Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Friday, June 27, 2008

KEMBALIKAN CINTAKU- OGOS


Apa perasaan anda orang yang kita sayang, pergi tanpa khabar berita. Itu yang terjadi pada Wardina. Berkahwin ketika sama-sama menuntut di Aachen Jerman dan kemudian apabila suaminya Zafrul meminta izin pulang ke Malaysia. Sejak itu mereka tidak bertemu lagi. Wardina memang sengsara. Lelaki itu satu masa dahulu yang memaksa menerimanya dan kemudian meninggalkan dia pergi. Dia rasa harga dirinya, terbang hilang!
Dapatkah Wardina bangun dari resah yang berpanjang dan ke mana perginya Zafrul selama ini.

P/S Orang macam saya memang sering 'terpaksa' berfikir dan berfikir. Sampaikan fikiran saya terbawa-bawa hingga ke mimpi. Dan tajuk ini menjelma dalam mimpi saya..dan dengan segera saya beritahu editor saya keesokan harinya. Takut nanti saya terlupa. Kata dia tajuk ini sedap. Apa lagi.....proceed!

Thursday, June 26, 2008

BERBANGGALAH DENGAN ANAK KITA

Hari itu ketika saya sedang membelek-belek baju kanak-kanak di Jusco Melaka tiba-tiba, saya disapa oleh seseorang.
“Tie!”
Mata saya terbeliak. Itu sahabat sekolah saya lebih 20 tahun yang lalu! Aduhai lamanya. Terima kasih kerana dia masih mengenali saya lagi!
“Puan Sri buat apa kat sini?”
Saya bergurau sambil merenung wajah dan tubuhnya. Kalau dia tidak menegur saya terlebih dahulu memang saya tertanya-tanya juga apakah dia kawan saya satu ketika dahulu. Saiz tubuhnya sudah dua kali ganda. Mungkin sedang berbahagia sekarang?
“Hiss..kau ni….”
Gurau sahabat saya yang biar saya panggil Aya sahaja. Aya dahulu satu kelas dengan saya. Anak seorang Datuk yang agak popular di Melaka. Dia seorang yang cukup pendiam, bahkan dia bukanlah pelajar yang pandai. Dibandingkan saya yang tidak pandai, dia lebih lagi tidak pandai. Bahkan dia mengulangi ketika berada di dalam tingkat 5.
“Kau dah jadi penulis terkenal. Aku selalu baca buku kau tau! Datanglah ke rumah aku..”
Aya menyambung kata. Saya tersenyum.
“Penulis terkenal apa ke benda!”
Sahut saya. Aya ketawa mengekeh. Dia tampaknya tidak seperti dahulu. Dahulu dia amat pendiam dan hanya bercakap bila perlu sahaja. Tapi sekarang dia benar-benar tampak ceria.
“Kau buat apa sekarang Aya?”
“Aku jaga emak aku. Ayah aku dah meninggal dah pun. Tapi sebelum meninggal dia lumpuh. Akulah yang jaga dia pun. Kau dah kahwinkan? Anak seorang…”
Tampaknya Aya memang tahu mengenai saya. Saya tidak bertanya macam mana dia tahu, mungkin ada orang lain memberitahu mengenai saya kepadannya.
“Kau?”
“Aku dah ada anak empat dah. Suami aku cuma orang biasa-biasa aja. Kau tahulah aku. Dahlah tak cantik, bengap. Dapat suami biasa-biasalah…”
“Abis..suami aku luar biasa ke, ada tanduk ke Aya?” berderai ketawa Aya memenuhi ruang di Jusco itu.
“Kau ni. Suka usik kawan-kawan macam dulu juga..tapi syukurlah.Walau aku bengap, walau suami aku biasa-biasa aja. Kamilah yang menjaga ayah masa dia di serang stroke. Kau tahulah adik beradik aku yang lain-lain semuanya pandai-pandai…”
Saya tahu dilemma Aya. Dia sering merasa rendah diri kerana dia seorang yang agak perlahan dalam menerima pelajaran ketika di sekolah dahulu. Bahkan dia sering dimarahi oleh emak dan ayahnya.
“Kau tahulah..Datuk kalau dapat anak bengap macam aku. Masalahlah..malu..”
Berderai ketawa Aya dihujung kata-katanya. Saya turut ketawa. Wajah ceria Aya mengambarkan dia benar-benar gembira dengan hidupnya sekarang ini.
“Memang Aya ya, sebagai emak kita mahu anak kita berjaya. Belajar hingga ke menara gading. Menjawat jawatan tinggi. Tetapi kita lupa satu. Setiap anak mempunyai tahap kebolehan yang berlainan, bahkan kita juga lupa. Anak yang tidak pandai itu ada cara lain yang akan mengembira dan membahagikan kita…”
Saya sendiri bukan anak kebanggaan keluarga saya. Tidak begitu pandai, SPM pun hanya cukup makan. Namun saya masih boleh membuat ayah saya bangga dengan rajin berusaha sehingga berjaya juga belajar di kolej dan universiti, dan paling penting tidak melawan cakap dan menziarahi dia selalu di kampong.
“Itu yang emak aku cakap tu. Dia bersyukur sebenarnya aku tak pandai. Pandai akan membawa aku jauh pada emak aku macam abang dan kakak-kakak aku. Ada yang duduk Di London, ada yang berada Jeddah, ada yang berada di Swiss. Anak yang tidak pandai inilah yang masih berada dengan dia. Duduk dan menjaga dia. Paling kurang Tie..rasa bersalah aku kerana tidak pandai sekarang ini tertebus juga…”
Saya menganggukkan kepala, tanda setuju dengan kata-kata Aya.
“Tie..aku memang nak jumpa kau sangat-sangat. Kau ingat tak setiap kali aku cakap dengan kau, aku memalukan keluarga aku kerana tak lulus periksa. Kau selalu cakap satu masa nanti aku akan membuat ayah dan ibu aku bangga dengan aku. Cuma waktunya sahaja akan menentukan. Kau memang betullah Tie.."
Tidak lama kemudian perbulanan kami berakhir. sebelum pulang..kami kemudian berpelukan. Ketika Aya melangkah pergi, saya renung belakang Aya dengan perasaan bangga. Bangga kerana Aya sudah membuat emak dan ayah gembira dengan dia.

Wednesday, June 25, 2008

KAN AKU DAH KATA!

