannya akan menjadi perlahan. Syukur Alhamdulilah. Segala ramalan doktor tidak benar belaka. Sebaik sahaja habis belajar. Adik mendapat tawaran melanjutkan pelajaran keluar negara. Tetapi terpaksa di tolak kerana larangan emak tiri dan ayah saya. Al maklumlah anak bongsu! Dan adik sekarang sedang melanjutkan pelajar di universiti tempatan.
Siapa pulak ni? Aik..hari graduation Qaisara ke? Tumpang se kakilah Mak Usu!

Yang menarik perhatian saya dalam sidang konvokesyen itu. Para graduan wanita yang ramai memenuhi dewan. Pelajar lelaki boleh dikira bilangannya. Bahkan yang menerima Anugerah buku dan anugerah khas juga adalah 80% perempuan dan 20% lelaki. Dan paling malang menurut adik saya, di universiti barunya tempat dia belajar sekarang ini. Ada 41 pelajar di dalam kelas beliau tetapi hanya 4 pelajar lelaki sahaja dan selebihnya pelajar perempuan.
Apa sudah jadi dengan anak-anak lelaki sekarang? Di manakah mereka? Apakah mereka hanya sekadar menghuni penjara atau pusat serenti? Atau menghabiskan masa dijalanan menjadi mat rempit? Sedangkan bancian pada tahun 2000 memperlihatkan nisbah lelaki muda melebihi wanita di Malaysia.

Di mana, anak-anak lelaki kita?
Nisbah Jantina
Banci 2000 menunjukkan bahawa di Malaysia pada keseluruhannya, bilangan lelaki melebihi perempuan iaitu corak yang sama seperti yang didapati pada tahun 1991. Pada Banci 2000, terdapat 104 lelaki bagi setiap 100 perempuan iaitu satu peningkatan yang kecil nisbah jantina daripada sebanyak 103 pada tahun 1991. Pada Banci 2000, nisbah lelaki berbanding perempuan secara relatifnya adalah tinggi bagi Wilayah Persekutuan Labuan (110), Pahang (110), Johor (107), Sabah (107), Negeri Sembilan (105), Selangor (105) dan Terengganu (104). Sebaliknya, bilangan perempuan melebihi lelaki di negeri Perlis, Pulau Pinang dan Kedah. Fenomena perempuan melebihi lelaki ini jelas dapat dilihat terutamanya dalam kumpulan umur bermula dari 60-64 tahun dan perbezaan ini semakin ketara apabila umur semakin meningkat. Ini adalah seperti dijangkakan memandangkan jangkahayat di kalangan perempuan adalah lebih tinggi daripada lelaki.
Jabatan perangkaan negara November 2001

Monday, July 21, 2008

CERITA PASAL BUAH

Buah durian boleh di makan begitu atau dibuat pelbagai juadah. Salah satunya lempuk yang seperti dodol.

Sekarang musim buah-buahan. Tiba sahaja di kampung, buka sahaja kereta. Bau durian mencucuk hidung bertingkah dengan bau cempedak dan buah binjai. Harumnya bukan main. Pergi ke dapur terlihat buah durian, cempedak, buah rambutan dan langsat terjelupuk di lantai dapur. Buka sahaja periuk ada pulut yang sudah selesai ditanak dan di sebelah periuk pulut pula terletak kelapa muda yang dimasak dengan durian. Memang sedap diregukan dengan pulut!
“Kamu lambat sangat baliknya. Durian pun dah habis musim. Sampai dah mengangga menanti kamu..” mak tiri saya memberitahu.
Baru 3 minggu saya tak balik dah lama katanya! Alahai..alahai.
Sedang saya berehat sambil makan sambal goreng, nasi dan binjai jeruk. Terdengar orang memberi salam. Rupa-rupanya jiran di hadapan rumah, nampak saya pulang. Menghantarkan buah dan durian buat saya! Terima kasih daun keladi buat jiran saya.
Buah dan saya memang cukup berkait rapat. Saya memang pengemar buah nombor satu. Saya tidak makan nasi pun tidak mengapa. Asalkan saya dapat makan buah. Bila kahwin saya dapat regu, iaitu suami yang boleh membelanjakan RM100 seminggu hanya untuk membeli buah-buahan.
Saya sukakan buah mangga dan suami sukakan apa sahaja buah-buahan tropical termasuklah durian, sehingga beliau boleh makan durian 4 atau 5 biji sekali hadap!
Bercerita mengenai buah durian. Saya teringat masa kecil saya. Saya memang cukup suka menunggu buah durian gugur. Dengar sahaja berdebuk! Saya adik beradik menerpa pada durian tersebut. Kalau buah tersebut berkecai, paling saya suka. Buah durian yang baru gugur sedap tetapi liat kulitnya. Jadi kalau jatuh terkena akar, buah durian itu akan berkecai atau terbuka jadi senanglah untuk makan.
Kalau diberi pilihan saya lebih suka makan durian yang mengkal dari yang sudah masak. Pernah saya petik buah durian yang baru ‘daging ayam’ dan saya makan isinya menyebabkan emak bising dan perhambat saya..he.he. (siapa suruh durian itu berbuah rendah..)
Ketika itu, kami memang mempunyai banyak pokok durian. Tidak termakan. Buah durian biasanya emak buat lempuk. Lempuk tampak seperti dodol, dikacau dengan gula merah sehingga pekat dan disimpan dalam bekas anyaman daun kelapa. Boleh tahan sehingga 2-3 bulan.
Selain buah durian, kami mewah buah rambutan. Saya masih ingat lagi, ada beberapa buah pokok rambutan di keliling rumah saya. Namun tidak ada seorang pun yang mahu makan buah rambutan tersebut. Sebab sudahlah tidak longkah isinya, masam pula. Emak akan ajak saya menurunkan buah-buahan tersebut dengan menggunakan kacip yang dipasang di buluh yang panjang.

Buah kegemaran saya tetapi tidak boleh di makan terlalu banyak kerana tekak saya alergi dengan buah rambutan. Kalau makan banyak batuklah jadinya.


Kadangkala dapat satu guni besar dan kadangkala dapat 2 guni. Saya dengan emak dan salah seorang emak saudara saya akan mengopek buah rambutan tersebut. Buah rambutan tersebut emak rebus dahulu. Selepas direbus, isinya amat mudah dilurutkan dari bijinya. Emak kemudian memasak sekali lagi buat rambutan tersebut dengan gula sehingga menjadi keperang-perangan dan likat. Buah rambutan ini sudah boleh di makan dengan disapu ke atas roti. Macam jem! Dan kalau musim buah-buahan terkena bulan puasa. Emak akan buat tart jam rambutan.
Selepas buah durian dan rambutan. Kami ada juga menanam buah manggis. Manggis adalah salah satu buah-buahan kesukaan saya. Bagi saya kenangan yang cukup indah dan sampai sekarang tidak saya lupakan, apabila meninjau-nijau dan mencari buah manggis yang sudah masak di celah daunnya yang rimbun. Kadangkala baru ‘darah ikan’ saya yang memang tidak sabar, akan memetiknya dan memotongnya buah tersebut dengan pisau. Mencungkil isinya yang agak keras dan memakannya.

Salah satu buah yang paling sedap di dunia. Tetapi susah mahu mendapat buah yang benar-benar berkualiti. Di Jepun ada di jual dengan harga RM18 sebiji.


