Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Sunday, April 13, 2008

ALAHAI MAJIKAN

Seminggu dua ini saya memang agak sibuk, keluar daerah dan ada beberapa hal penting lagi. Beberapa panggilan telefon tidak sempat saya jawab dan begitu juga SMS. Ketika saya di luar daerah, ada beberapa SMS daripada bibik jiran saya yang saya terima.
“Umi di mana ya?” itulah SMS yang saya terima.
Apabila saya tidak menjawab dia pula menelefon. Ketika itu saya tidak mendengarnya. Namun pada malam itu saya membalas SMSNYA dan bertanyakan apa yang dimahu oleh pembantu rumah jiran saya itu.
“Saya mahu ngirimi wanglah umi ke kampung..”
Saya hanya menarik nafas perlahan, ada rasa marah di hati saya. Sudah berkali-kali hal ini berlaku tetapi saya tahankan hati saya.
“Mana majikan kamu?” saya balas dengan hati yang sebal.
“Oh..majikan saya lagi sibuk umi. Nggak boleh bantu.”
“Saya ada di luar. Maaf saya tak boleh tolong kamu. Suruh majikan kamu yang kirim. Sesekali tolong apa salahnya. Dia majikan kamu bukannya saya..”
Saya membalas dengan nada yang agak keras. Tidak lama kemudian dia menghantar SMS balasan kepada saya.
“Nggak apalah umi. Majikan saya nggak mahu tolong. Katanya bukankah umi yang selalu urusinya..”
Saya menjadi radang dengan jiran saya itu. Bayangkanlah, sudah setahun lebih saya berjiran dengannya. Saya tidak pernah kenal dengannya, saya cuma kenal dengan pembantu rumah dan anak-anaknya yang selalu bertandang ke rumah saya. Setiap kali saya pergi menghantar makanan konon mahu berbaik, hanya pembantu rumahnya yang keluar kalau tidak pun anak-anaknya yang menjerit-jerit memanggil nama saya. Bahkan pernah satu hari, pembantu rumah jiran saya itu datang dengan wajah yang kalut. Bertanyakan sama ada dia boleh meminjam tuala wanita dari saya atau tidak. Sudah dua hari dia datang bulan dan menyuruh majikan membelikan untuknya. Tetapi sudah dua hari itulah majikannya buat-buat tidak tahu.
Memang sejak saya mempunyai pembantu rumah, belakang rumah saya adalah tempat pembantu rumah jiran-jiran saya berkumpul di waktu pagi dan di hadapan rumah setiap petang. Setiap kali memasak saya akan berikan mereka makan. Apa sahaja, saya memang tidak pernah berkira. Bahkan setiap cerita pembantu rumah itu saya tahu.
Ada..pembantu rumah yang tidak cukup makan. Bahkan majikannya begitu berkira sekali. Minum teh manis setiap pagi pun disoal siasat. Saya sebenarnya tidaklah percaya bulat-bulat kata-kata pembantu rumah ini, tetapi majikan ini sejak saya kenal dia selama setahun lebih, dia sudah mempunyai 5 pembantu rumah rasanya. Ada yang lari dan ada yang berhenti secara baik. Bahkan saya pernah bercakap dengan dia mengenai pembantu rumah. Jawapannya memang menerangkan segalanya.
“Saya tak pernah nak ambil tahu pasal mereka. Tak minat nak ambil tahu!”
Katanya sinis apabila saya datang berkunjung ke rumahnya apabila mengetahui, pembantu rumahnya lari dan tidak balik-balik. Dan apabila dia mengambil pembantu rumah baru. Tidak sampai sebulan, pembantu rumahnya lari lagi. Alahai..alahai…

“Dia orang ni ambil pembantu rumah, tapi kebajikan pembantu tidak di jaga dengan baik..”
Luah seorang teman saya. Saya bukan mengatakan saya baik. Saya memang orang yang tidak pernah prasangka pada orang lain (sebab itu saya selalu kena tipu..he.he). Walau orang itu pembantu rumah selalu pun saya sering berbaik sangka. Saya akan membantu kalau mereka perlukan bantuan. Namun sesekali, majikan ini juga perlu diajar bertanggungjawab.
Bagi saya, pembantu rumah juga manusia, yang memerlukan interaksi dan mempunyai beberapa keperluan yang perlu dipenuhi. Sebagai majikan kita perlulah memahami, mereka. Walau sibuk bagaimana sekalipun, sesekali sebagai majikan kita perlu ambil tahu apa yang diperlui oleh manusia yang digelar pembantu rumah ini.

