Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Saturday, January 30, 2010

SUNGKAI HOT SPRING

Saya selamat pergi dan selamat kembali daripada Sungkai Hotspring. Satu percutian yang amat mengembirakan dan saya amat-amat berpuas hati. Saya rasa percutian ini jauh lebih baik jika dibandingkan saya ke Indonesia atau langkawi. Dua percutian yang dicadangkan oleh suami yang saya tolak dan saya pilih Sungkai atas saranan adik saya Wanupeh. Sungkai Hotspring ini dikendalikan sepenuhnya Felda Residences


Saya tinggal di Villa, dua bilik. Satu malam sepatutnya berharga RM600 hari biasa dan RM800 hujung minggu. Tetapi kerana bukan cuti sekolah. Jadi saya dapat malam yang pertama RM500 dan malam kedua RM700. Saya menyuruh pembantu saya Aini, menempah villa ini menerusi Kuala Lumpur sales office, banyaklah halnya. Jadi sesiapa yang mahu menempah lebih baik menelefon terus di no.05-4388801/03 (suka sangat dia orang ni no.8). Biliknya amat besar, bilik air selesa, ada dapur, periuk nasi, kuali, pinggan mangkuk dan juga sudu/garpu. Memang bagus sangat vila ini. Tempahan Villa dua bilik ini akan mendapat 6 tiket minum pagi dan makan malam serta 6 tiket masuk ke kolam air panas dan kolam air gunung. Ini Felda kena bayar saya buat iklan ni..ha.ha..



Semua makanan dan minum ini disediakan oleh Felda. Percuma. Nak angkut bawak balik pun boleh. Chips dia orang tersangatlah sedapnya, terutama ubi kayu. Saya tanya pekerja Villa di mana nak beli produk Felda ni. Para pekerja cakap tidak dijual. Dari makan, makanan ringan baik makan kerepak pisang, kerepek ubi, popia goreng. Saya suka sangat sebab kurang perasa dan garam.



Disetiap Villa mempunyai jakuzinya sendiri. Orang yang paling gembira sudah pasti Si Qaisara Seyit Kara. Pukul 7 pagi dan suruh bibik on jakuzi dan terjun di dalamnya.



Gambar diluar Villa bersama Qaisara. Saya sangat-sangat berpuas hati dengan Villa ini. Bersih, wangi dan semua kemudahan begitu tip top sekali.

Anak saya, apalah yang dbuatnya itu. Mengendapkan kucing yang banyak direstoran. Dia bukan makan pun, asyik memberi kucing makan. Bila balik restoran menangis-nangis mintak makan. Di restoran tersebut saya jadi tukang sibuk, ada satu keluarga dalam 7 orang, berkumpul di tempat buffet dihidangkan, membuka semua makanan dan mencuba makanan di situ sambil berdiri. Dari anak yang kecil sampai besar. Minum berjalan, makan berjalan. Ambil makanan ke tempat duduk pun makan. Suami mengeleng kepala, kata suami inilah teladan daripada emak dan ayah kerana kedua-dua mereka melakukan begitu jadi anak mengikut. Entah mengapa ngeri saya menengoknya kerana yang melakukan adalah orang Islam dan Melayu walaupun bukan orang Malaysia. (saya malas menyebut negara mana nanti orang cakap saya prajudis pula. Kebetulan agaknya..)



Sebenarnya banyak aktiviti di sini melibatkan air. Kolam air panas, kolam air gunung dan jakuzi. Tidak lupa juga aktiviti merebus telur. Telur ada dijual di sini dan kicap bawalah dari rumah. Tetapi saya dengan muka kesian, mintalah dekat restoran. Dapatlah satu plastik kecil..ha.ha..

Si Qasara dengan babanya yang sedang menunggu telur yang sedang direbus. Papan tanda kecil itu adalah rujukan pada para pengunjung yang mahu merebus telur. Cuma yang saya ingat 4 minit untuk 3/4 masak dan 7 minit untuk masak betul.

Saya juga tidak ketinggalan mencuba merebus telur. Jangan sentuh batu tersebut. Melepuh tangan dibuatnya. Bekas merebus ada disediakan. Ketika kami merebus langsung tak ada orang. Kalau hujung minggu kena beratur gamaknya.


Gambar ini ada sedikit gedik..ha.ha..Tapi saya teramatlah suka kerana pemandangannya teramat cantik. Ini adalah titi yang dibina berdekatan dengan punca air panas. Air panas ini hanya boleh dilihat tapi jangan sesekali disentuh. 100C mahu lecur satu badan.


Selama tiga hari di Hotspring ini, pagi petang saya akan ke Titi ini melihat air panas yang berasap keluar dari bumi. Amat-amat menakjubkan. Saya selalu pergi ke kolam air panas di Turki tetapi tidak secantik seperti di Sungkai. Berkali-kali suami menyebut. Kalau di Turki ini kaya raya orang kalau ada kolam air panas macam ni. Berkali-kali dia memberitahu akan menguar-uarkan tempat ini pada kawan-kawannya.


Ini dia punca-punca air panas yang telah dikepung dengan tembuk dan dialirkan kesebuah kolam.


