Malam itu saya bermimpi lagi. Aneh sungguh mimpi saya. Saya melihat diri saya duduk bersama-sama kawan lama saya. Kawan ketika saya masih bekerja di salah sebuah bank di Kuala Lumpur. Dan ketika saya bangun saya masih teringat mimpi saya. Cukup jelas dan masih saya ingat dalam mimpi saya itu, saya duduk di meja panjang di salah sebuah restoran. Dan saya benar-benar pasti yang restoran itu adalah tempat saya selalu lepak bersama kawan saya kira-kira 10 tahun yang lalu.
“Ahh..sudah lama aku tidak berjumpa Jamal.”
Hati saya berbisik. Jamal sahabat saya itu, cukup saya rapat satu masa dahulu. Tetapi kami tidak menjadi begitu rapat apabila Jamal mengambil keputusan berkahwin secara tergesa-gesa. Bahkan ketika dia mahu berkahwin dia melarang saya dan rakan-rakan untuk ke majlis perkahwinan beliau. Walau saya tertanya-tanya kenapa saya tidak diajak di majlis tersebut. Tetapi saya terpaksa menghormati keputusan Jamal.
“Semua kawan-kawan saya ada. Tetapi di mana Masri?”
Saya bertanya dengan diri saya sendiri. Saya ingat Masri kawan baik Jamal. Di mana ada Masri, di situ ada Jamal. Bahkan bila saya dan Jamal berjumpa. Pasti ada dua rakan kami yang lain turut bersama. Sheila dan Ismail. Ke tiga-tiga mereka ada dalam mimpi saya. Tetapi Masri di mana?. Tengah hari itu saya menelefon Jamal. Untung Jamal masih memakai nombor telefon yang sama.
“Assalamuailaikum..”
Saya memberi salam pada Jamal. Mula-mula Jamal tidak mengenali suara saya. Tetapi bila mengetahui saya yang menelefon, dia begitu teruja sekali.
Namun bila saya memberitahu yang saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Jamal terperanjat. Jamal memberitahu yang dia berkecil hati kerana saya tidak menjemput dia di perkahwinan saya.
“Ada kamu jemput saya di perkahwinan kamu?”
Saya membidas Jamal, tidak kasar tetapi dengan cara berseloroh. Jamal ketawa.
“Jamal..saya nak tanya di mana Masri sekarang?”
Hati saya melonjak-lonjak mahu tahu. Ketawa Jamal sirna. Saya dengar Jamal mengeluh.
“Kenapa Jamal?”
Hati saya seperti tidak sedap. Saya dengar Jamal menarik nafasnya dan menghembusnya dengan kasar.
“Masri?”
“Ya..Masri..” hati saya benar-benar tidak enak. Kerana saya tahu sejak akhir-akhir ini mimpi saya agak menakutkan saya sendiri.
“Dia baru meninggal yati. Minggu lepas, sebab demam denggi….”
Saya seperti terawang-awangan mendengar cerita Jamal. Mimpi saya malam tadi, serta merta menerpa di ruang mata saya. Benar-benar jelas dan cukup saya ingati. Dan sekarang saya tahu. Mimpi itu sebenarnya bukan mainan tidur..tetapi membawa petanda lagi untuk saya.
0 comments:
Post a Comment