Sejak saya berhentikan pembantu rumah saya, ada beberapa pembantu rumah yang hampir habis kontrak dengan majikan mereka, menawarkan diri mahu bekerja dengan saya. Tetapi saya tolak, walaupun saya baik dengan mereka tetapi tidaklah sampai mahu mengambil mereka sebagi pembantu rumah saya!

Friday, April 11, 2008

PESTA BUKU

Sudah berapa tahun ketika pesta buku berlangsung saya tidak berada di Malaysia. Tahun lepas saya berada di Mekah ketika berlangsungnya pesta buku. Dua tahun sebelumnya rasanya saya di China. Dan tahun sebelumnya pun saya di Mekah.
Namun tahun ini, semalam saya sempat menziarahi pesta buku. Sebagai orang biasa. Sekadar melawat dan membeli beberapa buku untuk saya dan untuk si kecil yang memang gilakan buku.
Saya lihat pelbagai variasi gelagat si penulis novel. Ada yang berlagak diva, berposing maut menunggu peminat (ha..ha..jangan marah) ada yang berjalan begitu mendongak seperti tidak melihat orang dan seperti biasa kawan saya Lily Haslina dan Chef Ina, tetap peramah dan banyak cerita.
Saya sempat menjenguk syarikat Creative. Sedih..tidak ada kawan-kawan yang saya kenal lagi di sana. Anida dengarnya sudah berhenti kerja. Kemudian saya ke Alaf 21. Terjumpa kawan-kawan lama. Kak Wan Rohana yang semakin mewah..jangan marah kak Wan. Molly, Gee, Lan, Pijat, Liza dan ramai lagi. Cuba mencari kelibat Encik Nordin tetapi tak ada. Rindunya saya pada mereka!
Saya tahu sejak akhir-akhir ini saya seperti semakin jauh dari kelompok penulis. Bukan salah mereka tetapi salah saya. Saya memang suka menyendiri. Dunia saya hanya keluarga di Kajang dan di kampung. Sebulan atau dua bulan sekali, saya keluar daerah. Apatah lagi sejak tidak ada pembantu rumah. Semua kerja pejabat saya lakukan dari rumah. Arahan pada pekerja pun saya lakukan melalui internet.
Bayangkan seminggu hanya sekali atau 2 kali sahaja saya keluar dari rumah. Kadangkala sekali sekala, rasa rindu juga mahu berjumpa dengan pembaca novel saya.
“Tahun depan kita buka booth. Orang tak beli buku kita pun tak apa. Asal mereka dapat jumpa kamu..”
Suami memberikan cadangan. Insya-ALLAH bisik hati saya. Dan kalau tuhan izinkan tahun depan harap-harap saya dapat berjumpa pembaca novel dan kawan-kawan saya lagi. Walau setahun sekali tetapi sudah memadai!

TERIMA KASIH

Hari itu saya memasuki kedai buku di Labuan. Salah seorang pekerja di kedai tersebut menegur saya dan saya menjawabnya dengan senyuman.
“Kak..ada buku baru Norhayati Berahim, Sakitnya Sayang. Belilah..”
Pelawa pekerja tersebut seorang gadis yang manis orangnya. Saya terus-terusan tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. Mata saya ke rak buku yang berada di kedai tersebut. Tidak banyak buku yang berada di rak tersebut. Buku dari NB Kara hanya satu tajuk sahaja. Ada beberapa buah buku dari penerbitan lain.
“Mungkin daya beli orang-orang Labuan tidak sehebat Lembah Kelang”
Saya berbisik sendiri. Sambil mengucapkan terima kasih kepada pekerja di kedai buku itu dan keluar tanpa membeli apa-apa.
“Kenapa tidak memperkenalkan diri kamu tu Norhayati Berahim.”
Tanya suami. Saya ketawa kecil. Suami bukan tak tahu saya. Saya tidak akan sesekali akan memperkenalkan diri pada orang yang saya Norhayati Berahim. Si penulis novel sastera popular walaupun orangnya tidak popular. Ha..ha.haa
Entahlah, sejak dari dahulu lagi saya memang tidak suka menjadi popular dan tidak suka mempopularkan diri sendiri. Biarlah tulisan saya sahaja yang popular tidak saya.
Pernah ketika saya menaiki STAR LRT untuk balik ke rumah, seorang wanita membaca buku cerita saya di sebelah saya. Saya menegurnya dan bertanyakan apakah buku tersebut bagus atau tidak. Saya mendengar dengan tekun setiap pujian dan juga komennya.
“Awak pernah baca buku Norhayati Berahim?” tanya wanita tersebut.
“Selalu juga..” balas saya tenang.
“Okay tak bagi awak?”
“Biasa-biasa sahaja.Tak ada yang istimewanya. Saya lebih suka baca buku Sri Diah, Sharifah Abu Salem dan beberapa penulis lain..”
Wajah wanita itu tampak seperti tidak menyenangi kata-kata saya. Dia memberi hujahnya, saya hanya ketawa dan ketika mahu keluar dari LRT saya mengucapkan terima kasih berkali-kali pada dia.
“Kenapa?” tanya wanita tersebut.
“Sebab dapat kenal awak..”
Balas saya tenang sambil melambai tangan padanya. Dan setiap kali mendapat e-mail atau surat dari pembaca, walau kadangkala saya tidak sempat membalasnya. Saya pasti berkata di hadapan komputer.
“Terima kasih tidak terhingga..”

