Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Wednesday, December 31, 2008

AZAM TAHUN DEPAN..KONON2NYA

“Tahun depan saya nak jelajah Europe selama 30 hari..kita pergi ya..”
Bila membayangkan mahu ke Eropah terpaksa menaiki kapalterbang berbelas jam. Saya menjadi letih secara tiba-tiba. Tetapi kalau membayangkan keseronokan berjalan sudah pasti saya cukup gembira. Paling penting sudah pasti mendapat idea yang mencurah-curah nanti.
“Awak pergilah, saya bagi awak peluang. Awak tinggalkan Qaisara dengan saya atau awak bawa Qaisara..”
Tampaknya sudah beberapa tahun saya masih tidak dapat memujuk suami untuk berkunjung ke Eropah. Saya mahu ke Bosnia, saya mahu ke Georgia, saya mahu Belgium dan sebagainya. Tetapi suami masih enggan. Kata dia buat buang duit sahaja pergi ke negara Eropah. Saya tahu Eropah satu ketika dahulu tempat suami saya. Suami sudah cukup hafal jalan-jalan di Italy. Dia sudah muak dan menyampah katanya. Dia sudah biasa di Holland, sudah biasa di Jerman.
“Setiap tahun macam tu juga..” saya tunjuk muka merajuk.
“Jangan buang duit, sekarang ekonomi makin teruk. Tidak tahu apa yang berlaku masa depan, awak kalau nak menulis awak pergilah ke negara-negara Asia. Belanjanya murah. Indonesia tukaran wangnya begitu rendah sekali sekarang ini..”
Ya tak ya juga. Semalam saya baru menolong pembantu rumah jiran saya menukar duit rupiahnya kepada duit Malaysia. Aduhai..dahsyat sungguh tukaran sekarang ini. Kalau tahun lepas RM430 baru satu Juta Rupiah. Sekarang ini RM320 sudah Satu Juta Rupiah. Untungnya orang-orang Indonesia yang bekerja di sinilah.
“Kita belum pernah ke Filipina, kenapa tidak kita ke sana..”
Suami suka ke negara Asia, menjelajah. Kata dia tidak payah fikir..sekarang musim apa, sekarang kena pakai baju apa. Makanan pun tidak susah. Buah-buahan makanan kegemarannya mudah didapati. Kalau Eropah, nak fikir cuaca, nak fikir makanan. Letih dan leceh!
“Orang selalu sangat bercuti ke Eropah..sebenarnya tidak ada yang istimewanya. Cuba awak ke Bangladesh, ke India..atau negara-negara Asia yang lain. Banyak yang boleh awak pelajari..”
Berkerut hidung saya mendengar kata-kata suami. Bukankah dia yang enggan membawa saya dan Qaisara ke India satu masa dahulu kerana katanya India tidak bagus untuk anaknya itu. Sedangkan saya tahu, beberapa tahun yang lepas, suami memang sering berulang-alik ke India kerana membeli kain sutera.
“Jom..kita pergi India..”
“Ishh..Mumbai baru sahaja di serang..”
Mata suami terbeliak! Huh..macam-macam alasan suamiku ini! Hati saya berdengus.
“Sabarlah..tak lama lagi Zakiah (adik ipar saya yang tinggal di Holland) datang ke sini. Kita bercuti-cuti di Malaysia. Banyak lagi tempat yang awak tidak pernah pergi. Kita pergi. Bukankah itu lebih baik? Kenali negara awak sendiri sebelum awak kenali negara orang..”
Suami macam perli saya sahaja! Tapi betul juga kata suami. Banyak tempat lagi yang tidak saya jelajah di muka bumi Malaysia ini terutamanya Sabah dan Sarawak.
Ahh…saya ingat tahun depan ini saya berazam mahu menjelajah dunia..tapi rasanya terpaksa saya tukar menjelajah Malaysia..walaupun sebenarnya bercuti dia Malaysia wang yang terpaksa digunakan sama sahaja kalau bercuti ke India atau Indonesia.

Saturday, December 27, 2008

KISAH 26HB

Menjelang 12 malam ketika saya baru melelapkan mata, suami menepuk pipi saya.
“Honey happy anniversary..” ucap suami.
Dengan mata yang hampir katup saya merenung wajahnya. Oh..sudah 26hb rupanya. Saya mengucapkan terima kasih dan menutup mata semula (yang lainnya sensorlah..ha.ha). Dalam mata yang katup saya memikirkan, sudah berapa tahun saya berkahwin? 5-6 tahun? Namun saya ingat saya mengenali suami sudah lama. Sejak tahun 90an lagi. Beberapa kali saya menolak lamaran beliau kerana tidak yakin mahu berkahwin dengan bangsa asing. Saya hampir-hampir berkahwin dengan orang lain! Dan dengan berkat solat istikarah sebanyak 5 kali, tuhan menunjukkan jalan menerima dia sebagai suami saya.

Insan yang paling bermakna dalam hidup saya..Qaisara dan suami Seyit Kara.

Perkahwinan mana yang tidak di duga. Semoganya penuh onak diri. Apatah lagi saya berkahwin dengan lelaki yang begitu lain budayanya. Budaya orang Turki yang suka melepak, bercakap dengan suara menjerit-jerit menyebabkan saya benar-benar tertekan. Namun Alhamdulilah, semuanya saya harungi dengan satu perkataan ‘sabar’. Dan hasilnya memang cukup manis. Dia lelaki yang terhebat, tidak pernah lokek dengan perkataan -maaf, terima kasih dan sering memuji saya cantik, walaupun saya tidaklah secantik mana..ha.ha.ha.

Suami bertanya apa yang saya mahukan pada hari ulang tahun. Saya menolak kerana tanpa pengetahuan dia, saya sudah memesan sebuah almari kecil..hadiah untuk diri sendiri..he..he.he

Namun pagi-pagi lagi, 26hb..saya menerima komplen lagi dengan pencetakan buku NB Kara yang suka tercabut dan blur tulisannya. Saya benar-benar geram. Dan seperti tidak boleh berkompromi lagi dengan syarikat pencetakan sekarang, saya dengan Suraya editor saya bertungkus lumus mencari printer baru Banyak nombor telefon printer yang saya dapat hasil usaha adik-adik saya Lily Haslina dan juga Anida Daud. Peminat doakanlah NB Kara mendapat syarikat percetakan dengan harga yang yang memuaskan dan perkhidmatan yang tip top ya…

Almari kecil ini sebenarnya untuk saya letak shampoo yang sering saya bawak balik selepas bercuti. Macam-macam bentuk ada..

Dan petang itu apabila suami membawa balik kek ulang tahun (selepas saya menolak makan di Menara Kuala Lumpur kerana harganya tidak berbaloi dengan makan saya yang tidak seberapa). Suami memberitahu buku NB Kara di Harvest Sogo di curi orang. Namun melalui teknologi CCTV, pencuri dapat di kesan dan ditangkap. Sekarang sudah menjadi kes polis.Cerita suami lagi, yang hairannya buku lain tidak dicuri tetapi buku NB Kara yang dicuri di dalam 30 buah…alahai..alahai

Ketika malamnya pula, apabila saya menonton telivisyen saya melihat tayang semula kesan tsunami yang melanda negara Asia...dan malam itu juga saya teringat. 26hb Dec adalah harijadi anak buah saya Mohammad Zafran yang saya lihat dia dalam mimpi saya terlebih dahulu..sebelum dia dilahirkan. Saya siap describe kepada adik saya bagaimana rupa anaknya. He..he.he..dan apabila anaknya lahir, wajahnya serupa apa yang saya lihat!

..Selamat hari jadi Zafran! Selamat ulang tahun perkahwinan kita Hubby! Dan saya berharap..26hb Dec akan datang, saya masih bernafas dan menjadi manusia yang lebih baik!

Friday, December 26, 2008

SUNGAI CONGKAK LAGI

Cuti krismas ni saya ke sungai Congkak lagi. Aduhai..ramainya orang. Tidak saya sangka orang terlalu ramai begitu. Kereta diparkir di jalan sesuka hati dan sungai dipenuhi dengan orang berendam. Kami sampai jam 11, orang ramai sudah memenuhi di mana-mana. Kali ini saya pergi dengan Lily sekeluarga dan juga Nora penulis Epal Hijau. Tidak lupa juga dengan anak2 buah saya. Ah Kua mahu mengikut saya, tetapi neneknya pula tengah nazak. Jadi terpaksa dibatalkan di saat-saat akhir. Kali ini kami membuat acara BBQ.
Ketika ambil gambar ini, Syafiq anak Lily cakap, emaknya gadang(besar alias gemuk)..tapi dia tak tahu Achik yati lagi gadang.


Suraya dengan anak buah saya, Akim dan Ojan sibuk menghidupkan api BBQ. Alhamdulilah berkat kepakaraan Suraya yang berpuluh tahun berniaga satay..semuanya menjadi.


Nora dan Lily sedang makan, babak yang cukup mengelikan hati apabila Lily menyiat ayam dan Nora makan. Macam emak menyiatkan ayam untuk anak. Auwahh..ha.ha.


Nora, mungkin tengah marah atau tension dengan saya. Sebab saya perhambat dia dengan ranting sebab pukul 2 dia minta balik. Rupanya dia sedang sakit kepala melihat orang ramai. Magrinnya datang lagi. Sian dia...Nanti Nora..kalau ada rezeki..kita pergi bercuti kat Turki, musim salji. Masa tu tak panas dan tak ramai orang..he..he

Haikal anak bongsu Lily yang begitu rapat dengan Qaisara. Bermain bersama. Apa yang dibisik pada Adib dengan bapak mertuanya itu? Ha.ha.ha..jangan marah Lily!

Bibik saya Sari dan Bibik Lily, Sunti. Sunti akan balik minggu hadapan. Sian Haikal...yang saya tengok begitu rapat dengan Sunti.


Anak-anak Lily, Adib, Anis dan Haikal. Syafiq entah di mana. Mungkin, mengikut ayahnya Cik Lan memancing di hulu sungai. Cik Lan bawa balik seekor anak ikan dan anak ikan itu asyik melompat sahaja keluar daripada bekas plastik, hotel tempat ikan itu menginap buat sementara.

