Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Saturday, May 31, 2008

JEPUN YANG PENUH KE-MAHAL-AN


Iklan sewa rumah atau bilik di Tokyo.
Sayonara Jepun!
Lega sungguh dapat kembali ke tanah air Malaysia. Berada selama 6 hari di Jepun menyebabkan saya berasakan begitu bertuah sekali menjadi anak Malaysia. Segalanya begitu mahal sekali di Tokyo. Walau kalau dilihat nilai wang Malaysia agak tinggi dibandingkan Yen. RM1=Yen33. Tetapi barangan di Jepun terutamanya Tokyo tidak ada yang kurang daripada Yen100. Bahkan rata-ratanya Yen1000.
Menurut pemandu pelancong rambongan saya GOGI, beliau tinggal di salah sebuah bilik sebesar 12kaki x 12kaki tanpa bilik air dan hanya mempunyai sebuah mangkuk tandas dengan sewaan RM2,000 sebulan. Setiap kali mahu mandi beliau akan mengayuh basikal selama 10 minit ke tempat mandi awam yang dikenakan bayaran RM12. Bayangkanlah!
Rumah di Tokyo memang terlalu mahal. Sebuah bilik rata-rata sewanya antara RM5,000. Dan kalau sebuah rumah yang lengkap dengan bilik air dan juga dapur mungkin boleh menjangkau sewaan RM12,000 ringgit.

Tandas di Jepun memang agak canggih, di sesetengah tempat. Tetapi ada yang keadaannya cukup teruk dan menjijikkan.

Hari pertama kami dibawa ke tempat penginapan tradsional Jepun. Terlupa untuk mengambil gambar bilik yang rasanya berukuran 15 x 15. Di situ segala aktiviti dijalankan. Ruang makan, ruang rehat dan ruang tidur. Tandasnya walaupun begitu moden, tetapi terlalu kecil untuk saya yang sudah biasa menggunakan bilik air dan tandas yang selesa. Tandas hanya boleh memuatkan mangkuk tandas dan seorang tubuh manusia dewasa.

Orange ini saya beli dengan harga RM15. Rasanya masam-masam manis.

Bukan sahaja rumah yang mahal di Tokyo. Bahkan barang makannya pun aduhai..mahalnya. Air mineral botol kecil yang paling murah harganya RM3-RM4. Makanan tengah hari ala Jepan atau Bento satu set dalam RM60-Rm100. (Kalau di Malaysia agaknya semua orang bawa bekal ke pejabat). Menurut Gogi, rata-rata pekerja baru di Jepun menerima bayaran sebanyak RM6,000-RM7,000 sebulan. Tetapi bayaran tersebut tidak mencukupi kerana tempat tinggal dan barang makanan yang cukup mahal...






TUAH VS MALANG

Mutiara yang saya menangi di Tokyo. Cadangan saya akan dibuat loket untuk si kecil Qaisara.


Rabu yang lepas ketika saya berada di Tokyo, saya dan rambongan melawat sebuah syarikat membuat barang kemas dan memproses mutiara. Di hujung sessi lawatan diadakan cabutan bertuah. Dan ketika saya mencabut satu nombor dan melihat nombor 26, hati saya terdetik. Mungkin saya akan bertuah hari ini kerana 26 tarikh hari jadi saya. Nyata kata hati saya betul. Saya memenangi satu butir mutiara Jepun yang memang terkenal bermutu.
Dan di hari yang sama juga, saya menerima berita daripada pekerja saya. Sayarikat NB Kara di ceroboh kali ke tiga. Beberapa buah komputer dan fax mesin syarikat kami dilarikan oleh pencuri tersebut. Saya merasa begitu marah dan kecewa. Kerana pihak berkuasa seolah-olah hilang daya untuk bertindak. Sedangkan sudah beberapa laporan polis dibuat oleh pihak pengurusan bangunan mengenai pencerobohan dan kecurian yang berlaku di kawasan tersebut.
Tetapi sebagai manusia, saya benar-benar berharap dan berdoa. Supaya pencuri yang menceroboh masuk dan mencuri bukan sahaja di syarikat NB Kara tetapi beberapa jiran NB Kara diberi oleh hidayah oleh ALLAH supaya bertaubat dan menjadi manusia yang berguna pada bangsa dan negara. Amin….