Hari itu 25 December 2007, saya keluar bersama dengan suami untuk meraikan ulang tahun perkahwinan kami yang jatuhnya pada hari esok. Oleh kerana hari esoknya suami agak sibuk jadi kami meraikan satu hari lebih awal. Ketika keluar dari rumah dan melalui lebuhraya saya terpandangkan sebuah kereta, serupa dengan kereta adik ipar saya yang tinggal di kampung di jalan yang bertentangan. Bahkan dengan amat jelas saya dapat melihat wajah anak buah saya Danish yang menjengukkan mukanya melalui tingkap kereta.
“Eh…mereka nak datang ke rumah kita ke?” saya tanya suami saya yang sedang memandu.
“Siapa?” tanya suami saya pelik apabila saya berkata begitu.
“Saya nampak kereta Hamdan dan saya nampak Danish keluarkan mukanya melalui tingkap. Saya nampak Danish dan itu kereta Hamdan..”
Saya berkata dengan suami saya. Lantas suami saya menyuruh saya menelefon adik dan adik ipar saya. Manalah tahu mereka datang untuk menziarahi walaupun amat jarang mereka datang ke rumah saya kerana selalunya saya yang balik ke kampung.
“Hey..nanti. Bukankah Ateh sekarang tengah sarat mengandung. Tak mungkin dia datang ke rumah..”
Baru sahaja mahu menekan butang telefon tangan saya, saya membuat andaian. Ya..tak mungkin adik saya yang saya panggil Ateh dan suaminya yang bernama Hamdan akan datang ke rumah kerana Ateh memang sedang sarat sekarang ini.
“Lama lagi dia nak bersalin.?” Tanya suami saya.
“Dalam dua, tiga minggu lagi..”
“Masih boleh berjalan lagi kalau mereka mahu…”
Ahh..tak mungkin. Ateh tak mungkin akan datang ke rumah saya dalam waktu begini. Namun kerana tidak sedap hati saya menelefon Ateh di kampung. Kebetulan dia yang mengangkat telefonnya. Hiss..tak kerjakah adik saya?, sedangkan hari ini bukan hari minggu.
“Teh..kau dah beranak belum..” sebaik sahaja mendengar suara adik saya. Itu soalan yang saya hulurkan kepadannya.
“Ishh..kak Tie ni merepek aja. Belum lagilah. Orang ada dua minggu lagi.” Balas adik saya terus sambil ketawa-ketawa. Lalu saya ceritakan pada Ateh apa yang saya lihat dan bertanyakan dia kenapa dia berada di rumah sekarang ini.
“Orang buat check up tadi. Doktor kata lama lagi, dalam 2-3 minggu orang bersalin. Tahun depan..” terang adik saya. Ahh..doktor, membuat perkiraan mengikut ilmu yang dipelajarinya tetapi ALLAH lebih mengetahui. Macam saya dahulu. Doktor mengatakan saya mungkin akan melahirkan Qaisara awal Feb, tetapi awal minggu ke dua Januari Qaisara sudah menjengukkan mukanya ke dunia..
“Aku rasa kau nak beranak tak lama lagi ni Teh. Anak lelaki .” beritahu saya pada Ateh yang terus-terusan ketawa dengan andaian saya. Setiap kali saya bertanya Ateh jantina anaknya, doktor mengatakan kemungkinan perempuan kerana tidak nampak apa-apa. Tetapi gerak hati saya mengatakan adik saya akan melahirkan anak lelaki.
“Taklah. Lama lagi. Kak Tie pandai aja..” Balas Ateh beria-ia.
Tidak lama kemudian perbualan kami dihentikan. Saya langsung tidak memikirkan apa-apa sehinggalah saya balik daripada meraikan majlis ulang tahun perkahwinan saya dan suami, saya melihat ada 6 missed call daripada kakak saya di kampung. Hiss..apa hal pula ni. Hati saya berdetik. Lantas tanpa berlengeh saya menelefon kakak saya Maznah yang rumahnya hanya beberapa meter dari rumah adik saya..
“Ateh…dah masuk hospital. Dah keluar air. Lepas kau telefon tadi..”
Beritahu kakak saya. Dia menceritakan bagaimana Ateh datang ke rumahnya, memberitahu saya menelefon dan menceritakan perbualan kami. Sebab itu kakak saya menelefon berkali-kali kerana begitu teruja mahu memberitahu yang Ateh sudah ke hospital.
“Ahhkan aku dah kata..” saya membalas separuh menjerit.
Saya mendapat tahu, adik saya dimasukkan ke hospital pada pukul empat petang. Namun sampai malam dia masih belum bersalin lagi.
“Dia nak tunggu besok tu, esokkan hari ulang tahu perkahwinan Kak Tie..” saya bergurau dengan adik saya. Dan tepat seperti jangkaan saya. Pada pukul 1 pagi 26 December 2007, adik saya melahirkan.
“Lelakikan? Muka dia sebiji macam Danish?”
Sebaik sahaja adik ipar saya menelefon pada esok paginya memberitahu yang Ateh sudah bersalin, saya terpa dia dengan soalan tersebut. Hamdan adik ipar saya ketawa-ketawa mendengarnya.
“Yalah..Kak Tie. Lelaki, rupa dia memang serupa dengan muka abangnya. Setepek. Sebiji....” balas Hamdan dalam percakapan orang Melaka sejati.
Alhamdulilah….dan dua hari selepas itu saya pulang ke kampung dan melihat anak buah saya, yang saya ‘lihat’ lebih dahulu daripada orang lain.


Monday, June 23, 2008

PEMBANTU RUMAH LAGI...

“Ayoo yati. Gilah maid baru saya tu..”
Hari itu jiran di belakang rumah saya datang menjengukkan mukanya di muka pintu pagar rumah saya. Sebaik sahaja melihat muka saya itu yang diucapkannya. Jiran berbangsa cina itu datang kerana saya mengirim dia beberapa barang dari pasar. Walau dia baru berpindah tetapi hubungan saya dengan dia agak baik..
“Kenapa?”
Saya mempersilakan jiran saya masuk. Wanita beranak empat itu mengeluh sambil melabuhkan punggung di sofa.
“Hari itu dia jaga nenek saya. Dia jatuhkan nenek saya dibilik air. Ayooo..kesian nenek saya. Dia kasarlah, nenek saya bukannya gemuk. Kurus. Sudah tua, umur 90 tahun. Angkat sahajalah baik-baik. Bukan berat pun”
Wanita yang saya panggil Ah Wah itu menggelengkan kepalanya. Saya tahu Ah Wah baru mengambil pembantu rumah yang baru. Pembantu rumah bertubuh gempal itu pertama kali datang sudah menjerit-jerit memanggil pembantu rumah saya. Namun pembantu rumah saya malas mahu melayannya.
“Lepas tu awak tahu. Nenek saya banyak pakai cincin, pakai gelang. Dia cakap dengan nenek saya, nanti kalau nenek mati. Dia suruh nenek saya bagi cincin dengan geleng itu pada dia.”..”
Ah Wah berkata sambil menggelengkan kepalanya. Saya yang mendengar hanya mampu menelan air liur tetapi di dalam hati menyirap bukan main. Kisah pembantu rumah memang tidak pernah habis!
“Baru kerja 2 hari sudah minta saya RM30 untuk top up telefon. Lepas tu minta saya punya pencuci muka. Kalau dia sudah kerja 2 atau 3 bulan, boleh saya belikan. Tapi ini baru 2 hari. Itu maid banyak gilalah…”
Sekali lagi Ah Wah menggelengkan kepalanya. Sudah banyak pembantu rumah yang dia ada, kali ini dia dapat pembantu rumah gila. Bukan sahaja berkira dalam kerja tetapi sudah pandai minta itu ini.
“Kesian youlah. Pulangkanlah. Telefon agen..”
Saya sebenarnya rasa bersalah, kerana saya yang memperkenalkan agen tersebut kepada Ah Wah. Agen tersebut juga yang mencarikan pembantu rumah baru untuk saya. Tetapi sepanjang 2 bulan, saya tengok pembantu rumah baru saya agak baik orangnya. Bahkan pembantu rumah saya ini rajin memasak terutamanya, tempeyek atau tumpi yang sering saya agihkan kepada jiran.
“Yalah..saya sudah minta tukar, sudah dapat baru. Itu pun sama gila. Telefon sana telefon sini. Duduk dalam bilik asyik telefon. Kerja tak mahu, suruh dia buang sampah. Dia suruh saya balik. Sampai dalam toilet pun masih juga mahu telefon. Pening…pening.”
Kasihan saya mendengar cerita Ah Wah. Memang susah kalau dapat pembantu rumah yang tidak tahu bahasa bahkan membuat semua perkara sesuka hati sahaja. Bahkan paling menyakitkan dan pantang bagi saya. Baru bekerja sehari dua, sudah tahu meminta itu ini. Memang benar-benar tidak tahu malu mereka ini!

