Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Tuesday, December 14, 2010

SAMA AJE

Qaisara bersama kakak sepupunya Alin..

Beberapa minggu yang lepas pembantu rumah saya sakit, agak teruk juga. Kata doktor dia terkena kencing kotor. Harus minum banyak air. Bibik saya ini memang amat susah untuk minum air, seperti dipaksa minum racun kalau kita suruh dia minum air. Selama 4 kali saya berulang alik ke doktor, barulah dia beransur sembuh. Itupun jenuhlah saya paksa dia minum. Sampaikan saya dan suami bergilir2 ketuk bilik dia mengingatkan supaya minum air.
Semalam Qaisara pergi ke tandas untuk membuang air kecil. Lepas keluar dari bilik air, dia menjerit memanggil bibik.
"Bik..Teta kencing kuning sangat. Teta kena minum air"
Saya pernah beritahu Qaisara yang apabila kita kurang minum, bila buang air kecil, warnanya akan menjadi kuning. Untuk mengelak begitu harus minum banyak air.
"Itulah Qaisara, bibik dah letak air depan Teta, Teta tak mahu minum..."
Balas bibik. Qaisara merenung wajah pembantu rumah saya dan mencebirkan bibir.
"Huh bibik, nak cakap Teta habis bibik yang tak minum air sampai pergi klinik tu?"
Ha ha ha..ambik kau. Bibik tersipu-sipu malu kerana dismash oleh Qaisara. Saya tahu ketika bibik sakit sayalah bercerita dengan Qaisara punca penyakit bibik. Sampai sekarang Qaisara ingat dan mungkin akan ingat buat selama-lamanya.


Monday, December 13, 2010

...DAN CINTA PUN TERSENYUM

Sudah berada dipasaran sekarang ini, sudah boleh dipesan melalui online. Untuk preview novel ini sila lawat jom baca novelnbkara

Friday, December 10, 2010

SEDIKIT NASIHAT

Ada seorang  teman yang saya anggap seperti adik bila saya tanya, bila mahu berkahwin, dia menjawab.
"Belum masanya. Saya tidak bertemu lagi dengan wanita yang baik untuk dijadikan isteri."
"Aik..punyalah ramai wanita di mukabumi ini masakan tidak ada yang baik?"
Saya bertanya sambil tersenyum. Sengaja menduga hatinya.
"Ada tapi ramai sudah menjadi isteri orang. Susah sebenarnya kak mahu mencari seorang wanita solehah, mendengar kata, akur dengan kata-kata suami dan juga hormat pada orang tua, pandai memasak, pandai jaga anak.."
Oh..banyak sungguh permintaan pemuda ini. Memang semua orang mahukan yang baik-baik belaka. Lelaki mahukan perempuan yang baik dan mendengar kata. Perempuan pula mahukan lelaki yang bertanggungjawab.
"Sebenarnya dalam Islam sendiri, kalau kita mahu memperbetulkan orang lain kita kena betulkan diri kita dahulu.."
"Maksud akak?"
"Kamu kena jadi lelaki yang soleh, mendengar kata ibu bapa, kena hormat orang lain, kamu kena pandai masak.."
"Aik saya kena pandai masak?"
Memang pelik kalau orang mendengar kata-kata sayakan?
"Habis kamu mahukan isteri yang pandai masak, kamu juga kena pandai masak. Kalau kamu tak pandai, macam mana kamu nak tahu isteri kamu pandai memasak ke tidak. Lelaki ini macam guru juga pada isterinya. Seorang guru yang mengajar matematik mesti pandai matematik bukan?"
Tergaru-garu pemuda yang baya-baya adik saya itu..
"Hmm..masakan saya nak kena pandai masak baru boleh cari isteri kak.."
"Samalah juga jangan harap seorang isteri terlalu pandai memasak, terlalu pandai beragama kerana kamu sendiri belum tentu pandai dalam apa yang kamu harap ada pada isteri kamu. Perkahwinan adalah pembelajaran dan ianya boleh ditingkatkan dari masa ke semasa. Kamu bantu isteri kamu, dia bantu kamu dan sebagai ketua keluarga seharusnya kamu lebih pandai dari seorang wanita yang mahu kamu kahwini. Jangan minta yang berlebihan sedangkan diri kamu tidak cukup bagus untuk seorang wanita.."
Kata-kata itu memang pedih tetapi akhirnya dia mengeluh. Sambil menganggukkan kepalanya.
"Tidak ada manusia yang sempurna, wanita yang baik adalah wanita yang mahu belajar, menghargai apa yang dia ada, rendah hatinya dan sentiasa ada bersama kamu di saat susah senang kamu. Dan kamu sendiri harus memperbaiki kekurangan diri kamu dan sedia menerima teguran walau teguran itu dari isteri sendiri.."
Saya tidak tahu apa yang berada di dalam fikiran pemuda itu tapi saya harap dia mengerti, manusia memang tidak pernah sempurna dan ketidaksempurnaan itulah membuatkan hidup ini tampak lebih indah sebenarnya.


