Pagi ini saya mahu menulis sedikit mengenai fitnah.
Saya baru sahaja menerima fitnah yang disebarkan kepada kawan baik saya dan orang yang memfitnah saya adalah orang yang sama. Malangnya orang itu baik dengan saya dan tak perlulah saya ungkit bantuan saya pada dia tetapi entah mengapa dia tidak pernah putus mahu menyakitkan hati saya.
Tinggalkan kes fitnah yang telah melanda hidup tetapi saya paparkan satu email yang telah saya terima.
Saya ingin meminta pandangan K.Yati berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh anak saudara saya. Begini ceritanya..
Biarlah saya gelarkan anak saudara saya sebagai Salina (nama samaran). Salina berumur 14 tahun dan tinggal bersama dengan neneknya. Ibu bapanya masih ada tetapi kerana sejak dari kecil lagi, Salina dan adiknya tinggal dengan neneknya.
Di sekolah Salina seorang yang bukanlah di kalangan pelajar yang cerdik. Dia belajar di kelas yang kedua tercorot kerana sejak daripada kecil lagi, dia pernah mengalami masalah susah untuk memahami perkataan dan ejaan. Dan dia tidak rapat dengan ibu dan bapanya. Salina boleh saya katakan sebagai seorang anak perempuan tidak pintar tetapi seorang yang pengasih, baik hati dan pemaaf.
Dua bulan lepas, Salina telah difitnah oleh rakan sekelas. Fitnah terbesar yang saya sifatkan kerana fitnah itu telah menjatuhkan maruah Salina dan mengaibkannya. Rakan sekelasnya telah memfitnah Salina mengandung. Hal ini telah menyebabkan Lina tidak mahu pergi ke sekolah.
Fitnah ini menyebabkan Salina tertekan. Keadaan ini menjadi sukar apabila tiada guru yang membela nasib Salina sepenuhnya. Walaupun amaran telah diberikan kepada rakan sekelasnya, Salina masig lagi 'dibuli' secara lisan oleh rakan sekelasnya hingga ke hari ini. Tidak cukup dengan buli secara lisan, Salina pernah dibuli secara fizikal walaupun tidak mendatangkan kemudaratan kepadanya.
Apabila hal ini dipanjangkan kepada pihak sekolah, pihak sekolah gagal memainkan peranan. Malah, ada beberapa orang guru termasuklah guru kaunseling melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada Salina. Mereka menyuruh Salina tukar sekolah, mereka menyuruh Salina duduk di sebelah rakan sekelas yang memfitnahnya, dan guru kaunseling sendiri bertanyakan soalan yang tidak berasas tanpa bukti hingga mengaibkan Salina
Guru kaunseling pernah melemparkan kata-kata sebegini kepada Salina.
"Berapa kali dah bercium?"
(Guru tersebut seolah-olah menuduh Salina melakukan perbuatan cium dengan pelajar lelaki di sekolahnya. Jika ada bukti, tidak mengapa. Tetapi soalan tersebut diajukan tanpa bukti dan saksi).
"Keluarga rakan sekelas awak itu semuanya orang-orang berpelajaran. Kakaknya cikgu". (Saya tidak pasti apa motif guru kaunseling tersebut menyatakan perkara sedemikian?"
Beginikah cara memberi kaunseling kepada pelajar? Dan beginikah etikanya.?
Apa perasaan pembaca kalau perkara ini berlaku kepada anak kita. Apa tindakan kita?
Dalam pemerhatian saya sejak dari bersekolah rendah, menengah, keuniversiti dan semakin hari semakin berusia. Sistem pelajaran kita yang sangat mementingkan akademik menyebabkan anak-anak yang tidak begitu pandai dan mempunyai masalah pelajaran dianggap sangat menyusahkan. Apa sahaja tingkah laku mereka yang molek dan manis jarang dipedulikan, sedangkan anak-anak yang cerdik datang dari keluarga yang baik dan bepelajaran sering dianggap juga 'baik' dari segi tingkah laku walau kadangkala mereka mempunyai masalah displin. Bahkan kata-kata mereka ini lebih 'diakui' daripada anak-anak yang kurang pandai.
Ketika di universiti saya belajar mengenai kaunseling keluarga, remaja dan kanak-kanak. Kounselor amat dilarang melakukan provokasi ketika melakukan kaunseling. Tetapi amat mendukacitakan, kebanyakkan individu yang menduduki kerusi kounselor sering mengabaikan etika yang harus dipatuhi ini. Mereka bukan sahaja mengeluarkan kata-kata merupakan provokasi tetapi kadangkala mendesak, mengancam dan membuat tuduhan. Bertanyakan soalan 'sudah berapa kali bercium?' adalah soalan tuduhan dan tidak bertanggungjawab dari seorang kounselor. Perkataan 'sudah' seolah-olah mengambarkan yang kounselor itu benar-benar yakin yang Salina pernah bercium sedangkan Salina tidak mempunyai teman lelaki dan jauh sekali mengandung. Apakah ini etika seorang guru kounselor?
Salina disuruh bertukar sekolah -adalah sikap yang sangat tidak bertanggungjawab ditunjukkan oleh seorang guru. Saya tahu ramai guru (tidak semua) yang mahukan anak murid di dalam kelasnya terdiri daripada pelajar yang pandai secara semulajadi. Sehinggakan kalau boleh mereka tidak mahukan pelajar yang bermasalah dalam pelajaran berada di dalam kelas mereka. Semakin ramai pelajar yang kurang bijak, mereka merasakan semakin banyak beban yang mereka tanggung. Ini mengimbaukan kembali kenangan semasa saya bersekolah rendah dahulu. Seorang pelajar baru masuk ke dalam kelas saya dibawa oleh seorang guru. Saya masih ingat bagaimana wajah pelajar tersebut yang begitu serba salah apabila guru kelas saya dan guru yang membawa dia masuk berbalah tidak mahu menerima pelajar tersebut di kelas masing-masing kerana dari buku rekod pelajar tersebut, dia seorang yang tidak bijak.
Saya amat kasihankan Salina. Anak yang seusia begini seharusnya tidak dilanda fitnah dari rakan-rakan yang jahat dan suka membuli. Individu yang menghantar email kepada saya terpaksa membawa anak buahnya ke doktor bagi membuktikan Salina tidak mengandung. Ini bagi membersihkan nama Salina. Saya tahu ini satu tindakan yang sangat berat untuk dilakukan tetapi demi maruah keluarga. Sedangkan ianya seharusnya tidak berlaku kalau guru dan guru kounselor memainkan peranan dengan berkesan.
Fitnah ini amat berat kesannya dan sangat mendukacita, sekarang ini, ianya sudah berlaku di sekolah dan sebelum ianya merebak menjadi satu masalah ianya harus dibenteras dan tanggungjawab ini adalah tanggungjawab kita semua.