Saya, Qaisara, Haikal, Lily dan Adib. Suka sungguh saya dengan Adib yang begitu lincah sekali. Kelakar pula tu. Siap buat terjun tiruk dengan Acik Suenya. Haikal pun petah berkata2. Kata Haikal dia berenang macam sea-lion.


Antara ayam yang telah menjadi mangsa BBQ kami..

Seronok sebenarnya bercuti, tapi kerana ramai orang..kami menjadi sedikit lemas. terutamanya Nora yang cepat sangat kena magrinnya. Suami cakap..next time kalau nak datang, pergi weekday. Jalan pula ke Pekan Batu 14, jam sungguh! Tapi apapun, hidang hari itu..pulut kuning Lily bersama rendang ayam memang sedap sungguh! Ditambah dengan maggi goreng, nasi goreng dan yang pastinya...ayam, sotong, udang dan ikan BBQ!

Tuesday, December 23, 2008

LAYAN GAMBAR

Sekarangkan cuti sekolah. Walau tidak suka berjalan ketika cuti sekolah dan walaupun saya tidak punya anak yang bersekolah. Tapi cuti sekolah besar maknanya buat saya. Inilah peluang saya boleh bawa anak buah saya berjalan-jalan. Siapa lagi anak buah yang selalu melekat dengan saya kalau tidak Ojan dan Akim.


Kami ke Genting, tidur semalam di Theme Park hotel. Sewa dua bilik. Kalau waktu bukan cuti sekolah harga bilik RM215 siap dengan ticket outdoor theme park dan sarapan pagi. Tapi bila cuti sekolah. RM215 tanpa tiket tanpa sarapan pagi. Saya angkut sekali pembantu rumah saya dan juga Editor saya (dia mana boleh tinggal ) sekali.

Orang paling happy mestilah Qaisara, entah berapa kali dia naik Mat Kool. Tapi saya ingat Qaisara naik kuda berpusing 8 kali, naik Merry Go round 4 kali. Yang jenuh kena dera pembantu rumah saya dengan abang Akimnya yang terpaksa menemaninya.

Qaisara kesejukan. Menunggu makanan tiba. Lupa dia pada Baba di rumah. Langsung tidak ingat! Yang Qaisara ingat main sepanjang masa..

Buah hati saya Ojan, selain Qaisara. Bayangkan Ojan membesar depan mata saya dan tidur dengan saya sehingga dia berusia 9 tahun. Sampai sekarang kami memang cukup rapat. Cuti sekolah yang bestnya kalau ikut Andak berjalan...itu kata Ojan.

Ini seorang lagi buah hati saya. Akim yang Macho dan selamba. Dah ada girlfriend..tau! Saya mengusik dia..kalau girlfriend Akim tengok gambar ni pengsan tak dia...ha.ha..

Bubur di Marrybrown yang pertama kali saya makan. Pedas dan sedap. Sampai dua kali saya makan. Sampai sekarang masih terasa-rasa sedapnya . Kesedapan kerana sambalnya...


Keledek manis bakar. 3 ketul Rm15. Saya terfikir kalaulah orang ramai anak dan pendapatan tidak seberapa mahu ke Genting ini. Parah jugalah. Barang makan semuanya mahal belaka. Mahu masuk ke Theme Park pun berpuluh-puluh ringgit. Sudahlah tu..Outdoor dan Indoor lain harga. Aduhai...

Saturday, December 20, 2008

TIDAK

Hari itu ketika saya sedang memerhatikan suami dan Qaisara yang sedang bermain di salah pusat membeli belah. Seseorang datang kepada saya dan bertanya apakah saya Norhayati Berahim. Saya berbelah bagi sama ada mahu mengiakan atau menidakkan. Tetapi saya akhirnya membuat keputusan untuk mengaku.
“Susahkah jadi penulis? “
“Tidaklah” jawap saya.”
“ Sibuk sangatkah jadi penulis?”
“Tidaklah” saya menjawab lagi.
“Kalau tidak sibuk macam mana awak dapat menghasilkan novel setahun sampai tiga empat buah. Tidak sibukkah itu..”
“Tidak, Masa saya masih untuk suami, masih untuk keluarga saya….
“Jadi penulis stress tak..
“Tidaklah." jawab saya lagi.
“Tak stress ke jika orang komen dan kutuk tulisan awak?”
“Mereka berhak berbuat begitu. Silakan..”
Saya renung lelaki berkepala botak itu. Penuliskah dia? Wartwankah? Atau orang bunian? Saya memasang senyum sendiri.
“Hmm..sekarang awak dah jadi penerbit banyak kerjakah?
“Tidaklah..”
“Habis..kalau semuanya tidak, seronok agaknya jadi penulis.
“Seronoklah..untuk orang yang rasa seronok..”
Saya tersengeh. Orang itu berkerut dahinya. Mungkin tidak puas hati dengan jawapan saya.
“Saya rasa penulis ini angkuh..”
Itu provokasi namanya. Tapi saya bukan jenis manusia yang mudah melatah.
“Oh iye ke....”
“Dia merasakan tulisan dia sahaja yang bagus…”
“Siapa yang cakap begitu.?”
“Mereka tidak suka tulisan mereka dikritik..”
“Bukan sahaja penulis, semua orang pun tidak suka dikritik..”Saya senyum. Orang yang bertanya itu terdiam seolah-olah mahu mencari soalan lagi untuk diterjah kepada saya.
“Awak penulis pop..”
“Apa maknanya itu?”
“Penulis yang menulis hanya untuk popular..”
“Oh…saya ni popular ke?”
“Penulis popular tidak ada jati diri..”
“Oh..iye ke siapa yang cakap begitu?” … saya ketawa sambil mengerdipkan mata.
“Dalam suratkhabar ada cakap macam tu. Orang-orang yang memperjuangkan sastera melayu cakap macam tu..”
“Hina sangatkah penulis popular?”
“Mereka merendahkan bahasa, merendahkan martabat bahasa melayu. Bahasa yang digunakan langsung tidak membina minda. Merapu sahaja..”
“Awak dah baca buku saya ke yang awak cakap buku saya merapu. Awak dah baca buku penulis popular lainkah yang awak cakap..buku kami ni merendahkan mertabat bahasa melayu?”
“Saya ada baca buku awak. Tapi penulis lain jarang..”
“Kalau awak tidak baca buku penulis lain, macam mana awak boleh menghukum begitu sahaja..”
“Saya dengar dan baca dari suratkhabar yang berbincang mengenai penulis popular..”
“Awak orang Islam?” kali ini saya pula bertanya.
“Hmm…”
“Islam suruh ke kita berpasangka?”
“Hm..tidak?”
“Islam suruh kita bangga diri dan bongkakah?”
“Tidak..”
“Islam ada cakap ke penulis popular yang menulis dengan niat untuk menyampaikan mesej secara santai dan berharap pembaca akan membaca dan mendapat manafaat daripadanya itu tidak ada jati diri?”
“Tidak..”
Lelaki yang berkepala botak ini siapa? Pejuang sasterakah? Ahh..biarkanlah.
“Orang yang menulis sastera popular ini akan masuk nerakakah kalau dia menjaga solatnya, menjaga puasa, menjaga zakatnya. Berbaik sangka dengan orang dan niatnya menulis kerana mesej..bukan untuk dibanggakan?”
Emosikah saya? Tetapi soalan tersebut saya rasa tepat buat masa sekarang ini.
“Hmm..tidak..”
“Allah telah menjanjikan persamaan setiap manusia. Tidak ada yang lebih bagus, tidak ada yang lebih baik dalam segala hal. Saya memang penulis popular. Label yang saya sendiri tidak pernah tahu kenapa diberi kepada kami penulis popular. Tapi saya rasa, saya tidak bongkak. Saya tidak pernah merendahkan tulisan orang lain di dalam seminar-seminar. Saya tidak pernah dengan lantang di dalam dewan, dengan suara yang angkuh mengatakan tulisan orang ini, orang itu tidak bagus. Saya tidak pernah sekali pun mengaibkan orang di hadapan orang lain di dalam bangkel penulisan. Memang saya bukan pejuang sastera melayu, tapi saya sayangkan bahasa saya. Sebab itu sebaik mungkin saya cuba berbahasa dengan baik di dalam buku saya. Saya cuba menghantar mesej pada pembaca dengan cara mudah diingati. Saya bukan pejuang sastera yang beria-ia mengata kami penulis popular yang tidak ada jati diri tetapi apabila disuruh menulis cerita seks, merapu mereka sanggup hanya kerana bayaran. Saya menulis kerana saya suka..kerana saya minat dan paling penting saya dapat menyampaikan mesej.. Saya tahu awak tidak kenal saya…?”
“Saya kenal awak..”
“Kenal nama belum tentu kena segala sifat saya..”
“Maafkan saya kalau awak marah..”
“Tidak…”
Saya menghadiahkan senyuman pada lelaki tersebut. Suami yang sedang leka dengan Qaisara sebentar tadi datang kepada saya dan bertanya.
“Siapa lelaki itu..” dalam bahasa Turki..
“Tak tahu…”
Saya beredar sambil memegang tangan suami yang sedang mendukung Qaisara dan berlalu dari situ. Sambil berpaling dan tersenyum pada lelaki botak yang sedang merenung kami. Saya tidak tahu apa yang difikirkan. Dan saya TIDAK mahu prasangka!