Thursday, December 9, 2010

KUALA GULA

Ketika menghantar adik saya bernikah di Parit Buntar, kami tidur di Kuala Gula Santuary Resort. Resortnya biasa-biasa sahaja. Di dalam bilik memang tidak ada telefon, tidak ada cerek untuk memasak air. Untuk menelefon ke operator terpaksa mengunakan telefon sendiri. Saya bertanyakan cerek, kata pekerja sudah habis dipinjam orang. Tinggilah sedikit suara saya kerana saya mengambil bilik yang paling besar dan sedikit mahal dari yang lain kenapa tidak ada cerek? Tidak lama kemudian datang seorang pekerja menghantar. Heasy...ada pula. Selain daripada bising orang berkaroke siang malam di restoran tidak jauh dari resort ini, lainnya saya sangat suka dengan tempat ini.

Melihat pemandangan ini suami mula teringat dengan musim luruh di Turki. Kata dia tak perlu pergi jauh-jauh bayar tiket kapalterbang. Ha ha..nak pujuk hati sendirilah tu.


Memerhatikan burung bangau ini, saya amat mengagumi kebesaran ALLAH. Paruh dan kakinya yang panjang itu rupanya ada fungsi tertentu. Bahkan bangau ini tidak lari apabila hujan turun. Kebal sungguh dengan hujan dan dia tidur berdiri begitu. Sangat takjub.


Pemandangan ini boleh dilihat daripada balkoni. Seronok melihatnya. 


 Belacak, ada yang panggil ikan tembakul. Mana satu saya sendiri tidak pasti. Ketika asyik memerhatikan ikan-ikan ini keluar masuk lubang dengan mengundur, kami ternampak 3 ekor memerang. Comel-comel tidak sempat mengambil gambar sudah melarikan diri.


Memerhatikan ketam yang keluar masuk ini memang seronok terutama suami yang jarang dapat melihat suasana yang sebegini kerana ketika di Turki beliau tinggal di tengah-tengah bandar Bursa.


Boleh memancing dari balkoni. Kata abang ipar saya, ada belangkas di sini memandangkan banyak buih dipermukaan sungai. Tapi kami tak nampak pula belangkas tersebut.
Musim hujan sekarang ini, tetapi memerhatikan hujan turun dengan melihat tingkah bangau, belacak memang amat menyeronokkan dan sangat romantis.

Sedikit info, Kuala Gula adalah terletak dekat dengan Kuala Kurau di dalam daerah Kerian.  Sesiapa yang mahu ke sana, perlu memasuki tol Bandar Baru dan mengambil jalan ke Parit Buntar. Kuala Kurau adalah bersebelahan dengan Parit Buntar.

Wednesday, December 8, 2010

ALAIKA SALAM..

Sepanjang kami ke Kuala Gula, kakak saya bercerita. Kalau jumpa kawasan perkuburan, ustaz beritahu jangan cakap Assalamuailaikum hai ahli kubur. Sebab mereka tidak boleh menjawab. Kata-kata yang harus diucapkan adalah.
"Alaika salam"
Sejahtera ke atas anda atau moga kedamaian menyertai anda.
Jadi baik Qaisara atau Balkish, bila jumpa kawasan perkuburan sahaja akan menyebut kuat-kuat.
"Alaika Salam.."
Tetapi tiba-tiba di satu rumah di Perak itu, mereka pun menyebut
"Alaika salam."
Lantas kakak saya Maznah menegur.
"Kita bagi salam pada ahli kubur sahaja, bagi salam dekat rumah orang buat apa?"
"Abis tu mak long, dekat tangga dia ada kubur.."
Qaisara memberitahu.
"Yelahkan Teta.."
Balkish menjawab. Ha ha ha..


Sedikit lebih kurang beginilah tangga rumah yang Balkish dan Qaisara sangka batu nisan. Ha ha.




Tuesday, December 7, 2010

MAJLIS PERNIKAHAN DI PERAK

Syukur ke hadrat Illahi akhirnya adik saya Ustaz Muhammad Khairul Hidayat akhirnya sudah menjadi suami orang. Pernikahan di jalankan di Parit Buntar Perak. Kami 8 keluarga menginap di Kuala Gula Resort sehari sebelum pernikahan dijalankan.