Sunday, June 22, 2008

YANG HARUS KITA KONGSI BERSAMA

Suara Wanita Bukan Aurat
Oleh: Mohd Rumaizuddin Ghazali

Sebahagian orang berprasangka buruk terhadap golongan wanita. Mereka menganggap wanita sebagai sumber segala bencana dan fitnah. Jika terjadi sesuatu kejadian, mereka berkata bahawa perkara ini terjadi kerana wanita.Wanita merupakan sebab terjadinya penderitaan manusia sejak nabi Adam kerana wanitalah yang mendorong Adam untuk memakan buah terlarang hingga dikeluarkannya dari syurga dan terjadilah penderitaan dan kesengsaraan ke atas dirinya dan diri kita sekarang. Anehnya, mereka mengemukakan dalil-dalil agama untuk menguatkan pendapatnya itu, yang kadang-kadang tidak sahih dan adakalanya sahih tetapi disalah ertikan dan difahami secara tidak benar. Umpamanya hadis-hadis yang berisi peringatan terhadap fitnah wanita dan hak-hak mereka.

Sebenarnya agama Islam adalah agama yang paling memuliakan wanita, memberi hak-hak yang secukupnya dan menyayanginya. Islam memuliakan wanita sebagai seorang manusia, ibu, isteri, anggota masyarakat dan warganegara. Nyata sekali bahawa wanita dan lelaki memiliki kesatuan asal, kediaman dan tempat kembali. Mereka semua memiliki hak sama untuk hidup dan kehormatan serta seluruh hak yang bertautan dengan hak hidup ini. Oleh kerana itu, darah, harta dan kehormatanm wanita harus dihormati, tidak boleh diperdaya dan dihinakan, tidak boleh diganggu-ganggu kerana mereka sebagai wanita.Itulah hak-hak yang sama-sama dimiliki oleh wanita dan lelaki.Tidak ada satu pun nas Islam baik al-Quran mahupun al-sunnah sahihah yang mengatakan bahawa wanita penyebab diusirnya laki-laki dari syurga dan menjadi penyebab penderitaan manusia seterusnya. Bahkan al-Quran menegaskan bahawa Adamlah orang yang pertama yang diminta untuk dipertanggungjawabkan. Namun, masih ramai yang merendahkan kaum wanita dengan cara mengurangi hak-haknya serta mengharamkannya dari apa-apa yang telah dibenarkan oleh syarak. Pahadal syariat Islam telah meletakkan wanita pada kedudukan yang sangat jelas dan tinggi iaitu sebagai seorang manusia, ibu, isteri dan anak perempuan.
Keistimewaan Islam ialah ia merupakan suatu sistem yang aktual, selalu sesuai dengan sifat naluri fitrah manusia, tidak berlawanan atau menyimpang dari watak-wataknya. Islam menyeru umat manusia memelihara dan mengembangkan fitrahnya sampai mencapai tingkat yang dicita-citakan. Namun dalam usaha pengembangan dan pemeliharaan ini, Islam tidak menghendaki manusia merubah kudrat dan fitrah dirinya kerana akan menimbulkan akibat buruk bagi kemanusiaan. Islam lebih percaya bahawa kebaikan kemanusiaan yang utuh lebih tepat dicapai dengan usaha yang seiring dengan fitrah iaitu setelah diasuh dan dibina sehingga terangkat pada taraf paling mulia dan baik. Dalam masalah lelaki dan wanitapun, Islam memberikan jalan-jalan yang seiring dengan fitrah masing-masing. Apabila Islam mempersamakan atau membedakan antara keduanya, hal ini berdasarkan persamaan dan perbezaan yang berdasarkan fitrah semata-mata. Perkara yang menyedihkan lagi, sikap merendahkan martabat wanita ini selalu dikaitkan dengan atas nama ajaran Islam padahal Islam bebas dari semua itu. Orang –orang yang bersikap demikian kerap menisbahkan pendapatnya dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi. Nabi sendiri sentiasa mengambil pandangan daripada isteri-isteri baginda apabila berlaku sesuatu masalah. Pernah Rasulullah bermusyawarah dengan isterinya Ummu Salamah dalam urusan penting mengenai umat. Lalu Ummu Salamah mengemukakan pemikirannya dan Rasulullah pun menerimanya dengan rela dan sedar dan ternyata dalam pemikiran Ummu Salamah itu terdapat kebaikan dan berkat.Ada golongan yang menyebutkan bahawa wanita itu jelek segala-galanya dan segala kejelekan itu berpangkal dari wanita. Perkataan ini tidak boleh diterima sama sekali, ia bukan dari logika Islam dan bukan dari nas al-Quran mahupun hadis. Islam tidak pernah diskriminasi seperti itu. Ajaran al-Quran menyamakan kedudukan lelaki dan wanita, wanita beriman dengan lelaki beriman, wanita yang taat dengan lelaki yang taat, wanita yang benar dengan lelaki yang benar dan seterusnya.Salah satu isu yang sering ditimbulkan adalah suara wanita adalah aurat kerana itu wanita tidak boleh berkata-kata kepada lelaki selain suami dan mahramnya. Mereka menyebutkan bahawa suara wanita dengan tabiat yang merdu dapat menimbulkan fitnah dan membangkitkan syahwat. Padahal, al-Quran dan hadis merakamkan peristiwa yang memperbolehkan lelaki bertanya kepada isteri-isteri nabi dari balik tabir. Pertanyaan dari para sahabat itu sudah tentu memerlukan jawapan dari ister-isteri nabi. Mereka biasa memberi fatwa kepada orang yang meminta fatwa kepada mereka dan meriwayatkan hadis-hadis bagi orang yang ingin mengambil hadis mereka.Saidatina Aisyah merupakan seorang yang banyak memberi fatwa dan periwayat hadis terutama mengenai perkara rumahtangga Rasulullah dan hal-hal berkaitan dengan wanita.Para sahabat merujuk kepadanya apabila berlaku sesuatu kemusykilan dalam perkara tersebut. Pernah ada seorang wanita bertanya kepada nabi dihadapan kaum lelaki. Ia tidak berasa keberatan melakukan hal tersebut dan nabi pun tidak melarangnya. Saidina Umar pernah ditegur dan disangkal pendapatnya oleh seorang wanita ketika Umar sedang berpidato di atas mimbar. Atas sanggahan itu, Umar tidak mengingkarinya, bahkan ia mengakui kesalahannya sendiri. Al-Quran juga merakamkan kisah seorang gadis muda, anak nabi Syuib yang berkata kepada Musa a.s. Firman Allah yang bermaksud : “ Sesungguhnya bapaku memanggil kamu agar ia memberi balasan terhadap kebaikan kamu memberi minum ternakan kami.” (al-Qashash, ayat 25)Al-Quran juga menceritakan percakapan yang terjadi antara nabi Sulaiman a.s dengan Ratu Saba, serta percakapan sang Ratu dengan kaumnya yang lelaki. Perkara yang dilarang bagi wanita ialah melunakkan pembicaraan untuk menarik lelaki yang al-Quran istilahkan dengan al-khudhu bil-qaul (lunak dalam berbicara) seperti firman Allah yang bermaksud : “ Wahai isteri-isteri nabi, kamu sekelian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik.” (al-Ahzab, ayat 32) Allah melarang cara berbicara yang boleh membangkitkan nafsu orang-orang yang hatinya “berpenyakit”. Namun, ia bukan bermakna Allah melarang semua percakapan wanita dengan setiap lelaki. Allah menyarankan dalam ayat di atas supaya bercakap dengan cara yang paling beradab dan bersopan.Orang-orang yang merendahkan wanita sering memahami hadis dengan salah. Hadis-hadis yang mereka sampaikan antara lain yang diriwayatkan Imam al-Bukhari bahawa nabi s.a.w, bersabda yang bermaksud : “ Tidaklah aku tinggalkan sesudahku suatu fitnah yang lebih membahayakan bagi lelaki daripada fitnah wanita.”Kebanyakan orang memahami hadis ini dengan pengertian yang salah dengan mengertikan bahawa setiap wanita itu jelek dan merupakan azab, ancaman atau musibah yang ditimpakan manusia seperti ditmpa kemiskinan, -penyakit, kelaparan dan ketakutan. Mereka melupakan bahawa manusia sering diuji dengan kenikmatan lebih banyak daripada diuji dengan musibah. Firman Allah yang bermaksud : “ Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan yang sebenar-benarnya.” (al-Anbiya’, ayat 35)Al-Quran juga menyebutkan harta dan anak-anak yang merupakan kenikmatan hidup dunia dan perhiasannya sebagai fitnah yang harus diwaspadai. Fitnah harta dan anak-anak itu ialah kadang-kadang harta dan anak-anak melalaikan manusia dari kewajipan kepada Tuhannya dan melupakan akhirat. Sebagaimana dikhautirkan manusia terfitnaholeh harta dan anak-anak, mereka juga dikhuatirkan terfitnah oleh wanita, terfitnah oleh isteri-isteri dari mengingati Allah dan menyibukkan mereka dengan kepentingan-kepentingan diri dan keluarga daripada kepentingan agama. Wanita-wanita itu menjadi fitnah apabila mereka menjadi alat untuk membangkitkan hawa nafsu dan syahwat. Perkara ini adalah suatu bahaya yang sangat besar kerana ia boleh menghancurkan akhlak, mengotori harga diri dan menjadikan keluarga berantakan dan masyarakat rosak. Peringatan untuk berhati-hati terhadap wanita disini seperti peringatan untuk berhati-hati terhadap kenikmatan harta, kemakmuran dan kesenangan hidup. Dalam konteks sekarang,para ulamak harus bersikap optimis kerana sebahagian besar wanita kini adalah rakan dan pengerak kepada pembangunan negara. Wanita kini bukan lagi mengurungkan diri di rumah tetapi berpatisipasi secara aktif dalam masyarakat. Oleh hal demikian, kenyataan dan pendapat mengenai isu wanita haruslah dilihat dalam bentuk realiti semasa, bukan mengembalikan mereka ke zaman yang mundur dan jahiliah sepertimana pendapat setengah ulamak yang mengharamkan wanita untuk memandu dan mengundi dalam pilihanraya seperti yang berlaku di sesetengah negara-negara Islam yang lain