Friday, December 19, 2008

MIMPI LAGI

Pagi itu saya terbangun pada pukul 4 pagi. Mata saya terkebil-kebil merenung jam yang berada di hujung kaki saya. Ahh..lega! Semuanya hanya mimpi. Desis hati saya sambil bangun dan duduk di birai katil.
Sebentar tadi saya bermimpi. Mimpi saya mungkin bagi sesetengah orang tidak apa-apa. Tetapi bagi saya ianya mendatangkan sedikit kegusaran.
Saya bermimpi terlihat banyak bulu anjing di depan pintu pagar rumah saya. Di belakang kereta yang saya selalu parking di luar rumah. Saya masih ingat bulu anjing tersebut basah di sirami air. Dan di dalam mimpi tersebut saya yang melihat bulu anjing itu menjadi marah dan menyuruh jiran saya keluar. Kami bertekak dan saya menjadi marah yang teramat sangat. Dan ketika marah saya sedang memuncak, saya tersedar dari mimpi.
Ahh..syukur ianya hanya mimpi. Saya memang tidak suka dengan jiran sebelah rumah yang memelihara anjing. Bau dari rumahnya begitu hancing dan busuk sekali. Tetapi sebagai jiran saya tidak pernah membuat bising. Itu bukan sifat saya. Saya pula bukan jenis yang pemarah.
Selepas bersolat subuh, membuat sedikit senaman saya duduk di hadapan telivisyen. Langsung tidak terfikir pasal mimpi tersebut sehingga pembantu rumah saya yang keluar membawa Qaisara bermain basikal di waktu pagi masuk dengan wajah yang cemas.
“Ibu..banyak sungguh bulu anjing di hadapan rumah kita!”
“Arghh!”
Saya tiba-tiba teringat mimpi saya malam tadi. Ahh..mimpi saya rupanya menjadi sekali lagi.
“Belakang keretakan..”
“Ya..ya..ibu..”
“Basahkan..bercampur dengan air..”
“Ya..ya..ibu.” balas pembantu rumah saya pantas.
Saya menarik nafas saya. Berkali-kali saya menenangkan fikiran saya. Saya teringat mimpi saya. Di dalam mimpi itu saya ingat bagaimana saya begitu marah sekali. Mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan. Ini menyebabkan hati saya sedikit gusar! Tidak saya tidak mahu menjadi pemarah seperti itu dan saya tidak mahu bergaduh dengan jiran saya. Lantas saya menyuruh suami yang menegur kerana saya takut kalau saya menegur, ianya jadi seperti di dalam mimpi saya. Saya berpesan berkali-kali dengan suami saya, jangan menegur dengan suara yang tinggi. Berlemah lembutlah..
Syukur..jiran sebelah tidak marah dengan teguran suami. Bahkan berkali-kali memohon maaf apabila suami menerangkan bulu anjing tidak boleh disentuh oleh orang Islam. Apatah lagi di dalam keadaan basah. Dan apabila saya keluar tengah hari itu dan terserempak dengan jiran saya. Dia mengangkat tangan pada saya sambil tersenyum.
Syukur..walaupun mimpi saya menjadi kenyataan..tapi paling penting saya tidak bergaduh dengan jiran…

Wednesday, December 17, 2008

SATU MASA DAHULU

Gaya Klasik Badminton Master. Harga sekarang ini RM29.90. Dulu cuma RM7.90.

Masa memasuki kedai kasut Bata baru-baru ini di Jusco Melaka, mata saya terpandang kasut sekolah Badminton Master ini . Kasut ini sudah lama tidak kelihatan tetapi timbul semula sekarang ini. Seingat saya, ketika saya berada di tingkat satu atau dua. Saya terpaksa membeli pakaian dan kasut sekolah sendiri kerana emak sudah meninggal dunia. Sebelum cuti sekolah di buka, ayah akan memberi saya RM10 untuk membeli kasut dan baju sekolah.
Dapatkah kasut dan baju sekolah dengan harga RM10?
Sudah pasti ada yang tertanya-tanya. Dapat memang tidak dapat. Dengan RM10 saya hanya boleh membeli sepasang kasung Badminton Master yang berharga RM7.90. Lebihnya RM2.10 saya akan campurkan dengan wang saya bekerja menoreh getah dan meracun rumput sepanjang saya bercuti sekolah. Sebulan menoreh getah pada waktu pagi dan meracun rumput pada waktu petang, saya boleh dapat RM20.
Dapatlah saya dua pasang baju sekolah baru dari kain yang murah. Di lawan dengan kasut baru Badminton Master berwarna hijau ini, saya sudah cukup anggun ke sekolah.
Kasut Badminton Master ini memang sungguh lasak. Kasut inilah saya bawa ke sekolah, bersukan dan sebagainya.
Kalau zaman saya dahulu hanya RM7.90 sekarang sudah RM29.90!
Ahh...sudah pasti harganya jauh berbeza kerana RM7.90 itu adalah harga 30 tahun yang lalu!

Warna terbaru. 30 tahun yang lalu tidak ada warna merah. Sekarang sudah ada. Cantik kalau untuk dibawa bersiar-siar.

Tuesday, December 9, 2008

HARI RAYA KORBAN...

Seperti tahun-tahun biasa, kami sekeluarga mengerjakan ibadah Korban macam tahun-tahun yang sebelumnya. Berkumpul adik beradik. Semuanya pulang kali ini. Tahun ini kami ada tetamu. Emak mertua adik saya yang tinggal di Kelantan. Memang kadangkala segala perkara tidak boleh diduga akan terjadi . Emak mertua adik saya Kamal Arrifin sepatutnya pulang ke Kelantan pada petang raya daripada Port Dickson rumah adik saya. Tetapi takdir tuhan telah menentukan segalanya. Semasa menghantar emak mertuanya ke lapangan terbang, ketika berada di Sepang (jalan lama). Jalan jam kerana penganut agama hindu mengadakan perarakan. Hampir dua jam..adik saya yang menghantar emak mertuanya tidak boleh bergerak sehingga kapal terbang yang sepatutnya dinaiki oleh emak mertuanya terlepas.

Emak mertua adik saya yang di tinggalkan kapal terbang.

Adik dan adik ipar saya cuma mencari tiket baru tetapi semuanya penuh, lantas mereka bekejar ke stesen keretapi, ke stesen bus..tetapi semuanya hampa. Jadi mahu tidak mahu terpaksalah beliau beraya di rumah kami di Melaka. Kasihan sungguh saya! Terutama dengan bapak mertua adik saya yang terpaksa beraya seorang diri.

Petugas menurunkan lembu-lembu untuk dikorbankan. Di surau rumah saya kali ini 10 ekor lembu dan 2 ekor kambing ditumbangkan.


Ojan anak buah saya yang mengambil gambar lembu ini. Kata Ojan sian lembu ini ya Andak..dia takut sampai terkencing-kencing. Isyh..isyh..

Adik saya Khairul Hidayat yang membaca khutbah pada hari raya kali ini. Teks khutbahnya boleh didapati di temanpetunjuk.blogspot.com. Dengar-dengar ramai yang menangis mendengar khutbah hari rayanya kali ini. Termasuklah ayah saya. Ada yang berjumpa dengannya meminta teks khutbah tersebut untuk dibuat rujukan. Alhamdulilah..

Adik saya Nurul Intissar dan pembantu rumah saya..gigih membantu di dapur menyediakan rempah ratus untuk membuat sup tulang.


Adik ipar saya Hamdan dan juga adik saya Kamal Arrifin sibuk melapah daging untuk dibahagi-bahagikan kepada yang memerlukan.


Tulang-tulang yang bakal dibuat sup. Adik, adik ipar dan abang ipar yang gigih memotong tulang-tulang ini.


Ojan..walau hari raya Qurban..makanan banyak, daging pun banyak tetapi tetap makan telur dengan sambal goreng.


Qaisara dan Balkish..tidak kisah hari raya ke, hari apa ke..yang penting mereka berjumpa, bermain, bergaduh dan berbaik semula.

Saturday, December 6, 2008

TAK LOGIKKAH?

17-11-2008 10:14 AM azwa81
incanto..betul tu...okey2 saja...starting saja yg okey...towards the end mcm boring pula...perfect sangatla wardina tu...mcm tak logik aje boleh berjaya dlm tempoh yang sekejap....lagipun mcmana pula dia boleh berminat dgn lelaki yang teruk mcm zafrul tu? isk2....watakl2 lain yang supporter to okey la pula....saya suka nb ni pasal bahasa yang digunakan agak matang ...tak mcm sesetangah penulis tu..

Komen ini saya ambil daripada page Forum. Saya tak kisah apa yang dikomen oleh Azwa81. Tetapi saya tertarik dengan kata-kata Azwa81 “perfect sangatla wardina tu...mcm tak logik aje boleh berjaya dlm tempoh yang sekejap”
Di sini, saya akan menceritakan mengenai seorang pemuda yang saya kenal. Kerjanya serupa dengan Wardina yang saya lakar wataknya di dalam Kembalikan cintaku.
Anak muda yang bertubuh kurus ini biarlah saya berikan namanya Syabaan. Berusia dalam pertengahan 20an. Ketika saya sampai di Yiwu, China bersama suami kerana urusan business, saya diperkenalkan kepada anak muda ini oleh kenalan suami. Dia yang bakal menjadi agensi penghantaraan kami dan dia yang akan membantu kami membuat urusan perniagaan.
Anak muda ini berasal dari Turki( senegara dgn suami saya) Datang ke Yiwu 4 tahun yang lalu kerana mahu mengelak daripada bertugas sebagai askar di negara asal. Kedatangannya dengan hanya membawa beberapa helai pakaian dan wang sebanyak USD300 sahaja. Tidak ada teman, tidak ada kawan di China mahupun Yiwu.
Namun anak muda itu pantas sahaja mencari peluang. Ketika matanya melilau di Yiwu itu, dia melihat ramai orang-orang Arab, Eropah dan juga Orang Turki yang datang ke Yiwu itu untuk berurus niaga.
“Kalau saya boleh berurusan dengan mereka dan menyakinkan mereka. Saya boleh bekerja dengan mereka..”
Desis hati Syaaban. Dia tahu Yiwu adalah tempat para peniagaan dari luar membeli barang dengan harga borong dan menghantarnya ke negara asal mereka. Sebelum datang Syaaban sudah membuat beberapa penyelidikan di internet dan dia tahu masalah utama para peniaga yang datang ke situ adala masalah bahasa dan penghantaraan. Kebetulan Syaaban boleh berbahasa Jerman dan English.
“Aku mesti belajar bahasa Mandrin.”
Syaaban bertekad dalam hati dan dalam masa seminggu beliau telah melamar kerja dengan hampir 30 agensi penghantaraan( di Yiwu ada beribu-ribu agensi penghantaraan tetapi kebanyakkan dikendalikan oleh warga China sendiri) Dan akhirnya dia berjaya mendapat kerja dengan seorang usahwan yang membuka agensi penghantaran yang ibu pejabatnya benar benar di hadapan Yiwu Trade Centre.
Selama dua tahun, Syabaan tidak putus asa belajar mengendalikan penghantaraan. Dia tidak pernah mengeluh apabila diarahkan ke Ningbo untuk memeriksa kontena atau di mana-mana sahaja pelabuhan ataupun kargo di lapangan terbang. Kalau malam di suruh pergi dia akan pergi. Kalau terpaksa bangun pukul 4 pagi pun Syaaban sanggup.
Disamping itu Syaaban mempunyai sifat yang cukup rajin belajar bahasa Mandarin. Setiap hari dia akan memastikan belajar sebanyak 3 perkataan. Kertas dan pen sentiasa berada di dalam poket seluarnya. Dia tidak malu-malu bertanya kalau dia tidak memahami perkataan yang dipelajarinya. (dia akan menulis sebutan bahasa Mandrin dalam tulisan roman )
2 tahun berlalu Syaaban sudah fasih bertutur dalam bahasa Mandarin walaupun tidak pandai menulis dalam bahasa tersebut. Bahkan selepas 2 tahun itu Syaaban sudah membuka agensi penghantaraannya sendiri. Kebanyakan pelanggannya adalah orangEropah, Timur Tengah dan juga orang Turki yang memerlukan orang-orang yang bijak dan amanah seperti Syaaban.
Bagi saya dalam buku kembalikan Cintaku. Selama lebih 6 tahun Wardina berada di Yiwu sudah lebih daripada mencukupi untuk berjaya seperti Syaaban yang hanya memerlukan masa 2 tahun. Syaaban dan Wardina adalah orang yang sama walaupun mungkin jantina berlainan. Saya yang bercakap dan bertemu dengannya. Bahkan walaupun dia masih muda, saya cukup mengagumi beliau.
Pada Azwa81, tidak mustahil seseorang itu boleh berjaya dalam waktu yang singkat kalau dia berusaha dengan gigih. Tidak ada yang mustahil dan semuanya logic kalau anda merasakannya ianya boleh.
Sebenarnya berulang alik ke Negara China untuk beberapa tahun, ramai lagi watak yang saya kenal dan saya kaguminya. Dan kebanyakkannya adalah anak muda yang cukup kental semangatnya.

