Hari itu seorang teman saya datang ke rumah. Kalut sahaja nampaknya, tubuhnya agak kurus seolah-olah mengalami masalah. Sudah lama saya tidak mendengar khabar dia. Yalah..manakan tidak. Masing-masing sibuk dengan hal masing-masing.
“Apa kena dengan kau? Sejak akhir-akhir ini tak dengar pun khabar”
Saya bertanya sambil merenung wajahnya. Dia tersenyum tetapi sempat jugalah saya mendengar dia mengeluh.
“Anak aku buat hal”
“Anak kau yang seorang itu? Kenapa?”
Saya menyuruh dia duduk dan tidak lama kemudian saya serahkan segelas air padanya.
“Dia tak mahu bersekolah.Masuk rumah kosong, hisap rokok. Aku bergaduh dengan cikgu sekolah dia. Sudah sebulan anak aku tidak ke sekolah. Tidak seorang guru pun datang ke rumah yang memberitahu..”
Saya perasan tangan kawan saya yang lebam-lebam. Hati saya berderau. Setahu saya suami sahabat saya ini seorang yang cukup baik dan budiman. Masakan dia tergamak memukul isterinya. Sempat hati saya berbisik sendiri.
“Anak aku yang sesah aku?”
Seperti mengetahui apa yang saya fikirkan, kawan saya memberitahu. Saya terperanjat bukan kepalang. Dada saya sebak, nafas saya seakan berhenti buat seketika.
“Anak kau pukul kau?
Air mata saya sudah menitis. Tergamak seorang anak yang hanya berusia dalam lingkungan 15 tahun, memukul seorang emak. Apa sudah jadi dunia ini? Saya teringat semasa kecil, setiap kali disesah oleh ayah, bahkan pernah terhumban di bawah katil. Saya tidak pernah berkutik. Bahkan segala luka di badan saya rawat sendiri. Hati tidak pernah berdendam sedikit pun mungkin merasa yang diri bersalah. Alhamdulilah..hidup mendapat berkat. Walau tidak mewah tetapi rezeki dan kasih sayang melimpah ruah.
“Bila dapat tahu dia menghisap rokok, aku bawak balik dia dari kampung. Memang salah aku, aku akui. Dari kecil aku suruh emak aku menjaga. Dia sudah terlalu dimanjakan..”
Saya termenung mendengar ceritanya. Sahabat ini mempunyai anak hanya seorang, tetapi menyuruh emak di kampung menjaganya. Sebab itu ALLAH bagi dugaan buatnya yang mungkin tidak pernah bersusah payah menjaga si anak sejak kecil.
“Bila aku bawa balik dia ke Kuala Lumpur kami selalu bergaduh, aku paksa dia ke sekolah. Bila dia tak mahu, dia ambil penyapu dan apa sahaja pukul aku. Aku pukul dia balik. Tetapi budak dah besar, sudah tentu tenaga dia lebih kuat dari kita.”
Cerita si sahabat. Wajahnya muram mungkin mengenangkan saat yang menyakitkan itu. Aku sendiri pedih hati mendengar certa si teman.
“Sekarang dia macam mana?”
“Mana sekolah yang aku tak masukkan dia, di Kuala Lumpur ni Tie. Sampaikan ada satu sekolah satu semester kena bayar RM13 ribu pun aku sanggup masukkan anak aku. Tapi sekejap sahaja. Dua tiga minggu dah cabut. Sampailah satu hari, seorang kawan aku cadangkan aku masukkan anak aku ke sekolah tahfiz…”
Sahabat saya itu terus-terusan bercerita. Matanya bersinar. Seolah-olah rasa sakit yang terbeban dipundaknya sudah terlerai.
“Sampai sekarang dia kekal di sekolah tersebut. Perangainya berubah. Sudah menjadi lemah lembut dan mendengar kata. Emak aku dikampung pada mulanya marah . Kata emak aku, bila besar anak aku nak jadi apa. Menjadi seorang hafiz tidak akan mendapat kerja dan hidup mewah..”Saya menarik nafas rupanya tanggapan tersebut masih ada lagi di kalangan orang-orang Islam di negara ini.
“Kau kaya, suami kau CEO, kau juga berniaga. Kau ada harta, kekayaan. Tetapi apa gunanya kalau kau tidak mendapat doa daripada sesiapa. Bukan sahaja ketika hidup tetapi sesudah mati. Dunia memang kita kejar, tetapi akhirat perlu kita cari. Bersyukur sahabat, kau ada anak yang satu masa nanti akan membacakan kau Al-Quran ketika kematian kau. Yang akan memanjatkan doa untuk kau bila kau sudah tiada. Itulah bekalan kita diakhirat nanti. Aku..kalau Qaisara memilih untuk menjadi hafizah, aku bersyukur. Sungguh bersyukur. Itu lebih baik dari dia menjadi jurutera, arkitek atau peguam yang penuh tipu muslihat, terlibat dengan rasuah dan perkara yang tidak elok..”
Aku nampaknya seperti sudah bersyarah. Tetapi si sahabat menganggukkan kepala seolah-olah bersetuju dengan apa yang aku katakan.
“Lega aku bila bercakap dengan kau Tie. Jadi keputusan aku memasukkan anak aku ke dalam sekolah Tahfiz ni tidak menjadi masalah bukan?”
“Apa masalahnya, kau mesti bersyukur tuhan tunjukkan jalan ini. Kau nak anak kau sesah kau terus-terusan. Kalau muda begini kau disesah, esok bila kau sudah tua silap-silap kau pun dihumban ke rumah orang tua..”
Si teman mengangguk. Ada kelegaan di wajahnya.
“Mak aku pun sekarang ini sudah dapat terima, mungkin melihat cucu kesayangannya sudah berubah. Aku kejar duit sana sini, anak aku tinggalkan di kampung. Tapi aku tak sedar, semuanya akan menjadi masalah. Syukur tuhan masih beri peluang aku dekatkan diri pada anak aku dan paling utama, sejak anak aku bersekolah Tahfiz ini aku juga sudah terikut-ikut dia mengaji.”
Hampir separuh hari kami menghabiskan masa bersama. Ketika teman itu melangkah keluar dari rumah, aku ikuti langkahnya dengan anak mata. Dalam hati merasa gembira kerana seorang sahabat sudah menjadi begitu sempurna hidupnya sekarang ini.
aku bukan budak baik
9 months ago
0 comments:
Post a Comment