Kata Liza bujang patutlah Qaisara suka bertanya, dia ikut acuan uminya. Saya kalau bertanya, punyalah detail. Sampai Lizabujang tension dan berpeluh nak jawab. Tak tahulah dah jadi sifat semula jadi agaknya, dari kecil saya suka bertanya. Suraya editor saya pun takut kalau bercerita dengan saya, saya akan tanya dari A sampai Z dan kadangkala bila dia jawab, entah. Kenalah dia..dengan saya. Mana boleh entah, entah. Semuanya kita kena baca dan teliti. Bukan apa, kadangkala bila dengar orang bercerita. Saya suka bertanyakan sumber mana yang didapatinya. Kalau boleh saya benar-benar mengelak mendengar cerita fitnah. Sekarang orang menyebarkan fitnah amat mudah.
Sejak akhir-akhir ini Qaisara tanya saya neraka tu apa? Sebab dia dengar kakak saudara dia cakap orang jahat masuk neraka.
"Memang neraka itu adalah tempat orang jahat seperti kata kak Alin tu. Orang yang suka marah-marah, tak dengar cakap emak dia. Suka tendang orang, ejek orang. Tak mahu tolong orang.." saya terangkan pada Qaisara.
"Macam mana rupanya neraka tu umi?"
"Neraka tu ada api yang menjulang-julang. Bila kita tak dengar cakap mak dan ayah, kita tak baik dengan kawan-kawan. Tuhan campak dalam api tu.."
Terang saya. Qaisara nampaknya faham sekali.
"Orang jahat masuk neraka umi. Abis orang baik duk luar tengok aje ke?"
Keh.keh..keh..rupanya kakak sepupu Qaisara cerita pasal neraka aje agaknya dengan Qaisara, tidak bercerita pasal syurga.
"Tak sayang, orang baik masuk syurga.."
"Syurga tu apa umi.."
"Syurga tu cantik indah, banyak pokok, macam-macam ada.." terang saya.
"Macam-macam ada? Sunway lagoon ada ke umi?"
"Ada..."
"Slide ada ke umi?"
"Ada.."
"Besar ke kecil umi?" mata Qaisara nampak bersinar-sinar. Yelah budak-budak apa lagi yang ada difikiran mereka. Kecuali mainan yang disukainya.
"Kecil besar semua ada.."
"Apa lagi dalam syurga umi.." Qaisara nampaknya begitu teruja membayangkan syurga.
"Macam-macam, susu, buah-buahan, apa sahaja Qaisara nak semua ada.." Saya beritahu Qaisara.

"Susu pun ada umi?"
"Ada"
"Susu tu sedap tak? Macam susu Teta ke?"
"Lebih sedap dan manis dari susu Teta.."
"Wahhh...."
"Hmm..buah ceri ada ke umi?
"Ada sayang..."
"Durian ada tak umi?"
"Ada..."
"Wah..dalam syurga ada durian. yummy.." Qaisara sudah menjilat bibirnya..ha.ha. Tapi dalam hati saya terfikir, apakah di syurga ada durian? Hmm..
"Umi..susah ke nak masuk syurga.."
"Tak susah, asalkan Teta baik, buat apa yang ALLAH suruh, tak buat apa yang ALLAH larang. Dengar cakap umi. Dengan bibik tak jerit-jerit. Dengan baba pun baik aje. Insya-ALLAH Teta akan masuk syurga.."
Mata Qaisara bersinar-sinar dan semalam ketika saya bawa dia dan abang-abangnya ke Mines. Tahulah abang-abangnya suka menyakat dia, kadangkala geletik dia. Kadangkala tarik rambut dia. Di dalam kereta saya dengar Qaisara menjerit.
"Abang Akim! Abang Akim jangan buat Teta macam ni tau! Nanti abang Akim tak masuk syurga!"