Friday, November 28, 2008

MUDA HANYA SEKALI?

Saya masih ingat lagi, ketika saya bekerja di sebuah firma di Jalan Tun Razak. Saya ada seorang kawan yang biarlah saya namakan Kuna. Kuna seorang gadis berkulit hitam manis, tinggi lampai dan agak menarik. Dia berasal daripada sebuah kampong di Perak. Kuna seorang sahabat yang baik tetapi satu yang saya kurang berkenan dengan Kuna dia suka memakai pakaian yang seksi. Kerapa kali dia ke pejabat dengan memakai skirt di atas lutut, baju tanpa lengan dan jarang. Kerap kali pada hari Sabtu dia memakai seluar pendek ke pejabat. Saya pernah menegurnya dengan cara berkias dengan mengatakan yang dia lebih cantik kalau memakai seluar panjang, dress labuh atau berbaju kurung.
“Alah Tie, masa mudalah ni kita mahu pakai seksi begini. Masa tua nanti barulah berubah. Muda hanya sekali Tie..”
Dia memberitahu saya sambil ketawa-ketawa. Mungkin mesej yang saya sampaikan itu telah sampaikan kepadanya. Tetapi dia menolak kerana merasakan diri masih lagi muda
“Belum tentu kita akan sampai usia tua. Kalau usia muda nanti kita mati bagaimana?”
Saya berseloroh. Kuna hanya ketawa sahaja. Dia tetap begitu tidak berubah. Namun sesekali kalau ada masa terluang, saya masukkan jarum juga menasihatinya.
Setiap pagi biasanya saya menunggu bas bersama dengan Kuna ke pejabat. Ketika itu saya dari Ampang dan Kuna dari Gombak. Kami terpaksa turun di Jalan Sultan Ismail untuk mendapatkan bas ke jalan Tun Razak.
Kami kerap menunggu bas di hadapan sebuah hotel di situ. Biasanya kami akan duduk di bawah sebatang pokok besar. Namun pada satu pagi, saya terus ke Jalan Tun Razak dengan menaiki teksi kerana pagi itu saya terpaksa menyiapkan minit mesyuarat dan mengedarkannya sebelum mesyuarat diadakan jam 10 pagi.
Jadi saya tidak menunggu bas seperti biasa dengan Kuna. Kesibukan pagi itu menyebabkan saya tidak perasan jam sudah berganjak ke pukul 12 tengah hari.
“Tie..Kuna kemalangan..”
Seorang teman yang datang ke meja saya memberitahu. Mata saya terbeliak mendengar ucapan teman sekerja saya itu.
“Bila?” baru saya teringat hari ini saya tidak menunggu bas dengan Kuna.
“Pagi tadi, di Jalan Sultan Ismail. Dia tengah tunggu bas?”
“Tengah tunggu bas? Astaghfirullah…”
Saya hampir terduduk mendengar berita tersebut. Bukankah saya memang menunggu bas dengan Kuna setiap hari. Cuma kalau hendak cepat sahaja saya mengambil teksi dari rumah saya terus ke Jalan Tun Razak?
“Dia tengah tunggu bas dengar-dengarnya. Lepas tu sebuah motorsikal terbabas dan melanggar dia. Dia terpelanting jauh dan cedera teruk kerana sebuah kereta telanggar dia. Itu yang aku dengar. Tapi kalau kau nak melawat dia..dia ada di hospital. Koma..”
Saya seperti mahu menangis mendengar berita tersebut. Tubuh saya menjadi seram sejuk. Manakan tidak. Kalaulah saya berada bersama Kuna ketika itu?
Saya kemudian melawat Kuna dengan kawan-kawan saya. Memang Kuna sedang berada di dalam keadaan koma. Doktor yang merawat mengatakan peluang untuk Kuna meneruskan kehidupan adalah amat tipis sekali. Kuna terpaksa bergantung dengan mesin selepas pembedahan segera dijalankan keatasnya.
Selama 6 hari Kuna koma dan atas persetujuan ayahnya, mesin penyambung hayat itu ditanggalkan selepas doctor memberitahu nadi Kuna sudah tidak berdenyut lagi. Saya menangis mendengar berita tersebut.
Saya teringat kata-kata Kuna yang muda hanya sekali.
Ya..memang benar, muda hanya sekali tetapi saya tidak pasti apakah saya akan sempat menikmati hari tua saya nanti.
Al-Fatihah untuk sahabat saya itu. Walau hampir 15 tahun perkara itu berlaku tapi saya masih ingatkan Kuna dan saya sering berdoa. Moga-moga Kuna diletakkan di dalam golongan orang yang beriman. Amin.

Tuesday, November 25, 2008

PERBEZAAN TALAK DAN FASAKH

Membaca berita mengenai artis yang bercerai sana sini menyebabkan saya teringat pada seorang sahabat baik saya. Hidupnya penuh derita kerana mendapat seroang suami yang tidak bertanggungjawab. Lantas dia membuat permohonan mahu membubarkan perkahwinannya melalui permohonan fasakh. Namun dinasihat oleh mahkamah supaya memanggil suami dan berbincang dan kalau boleh penceraian dilakukan dengan melafazkan talak. Mungkin mahkamah mempertimbangkan perasaan anak-anak yang turut serta mendengar permohonan tersebut. Sahabat saya pada mulanya mendesak mahu meneruskan permohonan fasakh itu akhirnya bersetuju permohonan penceraian talak dijalankan. Dengan berat hati dia terpaksa menelan segala derita yang pernah dialaminya beberapa tahun yang lalu, akibat si suami yang menyimpan perempuan simpanan, mengabaikan nafkah zahir dan batin dan juga menjalani kehidupan yang lucah demi menjaga hati anak-anak. Dan pencerain itu dilakukan dengan menjatuhkan talak .

Di sini sedikit info mengenai penceraian talak dan juga melalui fasakh.

PENCERAIAN TALAK

Talak merupakan kalimah bahasa Arab yang bermaksud "menceraikan" atau "melepaskan".Mengikut istilah syara' ia bermaksud, "Melepaskan ikatan pernikahan atau perkakhwinan. Jika suami melafazkan kalimah ini ke atas isterinya, maka dengan sendirinya mereka berdua telah terpisah dan isterinya berada dalam keadaan iddah . Jika semasa isteri di dalam iddah kedua pasangan ingin berdamai, mereka boleh rujuk semula tanpa melalui proses pernikahan.

FASAKH
Fasakh bererti memutuskan pernikahan tanpa menjatuhkan talak, perkara ini hanya boleh diputuskan apabila pihak isteri membuat pengaduan kepada Mahkamah dan Hakim mensabitkannya setelah perbicaraan. Fasakh boleh berlaku dengan beberapa sebab sebagaimana terdapat di Fasal 49 (1) undang-undang Amla seperti berikut :
1. Suami telah mencuaikan pemberian nafkah atau tidak memberi nafkah untuknya selama tiga bulan.
2. Suami telah dihukum penjara selama tiga tahun atau lebih dan hukuman itu telah menjadi muktamat.
3. Suami tidak menjalankan kewajipan-kewajipannya sebagai seorang suami terhadap isterinya selama satu tahun dengan tiada sebab yang munasabah.
4. Suami mati pucuk pada masa berkahwin dan terus-menerus begitu.
5. Suami gila atau mengidap penyakit merana yang akan mengambil masa yang panjang untuk menyembuhkannya atau tiada harapan sembuh dan jika diteruskan perhubungan suami-isteri akan menjejas kesihatan isteri.

6 Suami berlaku kejam terhadap isteri iaitu seperti :
a. Selalu memukul isteri atau menjadikan kehidupannya sengsara disebabkan oleh b.kelakuannya yang kejam sekalipun tanpa menggunakan kekerasan.
c. Bercampur gaul dengan perempuan-perempuan lucah atau hidup dalam kehinaan.
d. Mencuba memaksa isteri supaya hidup lucah.
e. Menghalang isteri daripada melaksanakan perintah agama.
f.Tinggal dan bersekedudukan dengan perempuan lain yang bukan isterinya.
g. Jika suami mempunyai isteri lebih dari satu, suami tersebut tidak melayannya dengan adil sebagaimana yang dikehendaki oleh hukum Islam.