Nampak tak air yang berasap itu. Sesiapa yang berdiri di tempat Qaisara berdiri itu terasalah macam duduk dalam sauna.

Ini kolam air panas yang telah ditapis dan dicampur dengan air sejuk sehingga hanya tinggal dalam 35C sahaja. Abaikan lelaki yang tengah terbaring. Ketika kami sampai pada hari Khamis, tidak ada sesiapa pun di kolam ini kecuali kami sekeluarga. Jadi Mr Seyit Kara perasan kolam itu dia yang punya..Ha.ha.ha




Qaisara dengan babanya di Kolam air panas. Saya tengok Qaisara macam selamba sahaja. Sedangkan saya nak masuk teragak-agak jugalah. Mula-mula panas. Lama-lama okay.



Kami sekeluarga di kolam air panas. Bibiklah tukang mengambil gambar kami. Ha.ha.ha . Berjam-jam kami di sini. Hari Jumaat pagi pun tak ada orang. Tetapi bila datang semula hari Sabtu. Orang sudah mula ramai. Hari Sabtu Qaisara sudah tidak mahu masuk lagi ke dalam kolam air panas, dia dengan bibik ke Kolam air gunung. Jadi saya dengan suami sahajalah. Ada beberapa orang wanita menegur saya dan apabila saya minta izin mahu pulang dan memberitahu mahu melihat anak di kolam air gunung. Mereka serentak berkata. "Oh..ada anak rupanya.." Ha.ha.ha..suami pelik dengan kata-kata tersebut. "Honey, orang tu macam tak percaya aje kita ada anak. Tak nampak ke saya yang dah boroi ni.." ha.ha.ha.. Mungkin mereka memikirkan kami baru kahwin kot, memandangkan saya dengan suami tidak berenggang..


Aktiviti mengurut kaki juga ada di dalam kawasan air panas itu. RM20 untuk 25 minit. Gambar ini diambil oleh Si Qaisara, jadilah begitu. Senget benget..ha..ha.. Di dalam kawasan air panas ini juga ada jakuzi. Satu jam bayarannya RM75 untuk 8 orang. Tetapi saya sudah ada jakuzi di Villa jadi tidaklah masuk. Cuma kekurangan di Sungkai Hotspring ini adalah kawasannya tidak mesra untuk orang sakit atau cacat. Saya tengok punyalah susah payah orang-orang sakit yang mengguna kerusi roda untuk bergerak di sini kerana terdapat jambatan dan jalan yang tinggi rendah. Felda kena memikirkan kebajikan mereka memandangkan ramai yang datang ke kolam air panas untuk berendam adalah orang-orang yang tidak begitu sihat.


Lepas berendam dalam air panas, kami ke kolam air gunung. Pada waktu pagi airnya teramat-amat sejuk. Tetapi seperti biasa, Qaisara ni betul-betul macam sesumpit. Kolam air sejuk pun dia tak kisah, air panas pun buat dek sahaja..


Orang yang paling gembira mestilah Qaisara bila berada di kolam air gunung ini. Paling geli hati Qaisara membuat remarks sebegini."Umi why dont have shop for shopping?" ha.ha.ha..si Teta nikan kaki shopping macam umi dia.

Oh ya, di sini juga sesiapa yang berminta untuk berurut cara tradsional dan Thai juga boleh melakukannya. Saya memanggil mereka datang ke Villa. Sejam RM90 dan apabila mereka datang ke Villa ada tambahan 10%. Sempat bercerita dengan wanita tukang urut yang kematian suami tiga tahun yang lepas. Pedih hati mendengar dia menanggung anak-anaknya yang masih kecil. Nasib Felda ada menyediakan rumah dan juga van untuk anak-anaknya berulang alik ke sekolah. Saya ceritakan nasib wanita itu pada suami. Lantas pantas sahaja suami bertanya. "Awak sedekah tak untuk anak-anak dia?" tanya suami. Sedekah tukan rahsia..

Thursday, January 28, 2010

KARYA OJAN












Karya-karya terbaru Ojan yang sempat saya snap. Tampak dia sudah semakin matang berkarya.
"Jan..asal rambut heroin ni panjang-panjang Jan. Hantu ke apa Jan.."
"Heasy..andak ni, inilah seni andak. Makin susah rambut dan detail yang kita buat makin bagus skil kita.."
Ha.ha.ha..iyelah Jan. Dulu kalau hero dia suka buat rambut terpacak-pacak. Sekarang gaya rambut hero dah boleh tahan.
Perempuan pula rambut panjang, sampai ke lantai.

"Jan, ini mesti dailognya "Please dont go.."
"Aik..macamana andak tahu.."
Ha.ha.ha..bukan susah pun nak agak dialog diakan. Apa-apa pun Andak suka sangat dengan karya-karya Ojan.
Keep it up sayang. I'm proud of you...