Thursday, April 10, 2008

CERITA PAK SEYIT- LELAKI YANG TERSASAR

Antionio saya kenal sejak beberapa bulan yang lalu. Ketika saya merayau-rayau membawa karpet sutera buatan tangan yang berharga dalam USD400 untuk di jual di bandar Roma. Lelaki itu seorang lelaki yang cukup tegap badannya. Sama tinggi dengan saya dan kalau dia berjalan, sudah pasti gadis-gadis akan menoleh kepadanya lebih dari sekali.
“Malam ini tidur di rumah saya..”
Hari itu ketika saya sampai dari Turki dengan kereta saya, menyeberang sempadan yang mengambil masa 24 jam perjalanan. Antionio mempelawa. Saya yang sedang mencari-cari tempat penginapan sudah pasti seperti orang mengantuk disorongkan bantal.
“Boleh sahaja. Tapi perut aku lapar .” saya mengadu dengan Antionio. Sepanjang perjalanan tadi saya hanya mengalas perut dengan keju dan roti yang saya bawa dari rumah bersama dengan airan (seperti yogurt tetapi lebih cair) sebagai minuman.
“Tak apa, nanti aku bawak kau ke kelab tempat aku selalu lepak. Aku akan kenalkan kau dengan kawan-kawan aku”
Balas Antionio tenang. Lelaki itu memang lelaki yang budiman, fikir saya. Sudahlah sanggup menerima saya yang berlainan agama dan bangsa. Sekarang mahu mengajak saya ke kelab tempat di mana dia bertemu dengan kawan-kawannya. Selama bertahun-tahun saya berada di Italy, saya banyak mengenali perangai orang-orang Italy mengikut daerahnya. Orang-orang Roma selalunya agak jarang mahu bercampur dengan orang ramai, tidak begitu peramah tetapi kalau sudah kenal mereka agak baik hati.
Seperti yang dijanjikan Antionio membawa saya ke kelab tempat dia selalu bersama dengan kawan-kawannya. Ketika saya masuk, suasana agak gelap dan saya perhatikan pelanggannya semua lelaki.
“Tidak adakah perempuan di sini?”
Saya bertanya Antionio. Dia hanya ketawa sambil memesan beberapa botol coke dan juga pizza untuk saya. Beberapa orang teman-teman Antionio datang dan bersalaman dengan saya. Namanya mereka saya tidak begitu ingat tetapi salah seorang daripadanya, berbadan seperti Antionio meraba-raba badan saya.
“Kacak sungguh!”
Teman tersebut meraba-raba lengan dan badan saya. Saya rasa geli geleman apabila tangan lelaki yang berbulu itu menyentuh tangan saya yang juga berbulu. Serasa saya seumur hidup saya saya tidak pernah diraba begitu oleh kaum sejenis saya..
“Kenapa kawan kamu tu?”
Memang saya merasa jengkel dengan perangai kawan Antionio itu. Geli saya dibuatnya.
“Alah..biasalah. Makan-makan. Lepas ini balik ke rumah. Aku tahu kau penat. Kau kena rehat dan tidur nyenyak di rumah aku. Aku akan buat kau selesa.”
Saya tidak dapat menangkap kata-kata Antionio. Hanya mengangguk sahaja. Saya makan perlahan-perlahan sambil memerhatikan suasana dalam kelab malam tersebut.
Memang hati saya merasa pelik. Kelab apakah ini? Langsung tidak ada perempuan di dalamnya. Namun kerana perut saya lapar saya tidak peduli. Saya terus makan dan makan……bersambung


P/S si pencerita di atas adalah suami saya ketika beliau berusia dalam usia 21 tahun. Ketika itu masih muda dan mungkin agak tampan tetapi sekarang..he..he..