Friday, May 23, 2008

KATAKAN APA SAHAJA

Semalam saya terbaca mengenai kata-kata AbrahamLincoln. Kata beliau, Saya tidak pernah membaca surat-surat cercaan yang ditujukan kepada saya, tidak pernah membuka sampulnya, apatah lagi membalasnya. Kerana kalau saya hanya sibuk melayan semua itu saya kehabisan waktu untuk berbuat sesuatu untuk rakyatku.
Betul, saya berkata dalam hati. Mengiakan apa yang Abraham Lincoln katakan. Sebagai penulis, walau cercaan yang saya terima tidak sehebat Abraham Lincoln tetapi ianya mengusik hati dan perasaan saya.
Saya masih ingat, bagaimana seorang penulis menulis surat kepada salah sebuah syarikat penerbitan, mengata, mengutuk saya dan juga menulis entah berapa panjang surat yang merendah-rendahkan keupayaan saya menulis dan juga mencerca novel saya. Saya terima berita tersebut dengan rasa terperanjat dan begitu kecewa. Kerana penulis yang jauh lebih tua dari saya itu, di hadapan saya begitu lemah lembut sekali.
“Tidak..saya tidak akan lemah semangat hanya kerana sepucuk surat yang menyakitkan hati itu.”
Saya berkata dengan diri saya sendiri. Saya cuba bangun, menulis dengan sepenuh perasaan, berhati-hati dan sentiasa memeriksa fakta-fakta yang saya tulis di dalam buku tersebut. Kalau dahulu saya lebih suka mengunakan english broken di dalam buku saya supaya nampak realistic, tetapi sekarang tidak lagi. Kerana saya tahu ramai pembaca tidak faham cara saya. Walau kadangkala terlepas ejaan kerana ketika editing tapi itu perkara biasa dalam dunia penerbitan dan tidak dapat dielakkan.
“Akak..tadi saya jumpa dengan penulis bla..bla..bla..di pesta buku. Dia tanya saya minat siapa? Saya cakaplah saya minat NB. Akak tahu dia cakap apa dengan saya. Asyik-asyikNB, tak ada orang lain ke? Panjang muncung dia akak…”
Saya masih ingat bagaimana peminat saya yang bernama Siti Aisya, menelefon saya memberitahu perkara tersebut. Saya hanya ketawa. Bagi saya sifat iri hati dan marah itu perkara biasa dalam diri setiap manusia. Saya sendiri ada perasaan iri hati tetapi tidak pernah saya luahkan pada sesiapa. Saya simpan supaya ianya menjadi pertandingan terbaik dan sihat, terhadap orang itu dengan diri saya sendiri.
Memang banyak lagi kutukan dan cercaan yang saya baca di laman web, mengenai saya. Apatah lagi mereka tidak memanggil saya dengan NB tapi ‘minah tu’ (dekat internet orang selalu bertukar menjadi tidak beradab. Tidak tahulah kenapa).
Kalau Abraham Lincoln tidak membaca surat orang yang mengutuk dan mencercanya, tetapi saya baca cuma saya seperti Abraham Lincoln juga, tidak pernah peduli.. Bagi saya, niat saya menulis kerana saya mahu menyampaikan sesuatu dan berkongsi cerita. Walau orang tidak tahu, betapa sakitnya kepala saya setiap kali saya menyudahkan sebuah novel…