Tuesday, January 26, 2010

BEG SI TETA

Lamanya rasanya tidak menulis mengenai Qaisara si drama Queen yang..ya ampun, terlalu pandainya berlakon. Bila bercakap bukan main pandai lagi, tetapi malas pergi sekolah. Setiap pagi dia bangun sendiri. Biasanya pukul 7.15 sudah bangun dan menjerit "Bibik!" . Tetapi apabila dipakaikan baju sekolah, mula merengek tidak mahu ke sekolah.
"Umi im not happy at school. Umi I dont want go school..umi..bla.bla.."
Mula-mula hancur juga hati saya melihat Qaisara begitu sedih tidak mahu ke sekolah. Saya macam nak menangis sama. Tetapi bila hari-hari macam tu perangainya, saya tahu dia cuma berdrama. Apatah lagi setiap kali balik mengambil dia dari sekolah. Pasti dia akan memberitahu saya.
"Umi, im so happy today. I learn painting, i play with my friends, umi..Teta seronok sangat..bla..bla" Tidakkah betul-betul macam pelakon filem? Masa pergi tak suka, bila balik gembira bukan main. Hari-hari macam tulah dia...



Hari ini saya tak ada kerja. Sengaja mahu meletakkan beg tangan dan beg duit yang dikumpul Qaisara. Kebanyakannya berwarna merah jambu. Bertanda A itu sebenarnya saya beli untuk saya letak duit siling yang berterabur dalam beg tangan saya. Tetapi telah diakui hak milik kekal Qaisara. Bergaduh jugalah dengan dia, sebab dia punyalah banyak beg.
"Ling..you see Qaisara? She wants my coins purse.." saya mengadu dengan suami.
"Huh! You are same as Qaisara? Next time buy LV or Coach .."
Saya nak beli beg mahal-mahal semata-mata nak letak duit siling. Bukanlah saya orangnya. Suami kemudian membebel-bebel, emak sama perangai macam anaklah. Apa anak tak berebut. Grrr..penghabisan saya biarkan Qaisara mendakwa beg itu dibeli untuknya. Bergaduh dengan anak ni seronok juga. Tetapi yang tidak seronok bila suami selalu sebelahkan anak..ha.ha.ha. Macam budak-budak sahaja sayakan!


Ini beg tangan kecil Qaisara. Sebenarnya ada banyak lagi, bermacam-macam warna. Tapi diletaknya di merata-rata tempat. Malas saya nak mengumpulnya. Mana sempatlah saya ambil gambar.


Ini yang dapat saya kumpul hadiah dari kakak saya yang baru balik Mekah, hallo kitty diberi oleh sahabat suami saya ketika kami balik Turki yang Mickey Mouse juga hadiah seseorang.



Ini lagi, kalau tidak princess barbie. Hmm..ada anak perempuan memang seronok tetapi tak seronok bila jumpa aje, beg kecil dan comel, mesti dia nak. Pakainya tidak. Nasib Qaisara tak kisah, berapa harga, petaling street ke, pasar malam asal cantik dan comel. Tadi dia tanya saya ...
"Umi can we go Japan again.."
"Why you want go Japan sayang.."
"I miss and want hug Mickey Mouse, donald duck, goofy, minie..bla..bla.."
Huh..Qaisara ingat uminya cetak duit. Sesuka hati aje nak pergi..ha.ha.ha..




