Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Thursday, October 30, 2008

CHINTA-DECEMBER

Sedikit sedutan tentang Chinta.
“Kenapa kau tak datang kerja?”
“Aku dah berhenti kerja. Masakan Jessi tak beritahu. HR tak sampaikan surat pada kau?”
Chinta berkata perlahan sambil menolak tangan Raja Akid yang sudah memegang tangannya.
“Kau marah aku?”
“Tidak, kau yang suruh aku berhambus. Aku berhambuslah..”
Chinta berkata perlahan. Dia merenung Candy yang tersengeh-sengeh di hadapan mereka berdua. Tidak selesa Chinta dibuatnya.
“Aku minta maaf..”
“Tak mengapa…” balas Chinta perlahan. Di hati benar-benar tidak menyangka yang lelaki itu akan mencarinya sampai ke rumah.
“Aku nak kau balik kerja semula..”
Mudahnya Raja Akid, selepas menjerit dekat aku. Menyuruh aku berhambus, sekarang datang memujuk dan menyuruh aku bekerja semula.
Tidak..tidak! Ego Chinta menolak permintaan lelaki itu.
“Kau dah suruh aku berhambus, kau dah tak suka aku. Buat apa aku datang bekerja..”
Perlahan Chinta menjawab. Sudah menjauhkan dirinya daripada Raja Akid. Candy sudah ke dapur mungkin mahu membuat air untuk Raja Akid atau memberi ruang kepada ke dua-duanya bermuzakarah.
“Masa tu aku tengah marah. Kau tengking aku…”
Akui Raja Akid tanpa berselindung. Sepanjang dia bekerja dengan Chinta, Chinta tidak pernah menengking dia. Begitu juga dengan dirinya. Sebab itu dia rasa terperanjat dan membalas balik kata-kata Chinta dengan jawapan yang kurang wajar dan agak kurang ajar di telinga Chinta.
“Aku tak bermaksud tengking kau. Aku minta maaf..” kali ini Chinta pula memohon maaf daripada Raja Akid.
Dia sedar sepanjang dia bekerja dengan Raja Akid memang dia tidak pernah menengking lelaki itu.
“Tak mengapa..” jawapan Raja Akid itu mengundang senyum dari Chinta.
“Esok kau kena datang kerja semula. Kalau tidak aku pun tidak akan bekerja lagi di kilang itu..”
Sambung Raja Akid apabila dia melihat Chinta tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Chinta hanya tersenyum tawar. Dia tahu Raja Akid hanya bergurau.
“Tak perlu. Aku rasa kau kena cari pekerja yang lebih baik dari aku. Tidak akan mempersoalkan apa sahaja arahan kau dan tidak akan menengking kau.”
“Kau adalah pekerja aku yang paling sabar yang pernah aku ada….”
Tidak ada kata-kata yang keluar dari mulut Chinta. Raja Akid merapati Chinta dan duduk rapat dengan Chinta.
“Aku minta maaf. Aku akan naikkan gaji kau..”
Raja Akid sudah memegang tangan Chinta. Perlahan Chinta menolaknya. Namun Raja Akid mengenggam terus jari jemari Chinta.
“Esok kau datang kerja semula. Selagi kau tidak mengiakan. Aku akan duduk di sini, di sebelah engkau. Memegang tangan kau, meminta pada kau. Sehingga kau mengatakan ya..kepada aku..”

Nak tahu..kisah selanjutnya. Tunggulah Desimber ini ...sabar...

Wednesday, October 29, 2008

ADUHAI BANK RAKYAT

Saya benar-benar kecewa semalam. Sukar untuk mengambarkan perasaan kecewa saya dengan pihak bank yang satu ini. Bank Rakyat Kajang. Bunyinya macam berjiwa rakyat. Bunyinya jika kita masuk ke dalam bank tersebut saya akan mendapat layanan kelas pertama.
Saya melangkah masuk ketika jam 12.30 tengah hari. Mungkin waktu rehat ketika itu. Kaunter hanya dibuka satu sahaja dari 4 kaunter. Selepas mengambil borang permohonan untuk membuka akaun Nuri untuk Qaisara saya mengambil nombor. Ada 9 orang lagi sebelum nombor saya. Saya menunggu dengan sabar sambil berbual dengan anak buah saya Ojan dan editor saya yang kebetulan ada hal yang harus diuruskan di bank-bank lain. Perjalanan berurusan dengan bank ini begitu lembab sekali. Satu kaunter saya rasa mengambil masa sehingga 20 minit. Namun ketika giliran saya hampir tiba, jam menunjukkan 2.30. Seorang lelaki yang sudah berumur tanpa memakai tanda nama, duduk di bahagian khidmat pelanggan memanggil sesiapa yang mahu membuka akaun baru datang kepadanya. Dia memasukkan data-data saya dan Qaisara ke dalam computer.
Tetapi rupanya urusan tersebut tidak habis di situ. Saya harus ke kaunter semula dan paling menyakitkan hati dia menyuruh saya mengambil nombor baru kerana nombor saya sudah terlepas! Jadi saya terpaksa menunggu 5 nombor lagi!
Urusan saya selesai pada jam 3.00 petang. Tidak ada kata terima kasih tidak ada kata maaf yang saya terima. Mahu sahaja saya bertanya pada petugas di situ. Susah sangatkah mahu tersenyum. Tetapi saya tidak punya masa kerana saya perlu mengejar waktu zohor dan perut sudah berkeroncong minta di isi.
Apa sudah jadi dengan bank yang berjiwa rakyaat ini? Saya digembur-gemburkan oleh pihak bank dengan kelebihan kalau memiliki tabungan untuk anak-anak. Dimasa yang sama saya juga ditakutkan oleh kawan-kawan dengan layanan bank ini yang rasanya terbelakang seperti 20 tahun yang lalu.
Nyata apa diberitahu oleh kawan saya ada benarnya..
Sebelum saya sampai ke bank ini. Saya telah ke bank komersial. Satu bank tempatan satu lagi bank antarabangsa. Bank antarabangsa menyediakan ruang menunggu yang cukup selesai. Seperti di rumah. Bank tempatan pula penuh dengan orang ramai tetapi layanan yang diberi oleh petugas di kaunter mesra. Senyum dan berbual dengan ramah. Seperti tidak ada rasa penat.
Apa sudah jadi dengan Bank Rakyat ini. Sudahlah urusannya begitu perlahan, pekerja tidak memakai tanda nama, bahkan terlalu sukar untuk memberi sedikit senyuman? Susah sangatkah mahu memberi layanan mesra pada pelanggan yang akan memastikan perjalanan bank ini terus berkembang? Fikir-fikirkanlah pihak pengurusan.