Tuesday, April 8, 2008


BURUNG CROWN AFRIKA
Burung ini saya temui di Taman Burung Labuan. Cuba lihat kepala burung yang seperti dihiasi dengan Tiara.

APA LAGI AIR ASIA NI

AirAsia kenakan caj daftar masuk bagasi

Oleh CYNTHIA YEOH
SEPANG 7 April - AirAsia Bhd. (AirAsia) akan mengenakan bayaran antara RM3 hingga RM5 bagi setiap bagasi yang didaftar masuk mulai 21 April ini.
Langkah tersebut adalah sebagai alternatif untuk menampung subsidi harga bahan api jet berikutan peningkatan harga minyak, sehingga paras AS$130 (RM413.4) setong baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Datuk Tony Fernandes berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menaikkan surcaj bahan api walaupun pendekatan itu adalah paling mudah untuk menyelesaikan kenaikan minyak.
''Kami menggunakan cara inovatif dengan memberi perkhidmatan nilai tambah kepada penumpang termasuk menawarkan tambang rendah yang merupakan keutamaan kepada kita.
''Selain itu, pendekatan ini menggalakkan penumpang supaya melancong dengan bagasi yang lebih ringan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Penumpang akan dikenakan caj sebanyak RM5 bagi setiap bagasi yang didaftar masuk di kaunter lapangan terbang, manakala caj RM3 untuk setiap bagasi dikenakan bagi penumpang yang menempah daftar masuk untuk 24 jam sebelum waktu kelepasan menerusi laman webnya ataupun pusat panggilan.
Menurut Tony, tambang perjalanan boleh dikurangkan sehingga 15 peratus sekiranya kekerapan perjalanan ditambahkan.
''Saya berharap Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB) dapat membantu menyediakan lebih banyak perjalanan kerana kos bagasi merangkumi empat peratus," katanya.
Tambahnya, kos untuk kakitangan yang mengendali dan lori-lori yang digunakan untuk mengangkut bagasi penumpang juga boleh dikurangkan.
Beliau bagaimanapun berkata, penumpang yang membuat tempahan sebelum 21 April tidak akan dikenakan bayaran tersebut.
Katanya, sebelum ini, kos daftar bagasi telah dimasukkan ke dalam tambang secara automatik.
''Namun, sekarang setiap penumpang dikehendaki membayar bagasi yang daftar masuk kecuali bagasi tangan,'' katanya.

P/S Alahai..Airasia. Saya yang memang pengguna setia kapalterbang ini, terpaku juga membaca berita ini. Manakan tidak. Setahun paling kurang 3 atau 4 kali saya pasti menggunakan penerbangan ini terutamanya penerbangan domestik. Bahkan saya pernah membawa ahli keluarga seramai 18 orang dalam satu masa. Sudahlah seorang penumpang hanya dibenarkan membawa 15 kilo seorang. Kemudian sekarang dikenakan bayaran pula ketika mendaftar. Tahun lepas rasanya, express boarding percuma untuk kanak-kanak kecil dimansuhkan dan dikenakan bayaran sebanyak RM5. Makanannya mahal mak datuk... Roti canai sekeping RM5, nasi lemak RM7 (rasanya RM1.50 jika di luar) dan sebab itu sebelum terbang saya akan pastikan perut saya di isi dahulu.