Saturday, January 23, 2010

KERASKAH HATI INI

Sudah tiga minggu saya sakit. Batuk tidak berhenti-henti dan saya tidak boleh tidur. Ini penyakit klasik saya. Baru beberapa hari ini saya agak baik sedikit . Ketika sakit ini, saya suka sekali melawat blog pesakit yang mengalami macam-macam penyakit. Insan-insan ini banyak memberi semangat kepada saya dan membuat saya sering berfikir betapa bertuahnya saya sebagai manusia yang hanya sakit sedikit sahaja, dan punya segala-galanya walau tidak mewah. (Suami marah-marah, mengatakan doktor di Malaysia ini tidak bagus. Dia ajak saya balik Turki, berubat di Turki. Dia lupa saya pernah sakit ketika di Turki, makan ubat Turki pun tak jalan. Alah..sengaja, sebab dia mahu main salji. Ha.ha.h.a..da 7 tahun tak balik ketika winter)
Dalam keluarga saya, dari Datuk hingga ke nenek, kami tidak mengalami sakit kronik. Ayah masih kuat lagi dalam usia 70an masih gagah membawa motor, menoreh getah. Bila ditegah dan ditanya adakah duit yang kami beri tidak mencukupi. Dia sering menjawab.
"Itu duit kau orang. Ini duit aku. Duit kau orang untuk makan, duit menoreh untuk aku bersedekah"
Datuk meninggal kerana sakit tua, nenek meninggal pun mati mengejut, begitu mudah sekali di subuh hari dan emak saya meninggal kerana kemalangan.
Membaca blog-blog ini saya teringatkan seorang penulis muda yang telah pun kembali menghadap illahi. Banyak kenangan saya bersama beliau.
Beliau yang bernama R menelefon saya pada satu pagi. Ketika itu beliau berada di nun utara sana dan saya sudah pasti di Kajang. R memberitahu beliau adalah peminat saya. Hubungan kami kemudian terjalin. R, menghadapi penyakit urat saraf. Doktor meramalkan dia akan hidup dalam masa beberapa bulan sahaja. Dikesempatan itu R menyuruh saya membantunya menerbitkan novelnya. Bagi merealisasikan impiannya yang satu itu. Saya pergi melawat R di utara dan kemudian beliau menyerah menuskrip kepada saya. Membaca mskrip tersebut sekali imbas saya tahu, mskrip tersebut tidak boleh diterbitkan. Lantas saya olah semua dengan cara saya, hampir 80 peratus. Harapan saya supaya menuskrip R akan diterbitkan oleh mana-mana penerbit.
Alhamdulilah, selepas itu itu menuskrip beliau selamat diterbitkan. Saya amat gembira sekali, walaupun mungkin tidak ada orang tahu saya yang mengolahnya semula. Saya membelek buku R yang saya beli sendiri. Ada ucapan terima kasih yang ditujukan kepada doktor, kawan-kawannya tetapi tidak saya. Tidak mengapalah, bisik hati saya. Saya puas hati akhirnya R dapat memegang buku tersebut.
Berkawan dengan R benar-benar menguji kesabaran saya. Beliau sentiasa menelefon saya tetapi yang pasti hanya missed call dan saya yang perlu menelefon beliau. Berjam-jam dan sering kali waktu sebelum maghrib. Waktu maghrib sudah pasti pendek, tetapi R seperti tidak peduli. Menyuruh saya bercakap dengannya dan memberitahu yang dia akan mati esok atau lusa. Sehari dua hari tak mengapa, tetapi jika saban hari ?
Kadangkala saya melawat R di utara. Emak R dan ayah R memang baik. Satu hari emaknya menangis di hadapan saya. Menyuruh saya menasihati R dan banyak perkara yang meruntun jiwa wanita tersebut. Saya tergamam. Rupanya tidak banyak yang saya tahu tentang R. Kata emaknya, apa yang terjadi dengan R kerana dia menderhaka kepada ibu bapanya.
Mengenali R dengan lebih mendalam saya dapati ada yang tidak kena pada hidupnya. Dia tidak pernah bersolat dan rasanya tidak tahu bersolat walaupun memakai tudung. Dia suka berbohong dengan saya sehingga pembohong itu benar-benar menyusahkan saya. Bayangkan jika saya di Kajang dan terpaksa berkejar melihat dia yang kononnya sudah nazak, tetapi dia berada di katil hospital sambil ketawa-ketawa.
Akhirnya ada sesuatu berlaku menyebab saya rentan hati dan tidak mahu berhubung dengannya lagi. Berkali-kali dia meminta maaf dengan saya, dan saya beritahu dia. Saya maafkan dia tetapi tak payahlah kami berhubung lagi. Bukan sekali dua dia berbohong dengan saya. Selalu sangat dan saya amat lelah kerana saya ada keluarga yang perlu dijaga.
Oh..terlalu banyak perkara buruk mengenai beliau yang sampai ditelinga saya, lebih-lebih lagi disampaikan oleh keluarganya sendiri.
Walau saya tidak pernah berhubung dengan R lagi tapi saya selalu mendoakan dia dari jauh. Berdoa supaya dia rajin bersolat (saya pernah menasihati dia tentang ini dan dengar-dengar dia sudah berlajar bersolat), berdoa supaya ibu dan bapa beliau memaafkan beliau dan macam-macam doa yang baik-baik untuknya.
Pada tahun 2007 saya mengerjakan umrah kali ke dua dengan suami. Ketika saya sedang duduk berzikir di hadapan kaabah, seseorang menghantar SMS kepada saya. Memberitahu yang R sedang nazak dan mahu berjumpa dengan saya. Si penghantar SMS menyuruh saya berdoa untuk R. Saya tidak tahu sama ada mahu percaya atau tidak kerana R memang sering menyuruh orang lain menghantar SMS pada saya dan memberitahu dia nazak. Padahal bila saya mengharung lebuhraya mendapatkan dia. Dia masih boleh makan dan ketawa-ketawa.
Namun kerana dihadapan kaabah dan tidak mahu prasangka, saya mendoakan juga untuk R dan apabila saya keluar dari masjid. Hati saya tiba-tiba berdetik. Mungkin waktu R pergi menghadap illahi sudah dekat. Saya beritahu suami, saya berdoa untuk R sihat tapi kenapa hati saya mengatakan yang R akan pergi.
Beberapa hari di Mekah saya lupa tentang R, saya lebih ingatkan berdoa untuk keluarga saya dan apabila sehari selepas saya balik dari Mekah. Seseorang memberitahu saya R sudah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir. Beliau tertanya-tanya saya dan mengharap saya akan memaafkan dia.
Ketika itu kenapa hati saya yang memang selalu lembut, seperti tidak ada kesedihan. Saya ambil yassin dan saya bacakan yassin untuknya. Saya bermohon supaya dia diletakkan di dalam golongan orang-orang yang beriman. Saya sudah lama memaafkan R dan berharap supaya R juga memaafkan saya. Sesekali kalau teringatkan R, saya akan bacakan yassin untuknya.
Kadangkala saya marahkan diri saya yang terlalu keras sehingga tidak mahu menyapa R lagi, tetapi saya fikir itu lebih baik daripada saya marah-marahkan dia dari lebih banyak membuat dosa.
Kepada rakan-rakan yang rajin, melawatlah blog ini http://jibayuluv.blogspot.com/ Ayu juga rasanya mengalami penyakit urat saraf. Tetapi Ayu bukan macam R, ayu seorang ibu dan isteri yang baik. Ayu sentiasa pasrah dengan hidupnya. Ayu seorang wanita cantik dan tabah. Saya selalu berdoa supaya Ayu diberi kekuatan meneruskan kehidupan sehariannya dan disembuhkan dari penyakitnya..AMIN..