Thursday, October 23, 2008

PEMALASKAH ORANG MELAYU?

Pagi semalam ketika menghabiskan bacaan satu buku motivasi di dalam tandas kerana menyorok-yorok dari Qaisara yang mungkin akan merampas buku saya (Qaisara ni pantang nampak buku. Susah saya mahu membaca kalau dia ada. Dia cuma tidak menganggu saya kalau saya berada di dalam tandas sahaja). Saya terbaca mengenai seorang pakar motivasi yang mengatakan orang melayu malas. Lama sungguh tidak mendengar ucapan tersebut.
Saya sendiri tidak tahu siapa yang mula-mula mencipta kata-kata yang orang melayu malas. Apakah ini ciptaan pemimpin atau ciptaan orang-orang inggeris satu ketika dahulu.
“Orang Melayu malas ke?
Saya bertanya pada suami. Suami orang asing jadi pandangan dia terpaksa saya ambil untuk menjadikan supaya pandangan itu tidak bias.
“Kalau melihat keluarga kamu terutamanya ayah kamu. Rasanya orang Melayu paling rajin sekali..”
Dia memberikan pendapatnya. Merujuk pada keluarga saya atau ayah sudah pasti tidak mewakili semua orang melayu. Saya tahu ayah seorang yang sungguh rajin. Dalam usia 70 tahun, ketika anak-anak memarahi dia jangan menoreh getah. Ayah sudah bersiap dengan uniformnya sebaik sahaja selesai bersolat Suboh. Kemudian balik berehat sekejap jam 1 petang dan petangnya akan ke kebun pula. Menanam apa yang patut. Cuma badan sekarang tidak segagah dahulu, jadi tubuh tidak boleh dibawa berlasak sangat. Abang saya pula seorang ustaz, petang penuh rumahnya dengan anak-anak yang mengaji. Dia mengajar sehingga hampir waktu maghrib.
“Memang ramai orang melayu rajin..” fikir saya.
Saya teringatkan suami Lily Haslina Nasir (jangan marah Lily!). Bekerja di pejabat tetapi masih lagi mahu mengusahakan cendawan, mengusahakan tanaman serai dan macam-macam yang dibuatnya. Saya gembira betul dengan sikap orang yang sebegitu. Di mana malasnya?
“Orang-orang Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India. Saya lihat sama sahaja. Pukul 6 pagi sudah bangun, pergi bekerja. Petang baru balik. Kalau di Turki orang-orang Turki bangun pada pukul 10 pagi. Kalau winter lagilah teruk. Tidak pukul dua belas, mereka tidak bangun. Kedai tidak dibuka masa itu…”
Sambung suami lagi. Mungkin suami melihat sekeliling, tempat kami tinggal. Jiran kami berselang tiga rumah sebelah kanan, pergi kerja jam 6 pagi. Selang dua rumah sebelah kiri lagi teruk 5.30 sudah terdengar dia membuka keretanya.
“Saya rasa orang melayu tidak semuanya malas. Mungkin ada..tapi bukan semuanya. Bukan begitu?” Saya bertanya suami.
“Betul. Orang-orang Arab lagi teruk. Tidur selepas subuh dan hanya membuka kedai selepas waktu zohor. Banyak kedai mereka dijaga oleh orang-orang asing. Itu lagi pemalas.”
Kalau orang melayu tidak pemalas. Kenapa perkataan orang paling malas adalah orang melayu? Kenapa pakar motivasi sendiri mengatakan orang yang malas orang melayu. Kenapa masih ada pemimpin melayu sendiri mengatakan orang melayu malas? Teringat saya cerita cartoon Wall E yang saya tonton bersama dengan Qaisara dipanggung. Mereka membayangkan orang yang pemalas di dunia dalah orang-orang Amerika. Makan, minum pun di atas katil. Sampaikan mereka tidak boleh bergerak.
Saya kemudian teringat cerita seorang kawan saya yang berada di Norway. Di mana orang-orang Norway meminta daripada kerajaan supaya mereka hanya bekerja sebanyak 4 hari sahaja seminggu dengan waktu kerja dipanjangkan pada hari bekerja.
"Tiga hari lagi itu untuk apa?" tanya saya pada Kris..sahabat baik saya itu.
"Berehatlah. Mandi matahari ataupun bermain ski."
Alahai..alahai.. Entahlah saya tidak tahu, kenapa perkataan orang melayu paling malas dicipta. Selepas banyak negara saya jelajahi. Saya benar-benar tidak setuju kalau orang melayu dilabelkan orang paling pemalas di dunia. Sekurang-kurangnya saya tidaklah terkilan kalau label itu ditukar
“Orang melayu masih tidak cukup rajin..”