Sunday, April 6, 2008

MUFTI PERLIS TEGUR TV3

Bashir Ishak Wed Apr 02, 08 10:55:56 am MYT
KANGAR, 2 April (Hrkh) - Dalam suasana negara sedang mengharungi kerencaman aliran politik dan pemikiran mutakhir ini, Mufti Kerajaan Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyeru media sama ada TV, internet atau akhbar supaya bersifat adil dalam menyiarkan sesuatu berita. -->-->
Dalam kenyataannya baru-baru ini, beliau mahu berita yang disampaikan itu benar walaupun mengenai pihak yang berbeza aliran.
"Jauhi unsur-unsur prasangka dan provokatif. Janganlah kita mengulas secara negatif setiap berita pihak yang kita tidak bersetuju dengannya," katanya dalam surat yang dihantar kepada stesen televisyen swasta, TV3.
Menurutnya lagi, Islam menuntut agar setiap insan bersifat adil dalam semua perkara.
"Kebencian, tidak puas hati dan permusuhan ke atas seseorang, atau sesuatu golongan tidaklah membolehkan kita membuat laporan yang tidak adil terhadap mereka.
"Firman Allah (maksudnya), Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan," jelasnya memetik Surah al-Maidah ayat 8.
Selain itu katanya lagi, rakyat yang matang akan membuat penilaian setelah mendapat maklumat yang sahih.
"Jika tidak, para penyiar akan menjadi sumber fasik yang membawa berita bohong, atau melaga-lagakan antara manusia.
"Sifat amanah dan telus dalam penyiaran berita adalah dituntut oleh agama dan menjadikan penyiarnya itu lebih berwibawa, dihormati dan mendapat kepercayaan umum," katanya lagi.
Kenyataan rasmi beliau yang bertarikh 27 Mac 2008 itu bertajuk "Keperluan Berita Yang Sahih Lagi Bersih Dari Sebarang Provokasi" dialamatkan kepada Penerbit Buletin Utama TV3. - mns

p/s Saya sebenarnya bersetuju dengan pendapat Mufti Perlis, siapa pun kita, di mana pun kita berpihak. Walau kita bukan daripada orang-orang politik sekalipun. Sifat suka melaga-laga adalah haram disisi Islam. Bahkan bagi saya, sebagai seorang manusia, saya selalu mengingatkan diri saya supaya jangan memberi komen yang keterlaluan serta menyakitkan hati, mengata atau melaga-lagakan mana-mana individu atau penulis lain. Saya tahu sikap fasik itu akan menjahanamkan saya satu masa nanti kalau saya tidak berhati-hati.

KASUT OH KASUT

Lima belas tahun dahulu, ketika saya bekerja di salah sebuah syarikat yang mengendalikan pasaran saham dan di masa yang sama belajar di salah sebuah kolej dalam bidang perakaunan. Saya dikejutkan dengan sindrom ‘brunomagli”. Kasut buatan Italy yang bukan kepalang mahal harganya dan memang benar-benar tidak mampu saya beli. Namun ketika itu pasaran saham tengah naik, maka pekerja di syarikat saya bekerja tidak sayang untuk membuang duit sebanyak RM500-RM3000 hanya semata-mata untuk mengalas kaki. Beberapa orang para pekerja wanita termasuk ketua saya, datang ke pejabat dengan memakai kasut tersebut.
“Murah yati. Bruno buat sales. Cuma RM700 sahaja kasut ini. Cantikkan?”
Tanya salah seorang rakan sekerja saya. Saya menelan air liur. Mata saya terkebil-kebil sambil memandang kasut yang berwarna merah jambu itu. Hati saya langsung tidak tertarik dengan kasut tersebut dan disudut hati saya mengatakan kasut di kedai Bata yang berharga tidak lebih dari RM50, lebih menarik di mata saya. Namun kerana takut dikatakan ketinggalan zaman dan orang kampung. Saya hanya mengangguk. Mengatakan kasut tersebut memang cantik walau di dalam hati mengatakan, cantik apa kasut berwarna merah jambu!
Ada sekali saya ke butik Burnomagli dan mencuba kasut-kasutnya yang dianggap ‘up to date’ di sana dan berlagak seperti orang berduit. Tetapi saya tidak membelinya kerana bukan rekabentuknya (banyak yang cantik-cantik sebenarnya selain berwarna merah jambu) tetapi harganya yang tidak menarik di mata saya.
“Aku tak akan beli kasut yang lebih dari RM200. Buat apa beli sesuatu yang begitu mahal hanya untuk dipijak.”
Salah seorang pekerja lelaki di situ menyuarakan pendapatnya, cuba membendung rasa ghairah pekerja lain yang asyik bercerita mengenai Brunomagli. Saya benar-benar bersetuju dengan pendapatnya.
Masa berlalu, tempat kerja lama saya tinggalkan. 5 tahun kebelakangan ini, saya lebih banyak menghabiskan masa dengan berjalan dan mengembara bersama dengan suami. Setiap 2-3 bulan sekali kami akan merayap-rayap di dalam atau diluar negara. Kalau tidak mengikut suami yang menjalankan perniagaan ‘trading’nya, saya berjalan mahu mencari bahan untuk penulisan. Bahkan 2 tahun yang lepas, kami kerap berulang alik ke negara China untuk membeli barang. Merayau dari satu bangunan ke satu bangunan yang cukup besar bahkan berjuta-juta kaki persegi untuk memilih barangan untuk dijual.
Jadi sudah pasti saya memerlukan kasut yang ‘mesra dan lemah lembut’ dengan kaki saya.
Saya telah mencuba membeli pelbagai kasut. Dari pelbagai jenama yang terkenal, yang tidak terkenal bahkan buatan China sendiri. Amat sukar rasanya mencari kasut yang baik, bahkan kasut yang paling mahal pernah saya beli berharga RM400 pun asyik mengigit kaki saya. Penghabisan kasut tersebut hanya menghuni rak kasut di luar rumah.
Kalau ada kasut yang mesra dengan saya, walau hanya berharga RM20 sekalipun, saya akan pakai sehingga kasut tersebut lunyai. Pernah suami mentertawakan saya memakai kasut yang mesra dengan kaki saya di luar negara ketika musim salji. Kata dia, orang tak pakai kasut yang macam saya pakai ketika musim sejuk. Mesti orang ketawa melihat kasut saya. Ahh..peduli apa kata orangkan. Yang penting, kaki saya tak sakit dan dapat menampung badan saya yang boleh tahan beratnya!

