Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

GALAU DI HATI SERI

Anda ingin tahu apa yang terdapat di dalam Galau di hati seri, ikutilah sedikit previewnya..
PROLOG

Berbuah-buah ratapnya. Siapa punya angkara? Ini kerja manusia yang sungguh durjana, berhati hitam, kotor dan busuk. Anissa merenung anaknya yang terbaring di pangkuannya. Cengkung dan kering setiap inci kulitnya. Muntah darah berkali-kali. Bagaikan setiap isi perutnya sudah terkeluar semuanya.
Lima hari sudah berlalu. Ya ALLAH, selamatkanlah anakku ini! Doanya setiap saat.
Dia rasa hendak pitam kerana sudah tidak tidur dan rehat selama hampir tiga malam. Namun dia kuatkan hati dan badan kerana yang terbaring itu anaknya sendiri, bukan orang lain. Anak itu memberinya kekuatan.
Melihat buah hati belahan jiwanya begitu merana, hatinya merintih sayu. Tangan anak itu diikat ke kepala katil supaya tidak lari dan meronta-ronta. Semalam jenuh tangannya digigit dan mukanya ditampar. Mengapa dia dibenci begitu sekali? Kenapa anak itu membenci ibunya?
Dia menyesal, kalau dia bertegas tidak membenarkan anak itu masuk ke dunia yang penuh tipu helah, hasad dengki dan syaitan bertopengkan manusia, tentu perkara itu tidak akan terjadi.
Anaknya menjerit lagi, meronta-ronta mahu dilepaskan. Menjerit dan menangis bertukar ganti. Anissa tidak takut walau anak itu bertindak ganas. Anak itu darah daging kesayangannya. Rambut anak itu dibelai dan diusap dengan penuh kasih sayang.
“Pergi! Aku benci kau! Aku nak keluar dari sini. Aku benci rumah ni!”

Suara anaknya garau, pekat, tidak seperti suara biasanya. Memang menakutkan sesiapa yang mendengarnya, tetapi tidak dia. Itu, tubuh itu adalah kepunyaan anaknya. Hanya dia sekarang dirasuk syaitan yang dihantar manusia jahil berhati binatang.
“Sayang, ingat ALLAH, sayang!”
Hanya itu yang termampu dilakukannya.
“Aku nak keluar dari rumah ni! Panas, busuk, benci. Benci!”
Jeritan anak itu menghancurluluhkan hatinya. Dia tahu yang bercakap itu orang lain. Itu bukan anaknya tetapi syaitan. Anaknya bukan begitu.
Semuanya elok-elok belaka, mereka sekeluarga duduk di ruang tamu dan saling usik-mengusik seperti biasa. Tiba-tiba anak itu, dari duduk terus berdiri. Katanya kepalanya pening, pening sangat-sangat. Kemudian badannya pula, sakit seperti dicubit-cubit. kemudian katanya lagi, dirinya disengat, disengat lebah.
Dia dan suami tidak nampak apa-apa, hanya televisyen yang sedang terbuka. Tiada binatang terbang, tiada siapa mencubit tubuh anak itu. Tetapi dia melompat, berlari ke sana ke sini. Akhirnya jatuh pengsan.
“Sayang...”
“Siapa sayang???” Jerkah suara itu, garau dan kasar. Hendak tercabut jantungnya kerana terkejut.
“Ini emaklah, sayang... Ingat ALLAH... ikut emak baca doa ni... Baca... Bismillahirahman...”
Belum sempat ayat itu dihabiskannya, anak itu menjerit-jerit lagi, meronta-ronta. Nasib baiklah ikatan tali sudah dikukuhkan anak lelakinya tadi.
“Aku nak keluarrrrr... Keluar dari rumah ini!!!!”
Anak itu meronta-ronta dan menjerit kuat, menggegarkan rumah mereka. Suaminya datang.
“Kena ikat dia kuat-kuat lagi, nanti tertanggal...”
“Bang... janganlah ikat dia, kesian...”
“Kena ikat, kalau tak...” Suaminya tidak menghabiskan ayatnya.
Si suami tahu isterinya faham apa yang dimaksudkannya. Memang kasihan mengikat manusia sedemikian rupa namun anak itu semakin ganas.
Manusia diperlakukan umpama binatang. Hati mana yang tidak berkecai.
Anissa terjelepok duduk. Apa sudah jadi pada anaknya itu? Siapa punya angkara? Dia akan bunuh manusia durjana itu. 