Tuesday, October 21, 2008

MAHU MISKIN DI DUNIA ATAU AKHIRAT

Mengingati harga-harga barang yang terus meningkat, seorang pemuda selalu mengeluh kerana tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya. Setelah berbincang dengan seorang ulama pemuda itu pun mengikuti anjuran ulama tersebut untuk menjalankan solat Hajat serta tetap istiqomah melaksanakan solat wajib lima waktu.
“Tuan, tiga tahun sudah saya menjalankan ibadah sesuai anjuran Tuan. Setiap hari saya solat Hajat semata-mata agar Allah SWT melimpahkan rezeki yang cukup. Namun, sampai saat ini saya masih miskin,” keluh si pemuda.
“Teruskanlah dan jangan berhenti, Allah selalu mendengar doamu. Suatu saat nanti pasti Allah mengabulkannya. Bersabarlah!” Jawab Sang Ulama.
“Bagaimana saya boleh bersabar, kalau semua harga barang serba naik! Sementara saya masih juga belum mendapat rezeki yang memadai. Bagaimana saya boleh memenuhi keperluan hidup?”
“Ya tentu saja tetap dari Allah, paling penting bersabar, pasti ada jalan keluarnya. Teruslah beribadah.”
“Sia-sia sahaja. Setiap hari solat lima waktu, solat hajat, solat Dhuha, tapi Allah belum juga mengabulkan permohonan saya. Lebih baik saya berhenti saja beribadah…” jawab pemuda itu dengan kesal.
"Kalau begitu, sudahla. Pulang saja. Semoga Allah segera menjawab permintaanmu,” balas ulama tersebut dengan acuh tidak acuh.
Pemuda itu pun pulang. Rasa kesal masih menggelayuti hatinya hingga tiba di rumah. Dia menggerutu tidak habis-habis hingga tertidur pulas di serambi. Dalam tidur itu, dia bermimpi masuk ke dalam istana yang sangat luas, berlantaikan emas yang sangat cantik, dihiasi dengan lampu-lampu yang dibuat dari intan permata. Bahkan beribu wanita cantik jelita menyambutnya. Seorang permaisuri yang sangat cantik mendekati si pemuda.
“Anda siapa?” tanya pemuda.
“Akulah pendampingmu di hari akhirat nanti.”
"Ohh… lalu ini istana siapa?”
"Ini istanamu, dari Allah. Kerana ibadahmu di dunia.”
“Ohh… dan taman-taman yang sangat indah ini juga kepunyaan saya?”
“Betul!”
“Lautan madu, lautan susu, dan lautan permata juga milik saya”“Ya…betul sekali.”
Si pemuda begitu mengagumi keindahan suasana syurga yang sangat menawan dan tidak tertanding. Namun, tiba-tiba ia terbangun dan mimpi itu pun hilang. Tidak disangka, ia melihat tujuh mutiara sebesar telor ayam. Betapa senang hati pemuda itu dan ingin menjual mutiara-mutiara tersebut. Dia pun menemui ulama tersebut sebelum pergi ke tempat penjualan mutiara.
‘Tuan, setelah bermimpi saya mendapati tujuh mutiara yang sangat indah ini. Akhirnya Allah menjawab doa saya,” kata pemuda penuh keriangan.
“Alhamdulillah. Tapi perlu kamu ketahui bahwa tujuh mutiara itu adalah pahala-pahala ibadah yang kamu jalankan selama 3 tahun lalu.”
“Ini pahala-pahala saya? Lalu bagaimana dengan syurga saya Tuan?”
“Tidak ada, kerana Allah sudah membayar semua ibadatmu di dunia. Mudah-mudahan kamu bahagia di dunia ini. Dengan tujuh mutiara itu kamu akan menjadi jutawan..”
“Ya Allah, aku tidak mahu mutiara-mutiara ini. Lebih baik aku miskin di dunia ini daripada miskin di akhirat nanti. Ya Allah kumpulkan kembali mutiara-mutiara ini dengan amalan ibadah lainnya sampai aku meninggal nanti,” ujar pemuda itu sambil menangis teresak-esak dan berjanji dia tidak akan mengeluh lagi di dunia.

Wawahuallam…

Friday, October 17, 2008

LAGI PASAL VIETNAM

Qaisara mana-mana tetap ceria. Walau penat sebaik sahaja mendarat di bumi Vietnam masih lagi tersenyum lebar. Dalam perjalanan ke hotel, di dalam teksi.