Wednesday, April 2, 2008

KES SUFIAH DAN PARTI AKP

Ada dua isu yang cukup menarik perhatian dalam hidup saya beberapa hari ini. Isu Sufiah dan juga isu Parti AKP Turki yang mahu diharamkan oleh Mahkamah Perlembagaan Turki

KES SUFIAH

Beberapa tahun yang lalu ketika kes Sufiah yang memasuki Oxford di dalam usia 13 tahun dan menjadi isu hangat di dalam surat khabar. Saya pernah memberitahu rakan-rakan saya yang saya cukup bersimpati dengan Sufiah.
“Saya takut dan bimbang, gadis ini tidak akan berjaya menjadi manusia yang benar-benar berjaya. Saya bimbang hidupnya akan kecundang di tengah jalan…”
Saya bercakap begitu berdasarkan kefahaman saya sendiri. Gadis itu ditegah menonton telivisyen, berhubung dengan dunia luar dan belajar hanya di rumah. Bagi saya setiap manusia perlu menggunakan semua pancainderanya yang dikurniakan oleh ALLAH dengan sebaik-baiknya. Dia perlu mendengar, melihat, merasa dan kemudian menggerakkan kedua-dua otaknya untuk mendapat kesempurnaan dalam hidup. (Otak manusia terbahagi pada dua bahagian. Otak kanan(OKA) berfungsi dalam hal persamaan, khayalan, kreativitas, bentuk atau ruang, emosi, musik dan warna. Daya ingat otak kanan bersifat panjang (long term memory)
Otak kiri (OKI) berfungsi dalam hal perbedaan, angka, urutan, tulisan, bahasa, hitungan dan logika. Daya ingat otak kiri bersifat jangka pendek (short term memory).)
Dalam hal ini bagi saya Sufiah terlalu banyak menggunakan otak kiri. Sehingga membiarkan otak kanannya tidak digunakan dengan sempurna. Apabila otak kanan tidak digunakan dengan baik dan sempurna. Maka Otak kanannya akan terbiar dan emosinya jadi terganggu. Dan nyata teori saya walau tidak benar sepenuhnya namun menjadi kenyataan bagi kes Sufiah.
Saya teringat ketika saya kecil dahulu. Walau saya diberi tanggungjawab oleh ibu bapa saya sejak berusia 7 tahun, membantu mereka di kebun getah. Namun saya diberi peluang untuk membesar seperti anak-anak yang lain. Saya dibenarkan mempunyai binatang peliharaan sendiri, saya dibiarkan berenang di sungai dan meredah selut. Saya juga dapat merasai indahnya suasana hutan bahkan walau sesekali rotan menjamah tubuh saya kerana tingkah saya yang mungkin diluar kemaafkan ibu dan bapa saya. Saya rasa saya membesar dengan cara yang cukup normal dengan emosi yang stabil dan tidak pernah berdendam.
Dan apabila duduk, membaca mengenai Sufiah saya tahu..saya sebenarnya cukup beruntung kerana saya telah menggunakan kedua-dua OKI dan OKA saya dengan cukup sempurna sejak dari kecil lagi.


