Beberapa hari yang lepas, jiran saya datang ke rumah. Sarat nampaknya dia dengan beberapa beg di tangan. Rupa-rupanya dia membawa beberapa contoh kuih muih untuk saya rasa.
“Aik..belum puasa dah ada contoh kuih raya.” Saya mengusik beliau.
“Alah kak yatie. Nanti sudah bulan puasa tak dapat rasa pula. Akak cuba rasa ini.”
Lebih sepuluh jenis kuih yang disuruhnya saya rasa. Saya cuma rasa kuih Almond London dan dua lagi jenis kuih. Lainnya saya kembalikan kepada jiran saya itu.
“Malas nak rasalah. Penat mulut nak kunyah..”
Balas saya. Sebab saya sebenarnya bukan suka biskut begitu. Ada kuih-kuih tertentu aje yang saya suka.
Apatah lagi, di hari raya saya memang jarang membeli kuih. Selalunya saya akan membuatnya bersama dengan pembantu rumah. Satu jenis kuih saya akan buat banyak adunan. Setiap tahun saya akan buat untuk 5 buah rumah, untuk kakak saya Mijah, Maznah, emak tiri saya, Abang saya Mazlan dan rumah saya. Biasanya saya akan buat kuih tart, semprit, makmur. Dulu rajin juga saya membuat Almond London, tapi sekarang saya malas terutamanya bila kena mencelup cokelatnya. Lagipun setiap kali membuat saya kena membuat lebih 500 biji. Jenuh juga!
Dan kali ini saya pesan Almond London dari Ila jiran saya. RM25 untuk 50 biji (Kuih sekarang pun dah mahal sungguh) sebanyak empat bekas. Sengaja saya tempah, sebab kasihan dia susah payah membawa pelbagai contoh biskut pada saya.
Teringat saya semasa kecil. Arwah emak memang rajin buat kuih. Semua kuih dibuatnya, kuih gulung, kuih bangkit pekak (kata emak sesiapa makan kuih bangkit ni orang lain panggil pun kita tak boleh menyahut, kuih sudah penuh dimulut. Itu orang ingat kita pekak..he.he.he),tart nenas atau tart jam rambutan, guli agung (kuih ini sudah tidak saya jumpai lagi) dan pelbagai jenis kuih. Setiap tahun, sudah pasti lebih 15 jenis kuih yang terhidang atas meja.
Saya paling suka bila emak membuat kuih gulung atau kami di Melaka panggil kuih belanda. Jiran cina saya yang bernama Ah Yang di belakang rumah, akan datang menolong emak membakar kuih yang boleh membuat muka kita terbakar itu. Saya akan menyisihkan kerak-kerak kuih tersebut untuk dimakan buat berbuka nanti.
Bila 25 berpuasa ke atas, emak pasti akan sibuk mengukur kelapa, mengisar pulut untuk dibuat dodol. Sekali lagi Ah Yang akan datang, kali ini dia dengan suaminya Ah Heng (skrg sudah meninggal) mereka berdua datang memikul centong besar untuk mengacau dodol. Aduhai …proses membuat dodol ini, memang agak lama. Berjam-jam. Saya masih ingat betapa lenguhnya tangan saya mengisar pulut dengan pengisar batu yang cukup berat. Dari pukul 3 pagi kerja mengisar bermula dan dodolnya siap pukul 12 tengahari. Itupun ketika mengacau nasib jiran cina saya ini membantu. Sampaikan pernah jiran-jiran saya di kampung ada yang ponteng puasa kerana mahu mengacau dodol di rumah mereka. Darurat kata mereka!
Sekarang memang sudah banyak kuih yang dijual, di mana-mana sahaja. Namun saya memang jarang membeli. Dan apabila dapat pembantu rumah, beliau pula pandai membuat ketumpi kacang dal dengan ikan bilis. Bertambahlah satu menu saya lagi tahun ini.
Ahh saya ni puasa pun belum, sudah bercakap pasal kuih raya…he.he.he
aku bukan budak baik
9 months ago
0 comments:
Post a Comment