Wednesday, May 21, 2008

ANAK TAK MENGENANG BUDI

Baru-baru ini isteri abang saya menjalani satu pembedahan kecil di kaki, saya, suami dan kak saya Mijah bergesa pulang ke kampung bagi melawat beliau. Abang saya memang duduk berdekatan dengan rumah ayah saya di kampung. Hanya dua tiga langkah sahaja. Jadi kami mengambil kesempatan makan-makan dan berborak-borak, macam sudah lama tidak berjumpa, sedangkan 2 minggu lepas saya baru pulang. Seperti kata kakak saya Mijah, kita melawat orang sakit hanya 10 minit. Lebihnya berborak...
“Kamu apa-apa berlaku di kampung walaupun hanya perkara kecil pasti balik kampung ya. Ayah kamu sebenarnya bertuah mendapat anak-anak yang sebegini.”
Sekembali kami dari kampung, suami menyuarakan pendapatnya. Saya hanya memberitahu dia, itu tanggungjawab saya sebagi adik, kakak, ipar serta anak.
“Kamu nak tahu, beberapa hari yang lepas Nafee beritahu saya..”
Nafee adalah adik ipar suami saya yang sekarang menetap di Holland. Beliau bekerja sebagai seorang guru dan adik ipar saya, iaitu adik suami saya adalah salah seorang pengasas rumah anak yatim di Amsterdam.
“Apa cerita dia?”
Kerana jarang berjumpa, hanya di internet dan juga telefon menyambung hubungan kami.
“Diakan cikgu..”
“Ya..saya tahu.” Balas saya tenang.
“Dia baik dengan ayah,salah seorang anak muridnya. Menurut Nafee, ayah anak muridnya itu cukup kaya. Mempunyai beberapa gedung perniagaan di Holland.”
Saya mendengar apa yang cuba disampaikan oleh suami dengan penuh teruja.
“Kawan dia tu orang Holland?”
‘Tidak…dia orang Turki, tapi menetap di Holland. 2 minggu lepas kawannya itu mengajak Nafee pulang ke Turki.”
Saya tahu Nafee sendiri ramai saudara mara di Turki walau dia dilahirkan di Holland. Jadi berulang alik dari Turki ke Holland memang kerap dilakukan oleh Nafee.
“Kawan dia tu bayar tiket kapal terbang, naik kelas perniagaan. Kata Nafee itu pertama kali dia naik kapalterbang kelas perniagaan..”
Saya tersenyum sahaja mendengar kata-kata suami. Kadangkala cerita suami tidak seberapa tetapi cara dia bercerita membuat saya teruja.
“Kawan Nafee tu pergi ke Turki kerana mahu melawat ayahnya. Kamu tahu, Nafee benar-benar terperanjat. Dia ingat, ayah kawannya itu duduk di rumah besar di temani dengan ramai pembantu rumah. Rupanya dia hantar ayahnya di rumah orang tua. Kalau rumah orang tua yang mahal tak apa juga. Ini rumah orang tua untuk orang miskin. Nafee mengucap panjang. Terperanjat dan tak sangka. Kawan dia bukan main kaya lagi, tapi buat ayah macam tu. Marah sungguh dia dengan kawan dia, tapi kawan dia cakap apa awak tahu?”
Mata suami terbeliak-beliak, seolah-olah dia juga geram dengan kawan Nafee itu.
“Mana saya tahu, Nafee cerita dengan awak. Bukan dengan saya..” saya berseloroh. Suami saya menyeringai lebar. Kecil semula matanya yang terbeliak sebentar tadi.
“Dia kata buat apa nak bayar mahal-mahal sebab ayahnya sedang menunggu mati. Anak apa macam tu, tak guna. Kalau dari kecil sepatunya ditanam hidup-hidup sahaja…”
Suami sudah membebel. Saya yang tersentuh tanpa sedar menitiskan air mata. Di sudut hati saya benar-benar bersyukur, walau saya bukanlah anak kesayangan, tetapi saya tetap mengunjungi ayah saya. Kalau sebulan terlebih satu hari pun, saya rasa sudah terlalu lama…

Sunday, May 18, 2008

EVERYTHING'S THE 'SAMA'