7. Kerana sesuatu sebab yang lain yang diakui sah untuk cerai fasakh di bawah hukum Islam.

Thursday, November 20, 2008

MAAFKAN KAMI

Puan,Semlm saya membeli novel Harum Chempaka. Ini novel ke empat puan yg saya beli & baca.Seronok rasanya membaca novel-novel puan. Saya terpaksa menunggu sale dr popular utk mendapat potongan yg menarik utk membeli novel puan ini.Mungkin puan ketawa apabila membaca apa yg saya tulis ni. Yelah sekadar RM 24 saya terpaksa menunggu utk membeli.Sebagai suri rumah ini lah yg saya hadapi. Suami bukan golongan berpendapatan yg tinggi dan anak2 juga perlu macam2.Duit segala-galanya.
Puan,21/Mac/08 saya di kejutkan dgn berita suami di sahkan mengidap penyakit jantung.Sedih. Entahlah mgkn ini dugaan dr ALLAH buat saya. Saya redha.Novel puan Cinta jangan kau pergi & Andai semlm ku miliki menjadi peneman saya selama 2 minggu di HKL. Alhamdulillah ALLAH masih memberi peluang buat suami menemani hidup saya. Dr sinilah mulanya hati saya tertawan dgn novel2 puan.



E-Mail ini saya baru buka semalam. Ada banyak lagi yang ditulis oleh penghantar email yang berasal dari Puchong ini. Email yang membuat mata saya basah. Sedih dan terharu. Terharu dan sedih kerana walaupun beliau tidak bekerja tetapi masih mahu membeli buku saya apatah lagi ketika suaminya sedang sakit. Saya sedar RM24 memang bukan harga yang murah pada sesetengah orang. Harga sekampit beras seberat 10 kilo yang boleh dimakan satu keluarga selama dua minggu. Saya benar-benar rasa bersalah dan memohon maaf pada pembaca tersebut kerana mungkin harga buku saya agak membebankan beliau.
Namun kenaikan harga barang termasuk harga pengangkutan dan kertas memang tidak boleh dapat dielakkan. Bukan sahaja kenaikan harga tidak dapat dielakkan tetapi otak saya yang selalu berfikir juga tidak dapat mengelak daripada menulis dan terus menulis sehingga menambah banyakkan bilangan muka surat. Semakin banyak bilangan muka surat, sudah pasti harga pencetakan bertambah mahal.
Kadangkala memang saya cuba menulis dengan mengurangkan jumlah muka surat tetapi semakin lama menulis semakin banyak idea yang saya ada. Kalau dahulu saya menulis anggaran 500ms sekarang sudah menjangkau 700ms. Betapa saya cuba mengurangkannya betapa makin itulah saya semakin banyak idea…aduhai..aduhai.
Buat masa sekarang memang saya tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengurangkan harga buku. Cuma yang boleh kami lakukan, memberi potongan harga 20% pada mana-mana pembeli yang membeli terus dengan datang ke pejabat NB Kara. Itu sahaja cara yang kami dapat bantu dan sekali lagi maafkan kami.

Monday, November 17, 2008

AHLI PERNIAGAAN YANG TIDAK AKAN BERJAYA

Satu hari ketika saya berada di kampong. Saya didatangi oleh dua orang wanita. Seorang jiran saya di kampung dan yang seorang lagi tidak saya kenali.
“Oh..ini dia yang mahu jadi downline kita tu. Hmm..boleh ke dia meniaga.”
Wanita yang tidak saya kenali itu masuk ke rumah saya tanpa bersalam dengan saya. Pertanyaan tersebut sudah pasti membuat saya tercengang-cengang. Siapa orang ini?
“Oh..apa khabar?”
Saya bertanyakan khabar jiran saya dan teman yang dibawanya. Dengan malu-malu jiran saya itu menyatakan hajat kenapa dia datang berjumpa dengan saya.
“Aku nak ajak kau join Zullian..”
Beritahu jiran kampong saya itu. Barulah saya tahu hajat kedatangan teman saya itu.
“Boleh..jadi stockis ke?”
Selamba sahaja saya bertanya menduga. Saya renung teman yang dibawa oleh jiran saya itu. Saya lihat wajahnya sedikit berubah.
“Tidak…aku nak suruh kau jadi downline kawan aku ni..”
Saya tersenyum mendengar perlawaan jiran dan juga sahabat saya itu. Saya memang tidak pernah tahu pasal direct selling ini. Saya memang tidak berbakat untuk meniaga dari satu rumah ke satu rumah. Saya mempunyai perasaan simpati yang amat tinggi pada orang. Bila saya berniaga orang mahu membeli dan tidak berduit. Saya boleh memberi orang barang tersebut tanpa apa-apa bayaran.
“Saya ada RM100k. Apakah saya layak menjadi stockis..”
Saya bertanya pada teman jiran saya yang sampai sekarang tidak saya ketahui namanya kerana dia tidak memperkenalkan dirinya. Bahkan saya tidak juga tergerak mahu bertanya kerana saya tidak begitu gemar dengan wajahnya yang tegang dan tidak ramah.
“Saya tidak bercakap mengenai stockis..”
Teman jiran saya itu menjawab perlahan. Mungkin merasakan saya menyombong dan cakap meninggi diri. Apatah lagi menyebut mengenai seratus ribu.
“Saya tidak berbakat menjadi peniaga direct selling tetapi kalau awak bercakap mengenai perniagaan pukal, mengambil barang dari negara lain bawa masuk ke Malaysia dan dijual di pasar raya besar. Mungkin saya boleh tolong. Saya minta maaf banyak-banyak..”
Saya menolak dengan sopan. Emak tiri yang dari tadi mendengar cerita kami segera menyampuk.
“Dia sudah ada syarikat sendiri, sudah ada pekerja. Untuk apa dia ikut orang berniaga dari satu rumah ke satu rumah..”
Saya mengerdipkan mata kepada emak tiri saya. Menyatakan saya kurang senang dengan kata-kata tersebut. Tetapi saya faham perasaan emak tiri saya. Tidak suka orang lain seolah-olah memandang rendah pada saya.
“Kalau macam tu tak apalah..”
Teman jiran saya sudah menonong di muka pintu. Saya renung belakang dia dengan rasa sedih. Sedih kerana dia sebenarnya akan gagal menjadi seorang ahli perniagaan yang baik.
Seorang ahli perniagaan bukan sahaja perlu ada budi bahasa, tetapi perlu ada pengetahuan yang luas mengenai latar belakang pelanggan dan juga orang bawahannya. Dia bukan sahaja tidak menyelidik latar belakang saya tetapi menganggap semua orang mempunyai keupayaan yang sama. Keupayaan dari segi mental, keinginan, material dan sebagainya.
Walaupun jiran teman saya ini hanya menjalan perniagaan direct selling, dia perlu memahami dan belajar banyak perkara. Bukan main terjah tanpa memberi salam dan pergi begitu sahaja semasa dan selepas menjual barang-barangnya.

Friday, November 14, 2008

KRITIKAN..BIARLAH BERPADA PADA

Satu ketika dahulu saya sering menerima e-mail daripada pembaca ini. Mengunakan nama samaran yang sama setiap kali emailnya sampai kepada saya. Email yang dihantar biasanya merupakan kritikan terhadap novel saya. Amat jarang sekali penghantar email ini berpuas hati dengan novel yang saya hasilkan. Ada sahaja kesalahan novel saya dimata beliau. Bahkan kritikan tersebut kadangkala melebihi batas seorang manusia yang sopan.
Namun sebagai manusia yang amat menyanjungi tinggi peribadi Abraham Lincoln. Saya tidak pernah pedulikan email tersebut. Kadangkala saya menjawabnya dan kadangkala saya hanya menulis dengan perkataan.
“ Terima kasih dengan komen anda, saya cukup menghargainya”
Namun sipenghantar e-mail ini seolah-olah tidak puas hati dengan jawapan saya. Dia menghantar komen-komen yang merupakan provokasi yang keterlaluan dan saya abaikan juga. Kerana memang sikap saya amat jarang memberi komen membela diri.
Tuhan maha berkuasa. Terlalu maha adil. Baru-baru ini sipenghantar email saya ketahui telah menjadi penulis novel. Sebagai penulis yang baru menulis, novelnya biasa-biasa sahaja. Namun berita yang saya terima, beliau hampir patah semangat untuk menulis kerana kritikan terhadap novel pertamanya terlalu teruk sekali. Mungkin dia tidak menyangka akan menerima kritikan tersebut apatah lagi dengan orang yang dekat dengannya. Mendengar cerita dan berita tersebut. Saya cukup gembira. Gembira kerana tuhan telah memberi peluang kepada sipenghantar email ini untuk menjadi penulis yang akan menerima kritikan.
Saya teringat si penghantar email yang sekarang ini sudah menjadi penulis novel yang satu ketika dahulu hanya pandai mengkritik tetapi sebenar lemah berdiplomasi dengan emosi. Bahkan terlalu memberi ruang perasaannya bersuara daripada rasa rasional.
Sekarang beliau sudah menjadi penulis. Sudah tahu bagaimana perasaan seorang penulis apabila tulisannya dikritik. Sudah mengerti betapa kritikan tanpa diplomasi, terlalu mengikut perasaan dan tidak rasional akan menyebabkan luka yang cukup dalam pada sipenerima kritikan.
Manusia seperti kita memang tidak lepas daripada kesilapan. Tetapi lihat keupayaan diri kita dahulu sebelum mengkritik. Berpada-pada dalam memberikan kritikan dan saya selalu ingatkan kepada penulis muda dan diri saya sendiri. Bagus macamana pun sesuatu novel belum tentu akan memberi kepuasan pada semua orang. Janganlah mendabik dada kerana ada orang yang lebih baik daripada kita sebenarnya. Dan jangan sesekali mengkritik novel atau tulisan orang lain secara keterlaluan kerana pasti ada sesuatu di dalamnya yang masih kita boleh pelajari..