Thursday, January 21, 2010

MAKAN....

Jom mari kita masak-masak lagi! Ha.ha.masakan Turki. Makanan ini agak berkhasiat dan boleh dimakan dengan roti.


Sebiji tomato, sebiji lada benggala dan saya juga campurkan cili apa yang namanya. Cili ni selalu orang buat solok. Di potong dadu.


Garam dan oregano. Kalau makanan tak bergaram, apa le rasanya iye tak!


Isi ikan, ikan tenggiri boleh, dory pun boleh, ikan salmon pun boleh, code pun boleh. Tetapi ikan keli, patin, haruan tidak sedap untuk masakan ini ya...


Minyak zaitun dan juga tomato paste. Dalam masakan Turki memang banyak tomato digunakan.

Tumis, bawang putih, bawang merah dengan minyak zaitun, masukkan tomato paste dan juga air. Kemudian masukkan ikan, tomato yang dipotong dan juga cili benggala. Masakan ikan ini seperti masakan ayam yang pernah saya post entrynya di sini dulu. Tetapi untuk ayam, saya letak asparagus. Bukannya tomato dan cili benggala.


Bila sudah mendidih, masukkan oregano dengan garam dan hias dengan daun sup. Biasanya di makan dengan roti. Kalau suami dapat ini, dia tidak akan toleh kiri kanan. Qaisara pun tersangat-sangatlah sukanya dia..
(p/s Kak Nani, suami suka makan kari dan rendang, lainnya dia tak pandai makan lagi)




Tuesday, January 19, 2010

MEMBUNU DIRI KERANA MALU!

Öğretmen müdüre, müdür babasına söyledi iddiası
Guru lelaki beritahu Guru besar, Guru besar memberitahu baba.


8 Ocak Cuma günü korucu babasının Kalaşnikof tüfeğiyle intihar etti. Okul ve mahalle arkadaşlarının iddialarına göre, sınıf öğretmeni Resul Keleş, 7 Ocak’ta Meryem’in hoşlandığı bir erkek öğrenciye yazdığı mektubu yakaladı. Meryem’i bütün okula rezil etmekle kalmadı, okul müdürü ile aile birliğine de haber verdi.

Macamana ya nak translatekan berita ini. Sebenarnya berita ini panjang berjela. Saya bukannya pandai bahasa Turki pun. Harus menyelak kamus tetapi kerana suami menjadi penterjemahannya. Maka saya letakkan di blog saya supaya cerita ini menjadi teladan untuk kita semua. (memang selalu setiap pagi saya menyempil dekat suami tumpang membaca berita suratkhbar turki di internet, bukan faham pun. Nasib suami saya rajin melayan...)
Pada 8 hb, gadis yang bernama Meriam (gambar diatas) membunuh diri dengan menembak kepalanya sendiri. Apa yang berlaku sebenarnya?
Gadis yang berusia 12 tahun ini ditangkap ketika menulis surat cinta kepada teman lelakinya. Guru lelaki yang menangkap perbuatannya itu kemudian melaporkannya kepada gurubesar di sekolahnya. Dan malangnya guru besar memberitahu pula kepada bapa pelajar tersebut.
Di East Turki di mana gadis ini dilahirkan dan dibesarkan, menjadi satu taboo atau sesuatu yang memalukan apabila seorang perempuan ditangkap menulis surat kepada teman lelakinya.
Rasa tertekan kerana seluruh sekolah dan seluruh kampung mengejek perbuatan Meriam ini. Gadis ini mengambil keputusan menamatkan riwayat hidupnya dengan menembak dirinya sendiri di kepala, menggunakan senapang bapanya.
Orang ramai menyalahkan guru lelaki dan guru besar yang membesar-besarkan perkara tersebut. Sehingga Meriam mengambil keputusan menamatkan hidupnya sendiri.
Ketika suami membacakan berita ini, saya benar-benar marah. Sakit hati saya dengan guru dan guru besar yang saya rasa tidak bertanggungjawab dan tidak beretika ini.
Kalau kita menjadi guru Meriam, apakah pendekatan yang harus kita lakukan apabila menangkap seorang pelajar menulis surat cinta?
P. S Saya tidak pernah menjadi guru, tetapi kalaulah saya menjadi guru Meriam. Saya akan panggil Meriam berjumpa dengan saya. Saya akan beritahu Meriam secara lemat lembut dan bergurau, belum sampai masanya Meriam bercinta tetapi kalau mahu menulis surat juga, saya akan bantu Meriam menulis dan di sebelah tandatangan Meriam, saya akan tulis perkataan "disahkan" dan saya akan menandatanganinya...he.he

Monday, January 18, 2010

RAMAI YANG TIDAK JUJUR!