Ahh..kalau mahu diceritakan pasal buah-buahan di masa lalu, saya rasa sedih. Saya rasa nak menangis. Ianya terlalu indah bagi saya.Mengutip buah-buah ciku, membasuh dan mengaturnya di tengah panas dan kemudian meletakkan di dalam beras dan saban hari saya dan kakak saya Mijah akan memeriksa buah-buah ciku tersebut, sama ada sudah masak atau tidak. Semua ini tidak akan saya lupakan sama sekali..
Banyak lagi cerita mengenai buah-buahan ini, nanti saya akan ceritakan lagi kalau ada masa.

Friday, July 18, 2008

KALAU TAK KITA TAK JADI ORANG...

Hari itu kawan saya Faiza datang ke rumah dia membawa anak bujangnya yang begitu sibuk mendengar lagu dari MP4. Itu satu-satu anak yang ada. Manja dan sering mengekori si emak ke mana sahaja emaknya pergi. Dalam hati rasa gembira. Mana ada anak-anak berusia 15-16 tahun begitu masih mengekori si emak.
“Anak-anak sekarang beruntung sungguh. Apa sahaja nak mereka dapat..”
Saya merujuk pada anak kawan saya yang bukan sahaja leka mendengar MP4 tetapi leka ber SMS.
“Yelah..sudahlah kita ibu bapa, bukan main berlembut lagi dengan mereka. Saya dulu Yatie, ingat lagi ayah sediakan besen kecil masa kita orang mengaji. Siapa mengaji salah ayah hempuk dengan besen tu..”
Kata Faiza sambil ketawa-ketawa. Saya juga tumpang ketawa dengan Faiza. Saya dengan Faiza agak senasib. Mempunyai ayah yang cukup garang.
“Orang tua dulu-dulu, garangnya tak tahu nak cakap. Macam ayah saya juga Faiza. Garangnya mengalahkan singa. Saya masih ingat, ada kesalahan kecil yang telah saya lakukan telah menimbulkan kemarahan ayah. Saya tengah tidur di katil, dia tarik rambut saya dan heret saya sampai ke lantai. Tak puas dari itu saya ditendang dan dipijaknya…”
Bercerita kisah lalu memang cukup memedihkan. Apatah lagi apabila kehilangan emak dalam usia muda. 10 tahun dan kemudian beribu tiri. Tetapi saya tidak pernah menyalahkan ayah saya.
Mungkin cara didikan orang tua-tua dahulu memang begitu. Bahkan apabila meningkat dewasa, saya sudah berbaik dengan emak tiri saya. Melupakan apa sahaja perkara ‘hitam’ yang pernah berlaku dalam hidup saya dengannya dengan hati terbuka. Bahkan saya sudah boleh duduk bercerita, bergelak ketawa. Kadangkala ayah menjadi cemburu kerana kami lebih banyak bercerita dengan emak tiri, daripada dirinya!
“Itulah..sekarang saya cakap dengan ayah saya Tie. Ayah kalau kepala kita orang pecah dahulu, ayah kena tangkap tau!”
Kami ketawa, bersambut-sambut. Dalam usia begini, memang kami suka duduk mengenang. Apa yang perlu dikenang, diketawakan dan dijadikan teladan.
“Kalau kenangkan kisah masa kecil-kecil memang sakit. Kita macam tak boleh bersuara, apa sahaja yang disuruh kita perlu buat. Tidak boleh tidak. Tidak ada kuasa untuk membantah. Kalau membantah. Zapp..zapplah belakang kita…”
Sambung saya sambil mengerling anak sahabat saya yang begitu asyik mendengar MP4nya. Biarkanlah dia, dari dia melopong mendengar kami bersembang.
“Ayah saya pun macam tu. Tetapi syukurlah kita ini bukan jenis yang berdendam..”
Sambil menikmati teh manis bersama sedikit kuih muih kawan saya menyambung cerita.
“Lah..buat apa berdendam Faiza. Dia ayah kita. Garang macam mana dia pun, dia tetap ayah kita. Kalau mereka tidak buat begitu, kita tak jadi orang..”
Kadangkala memang marah apa yang telah ayah lakukan pada saya. Namun saya bersyukur, kalau ayah tidak pukul saya. Tidak pijak belakang saya. Saya tidak jadi orang. Saya perlu memandang segala perlakuan ayah dengan cara yang positif!
“Yalah..cakap awak betullah Yatie. Garang-garang ayah kita pun. Kita jadi orang juga ya! Masuk universiti…”
Ya..garang-garang ayah saya pun, ramai anak-anaknya yang masuk universiti. Walau tidaklah menjadi orang ternama tapi dapatlah mengulurkan RM200-300 untuk ayah setiap bulan di kampung.
“Namun janganlah kita ikut cara mereka. Zaman dah berubah. Dari situ kita harus belajar bagaimana mengendalikan anak-anak kita pula..”
Balas saya. Walau anak saya masih kecil, tetapi dengan adik-adik iaitu anak emak tiri saya, saya seperti emak dan kakak kepada mereka (beza saya dengan adik bongsu saya 23 tahun). Apa sahaja masalah adik, baik mengenai teman lelaki atau teman wanita. Mereka akan bercerita pada saya. Saya mendengar dan memberi sokongan atau panduan jika perlu. Bahkan saya akan mendengar segala pendapat mereka dan memberi ruang pada mereka. Sampai sekarang baik adik dan adik ipar saya. Mereka cukup menghormati cara saya.
“Memang cakap Yati tu betul. Tapi anak-anak sekarang, dah terlalu manja. Lain pula jadinya. Ini.ini. Kalau tidak dibantai, dipukul. Masih lagi duduk di rumah kosong hisap rokok..”
Kawan saya merujuk pada anaknya yang satu ketika dahulu bermasalah, tetapi Alhamdulilah, sekarang sudah jauh berubah.
“Susah juga ya. Berlembut susah. Pukul bantai pun susah..”
Memang bukan mudah sebenarnya untuk membesarkan anak. Pendekatan yang digunakan kalau salah, anak-anak akan musnah jadinya. Dan perlahan-lahan saya mula belajar bagaimana perasaan ayah apabila satu masa dahulu anak-anaknya tidak mendengar kata.
Terutamanya saya! He..he.he.


Wednesday, July 16, 2008

INILAH TAKDIRNYA..