KES PARTI AKP

Kes isu Parti AKP Turki yang mahu diharamkan oleh Mahkamah Perlembagaan Turki sebenarnya tidak ada kena mengena dengan kerajaan Malaysia. Seharusnya memang tidak perlu saya hiraukan. Tetapi kerana saya hidup dan tinggal dengan seorang warga Turki. Setiap masa dan setiap minit saya terpaksa mendengar cerita suami yang begitu teruja dengan cerita begini. Bahkan budaya orang Turki yang suka bercakap dengan nada yang tinggi kadangkala agak menganggu saya apabila suami dan rakan-rakan berbincang di telefon. Mereka penyokong kuat Perdana Menteri sekarang dan juga Parti AKP termasuklah Presidennya. Mereka menjadi marah dengan Mahkamah Perlembagaan Turki. Suami bercakap dan berbincang dengan semua kawan-kawannya yang berada di Malaysia biarpun di Turki menggunakan net meeting dan telefon. Rumah dan pejabat seperti menjadi pejabat pasaran saham lagaknya. Apabila sudah tidak ada lagi teman-teman yang diajak berbincang mengenai perkara ini. Sayalah yang menjadi mangsanya. Bingit telinga saya mendengar kemarahan suami. Tetapi sebagai isteri terpaksalah saya berkongsi perasaan dengannya. Saya mendengar, cuba memahami dan sesekali memujuk menyuruh suami berdoa. Bersolat hajat. Moga-moga Parti AKP yang mahu menegakkan syiar Islam itu berjaya tegak terus-terusan dan tidak berkubur kerana rancangan jahat orang-orang tertentu.
Suami bersetuju tetapi tidak pula saya melihat dia melakukannya kerana beberapa hari ini, saya lihat suami cukup kepenatan. Apa tidaknya balik pun hingga ke pagi , berkumpul dengan kawan-kawan, berbincang mengenai politik terkini di Turki. Dan seperti biasa, saya juga mendapat tempiasnya. Dikejutkan dengan bunyi loceng pintu, pukul 3 pagi, kerana sifat suami yang tidak pernah suka membawa kunci rumah ke mana-mana.