Ingat tak bagaimana saya pernah meluahkan perasaan, saya ditikam dari belakang oleh seorang sahabat yang sering saya hulurkan tangan membantu. Semalam suami pulang dari tempat kerja dengan wajah yang sedikit keletihan, membawa cerita yang hampir serupa.
"Sebenarnya bukan awak sahaja yang letih dengan kawan-kawan awak. Saya juga letih dengan kawan-kawan saya.."
Luah suami saya. Dia bercerita mengenai seorang sahabat yang selalu dibantunya. Kadangkala dihulurkan RM100, kadangkala RM200 tetapi si sahabat tidak pernah sekali pun membayarnya semula. Bahkan memburuk-burukan suami di belakang.
"Hari ini dia datang ke tempat kerja saya. Dia mengejek saya mengatakan yang saya mendapat isteri yang hanya mementingkan diri sendiri. Walau syarikat kita NB Kara ada nama saya, tapi kata dia. Apa yang saya dapat? Siapa yang kenal dengan saya? Semua orang cuma kenal NB sahaja? Honey, I sendiri tidak kisah. Orang tidak kenal siapa I. Paling penting kita meneruskan kelangsungan hidup kita dan memberi sokongan pada awak."
Kasihan saya mendengar cerita suami. Saya bukan tidak kenal dengan sahabat suami itu, kenal. Satu ketika dahulu ketika dia mengalami masalah dengan isterinya, suamilah yang memberi perlindungan padanya sehingga saya bersuara pada suami. Jangan campur hal rumah tangga orang! Jangan beri dia datang lagi ke rumah kami kerana kita tidak tahu apa yang berlaku. Dia memburukkan isterinya yang belum tentu buruk. Saya tidak suka mendengar sebelah pihak sahaja.
"Kita ini ditakdirkan mendapat kawan yang serupa agaknya, sebab itu awak jodoh saya.."
Suami ketawa sambil saya menyodorkan dua biji panadol padanya dan juga segelas air.
"Ini dugaan hidup kita hubby. Berdoa supaya Allah terus bersihkan hati kita. Orang yang tidak bersih hatinya tuhan sekat rezekinya."
"Betul kata awak. Betul. Sampai sekarang kawan saya itu, sekejap bekerja sekejap tidak. Sayalah tempat dia minta tolong, tidak beri kesian. Kalau beri, belakang kita dikata macam-macam. Ramai lagi kawan saya yang macam tu.."
"Patutlah..saya bagi duit poket, beribu-ribu tak cukup. Rupanya awak jadi rumah kebajikan pada kawan awak ya...." saya pura-pura memarahi suami. Suami sudah ketawa besar.
"Alah..mengata saya, awak pun sama. Apa bezanya...." suami mengejek saya.
Saya hanya ketawa dan sedar, sebenarnya sekarang ini orang yang tidak jujur berada di mana-mana sahaja.




Sunday, January 17, 2010

MANA TUMPAHNYA KUAH!


Sebenarnya saya tidak perasan dengan perangai Qaisara ini. Bila dia masuk sekolah barulah saya sedar. Dia tidak suka memegang pensil! Bahkan dia tidak suka mewarna. Hari pertama dia menangis kerana dipaksa melukis dengan pensil warna. Dia beritahu saya, dia tidak sukakan mewarna dan bosan duduk sahaja. Bila saya teliti, baru saya ingat. Qaisara suka mewarna dengan menggunakan watercolor bukannya pencil warna. Bila gurunya membiarkan dia mewarna menggunakan watercolor, dia tidak menangis bahkan gembira sekali.
Sekarang dia tidak suka menulis. Saya tanya kenapa Qaisara tidak suka menulis. Jawapan dia senang sahaja.
"Kenapa nak kena tulis?"
"Nanti Qaisara tak boleh jadi orang pandai?"
"Orang pandai macam mana umi?"
"Orang pandai, boleh membaca, boleh menulis.."
"Teta tengok umi tak pernah tulis pun?"
"Umi menulis di komputer.."
"Habis kenapa teta kena tulis pakai pensil. Kenapa Teta tak boleh pakai komputer aje!"
Ambik kau! Dan baru saya sedar, rupanya Qaisara mengikut saya yang tidak suka menulis dan memegang pen. Ha.ha.ha..



BERSEDEKAH PUN KENA MARAH!