Masih saya ingat ketika itu, saya bekerja di salah sebuah kilang electronic. Sudah beberapa tahun saya bekerja di situ. Bekerja bagi menampung kehidupan saya dan pengajian saya di waktu malam Hari itu hari Ahad. Ada beberapa orang kawan satu tempat kerja melangsungkan perkahwinan. Pengangkutan ketika itu cumalah bus.
“Esok sahaja kita melawat Kak Anne..”
Saya beritahu kawan saya yang duduk di sebelah saya, ketika saya melewati hospital Melaka. Sudah hampir 30 hari kak Anne di masukkan ke hospital dan hampir saban hari saya dah kawan-kawan saya melawat Kak Anne. Kak Anne seorang janda yang mempunyai 2 orang anak yang cacat. Salah seorang anaknya baru meninggal dunia beberapa minggu yang lalu. Dan sekarang kak Anne disahkan oleh doktor menghidap kanser darah.
“Yelah..hari ini ada beberapa majlis kita nak kena pergi. Tak ada masa nak melawat dia. Insya-ALLAH, lepas kerja pukul 3 esok. Kita pergilah” jawab rakan saya sambil mata kami tidak lepas merenung, bangun hospital berwarna merah jambu itu.
“Kenapa doktor letakkan dia di wad itu ya?”
Saya sedikit mengeluh. Walau bekerja sebagai operator pengeluaran, tetapi kak Anne layak untuk duduk di kelas pertama. Memang itulah prosedur kilang.
“Entah..tapi HR cakap..dia dah beritahu hospital. Tetapi hospital cakap itu memang tempat untuk pesakit yang kronik..”
Setiap hari bila kami melawat Kak Anne, ada sahaja pesakit yang keluar dan masuk di dalam wad tersebut. Semalam seorang remaja berusia 17 tahun di keluarkan dari wad. Dikeluarkan selepas dia menghembus nafas yang terakhir kerana penyakit kanser. Beberapa hari yang lalu, ada seorang kakak berusia 40an, tercungap-cungap di hadapan kami kerana penyakit lelahnya. Doktor mengepung katilnya dan tidak lama kemudian sebelum kami balik, kakak tersebut sudah dibawa keluar juga tidak bernyawa.
“Harap-harap Kak Anne panjang umur…”
Itu doa kami. Di dalam hati cukup marah kerana selama Kak Anne sakit dan bila kami bawa dia ke klinik kilang. Doktor mengatakan yang kak Anne sengaja mereka sakit kerana mahukan cuti sakit. Sedangkan di bahagian produkis, Kak Anne selalu tidak berdaya. Sehinggalah kami memaksa kak Anne membuat pemeriksaan dengan doktor yang berlainan dan doktor tersebut merujuk kak Anne ke hospital Melaka. Dan keputusannya, hospital Melaka memberitahu yang kanser kak Anne sudah teruk. Sudah peringkat ke empat! Bahkan doktor di hospital memarahi keluarga Kak Anne, kenapa selepas Kak Anne sakit begitu teruk barulah kak Anne dibawa ke hospital?
Bukan salah Kak Anne dan bukan salah keluarga Kak Anne, tetapi salah doktor yang mengambil mudah tentang kesihatan pekerja.
Dan selepas majlis kenduri kahwin selesai, sekali lagi kami melalui hospital. Ketika itu jam menunjukkan pukul 6 petang.
“Nak singgah tengok kak Anne tak?” saya duga kawan saya.
Saya dengan Kak Anne memang cukup rapat. Bahkan Kak Anne yang ketika berusia 35 tahun seperti kakak pada kami semua yang rata-ratanya dalam belasan tahun dan awal 20 an.
“Dah petang ni. Karang bas tak ada. Kita pergi petang esoklah. Lepas pukul 3..”
Sekali lagi kawan saya menegaskan. Saya akur. Terbayang wajah Kak Anne di ruang mata saya. Walau dia sakit, dia sentiasa riang melihat wajah kami dan seolah-olah tidak pernah rasa sakit sedikit pun.
Namun pagi esok ketika saya mahu ke tempat kerja. Saya menerima panggilan telefon dari kawan saya.
“Tie..kak Anne dah meninggal petang semalam. Dalam pukul 6 dia tenat dan menghembuskan nafas terakhirnya beberapa minit kemudian. Ada orang beritahu kau tak? Sekejap lagi dia nak dikebumikan?”
Saya terkedu, kaki saya lembik mendengarnya. Bukankah semalam pada pukul 6 kami lalu di hospital Melaka. Saya mengajak kawan saya melawat kak Anne tetapi dia menolak?
“Dia ada cakap nak jumpa kau ..”
Saya meraung mendengar ucapan dari mulut kawan saya itu. Ketika melawat Kak Anne saban hari, saya selalu melihat jiran-jiran kak Anne di dalam wad menghembuskan nafasnya yang terakhir dan dibawa pergi. Tetapi saya langsung tidak dapat melihat kak Anne untuk kali terakhirnya.
Kerana masalah pengangkutan saya tiba di rumah Kak Anne betul-betul ketika jenazahnya diturunkan di liang lahad.
Sampai sekarang saya masih kesal. Kesal kerana tidak pergi melawat Kak Anne, walaupun sebenarnya saya harus akur semua itu adalah urusan tuhan!


Tuesday, July 15, 2008

KG JAWA MELAKA

Deretan kedai di Jalan Kampong Jawa. Masih seperti 30 tahun yang lalu.

Sudah lama saya tidak merayau-rayau di kampong Jawa Melaka. Tempat membeli belah bukan untuk saya, menurut seorang teman. Mungkin merujuk pada saya yang selalu ke luar negara atau membeli belah di Sogo dan KLCC. Tetapi kawan saya itu tidak tahu, saya hanya membeli apabila ada Mega Sale dan ada potongan harga 50% ataupun 70% he..he.he.. Bahkan saya juga tidak membeli hanya sekadar jenama yang ditawarkan. Saya pernah pergi ke butik Coach di luar negara yang menawarkan potongan harga sehingga 80%, tetapi kerana tidak begitu berminat dengan design beg tangan dan juga beg duit yang dipamerkan. Saya langsung tidak membeli padahal harganya memang cukup berpatutan!

Jambatan Kg Jawa. Saya suka duduk di situ masa kecil, memerhatikan tongkang yang lalu lalang, membawa muatan garam ataupun kayu arang.

Setiap kali pulang ke kampung kalau ada ke sempatan memang saya akan ke Jalan Bunga raya, atau ke Kampong Jawa. Kampung Jawa, mempunyai deretan kedai kecil yang menjual barangan dari negara Thailand ataupun China dengan harga yang murah.
Ketika kecil dahulu, sebulan sebelum bulan puasa, arwah emak pasti ke kampong Jawa. Membeli kain untuk dibuat baju raya dan juga baju melayu untuk kami adik beradik dan kemudian menjahitnya sendiri. Kadangkala saya dan adik beradik yang lain, ikut emak dan membantu emak membawa barangan. Dan pasti acara yang paling saya suka, selepas membeli belah itu kami akan menjamu selera di tepi sungai yang airnya yang agak kehitaman dan pekat. Biasanya emak akan memesan satay. Walau emak menetapkan kami hanya boleh makan 3 atau 4 cucuk seorang, tetapi kami tetap gembira. Kalau tidak makan satay, emak akan memesan rojak ataupun cendol (yummy).
Cendol dulu harganya cuma 20 sen..yalah 30 tahun yang lalu sekarang sudah RM1.20

Selepas kami menjamu selera, kalau nasib kami baik, kami akan dapat melihat pementasan opera cina yang diadakan tidak jauh dari situ (ada pasar basah di situ, satu ketika dahulu dan sudah dipindahkan sebanyak dua kali).
Saya sering menonton sambil duduk bertinggung. Kadangkala takut juga melihat pelakon yang menghias wajah mereka dengan pelbagai rupa. Serupa macam hantu cina yang saya tengok dalam telivisyen di rumah jiran. Cuma ketika itu hantu cina tersebut tidak berwarna warni sebab telivisyen jiran saya hanya hitam putih!
Kali ini ketika mengunjungi kampong jawa, saya sempat menikmati cendol yang pernah saya rasai 30 tahun yang lalu. Rasanya masih sama. Tetapi harganya memang terlalu jauh bezanya. Kalau dulu cuma 20 sen tetapi sekarang sudah berharga RM1.20sen. Bahkan rojak yang saya sukai satu ketika dahulu berharga 50 sen sekarang sudah berharga RM2.50sen.
Sambil berjalan dan menjamu selera, sempatlah saya membeli beberapa barangan dengan harga yang berpatutan dan murah.
Setiap kali majlis perkahwinan mahu diadakan, keluarga pengantin akan ke Kampung Jawa, mencari kekabu untuk dibuat bantal dan batang bantal. Kali ini giliran saya membelinya, ingat saya mahu membuat tilam untuk si qaisara. Harap-harap projek saya akan terlaksana.he.he. RM6 sekilo.