Dengan sekali lafaz Khairul Hidayat sudah menjadi suami kepada Hamisah Hamzah.

Pemberian mas kahwin. Di Perak sekarang mas kahwin paling mahal rasanya di Malaysia. Kalau di Melaka RM80 sahaja. Tapi di Perak RM552. Ada pulak RM2.


Cincin yang diwajibkan dan harus ditulis dalam surat nikah disamping mas kahwin dan juga wang hantaran.

Makan beradab. Adik saya ni dia nak kahwin, kakak-kakak yang kelam kabut. Apa tidaknya. Saat terakhir mahu ke Perak bernikah, baru saya teringat bekas meletakkan wang mas kahwin tak ada. Saya pula yang kena telefon dia bertanya. Dengan selamba dia menjawab.
"Nak kena bekas ke? Orang nak tanya kak Tie..lupa.."
Rasa nak tarik aje telinga dia tau..


Kek hantaran dari pihak kami ke pihak perempuan. Saya pesan dari d'little kitchen, Roza Ngah. Cantikkan?


Salah satu hantaran bidan terjun yang saya buat. Ha ha


Keluarga Pak Seyit yang sempat bergambar ..ha ha



Monday, December 6, 2010

BUNGA TELUR

Adik saya yang nombor 7 akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Seperti biasa kami membuat kenduri yang sederhana. Tanpa paluan kompang tanpa persandingan yang wajib didahulukan.
Minggu lepas majlis pernikahan telah diadakan di Perak. Orang yang paling sibuk adalah saya. He he..
Sibuk kerana saya mendapat tugasan membuat bunga teluar. Seingat saya, dari kakak, abang, adik kahwin inilah tugas saya.

Ini bunga telur untuk orang sebelah. Kerjanya rumit juga. Kertas pengalas cawan ini harus dilipat, begitu juga kotak harus dibentuk dan saya beli bunga, bunga tersebut harus dicabut dan dibentuk semula. Nasib buat berdua dengan bibik.



Untuk tetamu, masa di ambil tidak ada telur jenis F, yang ada jenis B dalam peti ais saya..ha ha.. Ada beberapa kawan saya fikir, saya beli dah siap macamni. Sebenarnya tidak. Sarang burungnya lain. Bekas plastik tu pun kita kena bentuk sendiri, sebab datangnya merupakan kepingan sahaja. Itupun jenuh juga mencari dalam banyak-banyak kedai di Nilai, hanya satu kedai sahaja ada bekasnya.


Ini sengaja saya buat untuk memeriahkan suasana, kalau tak ada bunga telur taklah rasa macam kenduri kahwin ya tak. Saya buat tak banyak. Hanya untuk satu pohon bunga pahar sahaja.



Ini untuk tetamu, mug ni sebenarnya ada 2 jenis tapi sempat ambil satu gambar sahaja sebab semuanya sudah diangkat bawa balik kampung. Walau tidak rumit sangat tapi kotak tersebut harus dibentuk.


Ini untuk anak-anak batangnya dari pensil, isinya pemadam, pengorek dan gula-gula.


Selesai kerja saya dan di majlis perkahwinan nanti hanya satu sahaja tinggal tugas saya iaitu membuat acar buah. he he..






Saturday, December 4, 2010

DAGING PENYET

Minggu lepas kami singgah makan di Wangsa Walk. Banyak-banyak kedai tak ada yang saya berkenan. Lantas masuklah ke kedai ayam penyet.

Ini daging penyet. Saya yang pesan Kerasnya sampai nak tercabut gigi saya..ha ha


Ini juga yang sedap, tahu dengan tempe..tapi kata bibik asal tak penyet..biasanya kalau jawa punya ditumbuk2 tempe ni..


Ini pak seyit punya, bila balik Pak Seyit tanya.
"Honey kedai apa kita makan tadi. Tak sedap pun, macam kat Indon hari tu aje kita makan.."
Ha ha ha.mesti Pak Seyit ingat lagi kami terdera kena makan ayam penyet ini pagi petang siang malam masa di Indonesia.