Saya memang sering mengajar Qaisara berkongsi dan juga bersedekah sedari kecil. Sebab itu setiap kali ke padang Qaisara pasti akan membawa gula-gula dan dikongsi dengan rakan-rakannya. Kalau ke pasar tani apabila melihat orang kurang penglihatan Qaisara pasti meminta saya seringgit dua untuk diberi kepada mereka. Bila ada anak-anak menjual kismis atau kalendar, saya ajar Qaisara. Jangan beli kalendar atau kismis mereka tapi sedekah abang-abang yang berniaga itu sedikit duit untuk membeli air. Kata saya kasihan mereka, sepatutnya mereka belajar di sekolah bukan berniaga kismis atau kalendar.
Semalam saya ke Sogo. Orang punyalah ramai, suami memakirkan kereta di Wilayah Kompleks di tempat kerjanya. Saya ke sana mahu membeli susu Qaisara yang dikatakan murah dan mencari-cari baju untuk anak-anak jiran saya yang menyambut tahun baru China. Qaisara seperti biasa saya letakkan di Star Gardz, bolehlah dia bermain dengan kawan-kawannya. Suami pula kerjanya awal-awal sudah beratur di kaunter dan saya mencari barang. Jadi tidaklah kami membuang masakan. Selepas segalanya selesai, saya duduklah di luar sogo di tempat menunggu teksi berhadapan bangunan CIMB menanti suami mengambil kereta. Tiba-tiba datang seorang wanita yang saya cukup kenali tetapi mungkin sudah tidak mengenali saya lagi.
"Saya nak minta derma untuk rumah perlindungan Aids ni.."
Kata perempuan tersebut. Tanpa banyak cakap, saya keluarkan duit dan memberi pada perempuan tersebut. Perempuan tersebut mengucapkan terima kasih dan bertanyakan sama ada saya guru atau tidak. Jawap saya tidak.
"Kak K dah tak kenal saya" Desis hati saya tapi saya tidak sempat bertanya kerana dia sudah pun beredar dari situ mungkin mahu meminta derma dari orang lain.
"Asal awak bagi dia tu. Dia tu penipu!"
Seorang lelaki tiba-tiba datang pada saya dengan kedaan marah-ramah.
"Banyak sangat awak bagi dia" marahnya lagi. Aik..lelaki ini sibuk sungguh!
"Saya kenal dia.." Saya cakap dengan nada yang perlahan.
"Mana awak kenal dia?"
"10 tahun dulu saya bekerja dekat-dekat sini. Setiap hari saya ke Sogo makan dan tiap minggu saya pasti berjumpa dengan kakak tu. Dia seorang mualaf, meminta derma untuk rumah perlindungan yang menempatkan wanita dan kanak-kanak yang terkena AIDs. Bla.bla..bla.."
Ya..sudah 5 tahun saya bekerja sendiri, sudah lama saya tidak jumpa kakak K tu. Seorang muallaf yang juga mempunyai virus HIV di dalam badannya dan masih tuhan panjangkan lagi usianya. Ketika bekerja dahulu saya selalu berbual dengannya, setiap minggu saya pasti akan memberi sedikit wang untuk rumah tersebut. Bukan banyak pun. Sekadar menderma.
"Kalau dia betul kenapa lepas dapat duit dia pergi bershopping kat supermarket bawah tu.."
Lelaki ini sudah pasti pekerja SOGO! Tidak tahu apa kerjanya tapi sempat saya menangkap tag yang tersemat dibajunya.
"Dia belikan roti dan makanan untuk anak-anak di rumah tempat dia tinggal tu. Terutama bila Sogo ada sales."
Saya menjawab tenang walaupun sebenarnya saya radang dengan lelaki yang terlalu banyak prasangka itu! Lelaki itu beredar apabila saya dapat mematahkan satu persatu kata-katanya.
Memang ramai sekarang yang meminta sedekah atau derma yang tidak jujur. Tetapi saya beri pada yang saya kenal dan saya yakin dengan kata hati saya yang mereka, dia tidak menipu.
Seperti kata Nik Fauziah dan ayah saya, paling penting niat hati kita untuk bersedekah.
Saya membayangkan kalau saya yang menderma, membuat perkara yang baik sudah dimarah-marah begitu. Bagaimanana agaknya kakak K yang meminta derma demi mulut-mulut yang menunggu di rumah perlindungan Aids itu. Sudah pasti sering diherdik dan dimaki hamunkan. Sebab itu agaknya fikir saya, walau beliau ada HIV di dalam badannya, selepas 10 tahun berlalu tuhan masih bagi dia kesihatan dan umur yang panjang kerana jasa bakti yang dilakukannya.


Friday, January 15, 2010

LETIHNYA!