Wednesday, November 12, 2008

BILA KAMI BERKUMPUL

Berkumpul beramai-ramai bersama adik beradik, kami bercerita mengenai makan lagi. Aduh..makan-makan. Keluarga saya adalah keluarga yang cukup besar. Kalau balik kampong ada sahaja makanan yang dimasak. Pagi petang siang malam. Di dapur ayah saya ada tiga buat meja, satu meja enam kerusi, dua meja 4 kerusi. Di situlah kami akan lepak. Tidak cukup meja ini, kami akan pergi meja sana. Tak cukup meja sana kami ada satu meja lagi.
“Kita makanan dah mewah. Ada kawan orang tu kasihanlah kak. Suami aje bekerja, isterinya tidak. Jadi anak-anak makan telur sentiasalah. Berapa sahaja gaji pekerja kilang. Dengan sewa rumah, dengan nak bayar duit motor. Bayar itu bayar ini. Kadangkalakan..belum cukup bulan susu anak dah habis. Macam kita pula, susu anak tak habis-habis. Sebab anak tak mahu minum. Macam-macam jenis susu kita cuba, sampaikan bertin-tin susu dan bermacam-macam jenis yang kita beli..”
Adik saya memulai cerita. Merenung makanan yang banyak di hadapan mata, saya merasa sayu hati mendengar cerita adik saya. Masih ada orang lagi yang miskin sampai makanan pun tidak mencukupi.
“Ada orang pula kaya, tapi makanan kedekut. Berkira. Ikan yang dimasak pun berkira. Ada seorang yang aku kenal, kalau dia masak ikan selar tu. Anak dia ada 4 orang, dia masak dalam 2 ekor sahaja. Jadi mereka makan secubit-secubitlah. Tidak macam kita ambil seorang seekor. Dia bukan miskin pun, walaupun tidaklah terlalu kaya.”
Celah salah seorang kakak saya. Saya teringatlah jiran saya ketika saya bujang dahulu. Mempunyai pembantu rumah dan pembantu rumahnya selalu mengadu dengan saya. Dia tidak cukup makan. Bagaimana mahu cukup makan kalau setiap hari dia hanya dibenarkan mengoreng ayam sebanyak 3 ketul sahaja. Sedangkan majikannya mempunyai 3 orang anak yang sedang membesar. Majikannya bukan tidak berduit. Ada rumah dua tiga buah bahkan ada ladang buah naga yang diusahakan di kampong. Aduh..kenapa kedekut sangat.
“Masa aku kerja di bank dahulu..”
Saya mencelah pula mengambil bahagian bercerita.
“Kawan aku ni..tiap-tiap tahun bercuti di London, Australia..yelah di luar negaralah. Tetapi kalau ada buat majlis makan-makan. Dia jarang nak bagi duit. Kalau bagi pun dua ringgitlah paling banyak. Tetapi yang paling aku sakit hati, belum majlis makan-makan bermula dia dah sediakan plastic untuk bawak balik…”
Yang mendengar cerita saya ketawa beramai-ramai. Pelik tapi benar. Manusia seperti sudah hilang malu hanya kerana perasaan kedekut. Perkara perkara begini bukan sahaja berlaku pada orang Malaysia, tetapi pada semua orang di dalam dunia ini. Saya teringat cerita suami. Satu hari kedutaan Turki mengadakan majlis makan-makan di hotel besar 5 bintang di tengah Bandar Kuala Lumpur. Ada beberapa orang kawan-kawannya datang membawa bersama plastic dan membungkus makanan untuk di bawa pulang. Aduhai..malu sungguh kata suami dan berkali-kali saya ingatkan suami jangan buat perangai begitu. Saya tak perlu makanan yang dibawa dari luar, di rumah makanan sudah mencukupi.
“Saya tahulah.” Kata suami.
Ahh..bercerita pasal makanan memang macam-macam perangai manusia, ada yang kedekut, ada yang murah hati dan ada yang benar-benar tidak kisah pasal memberi orang makan. Tetapi apa salahnya kita jadi pemurah pada bab makanan. Rezeki yang diberi saya percaya tidak akan berkurangan kalau kita memberi orang makan terutamanya pada keluarga sendiri.
Diriwayatkan dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim, dari Ibnu Abbas radhiallahu 'anhuma, ia berkata, "Rasulullah saw. adalah orang yang paling dermawan dan beliau lebih dermawan pada bulan Ramadhan, saat beliau ditemui Jibril yang datang untuk menyimak bacaan Al-Qur`an beliau. Jibril menemui beliau setiap malam pada bulan Ramadhan lalu Rasulullah membacakan kepadanya Al-Qur`an.
Ketika Rasulullah saw. ditemui Jibril, beliau lebih dermawan dalam kebaikan daripada angin yang berembus.”
Hadits ini diriwayatkan pula oleh Ahmad dengan tambahan, "Beliau tidak pernah dimintai sesuatu kecuali memberikannya.

Sunday, November 9, 2008

BERKELAH DI SUNGAI CONGKAK

Lama sungguh saya tidak pergi berkhemah atau berkelah di sungai atau di air terjun. Sebelum kahwin dan masa muda-muda dahulu. Rajin jugalah saya berkhemah. Berkhemah di Taman Negara saya rasa adalah perkara yang cukup indah. Menaiki bot selama lima jam dan berkhemah di Teluk Bekoh, meninggalkan sesuatu yang cukup berkesan di hati saya. Semalam saya merancang berkelah di Sungai Congkak tidak jauh daripada rumah saya. Perjalanan mengambil masa selama 40 minit sahaja dari Kajang. Saya pergi bersama dengan keluarga saya, pembantu rumah, editor saya, kak Zara penulis novel Belahan Jiwa. jiran belakang rumah saya Ah Kua, jiran saya yang saya panggil nenek tinggal selang 3 rumah dari rumah saya dan tidak lupa anak buah saya Fauzan dan Hakim.
Pukul 5 pagi saya sudah bangun memasak. Menu perkelahan tersebut kuah kacang bersotong, rendang kerang, kari ayam bersama nasi impit, ayam goreng dan meehon goreng! Yummy..yummy...
Tapak perkhemahan kami. Khemah didirikan oleh editor saya Suraya (bila diperiksa..satu gambar dia pun tak ada ketika perkelahan ini!) dibantu oleh anak buah saya Fauzan dan Hakim. Khemah ini baru beberapa hari dibeli sebelum rancangan ini dijalankan. Khemah lama..tak tahu mana perginya.


Kak Zara, yang berbesar hati menunjukkan jalan ke Sungai Congkak. Seingat saya kali terakhir saya ke sana lebih 10 tahun yang lalu. Kak Zara..tak mahu mandi, kata dia..sejuk sampai ke tulang. Sorrylah kak Zara..rendang kerang saya masin sikit! He..he.he..


Nenek jiran cina saya pun turut serta. Pertama kali saya berkenalan dengan nenek ini ketika berjogging di padang permainan depan rumah saya. Selalu singgah di rumah saya kerana mahu melihat pokok bunga yang saya tanam. Kadangkala saya bagi dia pokok. Dahulu Qaisara nampak nenek ini dia akan lari tetapi sekarang sudah berani duduk di pangku.



Bersama anak buah saya Fauzan dan Hakim. Kalau dia orang tak ada dalam majlis macam ni, memang tak meriah! Terutamanya Qaisara yang memang pantang nampak abang Hakim dan Ojannya. Hakim baru potong rambut. Qaisara beberapa kali memuji Hakim..kata dia..Abang Hakim comel sangat!


Seingat saya sepanjang berkahwin kami tidak pernah ke sungai. Laut selalulah. Dulu-dulu masa mula-mula kahwin, saya ajak suami ke hutan atau sungai. Saya cerita pada dia, ketika di Taman Negara saya nampak ular sawa sebesar peha dan bagaimana saya terjun sungai untuk menarik perahu yang tersangkut. Bila dengar cerita saya, suami selalu menolak bila diajak ke hutan.. Namun ketika menjejakkan kaki ke Sungai Congkak. Dia terpegun dan suka teramat sangat.



Keluarga Ah Kua. Anak-anak Ah Kua seumur hidup tidak pernah ke sungai. Bila jumpa air seronoknya bukan kepalang. Terutama anaknya yang sulung. Berenang menyelam, berjam-jam. Tak makan pun tidak mengapa.



Ini juara berendam Sungai Congkak. Qaisara bersama pembantu rumah saya. Saya kira mereka berendam lebih 3 jam tanpa rasa sejuk dan jemu. Sedangkan..air sungai ni..sama sejuknya dengan salji di Turki.


Gambar sebelum pulang! Terpejam-pejam mata suami saya. Kata dia..dia suka dengar bunyi air. Jarang sekali didengarinya cantik dan indah sekali. Dua bulan lagi kata suami saya jika keluarganya datang dari Holland, dia mahu membawa mereka ke sini. Berkhemah dan membuat BBQ.

Thursday, November 6, 2008

SENYUM SEJENAK

Hari itu Nasrudin sedang berbicang dengan hakim kota. Hakim kota, seperti umumnya ketahui seorang cendekiawan masa itu, sering berfikir hanya dari satu sisi saja. Hakim memulai,
“Seandainya, setiap orang mahu mematuhi hukum dan etika, …”
Nasrudin menukas, “Bukan manusia yang harus mematuhi hukum, tetapi hukum lah yang harus disesuaikan dengan kemanusiaan.”
Hakim tersebut tidak setuju dengan kata-kata Nasrudin.
“Tapi cuba kita lihat cendekiawan seperti anda Nasrudin. Kalau anda mempunyai pilihan: kekayaan atau kebijaksanaan, mana yang akan dipilih?”
Nasrudin menjawab seketika, “Tentu, saya memilih kekayaan.”
Hakim membalas sinis, “Memalukan. Anda adalah cendekiawan yang diakui masyarakat. Dan Anda memilih kekayaan daripada kebijaksanaan?”
Nasrudin balik bertanya, “Apa pula pilihan anda Tuan Hakim?”
Hakim menjawab tegas, “Tentu, saya memilih kebijaksanaan.”
Dan Nasrudin dengan tersenyum menjawab,
“Terbukti, semua orang memilih untuk memperolehi apa yang belum dimilikinya.”
(Petikan daripada buku He..he. Kelakar)

Monday, November 3, 2008

MAJLIS RUMAH TERBUKA NB KARA

Syukur majlis rumah terbuka NB Kara selamat dijalankan dengan jayanya. Ramai tetamu yang hadir memberikan sokongan terutamanya dari peminat. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada yang hadir kerana sanggup menghabiskan masa bersama kami. Dan tidak lupa ucapan terima kasih kepada orang kuat saya Suraya Yacob yang membuatkan majlis ini berjalan lancar walaupun dia tidak membantu saya memasak. Auwahh..ha.ha.ha. Di bawah ini sebahagian daripada gambar yang sempat pihak NB Kara rakam di majlis tersebut.
Antara hidangan yang disedikan di rumah terbuka tersebut. Yummmy..yummmy...