“Malaysia ni tak ada apa, pergi mana-mana sama sahaja. Cuaca sama, tempatnya sama. Makanannya sama. Tak sedap langsung”
Apa komen anda semua yang mendengar kata-kata tersebut. Kalau saya sudah pasti telinga saya merah.Apatah lagi kata-kata itu diutarakan oleh warga asing yang sudah menetap di Malaysia, bukan setahun dua, tetapi sudah 30 tahun.
Lelaki yang bercakap seperti di atas adalah seorang lelaki Iran. Dia mengenali suami saya dan kami sering terserempak di pasaraya atau di jalanan. Dua hari yang lepas, saya dan suami terserempak lelaki itu lagi.
“Hahh..itu lelaki ‘sama’.”
Saya memberitahu suami saya. Suami ketawa dan seperti biasa dia menegur lelaki tersebut dan paling saya tidak suka sikap memprovokasi suami, hanya mahu mendengar lelaki itu berkata..everything’s the ‘sama’
“Malaysia is nothing. Everything’s the ‘sama’. The weather, food, pleace all ‘sama’”
Udah, dia buat lagi saya menggerutu dalam hati. Saya tatap lelaki yang saya tahu mempunyai seorang isteri yang bekerja sebagai ahli professional. Macam-macam kutukan dia terhadap Malaysia yang cukup menyakitkan telinga yang saya dengar dalam perbualan dia dan suami. Sesekali saya mencuit suami yang seakan-akan mengiakan kata-kata lelaki itu.
“Lelaki itu tidak tahu bersyukur..”
Itu kata-kata suami sambil ketawa-ketawa apabila lelaki Iran itu berlalu. Manakan tidak, setiap kali berjumpa dengan suami itu sahaja yang keluar dari mulutnya.
“Dia cakap cuaca di Malaysia sama. Bagi saya itu lagi baik, daripada 4 musim. Dari dia kesejukan tanpa pakaian tebal dan bahan api. Berapa ramai orang yang mati kesejukan di negara dia ketika musim sejuk kerana tidak dapat membayar bahan api yang terlalu mahal harganya?”
Sambung suami lagi. Menyatakan pendapatnya.
“Di sini semuanya murah. Baru-baru ini di Turki, satu buah kereta 2 Liter sekali masuk, tangki penuh kena bayar RM400-500. Saya rasa Iran pun macam tu. Saya dulu duduk Iran 2 tahun, saya tahu. Makanan bukan sedap sangat pun.”
Saya sendiri pernah ke Iran. Baru tiga hari saya sudah tidak boleh menerima makanan di sana. Semuanya sama. Tidak ada makanan Cina, Thai, Indonesia, bahkan makanan barat pun agak susah. Di Malaysia, apa sahaja makanan ada. Paling penting sediakan sahaja duitnya.
“Malaysia lebih baik dari Paris..”
Suami saya mengusap bahu saya lembut. Cuba menenangkan saya yang kadangkala marah kerana perkara yang sebegini.
“Orang di sini lemah lembut, hormatkan orang. Bahkan mereka semua amat menyayangi kanak-kanak. Separuh dunia saya pergi, saya paling sukakan Malaysia. Apa-apa makanan senang dapat. Tembikai tak payah tunggu musim panas, pisang melambak-lambak. Buah mangga Ya ALLAH..mana-mana boleh dapat. Durian…yummy yummy.”
Suami berlawak. Suami memang sukakan buah durian, cuma saya sering mengawalnya kerana makan durian terlalu banyak tidak baik untuk badan.
“Paling saya kagum di mana-mana ada padang permainan untuk anak-anak. Rumah kita buka pintu aja sudah ada padang kanak-kanak. Di pusat membeli belah pun ada tempat mainan kanak-kanak. Di klinik dan hospital pun ada.”
Sambung suami lagi. Hati saya sejuk dengan pujukan suami tapi mengenangkan kata-kata lelaki Iran itu, hati saya masih ada sisa panas.
“Jangan hiraukan cakap lelaki itu. Sudah 30 tahun di Malaysia, masih lagi nak bercakap benda yang sama. Saya ingat di Malaysia ini selain isteri dan anak dia, dia hanya berkawan dengan burung kakak tua agaknya. Asyik mengulang benda yang sama. Everything’s the .sama.’
Kali ini saya sudah ketawa besar. Gurauan suami mematikan rasa marah saya. Setiap kali mengingati kata suami, yang lelaki Iran itu pasti berkawan dengan burung kakak tua. Saya pasti tersenyum..

Friday, May 16, 2008

KALAU DAH REZEKI

Buku Nota yang Erdim hadiahkan untuk saya, saya tidak pernah bertemu dengan Erdim dan hanya mendengar cerita mengenai beliau daripada suami.