Tikar buluh yang direka seperti karpet. saya angkut sampai 4 helai. Kerana suami alergi dengan karpet jadi memandailah..tikar buluh berwajah karpet. Anggaran harga RM45-RM150 mengikut size.

Selipar kanak-kanak RM6. Saya beli tiga pasang. Untuk Qaisara dan anak-anak buah yang lain. Qaisara sukanya bukan main, sampai bawa tidur. Sedangkan saya belikan dia sandal Clarks, adidas dan berjenama yang lain. Tidak pernah pula dibawa tidur!

Friday, July 11, 2008

DONDANG SAYANG

Sudah lama sungguh saya tidak mendengar dondang sayang. Dahulu ketika kecil, saya sering menghadap radio keluarga kami yang berwarna oren, pada setiap petang mendengar orang berdondang sayang yang disiarkan RTM Melaka. Sambil mendengar saya akan menghafal bait2 pantun yang dilantunkan orang berdondang sayang. Biasanya pantun tersebut dilantunkan secara sepontan.
Mungkin generasi baru tidak tahu apa itu dondang sayang?
Dondang Sayang atau disebut juga Dendang Sayang oleh orang Melaka membawa dua pengertian, bila disebut berdendang bermakna bernyanyi untuk bersuka-suka atau menghibur hati. Apabila disebut sayang akan membawa erti kasih iaitu melakukan dengan geraklaku yang lembut dan penuh mesra.
Dari dua pengertian di atas maka bolehlah didefinasikan Dondang Sayang atau Dendang Sayang itu Lagu Kasih atau Nyanyian Kasih. Ini bermakna nyanyian Dondang Sayang merupakan satu media atau satu cara untuk menyampaikan isi hati si penyanyi dengan lembut dan penuh mesra.Perasaan ini disampaikan dengan menggunakan pantun atau puisi klasik masyarakat Melayu Melaka. Penggunaan bahasanya terhad, tidak seperti bahasa pertuturan biasa yang boleh membangkitkan satu perasaan yang boleh membawa kepada permusuhan atau pergaduhan. Dalam ertikata lain pantun merupakan satu bentuk pengucapan yang boleh melindungi kata-kata yang keterlaluan atau yang tidak sedap didengar oleh mana-mana pihak.
Namun disebalik pantun yang lemah lembut ada juga pantun yang lucu dan boleh membuat orang marah.
Masih jelas diingatan saya,peristiwa lucu di mana seorang lelaki dikejar orang seorang perempuan kerana tidak puas hati dengan pantun yang didendangkan oleh si lelaki itu. (kalau saya pun saya marah). Ketika itu kelihatan mereka berbalas pantun, tampar menampar dengan mesranya. Namun bila tiba pantun terakhir. Siperempuan sudah mengejar si lelaki dengan kayu! Ha..ha.ha..
Rupa-rupanya inilah pantun yang menyebabkan si perempuan itu marah!

Angkut-angkut naik ke langit
Burung tempua membuat sarang
Muka cantik ketiak hangit…..
Pandailah pula mengata orang..

Ada juga pantun dondang sayang yang sampai sekarang masih saya ingat dan saya suka sekali.

Cendawan tekukur di masak lemak
Bunga selasih di atas batang.
Badan lumpuh ku lalui semak
Kerana kasih hampa pun datang

Berdondang sayang biasanya diiring dengan petikan biola dan beberapa alat yang lain seperti gendang dan tawak (gong kecil). Salah seorang yang bermain biola dalam kumpulan muzik dondang sayang ini adalah arwah datuk saya. Datuk saya adalah seorang pemain biola yang cukup berbakat . Sering menghiburkan orang ramai di dalam jamuan dan majlis perkahwinan. Bahkan gesekan biola beliau amat mengasyikkan sehingga sesiapa yang mendengar akan lupa segala perkara. Itulah salah satu sebab yang membuat ayah saya marah, sehingga apabila sudah semakin berusia. Datuk mengantung biolanya untuk selama-lamanya.

Thursday, July 10, 2008

URTICARIA

Qaisara, kulitnya terlalu sensitif mungkin kerana mengikut kulit ayahnya.

Setahun yang lepas, pada satu pagi selesai sahaja Qaisara mandi, dia mengaru-garu badanya. Selepas 5 minit, badannya terus bengkak dan mukanya sudah menjadi tebal seperti penghuni UFO yang selalu digambarkan di dalam akhbar-akhbar dan juga telivisyen. Sudah tentu saya menjadi kelam kabut dan seperti mahu menangis melihat anak saya berkeadaan begitu. Suami lagilah, dia langsung tidak memandang pada Qaisara kerana tidak sanggup melihat anaknya yang comel sudah seperti disenget tebuan. Saya kemudian membawanya ke klinik. Di klinik doctor mengatakan Qaisara mendapat allergi. Tidak tahu allergi dari apa. Mungkin dari air atau dari makanan.
Saya mengingati semula apa yang telah diambil oleh Qaisara. Dia seperti kebiasaannya terlalu kuat minum susu, setiap 2 jam sekali. Sedikit air milo, ikan tenggiri yang dimasukkan ke dalam buburnya bersama dengan sayur jagung. Saya hanya meletakkan sedikit garam ke dalam buburnya. Bingung saya dibuatnya. Apa yang telah dimakannya? Kenapa dia allergi? Ataukah dari air kerana sebaik sahaja dia mandi, dia mengaru-garu badannya.
Keesokan harinya keadaan berulang lagi, saya ke pakar kanak-kanak pula kali ini di mana Qaisara sering membuat pemeriksaan kesihatan ketika dia masih kecil.
“Oh..dia mendapat urticaria..” beritahu doctor pakar tersebut apabila selesai memeriksa Qaisara.
Gelegata atau urticaria terjadi kerana alergi terhadap makanan, air ataupun persekitaran.

Urticaria kalau dikalangan orang melayu dipanggil gelegata. Saya masih ingat satu ketika dahulu kalau saya terkena gelegata, arwah emak akan meletakkan bawang merah atau bawang putih di tempat tersebut. Bahkan orang-orang melayu percaya, gelegata terjadi adalah kerana tamparan emak jin yang marah kerana kita terpijak anak atau rumahnya (ALLAH, ALLAH)..he.he.he..
“Punca urticaria ini mungkin daripada makanan, air atau persekitaran. Awak kena perhatikan apa yang dimakannya, takut ada bahan-bahan yang mengandung alergi kepada badan anak awak. Air juga mungkin memberi reaksi allergi pada badannya.Air paip sekarang bukannya bersih, walaupun kita menggunakan water heater. Mungkin peluh dan kepanasan juga menyebabkan anak awak terkena urticaria . Pada peringkat permulaan ianya tidak merbahaya tetapi perlu dikawal. Elakkan dari mengaru, mengaru akan menyebabkan badan menjadi lebih bengkak..”
Lantas doctor memberi saya ubat menahan gatal dan sapu yang seperti kapur untuk diberi pada Qaisara. Setiap hari saya pantau makannya, bahkan air mandinya pula saya beli air suling. Dan setiap kali Qaisara terkena urticaria saya akan menyapukan ubat seperti kapur itu dan sudah pasti Qaisara tampak seperti mumia kecil! He.he.e
“Saya kalau kena macam ni, masa kecil-kecil. Arwah emak selalu guna cologne.”
Beritahu suami saya. Saya tahu cologne cukup memainkan peranan besar dalam kehidupan orang-orang Turki. Di kedai-kedai makan, di dalam bas, di masjid dan di mana-mana cologne pasti ada. Di dalam bas cologne akan diedarkan pada penumpang yang mahu memakainya. Biasanya mereka pakai di tangan-tangan atau muka. Begitu juga selepas makan dan membasuh tangan mereka akan mengenaikan cologne. Suami selalu membuat komen!
“Tengok..betapa bersih dan wanginya orang Turki!”
“Tangan sahaja wangi buat apa, tapi kalau mandi 2 minggu sekali..” itu jawapan saya yang menyebabkan suami ketawa besar.
“Cuba awak beli baby cologne, ubat ni buat Qaisara nampak kotorlah..” beritahu suami merujuk pada ubat kapur yang terpaksa saya sapu kepada Qaisara, apabila badannya mula bengkak-bengkak. Jadi saya ikut nasihat si suami. Apabila melihat Qaisara mengaru, saya akan meletakkan cologne. Alhamdulilah.


