Sebenarnya mengenai kereta kuning ini telah saya poskan di FB. Tetapi biarlah saya ceritakan secara terperinci di sini.
Hari Sabtu lepas saya balik ke kampung. Di kampung biasalah kalau sudah berkumpul, macam-macam perkara yang dibuat. Ayah pula sibuk menguruskan pembersihan tanah untuk membina rumah baru jika kerajaan mengambil rumah kami sekarang.
Saya balik malam Ahad, kerana esok Qaisara mahu bersekolah. Tetapi sebelum balik Qaisara sudah tidak sedap badan. Badannya panas kerana cuaca yang sangat panas di Melaka dan dia pula suka melompat sana sini, tanpa menghiraukan panas atau tidak. Saya terpaksa balik selepas maghrib memandangkan balik petang saya memang tidak sempat dan saya pula tidak begitu sihat petang itu. Mungkin kerana menyedut terlalu banyak abuk sehingga saya susah mahu bernafas. Malam itu ketika kesihatan sedikit pulih, saya gagahkan diri memandu memikirkan Qaisara mahu bersekolah
Ketika saya mahu menghampiri Linggi Pedas rasanya, saya terperasan sebuah kereta berwarna kuning berada di sebelah saya, memandu dengan jangka yang agak lama. Hati saya sudah tertanya-tanya. Kenapa kereta ini mahu bersaing dengan saya. Sedangkan saya yang berada di tengah hanya memandu tidak laju, sekitar 90-100km sejam sahaja.
Kereta itu kemudian memotong saya dan hilang dari pandangan. Saya biarkan sahaja.
Di dalam kereta memang saya tidak pernah membuka radio, kalau saya bosan saya akan membaca surah lazim atau berbual dengan bibik. Tiba-tiba saya ternampak kereta kuning itu muncul di sebelah saya sekali lagi.
"Apa hal pula kereta ini.."
Hati saya berbisik perlahan. Dia bersaing lagi dengan saya, tetapi saya biarkan bahkan saya hanya menjeling dengan ekor mata dan sekali lagi selepas 5 minit bersaing dia memotong saya.
"Bik, kereta depan ni tadi bukan main laju lagi. Saya dah kena tinggal..sekarang ada depan saya pula.."
Agaknya kereta ini berhenti di mana-mana mungkin. Hati saya berfikir tidak teringat mana ada R&R yang di kawasan Pedas Linggi, kalau di Ayer Keroh, seremban, Nilai adalah rasanya.
"Oh iye ke umi.." Bibik tidak pasti kereta mana yang saya maksudkan kerana bibik tidak nampak mana-mana kereta.
Saya masih ingat saya menyanyi sebuah lagu yang memang saya suka ketika saya memandu.
"Tuhanku, aku hilang bentuk kembara di negeri asing,
tuhanku pintumu ku ketuk, aku tidak bisa berpaling.." Rangkap itu saya ulang-ulang sebab yang lain saya tak tahu. He he he..
Rasanya bila menghampiri Seremban, kereta yang sama muncul lagi sekali. Di sebelah saya. Hati saya sudah tidak sedap. Kenapa saya asyik berjumpa dengan kereta ini, sedangkan ada beratus kereta yang berada di jalanan. Saya biarkan dia beriringan dengan saya, dia di sebelah kiri dan saya di tengah-tengah.
Saya sudah membaca ayat kursi kerana merasakan ada yang pelik sedang berlaku dan saya gagahkan hati saya menoleh ke kereta tersebut.
Ya ALLAH! Kereta tersebut tidak ada pemandu!
Dada saya berderau dan saya baca ayat kursi lebih banyak lagi. Tidak putus-putus sambil berkata dengan diri sendiri. ALLAH ada tolong saya. ALLAH perhatikan saya, saya tidak mahu terpedaya dan saya tekan laju pedal minyak. Anehnya bila saya saya toleh ke belakang saya tidak nampak kereta itu lagi.
Ya ALLAH. Betulkah saya nampak? Ya..memang tidak ada pemandu. Cuma yang ada stering berwarna hijau. Tidak ada tangan di situ? Tidak ada badan, tidak ada kepala orang. Sampai balik rumah pun saya asyik berfikir dan berfikir.
Esoknya saya tanya bibik, nampak tak kereta yang asyik bersaing dengan saya? Kereta berwarna kuning.
"Hesy..mana ada kereta asyik bersaing dengan umi? Betul bibik tak nampak.. Bibik tak tidur dan sering melihat keluar. Mana adanya. Hesy..umi ini seram sayalah.."
Bibik berkata beria-ia. Dan sampai sekarang saya terfikir, apakah benar ini peringatan ALLAH seperti yang Rose Mawar katakan supaya saya tidak balik pada waktu malam? Kalau saya tidak balik malam, bila saya mahu balik lagi sedangkan petang tadi memang saya tidak boleh bernafas dan tercungap-cungap. Kesihatan tidak mengizinkan. Balik esok, Qaisara pula akan bersekolah?
Tetapi apabila saya rujuk perkara ini pada seseorang yang saya sanjung ilmu agamanya kata individu itu.
"ALLAH duga kita, sama ada kita takut atau tidak. Dalam keadaan begini siapa yang kita ingat, siapa dahulu yang kita takut. Orang lain boleh menghukum tetapi ALLAH lebih mengetahui tujuannya"
Ya ALLAH saya berterima kasih padamu, kerana dalam keadaan panik begini saya masih teguh mengingatimu.
Saya berdoa ya ALLAH, jangan kau duga saya yang lebih berat kerana saya takut tidak dapat menanggungnya...AMINNN..