1


Dia dan kuda, cukup serasi sekarang! Di luar jangkaannya. Sangkanya dia boleh meminati golf, tetapi beberapa kali mencuba, hatinya langsung tidak terpikat. Memang dia sukakan alam semula jadi, tetapi bukan di padang golf!
Sulaiman Adnan merasakan, bagai dirinya dan riadah sukan berkuda mudah sekali bergabung. Asalnya riadah ini diperkenalkan oleh Ketua Pemuda Rencam Tengah, Datuk Rahman Sagir dan kini dia bersama Arif Zamzani sering mengunjungi Pusat Berkuda Permata sekiranya kelapangan.
Pusat Berkuda Permata memang popular di bandar raya walau bayaran yurannya agak mahal. Yuran tahunan dan juga keahlian sahaja, sesiapa yang berpendapatan kurang RM2,000, jangan harap hendak merasa melepasi pintu pagarnya.
Selalu Arif Zamzani mengingatkan, tujuan masing-masing ke Pusat Berkuda Permata. Nyata tujuannya sentiasa berbeza.
“Menyihatkan badan?” Pernah Sulaiman meneka dengan penuh ikhlas di hatinya.
Arif menggeleng.
“Sunnah Nabi?”
Menggeleng lagi lelaki bermata sepet itu. Arif akhirnya tergelak kuat.
“Ramai artis lawa datang sini! Hahah!”
"Apa pula kena-mengenanya?”
“Man, macam-macam kita boleh buat. Selain mencuci mata, mengorat pun boleh!” Gelak kuat dilepaskan lagi.
“Aku berharap sangat bintang realiti, Seri Arina pun suka kuda, tapi dia tak adalah! Dia suka katak agaknya. Maklum, cium katak boleh jadi putera raja! Haha!”
Sulaiman menggeleng-geleng. Memang ada terasa lucu di hatinya. Adakah orang hendak pada Arif Zamzani yang tidak sekacak mana itu? Mungkin dia mempunyai nama tetapi cukupkah sekadar itu? Sanggupkah perempuan hidup bermadu?
“Artis saja yang kau ingatkan, Arif...”
“Aku memang suka yang comel-comel. Bertudung, lagi ayu... Oh, Seri Arina... heheh.”
Mungkin Arif Zamzani ada agenda lain dan perkahwinan bukan salah satu daripadanya, fikir Sulaiman. Artis perempuan mana yang disebutnya, tidak langsung berbekas di jiwa Sulaiman.
Arif bukan teman lamanya, tetapi dikenalinya sebaik menceburi bidang politik. Arif lebih bercita-cita tinggi, semua orang pun tahu.
Dia? Dia hanya mahu bermula. Setiap perkara yang hendak dilakukan mesti mempunyai permulaan. Sebuah titik yang menjadi pendorong titik-titik seterusnya sama ada titik berjaya atau titik kecundang. Dia tidak mahu mempunyai titik yang melompat… Melompat dengan cara jahat untuk berjaya. Makanannya ialah kejujuran. Semua orang tahu pendiriannya. Arif Zamzani juga tahu.
“Ramai yang kata Bukit Gabungan jelas berbeza sejak kau menjadi ketua pemuda di situ, Man…”
Arif, orangnya sederhana tinggi, agak gempal. Ada kerjaya tetap tetapi seperti Sulaiman. Sangat meminati bidang politik. Lebih berusia. Arif sudah lama berjinak-jinak di bidang itu, memungkinkan pengalaman dikutip berguni-guni. Kerana itulah dia mengaku tahu segala-galanya. Kadang-kadang mengaku terlebih tahu sehingga bongkak jadinya dan menjengkelkan orang. Namun Arif tetap ada pengikutnya sendiri. Pengikut yang setia berdiri di belakangnya.
“Baru sangat aku di situ, Arif. Baru penggal pertama…”
Arif tidak puas hati dengan jawapan sebegitu. Ada lagi yang bersarang di hatinya.
“Kau mahu mengukir nama atau berbuat bakti?” Tanya Arif.