Pada pesta buku yang lepas saya menjenguk ke gerai MPH. sebaik sahaja melangkah masuk dengan editor saya Suraya, sebuku buku nota yang begitu cantik menyapa mata saya..
“Hey..cantiknya..”
Saya berkata sambil mencapai buku nota tersebut. Walau saya jarang membawa buku nota ke mana-mana saya pergi, walaupun saya seorang penulis. Tetapi saya sukakan benda-benda yang cantik, terutamanya alat tulis (itukan fitrah manusia).
“Mahal gila…”
Saya berkata pada editor saya. Ahh..buku nota pun harganya sampai RM50 ringgit. Hati saya berdesis. Saya membelik-belik. RM50 saya akan terbang hanya pada buku nota kosong begini. Kalau saya beli buku masakan atau novel, lagi banyak gunanya. Saya berfikir dan berfikir. Selalunya saya tidak kedekut untuk membeli apa-apa buku ataupun alat tulis. Tetapi kali ini, hati saya seperti enggan membeli buku nota tersebut. Lantas buku nota tersebut saya letakkan semula.
Pesta buku telah saya lupakan, 3 minggu kemudian suami memberitahu saya dia akan pulang lewat pada hari Jumaat itu, kerana mahu menghantar sahabatnya Erdim ke lapangan terbang. Erdim yang satu masa dahulu belajar di UIA akan bekerja di Amerika tidak lama lagi di dalam bidang perfileman. Saya tidak pernah berjumpa Erdim tetapi selalu mendengar cerita anak muda ini dari suami saya.
“Pukul berapa balik?” tanya saya pada suami.
“Dalam pukul 12 malam, bolehkan?” suami bertanyakan saya.
“Boleh, tak apa.Hantarlah. Tapi jangan sesat pula nanti.”
Baru seminggu lepas suami saya menghantar saudara kami yang mahu balik ke Turki pada waktu yang sama. Dia tersesat sehingga saya di rumah kecut perut apatah lagi ketika itu dia membawa Qaisara bersama dengannya. Sedangkan bukan sekali dua suami ke lapangan terbang KLIA.
Tengah malam itu, ketika saya menyambut suami saya pulang dari menghantar Erdim. Suami saya menghulurkan sesuatu pada saya.
“Ini hadiah Erdim pada kamu..”
Mata saya terbeliak. Di tangan suami saya buku nota, yang saya kata cantik tetapi tidak jadi saya beli, kerana harganya yang mahal.
“Ya ALLAH, buku ini….” Lantas saya ceritakan pada suami apa yang terjadi di pesta buku tempoh hari. Dan bertanyakan suami bagaimana Erdim tahu saya tertawan dengan buku ini.
“Mana dia tahu, dia tidak pernah jumpa kamu pun. Cuma dia tahu, kamu penulis dan dia hadiahkan buku ini untuk kamu kerana selama dia berada di sini, kamu tidak pernah marahkan dia kerana kadangkala saya menghabiskan masa dengan dia dan terlewat sampai ke rumah.”
Masya-ALLAH, maha besar ALLAH yang maha mengetahui!

Thursday, May 15, 2008

LELAKI KURANG AJAR...