Di makam Ho Chin Min di tengah bandar Hanoi. Ho Chin Min adalah Perdana Menteri dan juga President Vietnam pada tahun 1955 sehingga kematiannya pada tahun 1969. Beliau mengetahui kemerdekaan Vietnam daripada Peranchis. Di tempat saya berdiri inilah, seramai 100,000 melaungkan kemerdekaan yang diketahui oleh beliau pada tahun 1945

Ketika saya melawat Temple of Literature (TOL) saya terserempak dengan Presiden Greek Karolos Papoulias (berambut putih) yang sedang membuat lawatan ke Vietnam. Ketika itu saya dan keluarga orang yang terakhir meninggalkan TOL sebelum ditutup kerana lawatan Presiden tersebut.

Suami dan anak di Jalan Nguyen Huu Huan. Sementara menunggu restoran Nisa dibuka pada jam 5 petang. Orang orang Vietnam memang ramai yang mempunyai nama pangkalnya Nguyen. Jalan nama Nguyen, kedai nama Nguyen bahkan saya ada melihat sabun pun ada yang dinamakan Nguyen. Dan Ho Chin Minh mempunyai nama sebenarnya Nguyen Sinh Chung.

Saya di hadapan tasik yang terletak di hadapan rumah Ho Chin Min semasa hayatnya ada (rumah kecil yg berada di belakang saya). Tasik ini menurut pemandu pelancong saya Alex, tempat Ho Chin Minh menghiburkan hatinya sambil memberi makan ikan yang berada di dalamnya.

Qaisara dalam pakaian tradisional orang Vietnam. Pelajar perempuan sekolah menengah memang memakai pakai tradisonal ini tetapi berwarna putih seperti sekolah di Malaysia yang memakai baju kurung.

TIPS MELANCONG DI HANOI

1. Sediakan duit yang secukupnya ketika menaiki teksi ke mana-mana. Teksi di sini memang mengikut meter tetapi kalau di meter ditunjukan harga 30,000 VND kemudian anda memberi 50,000VND mereka tidak akan memulangkan wang tersebut atau pura-pura terlupa. Minta wang baki anda walaupun terpaksa menghadapi wajah pemandu teksi yang masam mencuka.

2. Jangan menerima apa-apa tawaran bergambar dengan mana-mana penjual buah yang merata-rata di sini atau sesiapa sahaja. (mereka memikul buah-buah tersebut dengan pengandar) Mereka akan meminta bayaran sebanyak 50,000VND bersamaan RM12. Saya pernah terkena dan bertekak dengan penjual buah tersebut (kebanyakkan penjual memikul buah-buahanya) dan dia mengejar saya sambil memaki hamun. Nasib saya ada bodyguard yang besar dan boleh menakutkan orang lain (suami sayalah siapa lagi)

3. Ketika membeli barangan. Anda perlu menawar sehingga separuh harga. Kebanyakkan harga yang saya tawar boleh didapati separuh harga kecuali kain sutera. Jangan membeli barangan di kedai yang harganya sudah ditetapkan. Anda boleh mendapat benda yang sama dengan harga separuh di kedai yang lain.

4. Pakej pelancongan di sini juga boleh ditawar kalau anda pandai. Sekurang-kurangnya anda akan dapat menyelamatkan 5-10USD anda!
5. Penggunaan RM agak meluas. Tetapi kebanyakkan pekedai lebih suka mengunakan USD daripada VND mereka sendiri.

6. Dilapangan terbang kebanyakkan kedai tidak menerima VND tetapi menerima kad kredit utama. Mereka menggunakan USD dalam urusan jual beli.

7. Pengetahuan perlu jika berada di Hanoi, sediakan alamat restoran, jalan, kedai yang hendak anak tuju sebelum bertanya dengan orang-orang Vietnam. Masalah komunikasi memang cukup menyakitkan kepala tetapi dengan alamat di tangan mereka akan menunjukkan arah dengan tepat.

8. Biarkan hotel menyimpan passport anda kerana ini lebih selamat. Polis tidak akan menahan orang-orang asing di sini. Yalah..siapa yang mahu masuk ke Vietnam dengan cara yang tidak sah! Orang sakit jiwa sahaja yang akan melakukan begitu! (saya rasa tidak ada istilah pendatang tanpa izin di sini)

WARNA WARNI DI VIETNAM

Motorsikal adalah raja di jalan raya. Rata-rata rakyat Vietnam menggunakan motorsikal untuk ke mana-mana. Hon dibunyikan sesuka hati (ianya sebagai signal di sini) tetapi tidak ada yang marah. Pernah saya berjumpa dengan seorang penunggang motorsikal menukar baju sambil membawa motornya. Pemandu yang saya upah untuk membawa saya melawat bandar Hanoi dengan begitu sabar menunggu penunggan motorsikal tersebut menuka baju tersebut sehingga selesai sebelum memotong motorsikal tersebut. Sedangkan saya di dalam kereta menepuk dahi berkali-kali. (terlupa mahu mengambil gambar).