Tuesday, April 1, 2008

ADUHAI PEMBANTU RUMAH

Melayan cerita Alamak Amy, seronok juga melihat telatah kak Milah yang menjadi pembantu rumah. Di samping seorang yang tekun bekerja beliau seorang yang cukup lucu. Saya cukup terhibur melihat telatah lucu pelakon Alamak Amy dan tertawan dengan sikap kak Milah.( Cuma yang saya kesalkan ia disiarkan di waktu yang tidak sesuai). Ini mengingatkan saya pada pembantu rumah yang sudah saya berhentikan kerja 3 bulan yang lalu dan hampir serik untuk mengambil pembantu rumah yang lain..
Pertama kali pembantu rumah saya datang, beliau sudah meminta gaji pada bulan pertama. Sedangkan sepatutnya hanya bulan ke empat sahaja gaji perlu dibayar. Dengan alasan miskin dan anak-anak bersekolah. Saya berbincang dengan suami dan kerana simpati kami memberi sagu hati untuk di hantar ke Indonesia. Beberapa bulan kemudian dia mengadu sambil menangis-nangis yang ayahnya perlu dioperasi dan memerlukan wang. Dengan rasa simpati saya menghantar wang ke Indonesia, menghulurkan sedikit bantuan setakat yang mampu.
Tidak sampai setahun, dia sudah minta balik kampung. Dengan alasan anak mahu berkahwin. Saya izinkan. Ketika balik, pelbagai barangan yang saya belikan untuk buah tangan. Kasihan pada anak-anaknya yang menunggu di kampung. Tetapi apabila sudah sampai di Indonesia hendak balik ke Malaysia semula, sampai 3 kali saya membelikan dia tiket namun batang hidungnya pun tidak nampak di lapangan terbang. Berkali-kali saya menelefonnya, tapi tidak dijawab. Dan satu hari dia muncul di hadapan rumah saya. Kata dia, dia dikurung ketika keluar daripada lapangan terbang oleh seorang pemandu teksi . Entah betul ke tidak saya tidak tahu. Tetapi saya bawa dia pergi membuat laporan polis. Dihadapan polis dia menceritakan yang dia dikurung tetapi apabila dengan rakan-rakan setugasnya yang bekerja dengan jiran-jiran dan rakan saya. Dia memberitahu dia bukan diculik tetapi sengaja berjalan-jalan di Kuala Lumpur. Sakit hati saya, tapi kerana kasihan dia yang memang hidup susah (saya tahu kerana saya pernah melawat ke rumahnya di Indonesia). Saya tahankan hati saya…
Ketika itu, bagi saya pembantu rumah saya tidaklah teruk sangat perangainya. Dia menjaga anak saya dengan baik dan menyayanginya. Cuma saya tidak tahan dengan sikapnya yang kadangkala terlalu lalai. Baju si kecil dibuang dalam tong sampah, pampers kotor di buang ke dalam mesin basuh. Sudu, garpu dan juga pisau juga kadangkala terlepas sama ke dalam tong sampah. Alahai..alahai.
Lagi satu sikapnya, dia asyik berSMS dengan cowok-cowok yang tidak diketahui dari mana datangnya. Bahkan tanpa segan silu dia akan meminta pulsa (credit) dari cowok-cowok kenalannya ini. Puas saya marah. Tetapi perangainya tidak pernah berubah. Bayangkan seorang yang berusia 40 tahun mengekeh di telefon dengan cowok-cowok yang entah dari mana dikenalinya. Pedih telinga saya!
Namun kesabaran saya hilang apabila dia balik sekali lagi (dalam 2 tahun 3 kali pulang ke Indonesia) pada tahun ke tiga, selepas seminggu saya memperbarui permitnya. Cuti yang diminta hanya 7 hari. Tetapi sampai 3 minggu masih tidak pulang. Bila ditanya bila mahu pulang ke Malaysia kerana saya juga banyak kerja yang mahu dilakukan. Jawapannya cukup membuat saya hilang sabar..
“Tenang-tenang nanti saya baliklah..”
Bila dengar jawapan yang begitu saya benar-benar marah. Apatah lagi suami dan keluarga di kampung yang selalu mengingatkan saya jangan terlalu baik dengan pembantu rumah. Lantas saya potong permitnya tanpa rasa belas lagi. Cukuplah apa yang dilakukannya dengan saya. Apabila setiausaha saya menelefon, memberitahu dia yang permitnya telah dipotong. Dia tidak percaya dan mengatakan saya berbohong dan tidak mungkin sanggup melakukan begitu kerana permitnya baru saya sambung.
Serik saya dengan sikap tidak ikhlas pembantu rumah yang saya layan dengan cukup baik. Bahkan antara kawan-kawannya, saya rasa dia paling bertuah. Bila bercuti saya bawa dia sekali. Langkawi, Kelantan, Cherating, Genting, Terengganu dan banyak tempat lagi yang saya bawa. Sehinggakan kadangkala dia menjadi sombong dan bongkak dengan kawan-kawannya kerana sering menaiki kapalterbang. Bukan itu sahaja, makan pakainya pun saya jaga dengan baik. Sampaikan pakai dalamnya saya belikan 2 atau 3 bulan sekali. .
Ketika hati saya terbuka mengambil semula pembantu rumah baru atas desakan suami yang mungkin kasihan melihat saya mengemop lantai jam 1 pagi. Pembantu rumah lama menelefon dan merayu-rayu supaya saya mengambil dia semula. Kata dia susah untuk mencari kerja sekarang ini. Dia mahu datang ke rumah saya dengan pasport pelancong. Tapi saya beritahu dia dengan kata-kata yang cukup keras dan perasaan marah, saya tidak mahu melihat mukanya lagi. Dia seperti tidak percaya dengan kata-kata saya mungkin selama ini dia merasakan saya terlalu lembut dan sering mengalah dengannya.
Beberapa hari lagi pembantu rumah baru saya dari Surabaya akan datang. Saya benar-benar berharap kalau saya dapat pembantu rumah seperti Kak Milah. Walau tidak pandai, tetapi lucu, rajin dan lurus. Memang hati saya gusar, bimbang mendapat pembantu rumah seperti pembantu rumah lama. Tetapi tidak semua manusia itu samakan?