Penulis NB Kara bersama peminat (Nortie, WanAmyln, Kak Noor, Jihan dan Nacha), Nora berbaju merah, Kak Zara Alwi bertudung hitam dan disebelahnya Sarnia Yahya. Di belakang yang bercermin mata penulis baru Zaila Zakaria


Yana yang terpaksa berkejar dari KLIA selepas mengambil si ayah. Datang ke majlis ini bersama suaminya. Terima kasih banyak-banyak Yana.


Anim datang bersama dengan keluarganya. Tetapi hanya berkesempatan mengambil gambar Anim seorang. Sarah anak sulong Anim..terpaksa meminta izin warder asrama melepaskan dia bagi menghadirkan diri di majlis rumah terbuka ini. Terima kasih Sarah..terima kasih pada warder sekolahnya yang baik hati!


Wati Idris datang sekeluarga datang memberikan sokongan. Terima kasih Watie. Terima kasih yang tidak terhingga


Geng dari Maybank. Kalau sesiapa yang nak buat loan boleh contact Malahati and the geng!


Saya memang cukup confuse yang mana satu geng ulat buku yang mana satu geng Kicap. Tapi tak kisahlah. Saya sangat berbesar hati dengan kehadiran mereka semua. Duduk No.2 di sebelah kanan adalah penulis Lily Haslina Nasir. Wartawan dan penulis tersohor se Malaya


Alahai siannya adik den seorang ni. Linda datang dari Kelantan pada hari Jumaat. Tidak sempat menghadirkan diri di rumah terbuka kerana terpaksa pulang ke Kelantan pada hari Sabtu itu kerana suaminya bekerja pada hari Ahad.


Group dari Universiti Malaya. Ramai juga..terima kasih adik-adik. Jangan serik2 tau!


Tidak lupa keluarga saya. Separuhnya datang daripada Melaka. Berbaju kuning itu anak buah kesayangan saya Ojan yang banyak membantu menjayakan majlis ini.

Thursday, October 30, 2008

CHINTA-DECEMBER

Sedikit sedutan tentang Chinta.
“Kenapa kau tak datang kerja?”
“Aku dah berhenti kerja. Masakan Jessi tak beritahu. HR tak sampaikan surat pada kau?”
Chinta berkata perlahan sambil menolak tangan Raja Akid yang sudah memegang tangannya.
“Kau marah aku?”
“Tidak, kau yang suruh aku berhambus. Aku berhambuslah..”
Chinta berkata perlahan. Dia merenung Candy yang tersengeh-sengeh di hadapan mereka berdua. Tidak selesa Chinta dibuatnya.
“Aku minta maaf..”
“Tak mengapa…” balas Chinta perlahan. Di hati benar-benar tidak menyangka yang lelaki itu akan mencarinya sampai ke rumah.
“Aku nak kau balik kerja semula..”
Mudahnya Raja Akid, selepas menjerit dekat aku. Menyuruh aku berhambus, sekarang datang memujuk dan menyuruh aku bekerja semula.
Tidak..tidak! Ego Chinta menolak permintaan lelaki itu.
“Kau dah suruh aku berhambus, kau dah tak suka aku. Buat apa aku datang bekerja..”
Perlahan Chinta menjawab. Sudah menjauhkan dirinya daripada Raja Akid. Candy sudah ke dapur mungkin mahu membuat air untuk Raja Akid atau memberi ruang kepada ke dua-duanya bermuzakarah.
“Masa tu aku tengah marah. Kau tengking aku…”
Akui Raja Akid tanpa berselindung. Sepanjang dia bekerja dengan Chinta, Chinta tidak pernah menengking dia. Begitu juga dengan dirinya. Sebab itu dia rasa terperanjat dan membalas balik kata-kata Chinta dengan jawapan yang kurang wajar dan agak kurang ajar di telinga Chinta.
“Aku tak bermaksud tengking kau. Aku minta maaf..” kali ini Chinta pula memohon maaf daripada Raja Akid.
Dia sedar sepanjang dia bekerja dengan Raja Akid memang dia tidak pernah menengking lelaki itu.
“Tak mengapa..” jawapan Raja Akid itu mengundang senyum dari Chinta.
“Esok kau kena datang kerja semula. Kalau tidak aku pun tidak akan bekerja lagi di kilang itu..”
Sambung Raja Akid apabila dia melihat Chinta tidak menunjukkan apa-apa reaksi.
Chinta hanya tersenyum tawar. Dia tahu Raja Akid hanya bergurau.
“Tak perlu. Aku rasa kau kena cari pekerja yang lebih baik dari aku. Tidak akan mempersoalkan apa sahaja arahan kau dan tidak akan menengking kau.”
“Kau adalah pekerja aku yang paling sabar yang pernah aku ada….”
Tidak ada kata-kata yang keluar dari mulut Chinta. Raja Akid merapati Chinta dan duduk rapat dengan Chinta.
“Aku minta maaf. Aku akan naikkan gaji kau..”
Raja Akid sudah memegang tangan Chinta. Perlahan Chinta menolaknya. Namun Raja Akid mengenggam terus jari jemari Chinta.
“Esok kau datang kerja semula. Selagi kau tidak mengiakan. Aku akan duduk di sini, di sebelah engkau. Memegang tangan kau, meminta pada kau. Sehingga kau mengatakan ya..kepada aku..”

Nak tahu..kisah selanjutnya. Tunggulah Desimber ini ...sabar...

Wednesday, October 29, 2008

ADUHAI BANK RAKYAT

Saya benar-benar kecewa semalam. Sukar untuk mengambarkan perasaan kecewa saya dengan pihak bank yang satu ini. Bank Rakyat Kajang. Bunyinya macam berjiwa rakyat. Bunyinya jika kita masuk ke dalam bank tersebut saya akan mendapat layanan kelas pertama.
Saya melangkah masuk ketika jam 12.30 tengah hari. Mungkin waktu rehat ketika itu. Kaunter hanya dibuka satu sahaja dari 4 kaunter. Selepas mengambil borang permohonan untuk membuka akaun Nuri untuk Qaisara saya mengambil nombor. Ada 9 orang lagi sebelum nombor saya. Saya menunggu dengan sabar sambil berbual dengan anak buah saya Ojan dan editor saya yang kebetulan ada hal yang harus diuruskan di bank-bank lain. Perjalanan berurusan dengan bank ini begitu lembab sekali. Satu kaunter saya rasa mengambil masa sehingga 20 minit. Namun ketika giliran saya hampir tiba, jam menunjukkan 2.30. Seorang lelaki yang sudah berumur tanpa memakai tanda nama, duduk di bahagian khidmat pelanggan memanggil sesiapa yang mahu membuka akaun baru datang kepadanya. Dia memasukkan data-data saya dan Qaisara ke dalam computer.
Tetapi rupanya urusan tersebut tidak habis di situ. Saya harus ke kaunter semula dan paling menyakitkan hati dia menyuruh saya mengambil nombor baru kerana nombor saya sudah terlepas! Jadi saya terpaksa menunggu 5 nombor lagi!
Urusan saya selesai pada jam 3.00 petang. Tidak ada kata terima kasih tidak ada kata maaf yang saya terima. Mahu sahaja saya bertanya pada petugas di situ. Susah sangatkah mahu tersenyum. Tetapi saya tidak punya masa kerana saya perlu mengejar waktu zohor dan perut sudah berkeroncong minta di isi.
Apa sudah jadi dengan bank yang berjiwa rakyaat ini? Saya digembur-gemburkan oleh pihak bank dengan kelebihan kalau memiliki tabungan untuk anak-anak. Dimasa yang sama saya juga ditakutkan oleh kawan-kawan dengan layanan bank ini yang rasanya terbelakang seperti 20 tahun yang lalu.
Nyata apa diberitahu oleh kawan saya ada benarnya..
Sebelum saya sampai ke bank ini. Saya telah ke bank komersial. Satu bank tempatan satu lagi bank antarabangsa. Bank antarabangsa menyediakan ruang menunggu yang cukup selesai. Seperti di rumah. Bank tempatan pula penuh dengan orang ramai tetapi layanan yang diberi oleh petugas di kaunter mesra. Senyum dan berbual dengan ramah. Seperti tidak ada rasa penat.
Apa sudah jadi dengan Bank Rakyat ini. Sudahlah urusannya begitu perlahan, pekerja tidak memakai tanda nama, bahkan terlalu sukar untuk memberi sedikit senyuman? Susah sangatkah mahu memberi layanan mesra pada pelanggan yang akan memastikan perjalanan bank ini terus berkembang? Fikir-fikirkanlah pihak pengurusan.

Thursday, October 23, 2008

PEMALASKAH ORANG MELAYU?