Ini pemandangan biasa di Hanoi. Menaiki motorsikal dengan pemboncengnya melebihi dari seorang. Gambar ini saya ambil ketika hujan lebat dari dalam kereta. 4 orang kesemuanya satu motorsikal.

Sistem pencawang elektriknya masih ditahap lama, seperti 50 tahun dahulu di Malaysia. Kalau di Malaysia elektrik dan telefon berlainan tiang tetapi di sini berkongsi. Agaknya kalau berlaku sesuatu kerosakkan bagaimana mereka mahu memperbaikinya kerana wayar-wayarnya begitu berserabut sekali.


Gadis-gadis veitenam memang kurus-kurus belaka. Di mana-mana sahaja terutamanya di kawasan pelancongan mereka memakai pakaian tradsional mereka. Bahkan di lapangan terbang, para petugas di lapangan terbang juga memakai pakaian tradisonal yang dibuat dari kain chiffon atau sutera vietnam....


Di Vietnam, terutamannya di Old Quarters tempat saya menginap memang tidak ada pusat membeli belah yang besar-besar seperti SOGO, KLCC dan sebagainya seperti yang terdapat di Malaysia. Namun kedai-kedai kecil yang menjual barangan kraftangan memang banyak terdapat di situ. Sutera juga menjadi satu tarikan. Jalan Hang Gai tempat di mana sutera dijual dengan harga yang agak murah dan boleh ditawar. Jualan dijalankan dalam USD. Harga di dalam USD3-USD10 semeter mengikut kualiti kainnya. (lebarnya cuma 90cm) kalau untuk membuat baju kurung memerlukan 5-6meter.

Makanan halal memang agak sukar untuk didapati di sini. Tetapi di Old Quarters terdapat sebuah restoran makanan halal yang beroperasi dari jam 5 petang hingga 11 malam. Harganya agak mahal kepada sesiapa yang datang dengan bajet kos. Ayam goreng, pecal, sambal ikan bersama 4 semangkuk nasi dan 4 keping roti nan keju berharga dalam RM80. Sedap dan setanding dengan masakan di Malaysia. Alamat restoran tersebut

Nisa Restaurant
No.90 Jalan Nguyen Huu Huan
Hanoi Vietnam.

Sayur goreng 10. Nama masakan ini. 10 jenis sayur-sayuran yang digoreng sekali yang saya makan direstoran vegetarian. Memang sedap tetapi membuat perut saya memulas-mulas. mungkin kerana kombinasi sayuran yang tidak sesuai dengan perut saya.

Sesiapa yang tahan makan sayur sepanjang masa, boleh mencubanya kerana harganya lebih murah. Hampir separuh harga lebih murah daripada restoran makanan halal. Ramai yang datang ke restoran di sini adalah orang-orang asing yang berkunjung di sini atau bekerja di sini.

alamatnya
Com Chay Nang Tam
79A Tran Hung Dao
Hanoi.


Wednesday, October 15, 2008

ALAHAI VIETNAM-VIETNAM.

Orang vietnam agak kurus. Amat jarang sekali saya jumpa orang Vietnam yang berada di kedai atau di jalanan yang gemuk. Bahkan tidak ada sama sekali. Cuma yang saya jumpa lelaki dan perempuan gemuk di bandar Hanoi ini adalah orang-orang Eropah yang datang melancong. Tidak saya ketahui apa puncanya orang-orang Vietnam semua kurus dan langsing. Mungkin cara makanan mereka atau permakanan mereka tidak begitu cukup jika dibandingkan negara kita Malaysia.
Pendapatan perkapita orang-orang Vietnam setahun cuma USD600. Bandingkan dengan Malaysia yang pendapatan perkapitanya dalam USD12,000 (kalau tak silap saya)
Harga minyak 1USD seliter. Tax kereta 300% (yang diimport). Kereta dan motorsikal sama banyaknya dijalanan. Sering bertembung tapi tidak pernah berlanggar. Saya diajar supaya bila melintas jalan, jangan sesekali berundur. Kalau berundur sudah pasti dicium tidak motorsikal kereta. Nahas jadinya. Berinteraksi dengan orang-orang di sini kadangkala memeningkan kepala. Semalam ketika suami meminta keju di hotel tiga bintang yang kami duduk ini. Mereka membawakan butter. Bila ditanya mana keju yang diminta? Mereka menunjukkan butter. Lantas saya terangkan kepada mereka keju dan butter adalah dua benda yang berlainan.
'Oh..keju itu butter orang Italy bukan?"
Mereka bertanya saya kembali. Ishh..bila masanya orang-orang Italy diiktiraf sebagi orang yang berjumpa dengan keju? Kalau tidak silap saya..keju berasal dari Timur Tengah. Bukti arkeologis pertama tentang pembuatan keju ditemukan pada mural di makam Mesir Kuno.
Kali kedua ketika saya makan di sebuah resturant vegetarian. Suami meminta kentang lantas mereka menghantar keledek goreng.
Bila saya beritahu tahu mereka ini bukan 'potato'. Lantas mereka menjawab..
"Yes..same..tis sweet potato.."
Alahai..alahai..Vietnam..Vietnam..

