Pada tahun 1973 seorang anak kecil memulakan persekolahan dengan hanya memakai kasut plastik dan memakai uniform seadanya. Dia anak ke empat daripada 4 orang adik beradik. Terdiri daripada 3 perempuan dan seorang lelaki. Semangatnya begitu membara ketika mahu ke sekolah pagi itu. Belajar membaca dan menulis seperti yang dilakukan oleh kakak dan abangnya.
“Oh…kau pagi yang indah. Hari ini hari bersejarah di mana aku akan belajar menulis dan membaca. Aku akan tulis cerita mengenai kehidupan aku satu ketika nanti dan orang akan menatapnya..” begitu bersemangat sekali anak kecil yang berusia 7 tahun itu. Dia berjalan kaki ditemani oleh ke dua-dua kakaknya. Dan ketika loceng berbunyi menandakan kelas akan bermula. Dia ditinggalkan oleh kakaknya di padang sekolah bersama kanak-kanak lain yang juga sama dengannya yang akan memulai hari pertama persekolahan. Kerana terlalu teruja mahu belajar, dia tidak pernah peduli ditinggalkan keseorangan sedangkan pelajar lain ditemani oleh ibu dan ayah mereka.
Seorang demi seorang nama pelajar dipanggil oleh dua orang guru yang bertugas untuk memasuki kelas A dan B yang berada di sekolah tersebut. Dan akhirnya anak kecil yang berkasut plastik itu tinggal seorang diri di padang.
“Kamu siapa nama?”
Salah seorang guru itu bertanyakan namanya. Lantas anak kecil itu memberitahu dengan nada yang bergetar. Risau, bimbang beraduk menjadi satu. Bimbang tidak diterima bersekolah. Risau dia akan disuruh pulang ke rumah dan akan menimbulkan kemarahan ibu dan ayah.
“Kamu datang dengan siapa?”
Guru tersebut menyoal lagi. Mungkin cuba membantu.
“Kakak…”
“Mana kakak kamu..”
“Ada dalam bilik darjah tapi saya tak tahu bilik darjah mana..” si kecil menjawab tulus.
“Emak atau ayah kamu di mana?”
“Emak hantar abang, dia bersekolah di tempat lain?”
“Abang awak juga darjah satu?”
“Tidak..darjah dua.”
“Kenapa emak kamu hantar abang kamu yang darjah dua tapi dia tak hantar kamu yang masuk darjah satu.”
Anak itu tidak tahu bagaimana mahu menjawab. Kerana walaupun dia anak bongsu di dalam keluarga. Dia sering bersendirian dan terasing. Jarang dipedulikan. Mungkin kerana dia anak perempuan ke tiga dalam keluarga.
“Oh..nama kamu tak ada dalam senarai. Kamu kena pulang beritahu ibu dan bapa kamu supaya datang dan berbincang dengan cikgu.”
Ke dua-dua guru berpandangan. Rasa simpati menebak dada. Namun mereka tidak berdaya melakukan apa-apa . Mahu tidak mahu si kecil yang berkasut plastik terpaksa pulang.
Dan ketika pulang seperti diduga dia dimarahi kerana tidak dapat menguruskan diri sendiri untuk masuk bersekolah. Hatinya tergores, pedih, sedih.Namun dia tidak pernah berdendam walau sekelumit jua pun.
Dan hari ini apabila anak itu dewasa, kenangan itu masih kuat terpahat menjadikan dia seorang yang cukup perasa pada rasa seorang wanita yang satu ketika dahulu sering dibeza-bezakan.
aku bukan budak baik
7 months ago
0 comments:
Post a Comment