Baby cologne ini banyak membantu saya menyelesaikan masalah urticaria yang dihadapi Qaisara.


Dan benar seperti kata suami saya. Qaisara tidak akan mengaru lagi dan urticarianya tidak merebak! Bahkan dia sentiasa berbau wangi. Sampai sekarang di rumah saya di mana-mana ada baby cologne dan termasuklah di dalam beg tangan saya!

Tuesday, July 8, 2008

TAK PERLU BERKIRALAH

Lama saya berdiri di hadapan peti sejuk di dapur saya, sambil mata terkebil-kebil melihat isi di dalam peti ais tersebut. Apa yang harus saya masak hari ini? Mee kari? Nasi beryani? Sambal udang?tom yam? Pening kepala saya memikirkan. Walau masih ada udang, ikan dan ayam di dalam peti sejuk. Tetapi kalau setiap hari memasak, memang sakit kepala dibuatnya.
“Tak payah masak ibu, ibu masak sahaja untuk bapak dan saya makan mee segera..”
Komen pembantu rumah saya.
“Habis nanti petang kalau dia orang balik, nak makan apa?”
Saya tanya pembantu rumah, saya merujuk pada pekerja dan adik saya yang selalunya akan makan setiap petang di rumah saya.
“Ibu ini..anak hanya seorang, tetapi tampak macam ramai..”
Itu komen pembantu rumah saya. Mungkin setiap hari dia melihat saya pening memikirkan apa yang perlu dimasak, sedangkan kalau saya dengan pembantu rumah. Enteng sahaja! Saya boleh makan biskut dengan air koko, pembantu rumah saya mee segera. Untuk suami pasta atau ayam yang digrill.
“Kamu tahu, ayah saya. Dia selalu bawa balik orang ke rumah. Entah siapa-siapa. Bagi mereka makan kadangkala tumpangkan mereka tidur. Dia tidak pernah kira berapa nasi yang harus dihabiskan, berapa banyak ikan atau ayam yang terpaksa dia korbankan. Bagi dia, dapat bagi orang makan. Dia puas hati. Bahkan satu masa dahulu, saya pernah marah dengan ayah saya. Dia penat-penat ambil daun kelapa untuk dibuat ketupat di pokok sebelum 3, 4 hari menyambut lebaran. Orang lain minta diberinya. Penghabisan kami tinggal daun yang berulat sahaja…”
Saya ceritakan kepada pembantu rumah saya sikap ayah saya. Selalu cuba memberikan sesuatu yang terbaik pada orang luar, walaupun terpaksa berhabis. Ada sahaja orang yang datang menumpang di rumah dan ada yang menjadi anak angkat ayah saya, sehinggalah sekarang ini.
“Iya ke ibu?”
Saya hanya menganggukkan kepala. Mengingati sikap ayah, membuat saya terharu. Dia seorang lelaki yang suka membantu dan menjamu orang lain. Saya masih ingat lagi ketika saya masih kecil. Ada seorang lelaki datang ke rumah kami. Orang itu miskin. Ayah meletakkan semua nasi yang kami ada, di hadapan lelaki tersebut. Menyuruh lelaki itu makan. Apabila tiba suapan yang terakhir ayah berkata pada lelaki itu.
“Makan pak cik, makan. Banyak lagi di dapur”
Sedangkan..di dapur nasi benar-benar sudah habis. Tapi syukur..lelaki itu, menolak sambil mengucap syukur dengan pemberian ayah saya dan orang yang paling lega bila lelaki itu menolak adalah arwah emak. Kerana memang di dapur sudah tidak ada apa lagi yang boleh dimasak!Mengenangkan perkara tersebut membuat saya selalu ketawa sendiri.
Sebab itu kalau boleh kami mahu menjadi seperti ayah. Tidak berkira dalam soal makan, minum. Tidak berkira dalam semua hal kalau melibatkan wang ringgit..walau pun selalu kena pau! He..he.he..

Sunday, July 6, 2008

MANUSIA SEKARANG GILA PANGKAT!

Sejak akhir-akhir ini akhbar dan juga telivisyen galak menyiarkan berita, fitnah menfitnah yang membuat saya rasa hampir muntah mahu membacanya. Terus terang saya saya katakan, seminggu dua ini saya lebih suka melihat rancangan kartun Pocoyo dan Mickey Mouse bersama Qaisara daripada menonton berita di telivisyen.
Cuma dari membicarakan hal fitnah memfitnah ini baiklah kita hayati dan baca Mastika keluaran Julai 2008. Kisah bagaimana di dalam perjalanan terakhir seorang ulama menuju ke alam barzakh pun masih lagi “berdakwah” hingga yang membawa jenazah tersebut dengan izin Allah memeluk Islam.
Menurut cerita juruterbang tersebut, di sepanjang penerbangan awan sentiasa memayungi pesawat tersebut sedangkan cuaca ketika itu panas terik. Kejadian tersebut juga disaksikan oleh krew pernerbangan Melihat kepada kejadian aneh juruterbang itu kemudian mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Maha besar kuasa ALLAH. Masya-ALLAH
Siapakah ulama tersebut? Tidak dinyatakan namanya tetapi banyak fakta2 yang menarik berkenaan ulama tersebut yang boleh membawa kita mengenali siapakah beliau. Antaranya :

1.Beliau merupakan seorang yang terkenal yang berjuang atas nama Islam.

2.Disemadikan di sebuah madrasah negeri kelahiran beliau sesuai dengan wasiat

3. Beliau meninggal dunia akibat serangan sakit jantung 6 tahun yang lepas di sebuah Hospital di Kuala Lumpur.

4.Ribuan rakyat hadir dari seluruh pelusuk negara untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau, sehinggakan setiap orang yang datang berebut-rebut hendak mengangkat jenazah beliau.

5.Jenazah beliau diterbangkan ke sebuah negeri di utara dengan pesawat Hercules TUDM daripada airport Subang. Selain itu jenazah beliau juga diiringi oleh polis.