Tuesday, October 14, 2008

GAMBARAN PERTAMA DI HANOI

Berdebu, kotor, bising dan manusia ramai yang tidak jujur. Negara yang tampaknya membangun tetapi masih lagi miskin yang jauh ketinggalan di belakang. Hon dibunyikan di merata-rata, bengit dan amat memeningkan kepala. Mata wang yang digunakan di sini VND. RM1 bersama dengaan VND4,100. Saya tukar dalam RM400 saya dapat VND1,600,000. Saya jadi jutawaan segara! Tetapi pengunaan USD begitu meluas sekali. Di mana-mana orang meletakkan harga dengan menggunakan USD. Tetapi saya lebih suka menggunakan VND dan RM juga laku di sini.
Pegawai imigresennya kurang senyum tetapi bila nampak Qaisara entah mengapa wajah yang masam mencuka, menjadi ceria. Pengalaman pertama saya di sini, apabila kami meminta teksi. Seorang lelaki menawarkan USD16 untuk menghantar saya ke hotel. Saya terbaca di lonely planet.Inilah harga teksi dari lapangan terbang Noi bai ke pusat bandarnya. Namun kerana ada sedikit perasaan cuak. Saya ke kaunter informasi. Meminta teksi. Dan customer services di sana mengatakan tambang teksi yang akan dipanggilnya nanti berharga USD30. Alahai..separuh harga dari tambang yang ditawarkan oleh lelaki yang pertama tadi.
Jadi suami sudah pasti bersetuju dengan teksi yang pertama dan sempat menawar dan dapatlah kami USD15. Bukanlah Seyit Kara namanya..kalau membeli barang atau menaiki teksi tanpa menawar.
Teksi sapu di sini rata-ratanya Toyota Inovva. Memang selesa dan sudah pastinya Qaisara suka. Saya membawa komputer sendiri..tetapi rupanya, Vietnam macam di China. Ada komputer disediakan di dalam bilik tanpa apa-apa bayaran tambahan. Sukalah saya. Sayang saya terlupa membawa cable untuk memindah gambar dari kamera ke komputer, jadi saya tidak dapat memindah sebarang gambar dari kamera ke komputer buat masa sekarang.
Sedikit maklumat waktu solat di sini
subuh 4:38 Matahari naik5:51 Zohor 11:43 Asar 3:04 Magrhib 5:34 Isyak 6:44 dan seperti biasa saya menggunakan kompas untuk menentukan arah kiblat.

Tuesday, October 7, 2008

GAMBAR QAISARA DAN ANAK2 BUAH BERAYA

Hari raya kata orang untuk kanak-kanak. Kanak-kanaklah yang paling riang bila tiba hari raya. Disamping duit raya, mereka dapat berjumpa sepupu dan rakan taulan. Tapi Qaisara tidak tahu sebenarnya apa makna raya. Tahu dia pakai baju cantik dan berposing. Gambar ini diambil sebelum peristiwa dia diterkam. Boleh senyum lagi..
Anak dara saya seorang lagi ini, Balqish..sudah pandai sedikit berhari raya. Ini hari raya ke empat buat Balkish kerana dia dilahirkan pada bulan ramadhan pada 2005

Balkish dan anak buah saya Adli. Mereka berdua kalau berjumpa asyik berpelukan, bercerita entah apa-apa butirnya. Masa kecil-kecil macam ni bolehlah. Kalau dah besar siaplah! Kalau kami nampak mereka berdua begini, masing-masing akan bercakap. Aku kahwinkan kau orang berdua!


Ini sahabat karib Qaisara kalau balik kampung, Balkish dan juga Danish. Ke mana-mana mereka akan bertiga. Tapi bergaduh pun boleh tahanlah. Pasti ada yang menangis..



Tengok..Qaisara dan Balkish! Pantang silap sikit mulalah bergaduh. Danish jadi tukang lerai. Tetapi kadangkala Danish pun digigit oleh Balkish yang memang suka mengigit. Budak-budak, bergaduhnya sekejap aje..tapi lepas tu baiklah




Budak-budak, tidak pernah rasa penat untuk bermain. Pergi mana-mana pun main sahaja kerjanya.



Inilah muka Qaisara sepanjang hari raya pertama. Masam mencuka, muncungnya panjang sedepa. Tak mahu jumpa orang. Lari bila orang datang.

Petang barulah dia okay sedikit, walaupun masamnya masih ada. Mengada-ngada sungguh!

