Beberapa hari yang lepas saya menerima panggilan daripada seorang sahabat baik saya. Dia menangis membawa khabar mengatakan emaknya sudah meninggal dunia dua hari sebelumnya!
"Dia pergi begitu mendadak. Tanpa sebarang kata kerana serangan jantung!"
Beritahu sahabat saya sambil menangis-nangis. Mungkin kesal tidak menerima apa-apa pesan daripada si emak.
"Aku kesal, aku tak sempat nak minta maaf dari dia!"
Sahabat saya menangis teresak-esak. ya..saya masih ingat beberapa tahun yang lalu, saya sering bergaduh dengan sahabat saya ini. Punca, emaknya sendiri.
Seringkali setiap bulan dia akan mengira perbelanjaan yang telah digunakan oleh si emak kerana dia dan emaknya tinggal serumah. Dia tinggal di rumah emaknya sejak berkahwin sehingga mempunyai dua orang anak. Setiap sen yang dibelanjakan untuk si emak akan dikira termasuklah panggilan telefon, makan dan sebagainya.
"Astaghfirullah! Kau ni betul ke tidak?"
Saya masih ingat bagaimana saya terperanjat apabila dia mengatakan akan membuat tuntutan terhadap emaknya yang mengunakan telefon di rumah. Hanya RM10 sahaja.
"Isk..aku kena tuntut juga Tie, kalau tidak emak aku sewenang-wenangnya pakai telefon, sana sini telefon orang, yang parahnya akulah nak bayar!" kawan saya yang bernama Ita ini tegang urat lehernya, menyatakan pendiriannya.
"Habis yang kau tinggal dengan emak kau tu? Kau bayar ke?"
Saya menyindir dia, bahkan saya masih ingat bagaimana kami bergaduh mengenai emak Ita. Sampai ada kawan-kawan saya yang pening. Apa tidak peningnya, saya bergaduh kerana mempertahankan emak Ita, bukan Ita yang mempertahankan emaknya!
"Aku bayarlah emak aku RM300 sebulan sebab jaga anak aku.."
RM300, untuk menjaga dua orang anak?
Memang saya cemuih dengan layanan Ita terhadap emaknya dan Ita juga cemuih dengan saya yang sering mempertahankan emaknya yang sering dicemuh oleh Ita.
"Padan muka kau! Ada emak kau buat emak kau macam-macam. Bila dah meninggal kau menangis-nangis. .."
Tanpa memikirkan kesedihan Ita. Saya menembaknya. Tangisan Ita semakin tinggi, mungkin menyesali kesilapan yang lampau. Namun tangisan tersebut tidak dapat menarik simpati saya terhadap dia. Bahkan saya menjadi bertambah marah.
"Kau ada dua orang anak, bersedialah esok-esok anak kau akan buat kau begitu.."
Kata saya melepaskan geram! Tangisan Ita tidak reda-reda. Sambil memohon maaf dia terus-terus mengakui kesilapan sendiri.
Namun bagi saya, hati saya bertambah luka dengan pengakuan Ita. Kenapa Ita sedar selepas emaknya pergi. Kenapa Ita harus menangis kerana bukankah dia yang selalu mencemuh dan genggam tak tiris (kedekut) dengan emak sendiri!
Lebihnya saya kesal, saya yang kehilangan emak ketika usia 10 tahun sering mengimpikan kehadiran emak di sisi. Sering berangan, kalau emak masih ada, saya akan layan emak dan bawak emak berjalan-jalan ke mana-mana. Tetapi orang yang dipinjamkan oleh ALLAH seorang emak sehingga sudah berkahwin dan beranak pinak, melayan emaknya seperti penyapu buruk dan kasut hanyut!