Sulaiman Adnan tersentak, terpaling sedikit tengkuknya, menjeling Arif di sebelah, tercungap-cungap cuba melebur lelah yang masih bersisa. Di usianya 31 tahun, soalan sebegitu bukan asing di telinganya. Banyak kali dia melontarkan soalan sama kepada dirinya sendiri. Soalan yang memungkinkan dia terus berpijak di bumi nyata, tidak terpesong ke longkang neraka.
“Dua-dua, boleh?”
Itu jawapan Sulaiman. Dia tidak mahu berpura-pura kerana memang kedua-duanya ada dalam fikirannya.
“Apa salahnya aku mengaku?” sambung Sulaiman lagi.
Arif Zamzani tersengih.
“Seronok jadi ahli politik ni, Man…”
Lelaki awal 40-an itu menarik kudanya yang bernama Silver. Tali kuda itu kemudiannya diserahkan kepada Selamat, pekerja Indonesia yang baru beberapa bulan dilihat Sulaiman bekerja di situ. Orangnya masih malu-malu tidak seperti Mahadi, juga pekerja Indonesia yang sudah lama menetap di Malaysia. Mahadi dikhabarkan pulang ke negaranya kerana masalah keluarga.
“Definisi keseronokan kau?”
Tanya Sulaiman, turut menyerahkan tali kudanya kepada Selamat. Sebaik selesai menunggang kuda, dia pasti gembira. Terasa diri semakin sihat. Rasa keserabutan otaknya terungkai dan menenangkan hati serta jiwa.
“Banyak…” jawab Arif.
“Banyak musuh?”
Sulaiman menduga lagi. Dia teringat cermin keretanya yang dipecahkan beberapa bulan lalu. Dia cuba menganggap positif tentang kejadian itu, mungkin terjadi kerana tidak sengaja. Mungkin juga kerana cermin itu berkualiti rendah.
Arif Zamzani tergelak.
“Itu pun banyak jugak, tapi ada kelebihan lain. Jangan beritahu aku, kau tak rasai lagi?”
Arif merenung Sulaiman penuh makna.
“Ramai yang jatuh cinta! Hahah!”
Gelak Arif berderai kuat.
“Perempuanlah! Petik jari saja! Hahahaaaa...”
“Huh, itu pulak! Kau nampak kuda dalam kandang tu? Malulah sikit pada kuda,” cebik Sulaiman.
Dia tidak pernah terniat untuk mabuk dengan cinta perempuan menggunakan landasan politik yang diceburinya.
“Hahaha… Kuda mana tahu apa-apa, Man.”
Arif makin seronok mengajak Sulaiman berbicara tentang segala keseronokan lain.
“Minat? Kau tak nampak dari sudut itu?” Malas suara Sulaiman.
“Tak bolehkah kita ke mari kerana minat bersukan dan naik kuda?”
“Minat pun penting jugak. Mengapa nak ditolak ‘rezeki’ yang jatuh ke riba? Rugi, Man!”
Gelak lagi Si Arif. Gelak penuh kejahatan.
Sulaiman menggeleng-geleng lagi.
“Aku memang mahu mengukir nama, tapi reda ALLAH paling penting, Arif…”
Arif Zamzani terdiam beberapa saat.
“Hmmm… dunia politik kita tak perlukan ‘ustaz’, Man!”
“Maksud kau?”
“Maksud aku, jangan nak jadi alim di dunia ni kerana terlalu ramai orang yang yang dalam kumpulan kita tu tahu tentang agama. Ada yang sehebat ulamak pun ada tapi…”
“Maksud kau mereka ni kecundang?”
Arif mengangguk.
Sulaiman dapat mengesan nada sinis dari mulut lelaki itu.
“Nafsu besar, Man… Nafsu lebih besar dari takutkan dosa. Apa yang nak dihairankan, dunia politik memang menyeronokkan…”
Arif tegas dengan pendiriannya. Dosa bukan sesuatu yang dirisaukannya. Dia lebih risau sekiranya tidak menggunakan segala peluang yang ada.
Peluang yang menjamin kecerahan masa depan politiknya. Dia mahu berada di atas, paling atas.