CERITA DI HARI RAYA

“Ayah kau ada balik mengunjungi emak kau?”
Pertanyaan itu saya ajukan kepada seorang sahabat yang datang berkunjung ke rumah saya pada hari raya yang lepas. Saya tahu sejak kecil lagi ayahnya sudah berkahwin lain. Kehidupan sahabat saya itu memang agak susah sewaktu kecilnya, macam saya juga. Tetapi susah-susah saya pun ayah saya tidak berkahwin dua. Berbanding dengan Zila.
“Mana ada. Dia ada balik sehari sebulan puasa hari itu, bawak balik ikan kembong sekilo dan sampai hari raya ke dua ini sejuring daging pun dia tak campakkan pada emak aku untuk menyambut raya.”
Saya tahu emak dan ayah Zila tidak pernah bercerai. Kadangkala saya hairan bagaimana emak Zila boleh begitu sabar sekali dengan keadaan itu. Membesarkan 9 anak dengan kepayahan. Walaupun adik beradik Zila tidaklah memegang jawatan yang tinggi namun syukur semuanya menjadi orang.
“Emak kau terlalu sabar..”
“Nak buat macam mana. Emak aku dah terima segalanya dengan reda. Lebih tiga puluh tahun ayah aku kahwin lain, emak aku dah membiasakan diri..” balas Zila tenang.
“Hari itu kerajaan ambil tanah ayah kamukan. Nak dekat setengah juta saya dengar dia dapat. Dia tak bagi kamu ke?”
Ayah saya yang mendengar perbualan saya dengan Zila mencelah. Panjang muncung Zila sebelum menjawab.
“Mana ada pak cik. Satu sen saya dan adik-adik yang lain tak dapat. Tahun lepas anak angkatnya berkahwin, dia tempah langsir dengarnya berbelas-belas ribu ringgit. Dia buat majlis perkahwinan anak angkatnya habis entah berapa puluh ribu ringgit lagi..”
Perkahwinan ke dua ayah Zila tidak menghasilkan zuriat. Namun isteri kedua ayahnya mengambil anak angkat seramai dua orang.
“Sekarang duitnya dah habis. Bulan May hari itu dia datang ke rumah saya menangis-nangis. Beritahu keretanya kena tarik. Hairan sungguh saya. Duit setengah juta yang dia dapat itu entah ke mana agaknya...”
Kalau Zila hairan saya dan ayah saya yang mendengarnya sudah pasti juga hairan.
“Dia datang rumah kau menangis-nangis buat apa?”
“Nak pinjam duitlah. Duit dia dah habis, tak tahu duit tu pergi mana…”
“Setengah juta banyak tu..” Balas ayah saya.
“Memanglah banyak pak cik. Setengah juta bagi orang kampong macam kita ni bukan sedikit. Macam-macam boleh dibuat. Beli kebun ke, beli rumah ke. Tapi ayah saya, tak sampai dua tahun dah habis. Lepas tu datang pada anak-anak minta tolong. Hairannya tidak pula dia minta tolong pada anak angkat yang menghabiskan duitnya itu. Dia minta tolong pada anak-anak yang tidak dihiraukan. ..”
Sakit dada saya mendengar cerita yang sebegitu. Tidak ada perasaan malukah seorang ayah terhadap anaknya, sehingga menangis meminta tolong. Waktu senang anak-anak langsung tidak dihiraukan.
“Habis kau tolong?” biasalah saya kalau mahu tahu cerita, habis saya korek.
“Mestilah tolong, kami tak sampai hati. Habis duit aku menjaga anak-anak orang aku bagi dekat dia. Akop laki aku siap keluarkan duit, bagi dia pinjam. Entah berapa ribu dah duit aku dia pinjam tak berbayar. Duit Akop lagilah banyak..”
Zila terus-terusan bercerita sambil mengunyah kuih raya yang kami hidangkan. Zila tidak bekerja, dia hanya mengambil upah menjaga anak orang. Suaminya pula bekerja sebagai pegawai kerajaan.
“Kali ini kami malas sungguh mahu beraya ke rumah dia. Pak cik tahulah, setiap tahun dia tidak pernah balik beraya di rumah emak mertua saya. Kami mahu berjumpa dengan dia, terpaksalah ke rumah isteri ke dua dia. Pertengahan puasa hari itu, dia sakit suami isteri. Kami semua malas nak tengok dah. Sekarang ini memang dia selalu sakit-sakit. Itulah..mana ada berkat hidupnya kalau dengan anak-anak sendiri pun hanya datang apabila mahu meminta tolong”
Suami Zila Akop pula mencelah. Kasihan saya mendengarnya. Terbayang wajah emak Zila. Wanita itu melalui kehidupan dengan kepedihan akibat diperlakukan oleh suami yang benar-benar tidak bertanggungjawab. Namun dia benar-benar tabah kerana sampai sekarang tidak pernah meminta cerai walau dirinya tidak pernah dipedulikan.
Saya tahu banyak lagi ayah dan suami yang tidak bertanggungjawab di muka bumi ini. Dan kisah Zila adalah salah satu kisah dalam beribu-ribu kisah yang ada di Malaysia ini.

Sunday, October 5, 2008

GAMBAR RAYA

Ada beberapa peristiwa yang menarik perhatian saya sepanjang berhari raya. Walaupun saya hanya berada di kampung sampai hari raya ketiga kerana sudah terlalu lama meninggalkan rumah sejak ayah saya tidak sihat. Namun saya sempat merakamkan beberapa peristiwa/perkara yang menarik perhatian.


Gambar ini saya ambil pada waktu tengah hari raya kedua. Merpati dua sejoli. Merpati ini pandai menjaga maruah diri. Tengok..duduk pun jauh-jauh. Tidak macam manusia. Tidak ada ikatan, bukan mahram masih lagi mahu rapat-rapat. Burung ini macam tahu sahaja, bulan syahwal ini harus di hormati..he.he..