Itulah antara fakta2 yang dinyatakan tentang jenazah ulama tersebut. Saya dan ramai bloggers yang lain yakin, berdasarkan fakta di atas, ulama yang dimaksudkan ialah Allahyarham Ustaz Fadhil Nor, bekas Presiden PAS.
Allahyarham meninggal dunia akibat serangan sakit jantung di HUKM pada 23 Jun 2002. disemadikan di Madrasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah negeri kelahirannya. Jenazah Almarhum diterbangkan dengan pesawat Hercules TUDM di Subang dan tiba di airport Kepala Batas dengan disambut lebih 10,000 orang. Ramainya orang yang datang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum sehinggakan jalan raya sesak teruk lebih 20km. Kesan kesesakkan tersebut telah bermula dari tol-tol yang menghala ke Kedah, dan orang ramai terpaksa berjalan kaki ke Darul Ulum sejauh 10 km.!
Lihatlah bagaimana seorang ulama yang zuhud, memperjuangkan agama dengan sekilas hatinya, dipermudahkan ALLAH perjalanan terakhirnya untuk dijadikan teladan pada orang-orang yang hidup.
Apa agaknya balasan pada pemimpin sekarang yang tidak habis-habis mahu fitnah memfitnah. Bergaduh sesama sendiri hanya kerana mahukan harta dan pangkat. Sampai bila pangkat akan kita sandang selagi kita bergelar manusia?
Lupakah kita dan juga pemimpin yang suka tidak menindas hanya kerana mahukan kemasyhuran dan harta, yang satu masa nanti ALLAH akan menarik balik apa yang kita ada? Bahkan harta kekayaan dan pangkat akan menjadi beban apabila tiba dihari perhitungan kelak. Sebenarnya sebagai manusia memang sering kita lupa.

Saturday, July 5, 2008

HARI LAHIR DAN HARI MATI

Lily haslina nasir said
“kita memang selalu teringat rejab sebab arwah mak lahir bulan rejab, secara kebetulan tarikh kematian dia sama tarikh rejab dia lahir. ikutkan kami tak tahu... tapi nenek yg bukak cerita.. masa mak nazak nenek kata tak sedap hati.. tanya kenapa.. dia kata, "mak kau lahir bulan rejab.. ni bulan rejab.." bila nenek tanya kami waktu tu berapa haribulan rejab dan kami beritahu, nenek mcm tergamam... esok hari lahir mak kau dlm bulan islam... kuasa Tuhan, esok tu mak meninggal lepas beberapa jam adik bernikah.”
Friday, July 04, 2008

Membaca komen Lily di atas,. seingat saya apabila masjid kampong saya di Bukit Katil di buka, ketika itu saya berusia sekitar 6-7 tahun, saya selalu mendengar ceramah agama daripada ustaz dan guru-guru di situ. Salah seorang daripada ustaz tersebut memberitahu. Orang-orang Islam, Insya-ALLAH akan mati dan meninggal pada tarikh yang sama. Contohnya Nabi Muhammad S.A.W, nabi yang kita sayangi. Beliau lahir pada 12 Rabiul awwal iaitu pada hari Isnin dan wafatnya juga 12 Rabiul awwal pada hari Isnin juga. Kata ustaz itu lagi, kalau kita tidak mati ditarikh yang sama. Insya-ALLAH akan meninggal di hari yang sama kita dilahirkan. Kalau hari Jumaat lahirnya kita. Kita akan meninggal pada hari Jumaat.
Dan masih jelas diingatan bagaimana saya adik beradik bertanya emak, hari apakah kami dilahirkan. Bila emak memberitahu saya, yang saya lahir di hari Khamis. Maka setiap hari Khamis saya akan lalui dengan debaran di dada.
Anehnya, hari Khamis bukanlah hari bertuah untuk saya. Banyak peristiwa yang menyedihkan berlaku pada hari Khamis. Hari Khamislah hari di mana saya pernah dipukul oleh ayah, dimarahi guru, saya jatuh perigi, dicakar kucing, kereta saya disondol dari tepi oleh lori dan 5 tahun yang lepas, kereta saya pancit di tengah hujan lebat, ketika jalanraya terlalu sarat dengan kereta! Ahh..hari Khamis lagi!
Bahkan saya hampir phobia dengan hari Khamis! Bertahun-tahun walaupun saya memberitahu diri saya, setiap kejadian semuanya telah diatur oleh ALLAH namun terselit juga rasa gusar dan bimbang menjelang hari Khamis. Namun tanggapan saya hari Khamis bukanlah hari molek untuk saya, sirna apabila Qaisara di lahirkan pada pukul 3 petang hari Khamis!.
Bahkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini bila menjelang hari Khamis saya sudah menjadi begitu gembira, kerana selepas Khamis, hari Jumaat. Selepas Jumaat sudah pasti hari Sabtu dan hari Sabtu adalah hari saya berehat bersama keluarga saya.
Cuma kata-kata ustaz kita akan meninggal pada hari kita dilahirkan seperti satu kebenaran, kerana kata emak dia dilahirkan hari Isnin dan hari Isnin mungkin emak akan meninggal. Nyata memang benar, emak menghembuskan nafas terakhirnya pada hari Isnin….
Tetapi yang pasti segala ketentuan hidup dan kematian kita semuanya di tangan ALLAH.

Friday, July 4, 2008

REJAB DAN NENEK

Kalau salah seorang pembaca blog Awwa tidak mengingatkan saya hari ini sudah masuk Rejab. Saya hampir lupa. Sedangkan bulan Rejab sering saya tunggu.Bulan di mana seringkala saya melatih diri untuk berpuasa, meningkatkan sedikit amalan demi menyiapkan mental dan fizikal saya menghadapi ramadan.
Teringat saya nenek di kampung. Walau dia hanya nenek saudara saya iaitu emak saudara kepada ayah saya. Dia satu-satunya nenek yang kami ada. Usianya mungkin sudah menjangkau 90an memandangkan ayah saya sendiri sudah berusia 70an.
Nenek saya ini tidak pernah berkahwin, tetapi mempunyai beberapa orang anak angkat. Orangnya cukup suka bercerita dan agak kelakar orangnya. Terlalu banyak ilmu didada. Sebab itu tidak ada lelaki yang berani mendekatinya. Bahkan nenek pernah menurunkan setandan buah kelapa dengan hanya melempar sebatang ranting kecil. Cuma kata nenek, sejak dia berusia 40an, sebelum mengerjakan haji. Semua ilmu yang dia ada. Sudah dibuangnya ke laut. Dulu saya tidak mengerti. Namun semakin dewasa, saya sudah mula memahami.
Sejak saya masih kecil lagi saya masih ingat, nenek akan berpuasa selama tiga bulan setiap tahun. Bermula dari Rejab sehinggalah pada bulan ramadhan. Sampailah sekarang ini nenek masih berpuasa lagi. Kalau dulu nenek tahu mengira kelendar, tapi sekarang nenek sering berpesan kepada sesiapa sahaja yang dikenalnya, supaya bila tiba Rejab, dia harus diberitahu. Mungkin mata sudah tidak dapat melihat dan meneliti kelendar lagi dan ingatan sudah semakin pudar.
Tahun lepas ketika saya datang menziarahi nenek pada hari ke dua hari raya di pondok kecilnya. Dia memberitahu saya.
“Hari itu abah kamu semua datang, hantar kuih, hantar beras rumah nenek. Hantar ketupat. Dia ingatkan nenek. Mak Cik esok jangan puasa tau! Esok dah raya. Jangan puasa tau. Isshh..abah kamu, memang baik. Anak ramai tapi sempat hantar makanan pada nenek?”
Memang ayah saya yang saya panggil abah tidak pernah culas datang setiap minggu, setiap bulan menjenguk nenek dan menghantar makanan untuk nenek. Walau nenek duduk berdekatan dengan rumah anak angkatnya, walau terpaksa menyebrang sungai tetapi ayah tetap melakukan rutinnya kerana kata ayah saya. Itulah satu-satunya emak saudara dia yang masih ada. Tanggungjawab dia menjaga nenek!
“Yalah..nenek dah raya ni..”
Saya pandang wajah nenek yang sudah semakin tua, telinganya sudah tidak kedengaran sangat. Bila bercakap terpaksa menjerit-jerit. Sayu hati saya. Wanita yang satu ketika dahulu berhati waja, yang mempunyai banyak ilmu di dada akhirnya terpaksa mengalah dengan masa. Masa yang menyebabkan nenek semakin tua, dan masa-lah yang mengambil semua ingatan nenek, pendengaran dan daya tahan dirinya.
“Nenek..harap-harap kita jumpa lagi..
Saya peluk dan cium nenek. Saya hulurkan sedikit wang padanya. Tapi dia enggan menerima. Kata nenek. Dia sudah tua, tak perlukan duit lagi. Hanya menunggu mati. Hati saya sebak mendengarnya. Kadangkala rasa terkilan, kerana jarang berjumpa dengan nenek. Cuma apabila menjelang Rejab, saya pasti teringatkan nenek dan saya sering berharap yang Syawal nanti saya masih sempat beraya dengannya!