11 tahun yang lalu, saya kenal lelaki itu dalam keretapi ketika saya dalam perjalanan ke Taman Negara. Dia berasal dari negara Mesir dan bekerja sebagai drug designer di New Work. Orangnya bertubuh tinggi, wajahnya boleh tahan.
“Gaji saya dibayar mengikut jam..”
Dia memberitahu saya apabila pertama kali kami berjumpa. Saya hanya menganggukkan kepala saya. Sebagai seorang professional sudah pasti wang ringgit bukan menjadi masalah utama lelaki tersebut. Bahkan kalau dihitung gaji yang didapati lelaki tersebut melebihi 30 ribu USD sebulan dan kalau dikalikan kepada ringgit sudah hampir mencecah 100 ribu ringgit (itu yang dicerita pada saya)
“Kamu puas hati dengan kerja kamu..”
Saya bertanyakan lelaki tersebut di pertemuan susulan. Dia seorang yang lemah lembut dari penghamatan saya tetapi satu perkara yang saya tidak suka pada dia. Dia suka bercakap mengenai harta, wang ringgit dan ini benar-benar memeningkan kepala saya.
“Sudah pasti, saya adalah salah seorang drug designer yang agak terkenal di Amerika. Kalau awak tak percaya, awak buka web site..ini dan ini..bla..bla..bla..”
Saya hanya tersenyum, walau dalam hati mengatakan lelaki ini agak angkuh dengan kedudukannya. (saya membuka web-site memang kata-kata lelaki itu benar. Beliau salah seorang pegawai kanan dalam salah satu kumpulan pakar perubatan di New York). Lelaki yang hanya beza setahun dari saya itu, sudah bercerai ketika dia berusia 26 tahun. Mereka tidak mempunyai anak dan bekas isterinya sekarang ini tinggal di Hawai.
“Awak suka Malaysia?”
Tanya saya pada lelaki yang bernama Ahmet apabila dia datang sekali lagi mengunjungi saya di Malaysia. Kalau lelaki ini pulang ke Amerika, kami selalu berbincang di dalam internet. Saya suka kalau Ahmet bercakap mengenai agama. Orang-orang Mesir mempunyai pegangan Mazhab yang berlainan dengan orang Malaysia. Sudah pasti ada pertikaikan antara kami walau bukan serius, tapi hanya untuk ilmu pengetahuan sahaja.
“Sudah tentu. Saya dengar dari kawan-kawan saya, orang melayu cukup patuh dengan kata-kata suaminya..”
Saya hanya tersenyum. Orang melayu memang ramai yang terdidik dengan hukum agama yang kuat. Sebab itu mereka patuh. Hati saya berbisik sendiri.
“Kalau saya kahwin dengan awak. Saya mahu awak juga begitu. Saya akan tentukan dengan siapa yang awak boleh berkawan. Saya juga akan pastikan yang keluarga awak tidak menganggu kehidupan kita. Selepas berkahwin awak jadi milik saya dan saya akan aturkan apa sahaja untuk awak. Pembantu rumah, pemandu dan sebagainya saya akan sediakan tapi awak tak boleh keluar ke mana-mana .”
Mulut saya melopong. Berkahwin?. Memang ketika itu saya masih bujang. Saya berkawan dengan Ahmet bukan untuk berkahwin. Hanya sebagai kawan menambahkan pengalaman saya. Bahkan dengan kedudukan Ahmet saya tidak mungkin sesuai dengannya. Saya hanya orang biasa-biasa sahaja.
“Maaf..awak bercakap mengenai perkahwinan?”
“Ya…” dia menganggukkan kepalanya.
Ketika itu saya hanya ketawa mengatakan yang perkahwinan masih terlalu jauh dari jangkauan saya walau usia saya sudah agak lewat ketika itu. Bahkan, tidak mungkin saya akan berkahwin dengan lelaki yang asyik bercakap mengenai harta, kerjaya, wang ringgit tetapi menyekat saya dari berhubung dengan kawan-kawan saya dan paling penting keluarga saya.
Kalau ditakdirkan saya berkahwin, saya mahukan seorang suami yang sederhana, boleh bercakap mengenai bola, agama, wayang, hoki kegemaran saya, artis dan sebagainya.
Dan itu kali terakhir saya berjumpa dengan Ahmet kerana hari-hari seterusnya saya enggan kerana takut hubungan tersebut disalah tafsirkan.
Bahkan saya juga beritahu Ahmet, jangan harapkan apa-apa dari saya. Saya tidak mungkin akan jadi isterinya, kerana saya masih memerlukan sahabat dan keluarga saya. Saya kenal mereka dahulu daripada saya kenal Ahmet dan saya katakan pada Ahmet. Untuk apa wang ringgit kerana wang ringgit bukanlah jaminan saya untuk rasa bahagia bagi meneruskan kehidupan ini.
Saya menjemput Ahmet di hari perkahwinan saya dan masih saya ingat kata-kata Ahmet yang menyebabkan saya tidak mahu mendengar khabar darinya lagi.
“Saya tahu kamu tidak akan bahagia dengan suami kamu. Tetapi tidak mengapa, carilah saya..”