Friday, June 20, 2008

SYUKUR!

KEMBALIKAN CINTAKU..akan memasuki pasaran pada awal bulan August. Alhamdulilah..syukur sangat. Terlalu bersyukur kerana dapat menyelesaikan sebuah lagi novel. Dipanjatkan rasa terima kasih kepada ALLAH kerana masih lagi memberi saya idea untuk menulis. Terima kasih pada pembaca yang masih sudi membaca novel saya. Walau jualan novel tidak serancak dulu tetapi novel-novel saya masih mampu berganding dengan penulis novel lain terutama dari syarikat gergasi tanah air.
Cuma...kalau seseorang penulis mengatakan perkara yang paling mereka tidak suka adalah ketika ketiadaan idea, tetapi bagi saya pula perkara yang saya tidak suka. Apabila idea saya turun mencurah-curah. Ramai yang mengatakan saya pelik. Tetapi itu adalah kebenarannya. Beberapa hari ini saya menulis dan idea saya begitu banyak sekali. Menjadikan saya berhenti menulis buat seketika bagi menenangkan diri yang sedang bergelodak dengan pelbagai cerita dan juga idea. Bila sudah terlalu banyak idea, saya jadi rambang fikiran. Kadangkala tengah menulis watak A, teringat pula watak Z. Kadangkala tengah bercerita kisah di Jerman, teringat pula nak menulis cerita di Marang.
Ada pembaca bertanya, kalau tidak ada idea macam mana? Itu perkara biasa seorang penulis. Idea boleh dicari di mana-mana biarpun hanya membelek beberapa helai muka surat dari sebuah buku dan saya tahu itulah ketikanya saya mempunyai peluang membaca dengan fikiran aman tanpa diganggu dengan idea-idea penulisan.

Thursday, June 19, 2008

TENSION GILER!

Minggu ini syarikat NB Kara dan juga jiran-jiran bersebelah, tension lagi. Grill yang dipasang di anak tangga menunju ke pejabat saya dan 3 jiran lagi dikopak. Gril tersebut yang cukup banyak mangganya pun masih mampu di kopak oleh sipenjenayah. Dan kali ini jiran saya sebuah syarikat guaman dirompak. Sakit hati saya bukan kepalang. Wajah sahabat peguam saya seperti tidak berdarah melihat pejabatnya dimasuki.
Manusia apakah ini? Hidupnya hanya mencuri dan memakan benda yang tidak halal.
Sekarang kami telah merancang beberapa langkah keselamatan. Dan sekali lagi saya berdoa, supaya manusia yang merompak dan hanya tahu makan hasil rompakan ini diberi Hidayah oleh ALLAH bertaubat dan diberi penganjaran sewajarnya.