FADILAT BULAN REJAB

Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti puasa 40 tahun dan diberi minum air dari syurga" Rasullulla h s.a.w. bersabda;
"Puasa 1 hari pada bulan Rejab seperti mengerjakan ibadat seumurnya (sepanjang umurnya)." Rasullullah s.a.w. bersabda; "
Puasa 3 hari dalam bulan Rejab, dijadikan parit yang panjang yang menghalangkan dia ke Neraka (panjangnya setahun perjalanan)"
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Sesiapa berpuasa 3 hari ada bulan Rejab dan beribadat pada malamnya (berjaga)seperti dia berpuasa 3,000 tahun,diampunkan baginya 70 dosa-dosa besar tiap-tiap hari, ditunaikan 70 hajat ketika keluar nyawanya daripada jasadnya,70 hajatnya di dalam kuburnya, 70 hajat ketika terbang suhuf (ketika Quran dinaikkan ke langit) 70 hajat ketika ditimbang amalannya di Mizan,70 hajat ketika berlalu di atas titi Sirotolmustaqim."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 4 hari dalam bulan Rejab akan diafiatkan dia daripada bala dan daripada penyakit yang besar-besar, dan daripada fitnah dajal pada hari Kiamat."
Rasullullah s.a.w. bersabda,"Puasa 5 hari pada bulan Rejab, aman daripada azab kubur." Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 6 hari pada bulan Rejab, keluar dari kubur bercahaya mukanya."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 7 hari dalam bulan Rejab akan ditutup daripadanya 7 pintu Neraka."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 8 hari dalam bulan Rejab akan dibuka baginya 8 pintu Syurga."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 9 hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu tidak ditolak dia dari masuk Syurga."
Rasullullah s.a.w. bersabda;
"Puasa 10 hari pada bulan Rejab, dijadikan 2 sayap, terbang seperti kilat diatas titian Sirotolmustaqim pada hari Kiamat."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 10 hari pada bulan Rejab, Allah akan menjadikan baginya hamparan perhentian di titian Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa 15 hari pada bulan Rejab adalah sama seperti berpuasa 100,000 tahun."
Rasullullah s.a.w. bersabd a; "Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam syurga,dan akan menjadi orang yang pertama menziarahi Allah didalam Syurga."
Rasullullah s.a.w. bersabda;"Puasa 19 hari pada bulan Rejab akan dibina baginya sebuah mahligai di hadapan mahligai Nabi Ibrahim dan Nabi Adam."
Rasulullah s.a.w. bersabda; "Puasa 20 hari pada bulan Rejab, diampunkan segala dosanya yang telah lalu. Maka mulailah beramal barang yang tinggal daripada umurnya (pembaharuan umur)."
Rasullullah s.a.w. bersabda;"Puasa bulan Rejab, wajib baginya diampunkan dosanya yang lalu, dipeliharakan Allah umurnya yang tinggal dan terlepas dari dahaga pada hari Kiamat."
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Puasa pada awal Rejab,pertengahan dan akhirnya seperti berpuasa sebulan pahalanya"
Rasullullah s.a.w. bersabda; "Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurang-kurangnya sebuku roti"
Rasullull ah s.a.w. bersabda; "Sesiapa melapangkan kekeruhan, kesusahan dan kepicikan orang Mukmin pada bulan Rejab dikurniakan Allah kepadanya mahligai yang besar di dalam syurga Firdaus"
Rasullullah s.a.w. bersabda, "Bulan Rejab Syahrullah (bulan Allah) diampunkan dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah."