Tuesday, May 13, 2008

KERETA VS ILMU

“Weh! Kau ada kereta baru?”
Saya berkata separuh menjerit apabila tiba di rumah kakak saya Mijah, hari Minggu lepas. Di halaman rumah kakak saya yang boleh memuatkan empat buah kereta, ada sebuah SUV 3 liter dengan gagahnya di parkirkan di situ.
“Alah..ayah dapat kereta company.”
Kakak saya merujuk pada suaminya yang berkerja sebagai seorang jurutera. Kakak saya sendiri sudah memiliki 3 buah kereta. Dan kerana kehadiran kereta yang baru ini dia terpaksa menjualkan salah satunya dari tiga keretanya.
“Dulu kita nak ke mana-mana naik basikal. Kalau tidak kita naik bus MOS yang sejam atau dua jam sekali masuk ke kampung. Kau ingat?”
Saya bertanyakan kakak. Mengenang kisah lama menyebabkan hati kami berbaur gembira dan sedih. Hidup di zaman dahulu, kami terpaksa memikirkan keperluan dari kehendak.
Saya masih ingat lagi, betapa gembiranya apabila emak memberitahu yang kami mahu dibawa ke bandar Melaka yang hanya 8 kilometer dari rumah. Pergi ke bandar, bermakna kami akan dapat menaiki bus MOS yang berwarna merah kuning yang masuk ke kampung kami hanya sejam atau dua jam sekali.. Sesuatu yang cukup mengembirakan kami ketika itu dan boleh diceritakan kepada kawan sekampung selama beberapa hari.
“Sekarang kita dah telalu banyak kereta..”
Beritahu kakak. Saya sendiri mempunyai 3 kereta, kakak kalau keretanya tidak dijual akan ada 4 kereta! Keperluan sudah tidak ada, sudah jadi kehendak!
“Kau dah cuba bawak kereta tu. ?” saya bertanya kakak.
“Ahh..tak kuasa aku. Kereta yang besar macam tu. Nak parking pun susah. Baik aku bawak Myvi aku..”
Kakak memberitahu. Saya menganggukkan kepala. Saya sendiri kalau di suruh bawa kereta sebesar itu pun saya malas. Sudahlah parkir susah. Duit minyaknya mak datuk, lebih-lebih lagi pada masa sekarang.Teringat saya ketika saya baik dengan Jay dulu (lelaki ini pernah saya ceritakan). Dia memakai kereta sport yang saya rasa hampir ½ juta ringgit harganya. Ketika itu saya pergi bekerja dengan menaiki bus. Seringkali apabila dia ternampak saya di perhentian bus, dia akan menumpangkan saya. Dan pernah saya memberitahu dia, jangan ambil saya kalau ternampak saya di perhentian bus.
“Kenapa?” Tanya Jay mungkin pelik dengan permintaan saya.
“I tak layak naik kereta ½ juta you. Malu I.”
Lantas saya menceritakan pada Jay, bagaimana kawan-kawan saya di perhentian bus yang tidak mengenali Jay. Bertanyakan siapa teman lelaki saya itu. Sudahlah berbangsa Cina, memakai kereta sport dan saya pula memakai tudung. Penat sungguh saya mahu menjawabnya!
Lantas mendengar cerita saya Jay ketawa. Kata dia, orang suka kalau naik kereta mahal-mahal. Saya pula yang terbalik.
Bagi sesetengah orang memang kereta mahal seperti menjadi lambang status. Itu kegemaran masing-masing. Apa yang hendak dikatakan.
“Kau dah boleh pakai BMW dah…”
Ada seorang kawan cuba memprovokasi saya. Tapi saya hanya ketawa. Walau dia tahu, saya tidak akan berganjak dengan pendirian saya tetapi dia masih terus-terusan mencuba. Prinsip saya. Kereta yang saya beli mesti praktikal. Senang untuk dikendalikan dan boleh mengangkut seberapa ramai orang yang saya suka dan tidak menyakitkan poket saya.
“Dari kau buang duit, pergi sana- sini. Setahun habis berpuluh ribu baik kau pakai BMW atau Lexus..” Tadi suruh saya beli BMW sekarang suruh saya beli Lexus pula. ALLAH..ALLAH..ALLAH.
“Apa yang kau dapat, hanya gambar-gambar jadi kenangan. Kalau kau beli kereta mewah. Ahh..terpongok depan rumah. Orang tengok kau pun respect!”
Katanya. Mungkin dia merujuk dengan sikap saya yang suka mengembara dan menghabiskan duit hanya semata-mata mahu melihat negara orang.
Ahh..lantaklah, apa orang nak cakap. Bagi saya, ilmu pengetahuan dari mengembara lebih berharga daripada kereta mewah yang semakin lama semakin turun harga!