Monday, June 16, 2008

DARLING OH DARLING

Hari itu ketika balik dari sekolah, hati saya seperti tidak senang. Selalunya setiap kali saya pulang saya pasti akan mendengar bunyi loceng menerpa ke arah saya dan bunyi loceng itu seperti satu hiburan yang paling berharga buat saya.
“Darling..darling. Darling…”
Saya menjerit-jerit memanggil nama Darling. Sejak emak meninggal saya semakin rapat dengan Darling. Darling satu-satunya yang mengerti perasaan saya, teman suka dan duka saya. Walau Darling tidak boleh bercakap dengan bahasa yang sama dengan saya. Tetapi Darling cukup mengerti dan faham dengan apa yang saya beritahu dia.
“Darling, darling. Mana kau..”
Sambil duduk di tangga rumah, saya termenung memikirkan di mana Darling. Selalunya tidak perlu dipanggil Darling seperti dapat mencium bau saya. Bahkan mendengar saya melangkah sahaja Darling sudah menunjukkan wajahnya.
“Darling sakitkah..”
Saya berfikir dalam hati. Saya tahu hati Darling rawan kerana kematian emak. Sebelum emak meninggal, Darling amat rapat dengan arwah emak. Bahkan ketika emak bangun menoreh pukul 3 pagi pun, Darling akan menemani emak sambil duduk di bahu emak.
“Darling!””
Saya cuba memanggil Darling sekali lagi. Dua minggu yang lepas rawan hati Darling bertambah. Darling keguguran. Dari kemaluan Darling keluar darah tanpa henti menyebabkan kami terpaksa mencuci lantai rumah yang penuh dengan darah Darling..
‘Darling!”
Hati saya tidak puas, dengan baju sekolah saya mencari Darling keliling rumah. Manalah tahu Darling merajuk. Saya fikir..apakah saya telah membuat Darling berkecil hati? Ahh..tidak pernah dan tidak mungkin. Darling saya bela macam adik saya sendiri. Bahkan sejak akhir-akhir ini, Darling selalu tidur di perut atau di celah ketiak saya. Akhirnya selepas beberapa kali berpusing di keliling rumah, saya masih tidak menjumpai Darling.
“Mungkin Darling sudah lari..”

Wajah Darling sedikit lebih kurang macam kucing dalam gambar ini. Cuma Darling memakai loceng dan agak hitam. Walau hampir 30 tahun berlalu, tapi ingatan saya terhadap Darling tetap utuh. Dan sampai sekarang saya tidak mahu ada apa-apa hubungan perasaan dengan mana-mana kucing.

Mata saya basah. Saya cuba mengingati kesalahan yang telah saya lakukan terhadap Darling. Tidak ada! Sah..memang tidak ada. Hubungan saya dengan Darling bahkan dengan kaum kerabat Darling sebelum ini saya jaga dengan cukup baik. Sebelum Darling, saya berkawan rapat dengan Pak Mary yang sudah pun mati dan saya kuburkan. Kubur Pak Mary masih lagi saya ingat kerana ada pokok Puding yang saya tanam di situ. Sebelum Pak Mary saya baik dengan Kantan yang suka makan durian, Cicak yang suka makan biskut dan tidak suka makan nasi. Tina yang amat manja dan suka tidur siang dan malam, walau dia tidak melakukan apa-apa saya tetap sayang dengannya.Namun semuanya kini tidak ada, ada yang mati dan ada yang lari merajuk kerana saya memarahi mereka.

Namun bagi saya Darling paling istimewa. Darling terlalu manja dan saya tahu di hari kematian emak Darling berbunyi tanpa henti seolah-olah menangis sama atas pemergian emak.
Berhari-hari lamanya saya mencari Darling. Namun Darling tidak saya ketemui lagi. Saya tidak tahu di mana Darling berada. Mati dimakan ular agaknya? Itu perkiraan saya. Merajuk tidak mungkin kerana saya tidak pernah berbuat silap dengan Darling. Bahkan hubungan saya teramat baik dengannya. Berhari-hari itu jugalah saya menangis dan meratapi kehilangan Darling seperti saya meratapi kehilangan Pak Mary, Kantan, Tina, Cicak dan lain-lainnya.
Dan sampai sekarang, memang banyak kucing yang datang ke rumah saya dan saya beri mereka makan.. Namun saya tidak mahu lagi rapat dengan mereka. Kerana rasa sakit kehilangan Darling masih saya ingat sampai bila-bila.

Saturday, June 14, 2008

BETUL KE KATA ORANG?

“Orang-orang Jepun cukup menekankan kualiti” Itu kata Gogi pada kami semuanya.
“Kamu tahu, apple fuji yang berada di pasaraya Malaysia itu adalah fuji dari Jepun yang tidak begitu baik kualitinya. Kerana bagi orang Jepun, mereka hanya makan buah yang berkualiti dan yang tidak baik mereka jual ke negara luar, Mereka telah mencipta beberapa jenis buah-buahan yang sungguh sedap rasanya. Bahkan rata-rata buah-buah di sini memang cukup berkualiti…”
Begitu beria-ia Gogi bercerita. Saya memang sukakan buah-buahan dan sebentar nanti saya akan cuba membeli beberapa jenis buah-buah yang terdapat di Jepun dan cuba memakannya. Saya tahu perangai orang Jepun yang mementingkan kualiti selalu diuar-uarkan di dalam akhbar. Bahkan di Malaysia sendiri Pak Menteri seringkali mengesyorkan supaya kita mengikut perangai orang Jepun yang amat mementingkan kualiti.
“Kamu tahu mereka juga terlalu obsess dengan makanan mereka sendiri. Pada tahun 1995 mereka kekurangan beras. Krisis beras telah berlaku, kerajaan Jepun telah mengeksport beras dari Thailand. Namun penduduk Jepun telah menolak beras tersebut. Mereka lebih sanggup makan keledak dan juga ubi kentang yang mereka tanam sendiri. Mereka lebih mementingkan kualiti yang mereka makan.”
Saya mengerutkan dahi. Semalam saya baru membaca sebuah buku yang saya beli di Narita dan baru belajar memahami perkataan Jepun ‘wabi-sabi’. Wabi -Sabi adalah ‘art’ Jepun yang mengkehendaki seseorang itu menerima kehidupan yang natural dan ringkas, segala kekurangan bahkan menerima kematian dengan hati yang terbuka. Contoh Wabi Sabi adalah pasar malam, bukannya gedung besar, kayu hutan dan bukannya pergo, kertas beras bukannya gelas. Bahkan keretakkan sesebuah rumah harus diterima sebagai sesuatu yang lumrah di dalam kehidupan.

Dan bagi membuktikan yang kata-kata Gogi ada benarnya, petang itu saya memborong beberapa jenis buah-buahan di Pasara Takashimaya Time Square yang menjual pelbagai barangan berjenama dunia. Dan sehari kemudian saya beli beberapa jenis buah di sebuah pasar buah-buahan dan sayuran untuk dibuat perbandingan mengenai kualitinya. Satu yang bagusnya di Jepun ini, gedung ternama atau pasar biasa akan menjual buah-buahan dan makanan dengan harga yang agak sama.

Buah ceri memang buah kegemaran saya. Setiap kali saya pergi ke negara empat musim saya akan mencari buah ceri. Bagi saya buah Ceri terbaik yang pernah saya makan adalah dari Turki. Ketika saya mengandung dan menghadapi alahan yang teruk dan hanya mampu memakan buah-buahan. Suami mengirim dengan saudara mara yang datang ke sini, ceri dari Turki. Buahnya begitu besar dan segar. Bahkan harganya jauh lebih murah dari di Jepun. RM10 sekilo tetapi di Jepun RM70-100 (sama lebih kurang dengan harga di Malaysia).


