“Nak jadi penulis bukan mudah…”
Pak Cik Jilani yang baru balik daripada membuat rumah sebentar tadi, sudah duduk di sebelah Hajar.
Lelaki itu memang bekerja mengambil upah membuat rumah. Syukur kerana sejak akhir-akhir ini tanah orang kampung dibeli oleh kerajaan untuk dibuat jalan. Jadi, dialah yang dipanggil orang kampung untuk membesarkan rumah dan juga membina rumah yang baharu.
“Susah ke abah?”
“Susah. Menulis ni tak boleh sesuka hati. Penulis ada tanggungjawabnya sendiri yang perlu dipikul. Mereka membawa amanah ALLAH. Kadangkala satu perkataan yang ditulis, akan membawa kegembiraan dan ada juga yang akan membawa kemusnahan.”
Terkebil-kebil mata Hajar mendengar kata-kata abahnya itu. Memang abah selalu mengatakan susah sebenarnya untuk menjadi seorang penulis. Sangka Hajar, susah itu lebih kepada mencari idea dan juga menyusun ayat. Rupanya definisi susah abah itu amat berbeza sekali.
“Musnah macam mana, abah?”
Hajar tahu, penulisan merangkumi macam-macam genre. Novel, skrip drama, skrip filem, buku cerita kanak-kanak dan bermacam-macamlah. Hajar tidak mahu menjadi penulis buku kanak-kanak. Dia tidak suka. Dia lebih suka menulis seperti Arenawati, Shahnon Ahmad, Usman Awang dan Khadijah Hashim. Sekarang tidak ramai penulis wanita dan dia mahu menjadi penulis wanita yang berjaya.
“Kadangkala penulis memfitnah orang melalui tulisannya kerana mahu popular dan melariskan tulisannya. Sudah sifat semula jadi manusia, suka mendengar fitnah sedangkan apa yang ditulis belum tentu betul. Inilah tugas penulis. Mereka tak boleh menulis untuk menjatuhkan orang lain, jauh sekali menyakiti hati individu yang tertentu.”
Lembut sahaja kata-kata Pak Cik Jilani. Hajar menganggukkan kepalanya tanda faham.
“Tapi Arenawati menulis mengenai pengalaman dia balik kampung di Makassar, abah. Kita tahu macam mana orang-orang Makassar menyambut tetamu. Hajar suka baca.”
Terang Hajar. Tersenyum Pak Cik Jilani mendengar kepetahan si anak bercakap. Anak yang lebih suka membaca dan setiap hari ada sahaja bahan bacaan di tangannya.
“Yang macam tu, tak apa. Bagus menulis macam tu. Mengajar orang berbuat baik dengan tetamu. Memberi pengetahuan kepada orang lain yang tak tahu bagaimana keadaan di Makassar. Hajar tahu tak, penulis ini mempunyai pengaruh yang cukup besar. Orang yang suka dengan isi bacaan mereka akan mengikut apa sahaja yang ditulis oleh penulisnya. Tulisan yang baik akan diingati walau penulisnya sudah meninggal dunia.”
P/S kenapa saya keluarkan sedikit petikan dari buku saya ini? Sejak akhir-akhir saya amat sedih dengan senario penulisan tanah air yang mengenepikan tata tertib dalam berkarya. Saya tidak menyalahkan penulis muda ini kerana mungkin kurang bimbingan. Ketika saya mula-mula menulis pun, tulisan saya amat kosong tetapi saya menyalahkan individu yang terlibat yang menerbitkan karya-karya yang menyebabkan karya popular dilabelkan sebagai picisan dan tidak bermoral. Kadangkala tajuknya sudah tidak bermoral, apatah lagi isi di dalam. Bahkan paling menyedihkan buku yang diangkat sebagai bestseller belum tentu mempunyai kualiti sebenar. (teringat status penulis lelaki Joan Norafizan di facebook yang tergaru kepala melihat lambakan novel di pasaran)
Ingatan saya pada penulis muda, menulislah dengan tanggungjawab bukan kerana 'syok sendiri' atau kerana telunjuk individu tertentu. Menjadi popular sekejap memang seronok tetapi kesannya berpanjangan. Menulislah kerana ALLAH dan ingin menyampaikan pesanan.
6 comments:
Jika menulis, biarlah tulisan mendapat tempat di hati yang melangkaui zaman....biarlah ilmu dan mesej yang disampaikan dapat dimanfaatkan sebaiknya. Jangan berkisar soal cinta sesama insan sahaja, ia melalaikan. Peranan bukan sahaja dari segi menyampai isi yang padat dan berinformatik tetapi juga tulisan dan lenggok bahasa harus standard. Ramai yang terikut-ikut bahasa pasar atau bahasa percakapan yang ternyata melacurkan bahasa.Penulis karya yang bagus akan tetap bertahan sehingga ke akhir hayat.
Saya sekarang kalau beli buku..selective ja..tengok sapa penulis..bukan tak nak cuba penulis baru..cuma takut tak value for money..Kat pasaran banyak cerita cinta..ala2 kawin paksa...Seingat Aween la..tema kawin paksa nie masa satrt lebih kurang tahun 1996...Dah 10 tahun lebih..still banyak lagi kat pasaran tema yang macam tu..La nie kalau nak cuba baca penulis baru..siap gugel review buku kat mana2 blog lagi coz..takut terbeli yang takda kualiti
intan percaya...inilah salah satu dari rahsia kejayaan kak NB sebagai seorang penulis...menulis kerana Allah..menulis kerana mahu mendidik dan menyampaikan pesanan =)
Salam Kak Yati,
Am memang sangat selektif membeli novel. 2 minggu lepas, am meminjam sebuah buku novel popular yang menjadi juara carta di sebuah rangkaian kedai buku. Penat sangat rasanya membaca buku itu kerana logiknya tiada dan sangat kosong. Kasihan pada pembeli.
yg pasti ida mmg suka tulisan akak sebab byk pengajaran dan kebaikan..
sayang akak!!!
Assalamualaikum Puan Norhayati,
Terima kasih sudi berkongsi tulisan dan nasihat yang bernas ini. Sangat benar, penulis memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan mesej kepada pembaca. Pengaruh penulis memang cukup besar.
Saya suka tulisan Puan. Memnun oldum, Puan. Allah'a emanet olun.
Post a Comment