Friday, May 9, 2008

MIMPI LAGI


Malam itu saya bermimpi lagi. Aneh sungguh mimpi saya. Saya melihat diri saya duduk bersama-sama kawan lama saya. Kawan ketika saya masih bekerja di salah sebuah bank di Kuala Lumpur. Dan ketika saya bangun saya masih teringat mimpi saya. Cukup jelas dan masih saya ingat dalam mimpi saya itu, saya duduk di meja panjang di salah sebuah restoran. Dan saya benar-benar pasti yang restoran itu adalah tempat saya selalu lepak bersama kawan saya kira-kira 10 tahun yang lalu.
“Ahh..sudah lama aku tidak berjumpa Jamal.”
Hati saya berbisik. Jamal sahabat saya itu, cukup saya rapat satu masa dahulu. Tetapi kami tidak menjadi begitu rapat apabila Jamal mengambil keputusan berkahwin secara tergesa-gesa. Bahkan ketika dia mahu berkahwin dia melarang saya dan rakan-rakan untuk ke majlis perkahwinan beliau. Walau saya tertanya-tanya kenapa saya tidak diajak di majlis tersebut. Tetapi saya terpaksa menghormati keputusan Jamal.
“Semua kawan-kawan saya ada. Tetapi di mana Masri?”
Saya bertanya dengan diri saya sendiri. Saya ingat Masri kawan baik Jamal. Di mana ada Masri, di situ ada Jamal. Bahkan bila saya dan Jamal berjumpa. Pasti ada dua rakan kami yang lain turut bersama. Sheila dan Ismail. Ke tiga-tiga mereka ada dalam mimpi saya. Tetapi Masri di mana?. Tengah hari itu saya menelefon Jamal. Untung Jamal masih memakai nombor telefon yang sama.
“Assalamuailaikum..”
Saya memberi salam pada Jamal. Mula-mula Jamal tidak mengenali suara saya. Tetapi bila mengetahui saya yang menelefon, dia begitu teruja sekali.
Namun bila saya memberitahu yang saya sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak. Jamal terperanjat. Jamal memberitahu yang dia berkecil hati kerana saya tidak menjemput dia di perkahwinan saya.
“Ada kamu jemput saya di perkahwinan kamu?”
Saya membidas Jamal, tidak kasar tetapi dengan cara berseloroh. Jamal ketawa.
“Jamal..saya nak tanya di mana Masri sekarang?”
Hati saya melonjak-lonjak mahu tahu. Ketawa Jamal sirna. Saya dengar Jamal mengeluh.
“Kenapa Jamal?”
Hati saya seperti tidak sedap. Saya dengar Jamal menarik nafasnya dan menghembusnya dengan kasar.
“Masri?”
“Ya..Masri..” hati saya benar-benar tidak enak. Kerana saya tahu sejak akhir-akhir ini mimpi saya agak menakutkan saya sendiri.
“Dia baru meninggal yati. Minggu lepas, sebab demam denggi….”
Saya seperti terawang-awangan mendengar cerita Jamal. Mimpi saya malam tadi, serta merta menerpa di ruang mata saya. Benar-benar jelas dan cukup saya ingati. Dan sekarang saya tahu. Mimpi itu sebenarnya bukan mainan tidur..tetapi membawa petanda lagi untuk saya.

PROGRAM DI PESTA BUKU SEREMBAN

saya bersama Niti Fadilah dari Radio FM Seremban

Semalam saya ada program di pesta buku Seremban di Seremban Parade. Syukur segalanya berjalan dengan baik. Terima kasih kepada Perbadanan Perpustakaan Negeri Sembilan yang menjemput saya. Pada Wati, Sham, pada pengarahnya Encik Samsudin, Niti Fadila dari Radio FM Seremban dan ramai lagi yang melayan saya dengan begitu baik sekali.
Sempat berbual dengan Encik Samsudin, kata Encik Samsudin statistic yang mengatakan orang Malaysia membaca buku hanya 2 buah setahun adalah tidak benar. Kerana ketika kami sedang makan di Pizza Hut, ada sahaja yang datang membawa buku untuk saya tandatangani. Bermakna ramailah yang membeli!
Walau hari Khamis ramai jugalah yang datang berjumpa dengan saya yang memang cukup pemalas turun padang. Seperti kata suami saya ni macam kura-kura suka menyorokkan kepalanya.
Dan paling mengembirakan saya, saya dapat berjumpa dengan peminat saya Shelly dan sahabatnyanya Majie. Shelly saya kenal sudah lama, bekerja di universiti tempat di mana saya pernah belajar. Tetapi anehnya ini pertama kali saya berjumpa dengannya.

Shelly sanggup ambil cuti semata-mata mahu berjumpa dengan saya di Seremban. terima kasih Shelly ya!

Memang gembira saya berjumpa dengan Shelly dan di masa sama, saya sedih melihat Majie yang kehilangan suami kerana kemalangan tanpa anak dan sekarang ini tinggal dengan keluarganya. ALLAH menjadikan sesuatu ada sebabnya dan sudah menentukan perjalanan hidup kita. Saya berdoa moga-moga Majie bertemu jodoh yang baru dan berbahagia. Insya-ALLAH.
Rasanya yang paling gembira Qaisaralah, selain dapat bermain di Seremban Parade, dapat naik beruang mainan yang yang dibelanja oleh Shelly!