Friday, December 3, 2010

SEDEKAH

Hari Selasa yang lepas ketika saya berada di pejabat sedang membantu Ojan yang sedang membungkus buku untuk di hantar kepada kedai yang memesan, dua orang lelaki yang memakai jubah, berserban dan berjanggut tanpa salam masuk. Dia membawa sebuah file menunjukkan beberapa keping surat pelbagai pihak merayu bantuan untuk anak-anak miskin Islam di India. Saya tahu India ada program di mana, seseorang boleh menaja untuk anak-anak miskin sepanjang tahun. Tidak banyak yang diperlukan. Rasanya cuma seratus dua sahaja setahun. Program tersebut satu ketika dahulu sering dimasuki oleh beberapa orang rakan saya. Saya kemudian mengambil beg saya dan mengulurkan sekeping not.
"Malaysia, children eat one day RM50.."
Salah seorang darinya bercakap tanpa mengucapkan terima kasih.
"But in India, the whole children can eat.."
Dia bercakap dengan bahasa India yang cukup pekat. Saya hanya diam sahaja.
"Please give us another RM100, we need RM150."
Mak aii....saya beristighfar di dalam hati. Orang sudah bersedekah boleh meminta lagi. Bila saya cukuplah, dia masih tidak mahu berganjak. Masih berdegil.
Saya memberitahu dia, banyak kerja yang perlu saya lakukan dan meminta dia keluar. Dalam hati mahu sahaja dia marah, mengeluarkan perkataan yang bukan-bukan tetapi saya tahan. Saya tidak mahu bertingkah suara, nanti niat saya untuk menderma sudah hilang.
Saya tidak tahu sama ada lelaki itu jujur atau tidak, tapi kalau duit yang saya beri itu digunakan untuk makan mereka (macam orang tabligh) saya halalkan sahaja. Namun saya sedih, bagaimana Islam itu boleh dipandang indah kalau orang yang sebegini ujud.  Sudah minta orang bersedekah tetapi tidak puas hati dengan sedekah yang diberi.
Saya teringat seorang tua yang sering meminta derma di Melaka untuk sebuah sekolah agama di sana. Kalau saya beri RM5 pun dia akan mengucap terima kasih berkali-kali. Pak cik yang saya kenal itu sering mendoakan saya murah rezeki setiap kali saya memasukkan ke dalam tong dermanya. Saya juga selalu mendoakan dia sihat kerana saya tahu, sekolah itu adalah sekolah yang didirikan seratus peratus atas bantuan orang ramai. dan sekolah itu masih tegak berdiri, walau musim berganti.



Thursday, December 2, 2010

TAK SUKA MAKAN SAYUR

Qaisara suka makan coleslaw, tapi masakan hari-hari mahu makan coleslaw ye tak?

Qaisara makin besar, makin tidak suka makan sayur. Susah menyuruh dia makan sayur dan harus bergaduh dengannya dahulu sebelum dia makan...
Macam-macam akal kadangkala saya gunakan untuk dia makan sayur.
Satu tebiat makan Qaisara yang saya benci, Qaisara suka amat makan gula-gula. Satu makanan yang saya kawal pengambilannya.
 Nasib baik setiap kali mandi atau makan gula-gula saya akan seret dia ke bilik air untuk mengosok gigi.
Mengosok gigi memang tidak ada pilihan untuk Qaisara. Saya akan kepit dia celah kaki dan gosok gigi dia atau dia gosok sendiri? Ha ha..
Beberapa hari yang lalu Qaisara marah-marah bibik apabila melihat ada sayuran yang banyak dalam nasi gorengnya.
"Kenapa nak marah.." tegur saya pada Qaisara. Sebenarnya malas saya mahu marah-marah dengan anak nan seorang ini.
"Umi tengok, banyak sangat sayur dalam nasi goreng Teta"
Qaisara menunjukkan sayur campur yang berada di dalam nasi gorengnya.
"Cuba Qaisara pejam mata"
Saya suruh Qaisara. Sambil mengambil sudu di tangannya dan menyuapkan dia.
'Kenapa umi?"
"Pejam mata dan rasa manisnya lobak yang Qaisara makan ni. Qaisara bayangkan macam makan gula-gula."
Nasib saya baik ketika itu Qaisara mahu mengikut dan dia memejam matanya.
"Yelah umi manislah.."
"Cuba Qaisara makan lagi.."
Saya suap dia, ada udang, ada jagung dan lobak. Qaisara makan sedikit demi sedikit dan akhirnya suapan yang terakhir.
"Lain kali Qaisara makan lobak, Qaisara bayangkan macam makan gula-gulakan. Kalau Qaisara nak tahu, orang yang makan sayur wajahnya akan jadi cantik dan seksi.."
Ha ha..Qaisara kalau part cantik dan seksi suka aje. Nampaknya beberapa hari ini sukalah dia makan lobak dan sayur-sayuran. Tidak tahulah esok-esoknya nanti, ketika itu kenalah saya mencari akal yang lain.