Buah anggur. Saya beli dengan harga RM20 sekilo. Tetapi saya rasa masih terdapat banyak anggur yang lebih sedap dan enak di Malaysia kerana Malaysia mengimport pelbagai jenis anggur daripada red globe sehinggalah kepada Thompson seedless.


Saya juga membeli beberapa jenis buah apple yang dikatakan terbaik di Jepun. Entahlah..bagi saya yang pengemar buah ini tidak merasakan kelainannya, bahkan buah yang saya beli dengan harga RM7.50 sebiji ini agak bergabus dan lembut. Tidak rangup seperti yang saya harapkan.

Makanan Jepun yang terpaksa kami hadap untuk beberapa hari, sehingga memaksa saya balik ke hotel dan memasak mee segera.

Thursday, June 12, 2008

MANA ADA SIAL?

“Saya rasa nak minum air koko..”
Pada satu malam saya memberitahu pembantu rumah saya ketika kami sama-sama menonton telivisyen.
“Biar saya buatkan ibu..” tawar pembantu saya.
“Tidak..tidak. Biar saya buat sendiri..” tegah saya.
Sejak azali lagi saya memang tidak suka sesiapa sahaja membuatkan air untuk saya, terutamanya air panas..Bahkan ketika saya bekerja dahulu, saya akan menyibuk di pantry setiap pagi untuk membuat air walaupun ditempat kerja ada pembancuh teh.
Bercerita mengenai pembancuh teh, saya teringatkan kisah seorang pembancuh teh yang saya kenali. 8 tahun yang lepas ketika saya masih bekerja, saya dan kawan-kawan yang bekerja di salah sebuah bank, mengumpul sedikit wang bagi membeli hadiah untuk majlis perkahwinan seorang kakak pembancuh teh di tempat kerja saya.
“Akak takut nak kahwinlah Tie..”
Balas kakak pembancuh teh yang bernama Ramlah yang ketika itu berusia dalam lingkungan 40an. Saya memang agak rapat dengannya, kami selalu bercerita di pantry setiap pagi. Kadangkala riuh suara kami berdua bergurau dan ketawa. Ada-ada sahaja yang kami ceritakan.
‘Ishh..akak ni, orang kahwin suka. Akak takut pulak..” saya bergurau. Kak Ramlah hanya tersenyum dan senyumannya dapat saya rasakan seperti ada yang tidak kena.
“Dah tiga kali akak bertunang, semuanya tak jadi. Ada yang putuskan pertunangan dan ada juga tunang akak yang meninggal dunia…”
“Iya ke? Akak bertunang dengan pilihan hati akak ke?” Saya cuba mengorek cerita daripada Kak Ramlah.
“Tidak..semuanya pilihan dan desakan keluarga..”
Lalu kakak tersebut menceritakan satu persatu kisah pertunangannya yang tidak menjadi dan keluarganya sering mengatakan dirinya mempunyai ‘sial’ yang perlu dibuang. Sudah banyak bomoh yang dia pergi namun sial tersebut masih tidak berjaya disingkirkan dari tubuhnya.
Berkali-kali saya menyakinkan dia dan menyuruh dia percaya pada dirinya sendiri dan saya katakan tidak ada sial di dalam diri seseorang.
Namun sebelum sehari menjelang perkahwinan kakak tersebut, saya menerima perkhabaran. Tunangan kak Ramlah terlibat dalam kemalangan jalanraya dan mati di tempat kejadian dan perkahwinan yang seharusnya dijalankan dijadikan kenduri tahlil. Saya seperti terduduk menerima berita tersebut. Seperti tidak percaya dan saya teringatkan kata-kata Kak Ramlah yang ‘sial’ di dalam dirinya memang tidak dapat dibuang.
“Ahh..mana ada sial dalam diri seseorang. Ini hanya dugaan hidup. Dugaan kecil dalam hidup..”
Saya menindakkan dalam hati. Dan berdoa berkali-kali moga-moga kak Ramlah tabah menerima dugaan itu. Syukur, seminggu kemudian kak Ramlah datang bekerja dan dia kelihatan begitu tabah sekali. Mungkin sudah mengalami berkali-kali peristiwa perkahwinan yang tidak menjadi, menjadikan dia sudah lali.
Setahun kemudian, Kakak Ramlah memberitahu yang saya, yang dia sedang mengenali seorang lelaki, duda anak 3.
“Lelaki ini lain dari yang lainlah Tie. Dia amat lembut, penyayang. Bahkan akak dengan anak-anaknya pun sudah serasi. .”
Dia memberitahu saya. Bahkan saya dapat melihat wajah Kak Ramlah yang ceria apabila bercerita mengenai lelaki yang baru dikenali beberapa bulan itu. Setiap hari saya mendengar dengan sabar, apabila dia menceritakan hubungan dia dengan bakal anak tirinya dan lelaki tersebut.
Dan sekali lagi Kak Ramlah dilamar. Cuma kali ini bezanya, kak Ramlah tidak pernah mengungkit mengenai kebimbangannya untuk berkahwin. Bahkan dia seperti tidak sabar untuk menunggu hari bahagianya.
Nyata tuhan maha pengasih dan penyayang. Kak Ramlah akhirnya selamat dijabkabulkan dengan lelaki yang berjaya menyentuh hatinya itu. Dan walaupun sekarang saya jarang menghubunginya tetapi dari cerita-cerita kawan yang mengenalinya Kak Ramlah kata mereka, Kak Ramlah cukup bahagia dengan keluarga barunya.
Saya tahu tuhan jadikan sesuatu itu tidak sia-sia! Tuhan duga Kak Ramlah kerana mahu menemukan dia dengan lelaki yang dicintai dan mencintainya.

Monday, June 9, 2008

CERITA PASAL JEPUN LAGI


Salah sebuah Sofbank di Jalan Akihabara. Ini salah satu sofbank yang agak menarik bagi saya.
Akihabara adalah tempat di mana-mana barang elektronik diniagakan ( di sini mereka memanggil kedai-kedai begini softbank). Terdapat deretan kedai menjual pelbagai barangan elektrik, termasuklah kamera, telefon, computer. Saya cuba juga mengintai-gintai kalau-kalau ada PSP untuk dibeli dan diberi pada anak buah saya. Namun sayang PSPnya agak lebih mahal daripada yang dijual di Malaysia dan warnanya tidak begitu menarik. (saya terlihat di Qatar PSP tersebut dijual dengan harga begitu murah dan sampai sekarang menyesali kenapa tidak membelinya..he..he).. Kamera di Jepun saya jangka akan lebih ‘advance’ dari di Malaysia tetapi sayang harganya sahaja yang ‘advance’. Bayangkan kamera sony 8.1 megapixel model yang sama, dijual di Malaysia tidak sampai RM1,500 di jual di Akihabara RM2,000.
Komputer yang di jual di sini tidak boleh dibawa balik ke Malaysia kerana semua programnya menggunakan bahasa Jepun dan harganya tidak kurang daripada RM6,000. Begitu juga dengan telefon tangan yang tidak boleh dibeli oleh orang luar kerana di Jepun telefon tangan tidak menggunakan sim kad seperti di Malaysia. Mereka menggunakan talian yang diprogramkan dan setiap pembelian telefon mesti didaftarkan walau dengan apa cara juapun. (Ini orang kata teknologi yang tinggi akan lebih menyusahkan). Bahkan paling saya terperanjat telefonnya seperti telefon permainan Qaisara yang berwarna warni dan kebanyakkannya berwarna merah jambu (seperti pakai buang sahaja). Tidak seperti di Malaysia yang telefonnya kelihatan lebih canggih.
Telefon tangan yang dijual di Jepun.