Apa perasaan anda apabila ditikam dari belakang? Tentu sakit bukan? Sakitnya lebih-lebih lagi apabila orang yang menikam kita itu sudah kita anggap sebagai adik kita sendiri. Kita layan sebaik mungkin, kita bagi perlindungan, kita tidak berkira wang ringgit. Bahkan kita tidak pernah pedulikan kata-kata orang yang buruk-buruk tentangnya. Bahkan seseorang telah mengingatkan saya. Awas..dia akan memecah belahkan hubungan kamu suami isteri nanti.
Saya memang tidak peduli kata orang. Saya selalu berbaik sangka dengan orang, walau apa sahaja orang katakan pada saya. Mungkin kedengaran saya seperti orang yang baik sahaja. Tapi benar..saya amat jarang berprasangka dengan orang.
Tetapi berita yang saya terima benar-benar menyakitkan hati saya. Benar-benar membuat saya berfikir, kenapa tergamak seseorang yang saya anggap adik boleh mengata saya itu dan ini? Bahkan menyebarkan berita yang tidak benar mengenai mengenai saya dan suami saya. Berita yang benar-benar mengaibkan.
"Hati-hati akak. Ramai orang yang dengkikan akak mungkin. .."
Nik Fauziah sahabat saya memberitahu saya. Banyak ayat-ayat yang diberi pada saya untuk perlindungan diri. Kata Nik, walau saya tidak kaya tapi dengan kedudukan saya sekarang pasti ada orang yang cemburu. Saya terkasima.
Apakah dalam dunia ini sudah tidak ada orang yang jujur? Kenapa kita perlu memburukkan orang lain yang sering baik dengan kita. Menghulurkan tangan pada kita dan tidak pernah prasangka pada kita. Kenapa segala keburukan kita dijaja, bukan pada seorang dua tetapi pada ramai orang lain.
Kadangkala saya rasa terlalu letih dengan kehidupan ini? Ya..saya ada ALLAH untuk mengadu. Bahkan bersyukur ada seorang dua kawan-kawan yang sentiasa bersama saya. Memberi semangat dan kekuatan. Bahkan suami sering menghulurkan bahunya untuk saya tumpang menangis, sering menenangkan saya.
"Awak mahu bantuan saya, awak mahu saya pecahkan muka dia?"
Suami bergurau dengan saya, apabila saya khabarkan fitnah yang sedang melanda kami sekarang ini. Namun saya tahu, dalam ketawa suami dia sebenarnya bermaksud mahu melakukan begitu. Saya tahu dari matanya ada kemarahan yang tidak boleh disembunyikan?
"Tidak..saya akan buat solat istikarah. Saya akan minta pentunjuk ALLAH dan saya akan lakukan mengikut pentunjuk tersebut.."
Ya..saya harus membuat keputusan. Memutuskan sirahtularahim memang tidak bagus, saya tidak suka menganiaya orang tetapi saya percaya..dengan petunjuk dari yang Maha Esa.

Tuesday, January 12, 2010

SELAMAT HARI LAHIR SAYANG!

Sudah besar rupanya anak saya. Rasa baru semalam saya menangis dan berperang dengan perasaan kerana ketika mengandungkan Qaisara, adalah satu keadaan yang teramat-amat mencabar. Bayangkan ketika bulan pertama sahaja saya sudah menerima alahan yang sungguh teruk sehingga sentiasa berbaring dikatil, terpaksa ke hospital saban minggu bahkan saban hari. Kemudian apabila lahir ke dunia, Qaisara mengalami sawan tangis selama 4 bulan. Tidak boleh diletak, meraung macam dipukul orang. Aduh..ketika itu baru saya tahu sengsaranya untuk memiliki seorang anak. Hari ini anak saya sudah besar. Walau perjalanannya masih jauh, tapi saya bersyukur Qaisara membesar sebagai anak yang comel, pintar dan amat petah berkata-kata.




Ini kek Qaisara saya order daripada dlittlekitchen. Dua biji. Satu untuk di bawa ke sekolah dan yang satu untuk dipotong di rumah.



Ini yang tinggal di rumah. Masih belum dipotong. Qaisara masih tidak membenarkan. Jangan dibawa tidur sudah..ha.ha.ha..


Ini cup cake untuk para tenaga pengajar di sekolah Qaisara. Kalau Lizabujang tengok mesti dia cakap, untung siapa jadi cikgu Qaisara. ha.ha.ha...



Di samping memotong kek saya juga mengadakan sedikit jamuan dengan menjamu kawan-kawan Qaisara KFC dan air kotak. Melihat anak-anak kecil yang ramai berebut-rebut. Bagaimanalah cikgu mengawal mereka semua. Tetapi seronok sungguh walaupun kesihatan saya tidak begitu baik.
Bersama guru-guru sekolah Qaisara, mengageh-agehkan KFC kepada para pelajar


Sempat lagi! Ha..ha..Mr Seyit Kara beria-ia menyuruh saya berposing tapi seperti biasa gambar yang diambilnya mesti blur! He.he.


Qaisara sedang mengageh-agehkan bungkusan hadiah yang berupakah peralatan menulis, jelly, cokelat dan kek untuk sahabat-sahabatnya.


Barisan anak-anak yang menikmati hidangan. Dapat makan, senyap sahaja. Begitu tertib sekali. Ada yang minta tambah, kami tambahkan. Rupanya yang minta tambah itu hanya makan kulitnya sahaja..ha.ha...budak-budakkan macam-macam ragam.

Qaisara sebelum memotong kek bersama kawan-kawannya. Rasanya rata-rata kawan-kawan Qaisara budak enam tahun. Tengok bukan main senyum lebar lagi. Seperti tahun-tahun sebelumnya saya tidak memberi Qaisara apa-apa hadiah kerana saya sendiri tidak tahu apa yang mahu diberikan padanya..ha.ha..teruk sungguh uminya..

Saya sentiasa berdoa, moga Qaisara dipanjangkan usianya, diberikan kesihatan yang baik dan menjadi anak dan muslimah yang patut kepada ALLAH. AMIN.