Terbeliak mata saya dan adik beradik yang lain melihat tanaman ini ketika melawat rumah nenek saudara saya. Satu-satunya nenek sebelah ayah yang kami ada. Kata nenek saya yang menanam terung ini, nama terung ini terung t_t_k, sedap untuk dimasak sambal Hissh..tidak sampai hati saya mahu memakannya..
Qaisara seorang anak yang senang menyesuaikan diri pada orang lain. Tetapi hari raya pertama dia menjadi seorang anak yang pasif dan pemalu. Bahkan dia tidak mahu berjumpa dengan orang ramai. Rupa-rupanya, ketika saya berada di dapur menyediakan hidangan pada raya pertama. Sepupu-sepupu saya yang datang menziarahi menerkam padanya sambil cuba mengomolnya. Menyebabkan dia menjadi ketakutan. Sehari suntuk dia menutup mukanya setiap kali orang datang. Sampai malam saya cuba memujuknya. Tetapi Alhamdulilah..pada hari raya kedua. Dia sudah memperolehi kekuatannya semula.


Sepanjang kami sekeluarga berhari raya, tidak pernah kami membuat BBQ. Selalunya kami akan memasak nasi berlauk. Tetapi kali ini kerana mahukan kelainan kami membuat BBQ. Ketika BBQ berlangsung ada pula saudara mara datang menziarahi, dapatlah kami jamu mereka walaupun makanan hanya cukup-cukup sahaja (tersalah mengganggar). Namun syukur Alhamdulilah. Semunya gembira dengan hidangan kami.

Tak pernah saya tengok adik saya nan seorang ini tahu mengoreng nasi. Namun kerana dia hendak sangat makan nasi goreng cina dan kerana orang lain terlalu sibuk dengan tugas masing-masing. Ahh..jadi..gorenglah sendiri!

Saturday, October 4, 2008

KEKASIH YANG KU TINGGALKAN

Balik beraya saya paling bimbang dengan segala benda yang terpaksa saya tinggalkan di rumah. Ikan, pokok bunga dan kucing-kucing yang selalu singgah datang makan dibelakang rumah saya. Paling saya gusar dengan pokok bunga yang mungkin akan mati kalau tidak bersiram. Makanan ikan sudah saya sediakan untuk seminggu jadi saya tidaklah bimbang sangat. Kucing..pandai-pandailah mereka mencari makan sepanjang ketiadaan saya. Dia orang ada kakikan..he.he.

Alhamdulilah..sebaik sahaja sampai ke rumah, saya melihat pokok bunga di halaman rumah, terutama orkid menyambut kepulangan tuannya dengan senyuman yang mekar. Sukanya saya tuhan sahaja yang tahu.
Pokok orkid ini masa saya tinggalkan rumah untuk balik kampung, masih dalam kudupnya dan sekarang sudah mekar.

Pokok bonsai saya masih cantik dan utuh akarnya. Daunnya pun tetap cantik. Merenung pokok ini hati saya cukup lapang.

Pokok orkid yang ini pula masih lagi mekar walau sudah seminggu saya tinggalkan. Syukur kepada ALLAH yang menurunkan hujan sepanjang ketiadaan saya.



Pokok bonsai ini masih lagi baru. Tetapi masa saya balik hari itu..tak nampak bunganya. Ini sudah ada sekuntum.

RESIPI POPIA


Ramadhan hari itu sakit hati benar saya dengan popia goreng yang dibeli di pasar ramadhan. Harganya RM0.60 sekeping. Tapi rasanya tak sedap langsung. 5 keping sudah RM3. Tetapi memang tak berbaloi aduh..aduh... Lalu kerana geram saya cuba buat popia sendiri. Alhamdulilah..menjadi. Nak resipinya?

Ramuan untuk inti popia
1/2 kilo udang (dibuang kulit dan dipotong 4)
Taugeh 40 sen
Lobak 2 batang } disagat
1 biji Sengkuang}disagat
Kuib ayam
Telor 5 biji } didadar halus digulung dan dipotong nipis
1 biji telor (untuk gam kulit popia)
Kiub ayam
Garam secukup rasa
5 ulas bawang} tumbuk boleh hiris pun boleh, di mesin...buat habiskan elektrik aje!
Minyak

Inti popia yang sudah siap di masak

Kulit
Beli sahaja yang sudah siap di pasaraya. Sebungkus ada 40 keping

Kuah untuk disapu
5 ulas bawang kecil}tumbuk
2 ulas bawang putih}tumbuk
2 sudu petis
5 sudu cili yang sudah di mesin.
Garam

Cara-cara membuatnya
Untuk membuat inti popia, tumis bawang, selepas garing masukkan udang, masukkan kuib ayam, kemudian masukkan lobak, sengkuang dan taugeh. Sedapkan rasanya dengan garam. Masak sayuran tersebut jangan terlalu lama. Angkat dan tapis kerana sengkuang akan mengeluarkan air yang banyak.
Ambil kulit popia, masukkan semua inti tadi bersama telur dadar yang sudah dipotong halus, gulung dan lekatkan dengan telor. Goreng...Boleh dapat dalam 40 keping (satu kampung boleh dijamu).
Popia yang sudah siap digulung

Untuk kuah, tumis bawang merah, bawang putih, cili sehingga garing dan kemudian masukkan petis. Sesuaikan rasanya dengan garam. Tunggu sehingga kuah pekat. Selepas sejuk sapukan di atas popia yang sudah digoreng sebentar tadi.

Senang ajekan!