Pagi semalam ketika menghabiskan bacaan satu buku motivasi di dalam tandas kerana menyorok-yorok dari Qaisara yang mungkin akan merampas buku saya (Qaisara ni pantang nampak buku. Susah saya mahu membaca kalau dia ada. Dia cuma tidak menganggu saya kalau saya berada di dalam tandas sahaja). Saya terbaca mengenai seorang pakar motivasi yang mengatakan orang melayu malas. Lama sungguh tidak mendengar ucapan tersebut.
Saya sendiri tidak tahu siapa yang mula-mula mencipta kata-kata yang orang melayu malas. Apakah ini ciptaan pemimpin atau ciptaan orang-orang inggeris satu ketika dahulu.
“Orang Melayu malas ke?
Saya bertanya pada suami. Suami orang asing jadi pandangan dia terpaksa saya ambil untuk menjadikan supaya pandangan itu tidak bias.
“Kalau melihat keluarga kamu terutamanya ayah kamu. Rasanya orang Melayu paling rajin sekali..”
Dia memberikan pendapatnya. Merujuk pada keluarga saya atau ayah sudah pasti tidak mewakili semua orang melayu. Saya tahu ayah seorang yang sungguh rajin. Dalam usia 70 tahun, ketika anak-anak memarahi dia jangan menoreh getah. Ayah sudah bersiap dengan uniformnya sebaik sahaja selesai bersolat Suboh. Kemudian balik berehat sekejap jam 1 petang dan petangnya akan ke kebun pula. Menanam apa yang patut. Cuma badan sekarang tidak segagah dahulu, jadi tubuh tidak boleh dibawa berlasak sangat. Abang saya pula seorang ustaz, petang penuh rumahnya dengan anak-anak yang mengaji. Dia mengajar sehingga hampir waktu maghrib.
“Memang ramai orang melayu rajin..” fikir saya.
Saya teringatkan suami Lily Haslina Nasir (jangan marah Lily!). Bekerja di pejabat tetapi masih lagi mahu mengusahakan cendawan, mengusahakan tanaman serai dan macam-macam yang dibuatnya. Saya gembira betul dengan sikap orang yang sebegitu. Di mana malasnya?
“Orang-orang Malaysia, tak kira orang Melayu, Cina atau India. Saya lihat sama sahaja. Pukul 6 pagi sudah bangun, pergi bekerja. Petang baru balik. Kalau di Turki orang-orang Turki bangun pada pukul 10 pagi. Kalau winter lagilah teruk. Tidak pukul dua belas, mereka tidak bangun. Kedai tidak dibuka masa itu…”
Sambung suami lagi. Mungkin suami melihat sekeliling, tempat kami tinggal. Jiran kami berselang tiga rumah sebelah kanan, pergi kerja jam 6 pagi. Selang dua rumah sebelah kiri lagi teruk 5.30 sudah terdengar dia membuka keretanya.
“Saya rasa orang melayu tidak semuanya malas. Mungkin ada..tapi bukan semuanya. Bukan begitu?” Saya bertanya suami.
“Betul. Orang-orang Arab lagi teruk. Tidur selepas subuh dan hanya membuka kedai selepas waktu zohor. Banyak kedai mereka dijaga oleh orang-orang asing. Itu lagi pemalas.”
Kalau orang melayu tidak pemalas. Kenapa perkataan orang paling malas adalah orang melayu? Kenapa pakar motivasi sendiri mengatakan orang yang malas orang melayu. Kenapa masih ada pemimpin melayu sendiri mengatakan orang melayu malas? Teringat saya cerita cartoon Wall E yang saya tonton bersama dengan Qaisara dipanggung. Mereka membayangkan orang yang pemalas di dunia dalah orang-orang Amerika. Makan, minum pun di atas katil. Sampaikan mereka tidak boleh bergerak.
Saya kemudian teringat cerita seorang kawan saya yang berada di Norway. Di mana orang-orang Norway meminta daripada kerajaan supaya mereka hanya bekerja sebanyak 4 hari sahaja seminggu dengan waktu kerja dipanjangkan pada hari bekerja.
"Tiga hari lagi itu untuk apa?" tanya saya pada Kris..sahabat baik saya itu.
"Berehatlah. Mandi matahari ataupun bermain ski."
Alahai..alahai.. Entahlah saya tidak tahu, kenapa perkataan orang melayu paling malas dicipta. Selepas banyak negara saya jelajahi. Saya benar-benar tidak setuju kalau orang melayu dilabelkan orang paling pemalas di dunia. Sekurang-kurangnya saya tidaklah terkilan kalau label itu ditukar
“Orang melayu masih tidak cukup rajin..”

Tuesday, October 21, 2008

MAHU MISKIN DI DUNIA ATAU AKHIRAT

Mengingati harga-harga barang yang terus meningkat, seorang pemuda selalu mengeluh kerana tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya. Setelah berbincang dengan seorang ulama pemuda itu pun mengikuti anjuran ulama tersebut untuk menjalankan solat Hajat serta tetap istiqomah melaksanakan solat wajib lima waktu.
“Tuan, tiga tahun sudah saya menjalankan ibadah sesuai anjuran Tuan. Setiap hari saya solat Hajat semata-mata agar Allah SWT melimpahkan rezeki yang cukup. Namun, sampai saat ini saya masih miskin,” keluh si pemuda.
“Teruskanlah dan jangan berhenti, Allah selalu mendengar doamu. Suatu saat nanti pasti Allah mengabulkannya. Bersabarlah!” Jawab Sang Ulama.
“Bagaimana saya boleh bersabar, kalau semua harga barang serba naik! Sementara saya masih juga belum mendapat rezeki yang memadai. Bagaimana saya boleh memenuhi keperluan hidup?”
“Ya tentu saja tetap dari Allah, paling penting bersabar, pasti ada jalan keluarnya. Teruslah beribadah.”
“Sia-sia sahaja. Setiap hari solat lima waktu, solat hajat, solat Dhuha, tapi Allah belum juga mengabulkan permohonan saya. Lebih baik saya berhenti saja beribadah…” jawab pemuda itu dengan kesal.
"Kalau begitu, sudahla. Pulang saja. Semoga Allah segera menjawab permintaanmu,” balas ulama tersebut dengan acuh tidak acuh.
Pemuda itu pun pulang. Rasa kesal masih menggelayuti hatinya hingga tiba di rumah. Dia menggerutu tidak habis-habis hingga tertidur pulas di serambi. Dalam tidur itu, dia bermimpi masuk ke dalam istana yang sangat luas, berlantaikan emas yang sangat cantik, dihiasi dengan lampu-lampu yang dibuat dari intan permata. Bahkan beribu wanita cantik jelita menyambutnya. Seorang permaisuri yang sangat cantik mendekati si pemuda.
“Anda siapa?” tanya pemuda.
“Akulah pendampingmu di hari akhirat nanti.”
"Ohh… lalu ini istana siapa?”
"Ini istanamu, dari Allah. Kerana ibadahmu di dunia.”
“Ohh… dan taman-taman yang sangat indah ini juga kepunyaan saya?”
“Betul!”
“Lautan madu, lautan susu, dan lautan permata juga milik saya”“Ya…betul sekali.”
Si pemuda begitu mengagumi keindahan suasana syurga yang sangat menawan dan tidak tertanding. Namun, tiba-tiba ia terbangun dan mimpi itu pun hilang. Tidak disangka, ia melihat tujuh mutiara sebesar telor ayam. Betapa senang hati pemuda itu dan ingin menjual mutiara-mutiara tersebut. Dia pun menemui ulama tersebut sebelum pergi ke tempat penjualan mutiara.
‘Tuan, setelah bermimpi saya mendapati tujuh mutiara yang sangat indah ini. Akhirnya Allah menjawab doa saya,” kata pemuda penuh keriangan.
“Alhamdulillah. Tapi perlu kamu ketahui bahwa tujuh mutiara itu adalah pahala-pahala ibadah yang kamu jalankan selama 3 tahun lalu.”
“Ini pahala-pahala saya? Lalu bagaimana dengan syurga saya Tuan?”
“Tidak ada, kerana Allah sudah membayar semua ibadatmu di dunia. Mudah-mudahan kamu bahagia di dunia ini. Dengan tujuh mutiara itu kamu akan menjadi jutawan..”
“Ya Allah, aku tidak mahu mutiara-mutiara ini. Lebih baik aku miskin di dunia ini daripada miskin di akhirat nanti. Ya Allah kumpulkan kembali mutiara-mutiara ini dengan amalan ibadah lainnya sampai aku meninggal nanti,” ujar pemuda itu sambil menangis teresak-esak dan berjanji dia tidak akan mengeluh lagi di dunia.

Wawahuallam…

Friday, October 17, 2008

LAGI PASAL VIETNAM

Qaisara mana-mana tetap ceria. Walau penat sebaik sahaja mendarat di bumi Vietnam masih lagi tersenyum lebar. Dalam perjalanan ke hotel, di dalam teksi.


Di makam Ho Chin Min di tengah bandar Hanoi. Ho Chin Min adalah Perdana Menteri dan juga President Vietnam pada tahun 1955 sehingga kematiannya pada tahun 1969. Beliau mengetahui kemerdekaan Vietnam daripada Peranchis. Di tempat saya berdiri inilah, seramai 100,000 melaungkan kemerdekaan yang diketahui oleh beliau pada tahun 1945

Ketika saya melawat Temple of Literature (TOL) saya terserempak dengan Presiden Greek Karolos Papoulias (berambut putih) yang sedang membuat lawatan ke Vietnam. Ketika itu saya dan keluarga orang yang terakhir meninggalkan TOL sebelum ditutup kerana lawatan Presiden tersebut.

Suami dan anak di Jalan Nguyen Huu Huan. Sementara menunggu restoran Nisa dibuka pada jam 5 petang. Orang orang Vietnam memang ramai yang mempunyai nama pangkalnya Nguyen. Jalan nama Nguyen, kedai nama Nguyen bahkan saya ada melihat sabun pun ada yang dinamakan Nguyen. Dan Ho Chin Minh mempunyai nama sebenarnya Nguyen Sinh Chung.

Saya di hadapan tasik yang terletak di hadapan rumah Ho Chin Min semasa hayatnya ada (rumah kecil yg berada di belakang saya). Tasik ini menurut pemandu pelancong saya Alex, tempat Ho Chin Minh menghiburkan hatinya sambil memberi makan ikan yang berada di dalamnya.

Qaisara dalam pakaian tradisional orang Vietnam. Pelajar perempuan sekolah menengah memang memakai pakai tradisonal ini tetapi berwarna putih seperti sekolah di Malaysia yang memakai baju kurung.