Berjalan di sepanjang Akihabara saya teringat kedai-kedai elektrik di Hong Kong. Menjual pelbagai barangan yang boleh dibawa balik dengan harga yang jauh lebih murah dibandingkan dengan Jepun. Bahkan ‘presentation’ di dalam kedai di Hong Kong, tampak lebih menarik dibandingkan di Jepun.
Dan sampailah saya pulang ke Malaysia, saya merasa agak kecewa kerana gambaran mengenai Jepun yang agak keterlaluan sebelum saya pergi dan ketika saya kunjungi negara matahari terbit itu seperti tidak selari.
Bahkan dua buah mesin kira yang saya beli di Akhihabara untuk dijadikan kenangan, tanpa saya sedar salah satunya rosak apabila tiba di rumah.

Mesin kira yang saya beli kerana tertarik dengan warnanya di salah satu sofbank di Jalan Akihabara. Sayang yang berwarna oren itu tidak berfungsi.

Suami dan Qaisara di Jalan Akihabara. Di Jepun, amukan sudah seperti menjadi satu lumrah seperti di Amerika kerana mungkin tekanan hidup yang dihadapi oleh penduduknya.

TUJUH MAUT DI TOKYO

12 mangsa turut cedera ditikam lelaki mengaku ahli sindiket yakuza Tujuh maut amuk di Tokyo
TOKYO 8 Jun - Sekurang-kurangnya tujuh terbunuh manakala 12 yang lain cedera ditikam oleh seorang lelaki yang mengamuk di kawasan membeli belah terkenal di Tokyo hari ini.
Lelaki berkenaan Tomohiro Kato, 25, yang berjaya diberkas oleh polis mengaku sebagai anggota sindiket jenayah yakuza.
Dia merempuh para pengunjung dengan menggunakan sebuah trak yang disewa sebelum menjerit dan menikam mereka yang lalu lalang di pusat membeli-belah barangan elektronik di daerah Akihabara.
Polis bagaimanapun menyatakan lelaki ini bukan anggota kumpulan tersebut.
"Lelaki ini memberitahu polis dia datang ke sini untuk membunuh orang. Alasannya dia sudah bosan dengan hidup ini," kata jurucakap Jabatan Polis Metropolis Tokyo, Jiro Akaogi.
Sekurang-kurangnya 18 orang ditikam oleh lelaki berkenaan dan tujuh daripada mereka mati dalam kejadian yang berlaku pada waktu tengah hari itu, kata seorang pegawai kanan Jabatan Bomba Tokyo.
Menurut seorang saksi yang tidak mahu dikenali, beliau melihat seorang mangsa tikaman terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan dan darah kelihatan keluar membuak-buak.
Daerah Akihabara secara tradisinya merupakan pusat membeli-belah barangan elektronik dan menjadi pusat tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.


Thursday, June 5, 2008

MINYAK OH MINYAK

Harga minyak naik lagi. Ini bukan sahaja memeranjatkan saya pada petang semalam yang terpaksa memaksa suami dan adik saya menghantar ketiga-tiga kereta kami mengambil petrol di saat akhir sebelum harga baru dilancarkan. Tetapi mungkin memeranjatkan seluruh rakyat Malaysia yang selama ini menyangka harga minyak akan naik pada Ogos nanti.
Kenaikan sebanyak 78 sen memang banyak pada perkiraan saya. Mungkin untuk saya yang pejabat hanya 5 minit dari rumah, kenaikan tersebut tidak apa-apa. Bahkan sejak akhir-akhir ini saya selalu mengunakan syarikat tambang murah Air Asia ketika mahu ke mana-mana. Tetapi untuk orang-orang lain yang langsung tidak ada pilihan alternatif. Saya merasa simpati yang teramat.
“Beberapa bulan yang lalu harga cetakkan buku sudah naik. Selepas ini distributor pasti meminta persen yang lebih tinggi untuk buku kita..”
Suami yang selama ini menjadi tulang belakang dalam saya menerbitkan buku sendiri dan insya-ALLAH bulan ini NB Kara pula akan mengeluarkan sebuah buku baru, penulis baru Sarnia Yahya bertajuk SeCantik Anugerah. Menggarukan kepalanya.

Buku penulis baru, Sarnia Yahya akan menemui pembaca tidak lama lagi. Secara peribadi saya memberi 3 1/2 bintang untuk buku ini kerana plotnya yang agak kemas.

“Kita kena naikkan harga buku..” cadang pekerja saya.
“Tidak, tidak boleh. Kasihan orang yang mahu membaca. Sekarang ni pun buku saya yang tebalnya hampir 700muka surat orang sudah mengatakan mahal. Inikan pula jika kita naikkan harga. Tak untung banyak tak mengapa. Asalkan tulisan saya sampai pada pembaca..”
Sanggah saya. Mengira harga persen yang terpaksa diberi pada orang tengah hampir 50%, terpaksa pula membayar harga percetakan yang semakin hari semakin meningkat.. Tolak harga cover, harga pekerja. Rasanya kadangkala penat sungguh menulis apatah lagi orang mempertikai harga buku saya mahal.
Saya tidak menyalahkan pembaca, mungkin mereka tidak tahu betapa sukarnya memerah otak menulis. Kadangkala saya terpaksa berbaring lama, bertenang dan membiarkan fikiran lepas bebas dari kesakitan ketika menulis. Bahkan kadangkala saya terpaksa menjadi orang lain, setiap kali saya menulis, terpaksa bergelut dengan rasa marah, kecewa, geram kerana dalam sesebuah novel sayalah pengarah, sayalah pelakon, sayalah hero/heroin dan sebaliknya.
Ahh..kenaikan harga minyak ini bukan sahaja membebankan saya tetapi saya tahu membebankan kita semua. Tetapi selagi terdaya, saya dan NB Kara tetap mempertahankan harga yang sedia ada. 500 ms pada harga RM19.90 dan 700 ms tidak melebihi RM24. Walau ada orang mempertikaikan harganya mahal, tetapi saya tahu mereka tidak tahu!

Wednesday, June 4, 2008

GAMBAR-GAMBAR DI JEPUN

Banyak perkara yang menarik perhatian saya ketika di Jepun. Di bawah beberapa gambar yang dapat saya titipkan. Insya-Allah saya akan bercerita pasal makanan kalau ada masa nanti


Gambar gunung Fuji yang saya ambil secara hitam putih. Gunung yang tertinggi di Jepun. Kali terakhir meluahkan lanarnya pada tahun 1707 . Terletak di daerah Honsu. Pendaki biasanya mengambil masa selama 4 jam untuk sampai ke puncak

Pokok Gingko Biloba di tanam merata-rata di Tokyo. Buah gingko ini biasanya dibuat puding atau bubur oleh penduduk Jepun. Tetapi sejak akhir-akhir ini banyak di letak di dalam makanan kesihatan dan dijual hampir ke seluruh pelusuk dunia.

