Satu hari di tempat letak kereta sebuah pasaraya, mata suami melihat satu pasangan. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Saya bertanya kenapa?
"Tengoklah tu honey"
Ketika itu kami sudah hendak pulang. Saya sudah duduk di sebelah suami yang mahu masuk ke dalam kereta.
"Hairanlah orang Malaysia ni.."
Suami separuh bersungut. Saya dengan suami memang selalu bergaduh dan ejek mengejek. Bukan bergaduh betullah. Bergaduh kutuk mengutuk. Dia kutuk orang Malaysia, saya kutuk orang Turki. Kata suami orang Malaysia pengotor. Kedai makan kotor, tandas kadangkala kotor. Saya pula jawab, orang Turki juga kotor. Kalau tak kotor camana seluar boleh pakai seminggu, baju seminggu. ha ha ha.
"Kenapa?"
"Tengok, bini tu dah pegang anak. Tolak troli lagi.."
Saya melihat pasangan suami isteri yang menjadi topik perbualan kami. Pasangan berbangsa cina. Rasanya masih muda tapi kerana pakaian tidak kemas, sedikit berserabut nampak mereka tua. Anak masih kecil lagi, masih berdukung. Suami berlenggang dan isteri terkial-kial meolak troli.
Oh saya sendiri yang melihat panas hati. Senario ini bukan sekali depan mata. Seringkali apabila beratur membayar di pasaraya. Suami bercekak pinggang, si isteri terkial-kial mengeluarkan barangan dari troli. Pak Seyit yang melihat sering mengeleng kepala dan mengutuk. Tengok! Orang Malaysia! Seringkali saya rasa ingin menjerit sahaja.
"Weh b#d$h tolong bini kaulah" Tak terkeluar hanya tersekat di kerongkong.
Mungkin kerana sudah terbiasa dimanja oleh suami bila bershopping, dia bawak barang, dia mendukung Qaisara (jangan ingat sudah bangka begitu Qaisara tidak berdukung lagi!). Saya jadi anti pada orang yang memperlakukan isteri sebegitu.
Memang susah saya mahu menepis tanggapan suami ini. Terlalu banyak contoh depan mata.
Kalau fikir-fikirkan, kenapa lelaki di Malaysia ramai yang begitu? Adakah pelajaran dari rumah yang membuat mereka jarang bertolak ansur dengan isteri? Sikap acuh tak acuh suami terhadap isteri ini rasanya akan diikuti oleh anak-anak bila mereka dewasa. Jadi siapa yang harus disalahkan? Masyarakat atau sistem pelajaran kita yang kurang menitik beratkan budi pekerti?























