Pagi tadi ketika sedang berjogging di hadapan rumah seorang diri (hari ini suami saya terlebih letih dan tidak melakukan hal ini bersama) seorang jiran yang mahu membeli nasi lemak yang gerainya terletak di hadapan taman menegur saya.
"Kak yatie, bibik kak yatie camana. Teruk ke terbakarnya?"
Saya tercengang. Bila masa bibik saya terbakar pula?
"Bibik akak terbakar? Bila masanya bibik akak terbakar?"
Saya bertanya jiran saya itu. Kali ini jiran saya pula tercengang.
"Aik..hari itu kak ada beberapa orang jurujual. Dia menjual kepala gas tu. Dia beritahu saya, kepala gas yang dijual tu bagus. Untuk keselamatan. Dia beritahu saya, ada sebuah rumah depan taman warna hijau. Hari tu sebab dia tak pakai kepala gas macam dia orang jual. Gas meletup. Habis pembantu rumahnya melecur dan terbakar. Jurujual tu beritahu lagi, rumah hijau tu kemudian beli kepala gas dari dia orang."
Astaghfiruallah...saya mengelengkan kepala. Rasa marah dan kesal bercampur baur..
"Jangan percaya cakap jurujual tu. Dia orang kelentong tu!"
"Itulah akak, suami pun suruh tanya akak. Yelah rumah hijau depan taman akak aje seorang."
Beritahu jiran saya sambil mengelengkan kepalanya.
"Habis kamu belikah?"
"Taklah akak, suami cakap kalau saya nak sangat. Kita beli kat smartshop aje. Tapi budak-budak tu cakap kat smartshop harganya RM600 tak macam dia orang jual RM300."
"Kau percaya cakap dia orang tu.."
"Entahlah akak, tapi suami cakap jangan percaya. Suami tak bagi beli pun."
Syukur jiran saya tidak membeli barangan dari jurujual yang suka menipu sebegitu. Paling menyedihkan yang menjual itu orang melayu.
"Lain kali jangan benarkan dia orang masuk. Bahaya jurujual macam tu. Mereka menipu, silap-silap kepala gas itu tak sampai seratus."
Nasihat saya. Sakit hati benar saya dengan orang berniaga yang menabur fitnah dan mereka cerita. Tidakkah mereka tahu, dalam menjalankan perniagaan seseorang itu harus jujur dan ikhlas. Barulah rezeki itu akan datang. Menabur fitnah dan mereka cerita begitu bukan sahaja haram di sisi islam tetapi menyekat rezeki mereka sendiri.
Nasib baik jiran saya bijak, tidak mahu membeli. Kalau terpedaya, bukan sahaja membuang duit mungkin mendatangkan bahaya kerana barangan yang dijual sebegini amat jarang ada jaminan keselamatannya.
Paling hairannya..kenapa rumah saya pula yang dijadikan cerita? ha..ha.ha