Thursday, July 3, 2008

CERITA PASAL HUTANG

Hari itu ayah saya datang dari kampung ke rumah saya, sambil duduk-duduk melepak dan makan satay ayah bercerita mengenai hutang.
“Si polan tu hutang saya, berapa ribu. Dah bertahun tak bayar. Tapi pergi haji boleh pulak. Bla..bla..bla..”
Tidak tahu di mana puncanya ayah yang membahasakan diri ‘saya’ mengeluarkan isu mengenai hutang. Saya tahu, ayah seorang yang cukup pemurah. Kalau orang ketuk pintu pukul 10 malam dan minta RM100 ayah akan beri, kalau ada yang minta RM500 pun ayah bagi. Rasanya jarang ayah mengatakan tidak.
“Bercerita pasal hutang memang menyakitkan hati..”
Balas saya. Dalam ramai-ramai anak, saya salah seorang yang mengikut jejak ayah. Tempat orang membuat hutang dan jarang hutang tersebut dibayar. Sikap lemah hati memang sering memakan diri saya.
“Kamu juga ada orang yang berhutang?”
Saya ketawa mendengar pertanyaan tersebut. Saya tahu ayah pasti tahu ada ramai orang yang berhutang dengan saya tetapi cuma ayah sebenarnya tidak tahu berapa jumlah hutang orang pada saya dan juga suami.
“Kalau nak ikutkan, kami dah papa kedana dah ..”
Balas saya sambil mengeluh. Lantas saya ceritakan pada ayah, siapa yang berhutang dengan saya dan suami. Satu masa dahulu, ketika suami membuat perniagaan tradingnya. Ada beberapa kawan bukan sahaja berhutang tetapi menipu suami saya. Membawa lari wang beratus ribu ringgit dan menghilangkan diri begitu sahaja. Saya masih ingat bagaimana suami menangis dan terduduk apabila si kawan yang kononnya mengajak suami membuat pelaburan. Melarikan duit suami berjumlah lebih ratusan ribu. Saya menyuruh suami membuat laporan polis, tapi tidak ada gunanya. Sahabatnya sudah melarikan diri keluar negara.
“Kamua berniaga ni ada orang hutang kamu?”
Tanya ayah saya. Saya hanya ketawa. Bercerita mengenai hutang hati saya pedih. Ada penerbit buku yang berhutang sampai sekarang sebanyak RM100 ribu dengan saya, melarikan diri. Tanpa khabar berita. Penerbit satu hal, distributor satu hal. Bila saya menerbitkan buku sendiri, distributor ambil kesempatan. Sudah 1 tahun, beratus ribu tidak dibayar.
“Tapi Alhamdulilah, saya tidak pernah berhutang ketika berniaga ini. Macam mana susahnya kami. Kami jauhkan dari berhutang. Biar tak makan sekalipun jangan kami berhutang..” saya memberitahu ayah.
“Bagus-bagus itu sikap yang baik..” ayah saya memuji namun dalam hati mengatakan, Itukan sikap ayah yang saya ikut.
“Itu cerita pasal berniaga. Hutang kawan-kawan pun satu hal..”
Saya cerita pada ayah saya bagaimana seorang kawan yang saya bantu dan berhutang dengan saya beribu-ribu ringgit, memberitahu orang lain yang dia tak ingin membayar hutang saya.
“Si Yatie tu, mana nak kaya. Zakat pun tak keluar. Kita pinjam duit dari dia bukan dia nak halalkan sahaja. Sepatutnya dia beri zakat pada kita yang miskin ini..” saya mengajuk kata-kata kawan saya yang berhutang dengan saya itu.
“Dia miskin ke?”
Tanya ayah saya. Saya menggelengkan kepala.
“Miskin apa. Ada rumah, ada kereta…”
“Macam mana kamu nak beri zakat sebab dia tak masuk dalam asnaf. Lagipun kalau kamu berzakat, masakan kamu cakap dengan orang.” ayah saya mengeluh dan menggelengkan kepala.
Kalau orang lain mengatakan saya tidak mengeluarkan zakat. Ayah lebih tahu. Kerana setiap tahun, ayahlah ditugaskan oleh saya mengagihkan zakat.
“Niat dia tak betul tu. Nanti hidupnya bertambah susah kalau niatnya begitu..”
Tambah ayah saya. Saya hanya mengiakan dalam hati tapi tidak sampai hati mahu memberitahu ayah yang sahabat saya itu, memang semakin susah hidupnya bahkan kawan-kawan ramai yang melarikan diri darinya.
“Ada pulak tu, masa nak berhutang buat muka sedih. Bila dah berhutang dia tuduh kita macam-macam, simpan hantulah. Gilakan suami dialah. Tak fahamlah. Rasanya kadangkala dah serik nak buat baik dengan orang..”
Kalau dikira orang yang berhutang dan menipu saya dan suami. Jumlahnya sudah melebihi setengah juta ringgit. Memang tidak percaya, tapi itulah kenyataannya.
“Tapi orang berhutang dengan kamu, kamu tak miskin. Mereka yang akan miskin. Kalau tidak miskin di dunia, akan miskin di akhirat. Kerana orang yang berhutang ni, kalau tidak bayar di dunia. Diakhirat dia kena bayar. Dia kena cari kamu. Dan setiap pahala yang dia ada, akan ditolak dan diberi pada kamu bagi membayar hutang dia pada kamu. Lain kali tak payah bagi orang pinjam. Saya sekarang kalau orang nak pinjam, saya bagi aja. Sedekah. Tak banyak RM50, RM100. Itu lebih baik daripada kita memberi hutang, rasa sakit hati dan kemudian berdosa kerana marah-marah..”
Betul juga kata ayah saya. Bila mengingatkan hutang-hutang orang kepada saya yang masih tidak berbayar. Hati saya sakit dan kadangkala rasa marah.
“Tapi syukur saya tak jatuh miskin, tetapi orang yang berhutang dan tidak membayarnya ada tu sampai terpaksa jual rumah..”
Saya beritahu ayah mengenai kes terbaru yang saya dengar. . Orang yang berhutang dengan saya dan kemudian memburuk-burukkan saya terpaksa mengadaikan rumahnya mungkin kerana terpaksa membayar hutang, bukan dengan saya tetapi dengan orang lain termasuk juga bank.
“Itulah..saya dah cakap. Kamu tidak akan miskin, orang yang berhutang itu akan jatuh miskin. Perbanyakkan sedekah, perbanyakkan zikir dan amalan kamu. Insya-ALLAH rezeki kamu pasti ada. Tak banyak..ada. Tentang orang yang tak bayar hutang kamu tu, jangan fikir sangat. Itu saham kamu diakhirat. Mereka kena bayar juga.”
Memang saya bersyukur, walau ramai yang berhutang dengan saya, menipu suami saya. Tetapi rezeki kami tidak putus. Walau tidak mewah tetapi kami tidak dibeban dengan hutang. Kecuali hutang kereta dan rumah yang memang tidak dapat dielakkan.

Tuesday, July 1, 2008

STAY THE SAME

Don't you ever wish

You were someone else
You were meant to be
The way you are exactly
Don't you ever say
You don't like the way you are
When you learn to love yourself
You're better off by far
And I hope you always stay the same '
Cause there's nothing 'bout you
I would change
I think that you could be
Whatever you wanted to be I
f you could realize Don't be afraid
If you've got something to say
Just open up your heart
And let it show you the way
Believe in yourself
Reach down inside
The love you found will set you free
Believe in yourself
You will come alive
Have faith in what you do You'll make it through..ohhh..yeah...
No there's nothing 'bout you I would change


Sudah lama sungguh saya tak dengar lagu ini. Kebetulan apabila membeli telefon tangan baru, adik yang menjual telefon tersebut memuat turunkan lagu ini untuk saya. Saya mula digondam sayu!
10 tahun dahulu, lagu ini saya letak di dalam kad yang saya buat sendiri dan saya hantar kepada kawan-kawan saya termasuk suami yang ketika itu teman lelaki saya, yang kebetulan ketika itu menghadapi berberapa masalah. Pertama kali saya mendengar senikata Lagu Joey Mcintyre ini saya rasa seperti ada semangat yang meruntun dalam jiwa saya.
Memang ketika kecil dahulu saya mempunya self esteem yang sangat rendah. Saya takut berhadapan dengan orang ramai kerana saya dari keluarga yang miskin. Apatah lagi apabila emak meninggal dunia. Bagi sesetengah orang kampung, kami adik beradik seperti mahu menagih sedekah atau simpati dari mereka. Masih saya ingat apabila saya datang berkunjung ke rumah orang di hari raya. Orang menutup tingkap dan pintu. Bahkan penghinaan seorang teman yang menghalau saya dari mendekatinya dengan mengatakan saya busuk masih saya ingat sampai bila-bila.
Ahh..terlalu banyak penghinaan yang saya terima ketika usia muda saya!
Namun dari penghinaan demi penghinaan yang saya terima menyebabkan semangat saya mahu terus belajar dan belajar supaya orang lain tidak mudah merendahkan saya. Saya tahu dengan pelajaran orang memandang tinggi saya, saya belajar di bidang Account, Computer, penulisan skrip serta Perkembangan Manusia di kolej dan universiti semata-mata perasaan ingin tahu dan serba sedikit memberi keyakinan pada diri saya. Saya juga belajar melalu pengembaraan, saya melihat dengan semua deria rasa saya dan lantas menterjemahkan dikepala. Membuat perbandingan dan paling penting sentiasa bersyukur dengan apa yang saya ada dan sering mengingatkan diri sendiri. JANGAN SESEKALI MERENDAHKAN ORANG LAIN!
Bahkan lagu-lagu positif seperti ‘stay the same’ ini banyak memberi ruang pada saya untuk menghormati diri sendiri.
Pada adik-adik yang membaca coretan saya ini, yang pernah rasa kecewa dalam apa sahaja kondisi. Percayalah pada diri sendiri, jangan takut untuk mencuba dan belajarlah dari kesilapan lampau.