Jepun adalah negara teknologi. Teknologinya dikatakan mengatasi di mana-mana negara barat. Tetapi perhatikan gambar lelaki di atas. Beliau adalah salah seorang penghuni Tokyo yang tidak berumah. Bahkan orang-orang yang tidak berumah atau 'homeless' rasanya lebih ramai di Jepun jika dibandingkan dengan Malaysia.
Saya di kaki gunung Fuji yang masih diseliputi salji. Sejuknya bukan main. Tetapi kerana malas mahu memakai baju panas di luar, saya memakai baju berlapis-lapis di dalam..he.he.he.


Buku-buku yang saya sempat sambar ketika di Jepun. Harga-harga buku di Jepun agak mahal, sekitar RM100-RM250. Bayangkanlah..kalau di Malaysia. Novel saya yang berharga RM24 sudah dikatakan mahal, apatah lagi berharga RM100. Sudah pasti tidak ada yang membelinya. Buku berwarna merah bertajuk Fun with Hiragana adalah buku Qaisara. Sukanya bukan main apabila mendapat buku tersebut.


Qaisara memang cepat mesra dengan sesiapa sahaja. Bersama kawan-kawan barunya Nadzmi dan juga Arash. Mereka sering menyanyikan lagu tema bunny. I love you, you love me. Dan sering berpelukan bertiga. Nadzmi dan Arash adalah adik beradik. Saya beritahu kedua mereka, "Bila kamu besar nanti. Kamu jangan bergaduh adik beradik kerana Qaisara tau!" Ha..ha.ha..

Monday, June 2, 2008

PENATNYA MENJADI ORANG JEPUN


Sempat mengayakan Yukata, salah satu pakaian tradisional orang Jepun pada musim panas. Ianya lebih kasual jika dibandingkan dengan kimono dan seringkali dipakai selepas mandi.

Melihat orang Jepun yang berlari-lari anak dalam hujan ke tempat kerja dari hotel saya di tingkat 16. Saya merasa begitu simpati dengan mereka. Rata-ratanya memakai jaket berwarna hitam dipadankan dengan baju berwarna putih. Ianya kelihatan seperti pakaian seragam sahaja lagaknya. Amat jarang pekerja lelaki di Jepun memakai pakaian yang berwarna warni seperti biru, merah jambu ataupun berkotak-kotak. Hampir 99 peratus memakai kemeja putih polos.
“Mereka seperti robot yang diatur hidupnya..”
Hati saya berdetik. Saya tahu tekanan yang diterima setiap pekerja di Jepun. Mereka harus meneruskan kelangsungan hidup dengan apa yang telah ditakdirkan kepada mereka. Rumah yang kecil, makanan yang mahal dan tekanan di tempat kerja menyebabkan ramai orang-orang Jepun yang tertekan. Ini diakui sendiri oleh Gogi pemandu pelancong kami.
“Petrol amat mahal di sini. Kereta lebih murah dari Malaysia. Hampir separuh harga dari Malaysia. Tetapi siapa yang mahu memandu ke tempat kerja, kalau tempat meletak kereta hampir RM30 satu jam..Mereka terpaksa berasak-asak di dalam kereta api. Terlambat sesaat, bermakna anda tidak mendapat tempat di dalam kereta api dan belum tentu keretapi seterusnya ada tempat untuk anda.”
Gogi memberitahu kami. Di Jepun kereta mewah banyak memenuhi jalan raya. Ada beberapa kereta yang menarik tumpuan saya, rekabentuknya seperti kenari dan kelisa tetapi dikeluarkan oleh syarikat Nissan. Mungkin Malaysia meniru reka bentuk Nissan. Saya mengadai sendiri.
“Di Jepun walau kamu lihat gaji mereka besar tetapi agak kecil bagi menampung kehidupan yang sungguh teruk di sini. Ramai yang berpura-pura bekerja sehingga larut malam, hanya sekadar untuk mendapatkan bayaran lebih masa”

Buku mengenai seorang diplomat yang bernama Masako yang mengahwini Putera Raja Jepun dan mendapat tekanan yang hebat selepas 10 tahun berkahwin kerana pelbagai peraturan yang dikenakan di dalam istana.

Gogi berterus terang. Lelaki yang berasal dari Singapura itu sudah menghabiskan hampir separuh daripada hidupnya di Jepun. Sejak belajar di usia belasan tahun sehinggalah sekarang sudah mencecah 40 tahun.
“Di Jepun pengalaman tidak diambil kira ketika seseorang pekerja itu memohon pekerjaan. Seniority lebih diutamakan.”
Sambung Gogi lagi. Menurut beliau di dalam sektor pekerjaan di Jepun, orang-orang Jepun tidak pernah mengambil kira pengalaman kerja seseorang.
”Kalau anda masuk bekerja pada hari Isnin dan seorang pekerja yang berpengalaman masuk pada hari Rabu minggu yang sama. Anda sudah dianggap sebagai senior.”
terang gogi. Saya mendengar dengan tekun apa yang diceritakan oleh Gogi.
“Kalau anda bosan bekerja atau mempunyai masalah dengan majikan anda anda sekarang dan anda mahu berhenti dan melamar di tempat kerja lain. Anda harus berfikir berpuluh-puluh kali, bahkan mungkin beratus kali. Tempat kerja baru anda tidak akan memberi gaji menerusi pengalaman anda di tempat kerja lama. Anda terpaksa bermula dari bawah, bahkan kadangkala tindakan anda berhenti di tempat kerja lama akan dipertikaikan. Mereka akan mengandaikan yang anda bukan pekerja yang baik kerana sudah tidak disukai oleh majikan anda..” Cerita Gogi menarik minat kami semua mendengarnya.
“Lagi satu Kalau anda seorang junior di dalam syarikat, anda terpaksa menghidangkan teh pada setiap pagi pada pekerja yang lain. Tetapi jika ada seorang pekerja baru yang masuk dia akan mengambil tugas anda.Tetapi...”
Gogi memberhentikan kata-katanya. Merenung kami seorang demi seorang.
“Tetapi....kalau ada pekerja perempuan di dalam syarikat tersebut. Tidak kira ada junior lelaki yang masuk ke dalam syarikat tersebut. Pekerja perempuan tersebut terpaksa menghidangkan teh kepada semua pekerja...”
“Oh..mereka buli pekerja perempuan.”
Salah seorang ahli rambongan kami bersuara dengan agak kuat. Gogi hanya ketawa dan katanya perkara ini sudah membudaya dalam masyarakat Jepun sejak berkurun lamanya. Mungkin ada syarikat yang sudah tidak mempraktikkan perkara ini tetapi rata-rata masih mengamalkannya.
Dan ketika di Jepun saya sempat membeli beberapa buah buku. Salah satunya “Princess Masako-Prisoner of the Chrysanthemum Throne.” Membaca separuh daripada buku tersebut ketika berada di dalam kapal terbang. Saya akui betapa sukarnya dilahirkan sebagai seorang wanita di Jepun yang sentiasa dipandang sebagai kelas kedua dan apatah lagi jika seseorang itu adalah orang luar dan terpaksa tinggal di dalam Istana Jepun yang mempunyai seribu satu macam peraturan.