SELAMAT HARI GURU!
Guru memang amat bermakna buat sesetengah orang. Guru yang mengajar kita mengenal huruf A-Z.
Tetapi adakah seorang guru yang kekal dalam ingatan kita semua. Guru yang benar-benar dedikasi? Guru yang mengenepikan semua kepentingan diri?Rasanya teramat sukar ditemui.
Oh..mungkin cerita saya akan menjadi satu kontrovesi dan tidak disukai terutama oleh para guru. Tetapi terus terang saya nyatakan, seumur hidup saya digelar pelajar. Terlalu amat sukar saya berjumpa seorang guru yang benar-benar berdedikasi dengan tugas. Seorang guru yang menerima saya anak muridnya yang sangat miskin. Anak murid yang kadangkala terpaksa bangun jam 3 pagi menoreh getah dan berkejar ke sekolah.
Oh..saya banyak kenangan yang menyakitkan hati dengan guru. Terutama guru sekolah rendah saya. Guru yang kadangkala memandang rendah kerana saya miskin dan kemudian tidak beremak.
Saya masih ingat ada seorang guru, yang sentiasa tidak senang hati dengan saya.
Apabila saya dipilih oleh rakannya mewakili sekolah untuk bola jaring, dia marah dan mengeluarkan saya. Guru dengan guru bergaduh, apabila saya dipilih semula saya berjauh hati dan menolaknya.
Apabila saya dipilih oleh kawan sebagai ketua darjah, dia bertanya tidak adakah orang lain yang hendak dipilih?
Apabila saya berjaya memegang jawatan ketua darjah atas undian kawan-kawan, di akhir tahun hadiah diberi pada orang lain.
Bahkan ada seorang ustaz yang sentiasa membuli anak-anak muridnya terutamanya saya.
Semua kerja saya disuruh buat. Pergi sana, pergi sini bahkan membeli kuih untuknya.
Pernah satu hari saya enggan kerana tidak tahan mahu ke tandas. Dia mengamuk dengan saya.
Ada tak ada saya masih ingat seorang guru sering memuji saya.
"Tengok macam Yatie, walau buku dia koyak rabak. Buku dari kakak dia, tetapi dia tetap pandai membaca" (Buku dulu kena beli)
Ya..sampai sekarang guru itu saya ingat. Guru yang menaikkan moral saya, walau hanya dengan sebaris ayat. Walau selepas itu bila diluar dia seperti tidak kenal dengan saya.
Ya..terus terang, susah saya nak jumpa guru yang masih kekal dalam ingatan saya.
Cuma ada seorang, guru berbangsa cina. Guru tersebut amat sayangkan anak-anak muridnya. Bila kami penat belajar, dia akan menyuruh sesiapa yang pandai menyanyi, menyanyi. Dia akan beri kami upah menyanyi 20 sen. Itu amat menghiburkan kami. Kami bersemangat tetapi sayang, hanya setahun mengajar dia ditukarkan.
Di sekolah menengah pula, ada seorang guru yang sangat anti dengan saya.
Guru bahasa melayu. Buku saya sering dilempar dan saya dihina dengan macam-macam kata nista.
"Anak Berahim, BM nanti awak akan dapat 7 atau 8"
Ya..dia jarang menyebut nama saya, tetapi nama ayah saya. Apabila SPM saya mendapat BM A, saya pergi berjumpa dengannya. Dia seperti tidak percaya! (saya suka menulis karangan macam tulis cerpen itu yang dia angin!)
Tahukah pembaca siapakah guru saya yang sebenarnya?
Dia, adalah arwah emak saya. Dia yang mengajar saya membaca. Saya rasa saya pandai kerana arwah emak saya. Emak saya yang sentiasa menemani saya setiap malam dengan pelita. Emak yang mengajar saya mengenal huruf sebelum guru mengajar saya. Emak yang mengajar saya membuat kerja rumah, menerangkan perkara yang saya tidak faham. Saya tahu saya pandai kerana emak saya (inilah kenyataannya, jangan marah para guru). Bukan kerana guru kerana emak sentiasa memandu saya. Guru tidak pernah pun datang pada saya dan tidak pernah peduli dan jarang melihat keujudan saya. Sebab itu apabila emak meninggal sebelum saya sempat ke sekolah menengah. Saya kehilangan bukan sahaja seorang emak tetapi seorang guru!
Itu tentang guru saya dahulu. Bila disingkap ianya banyak menyedihkan dari mengembirakan.
Tetapi saya tahu dan yakin, ramai guru yang baik diluar sana tetapi saya tidak bertemu dengan mereka. Bahkan saya rasa guru sekarang lebih berdedikasi dan ikhlas dengan tanggungjawabnya.
Contoh adik saya Khairul yang tidak pernah mendengar dia bersungut tentang kerjanya, bahkan sentiasa gembira membimbing. Sentiasa teruja dan teruja.
Kakak saya Mijah yang seperti kata anaknya Ojan, bagi umi sekolah adalah rumah. Hari Sabtu di sekolah, cuti pun masih di sekolah dan kadangkala hari biasa jam 5 pun masih di sekolah.
Bahkan saya dapat merasakan guru sekarang lebih mesra, terbuka dan seperti kawan dengan anak muridnya.
Guru..
Ikhlaslah mengajar, kurangkan bersungut, hormatilah anak murid anda dan jangan sesekali menghina keluarga dan ibubapanya. Kerana sekali kata-kata yang menyakitkan itu keluar dari mulut anda, sampai bila-bila ingatan itu tidak akan hilang. Sedikit kebaikan yang kita buat, walau dengan sebaris ayat akan diingati sampai bila-bila. Saya tahu tugas sebagai guru bukan mudah, tetapi bila kita gembira dan ikhlas insya-ALLAH ada ganjaran tidak di dunia, tetapi dari ALLAH.
Selamat Hari Guru pada para guru semua!
8 comments:
betul tu kak..pada pandangan saya la nie ya sebab saya pun terkena juga dulu. cikgu sek rendah saya suka pada mereka yang cantik bersih sahaja. ingat lagi dulu, saya tak pernah ke sekolah agama, cuba menulis jawi sambung2 huruf ikut pemahaman sendiri dan buku, dibaca dan digelakkan nya saya didepan kelas. saya pangkah dia dan apa yg dia ajar terus. :(
Intan pun setuju..guru kita yg pertama sekali ialah emak kita..dialah yg mengajar kita erti kehidupan ini..
terharu. memang betul puan, ibu adalah guru pertama kita :)
pengalaman banyak mengajar kita kan kak.. kalau guru2 tersebut berjumpa akak skrg tentu dia kesal apa yg telah dilakukan dulu.. kenapa la ada guru yg tidak ikhlas.. bukankah ilmu yg guru curahkan itu akan menjadi bekalan di hari kemudian... mungkin ada guru yg tidak igt tentang itu...
sedeyy nye kakk.. sy bacee kisah akakk niee.. mane boleh seorang guru membandingkan mcm tuee ngan anak murid diee.. kalau sy jadik akakk.. mmg sy down sesgt... guru sy ade gak yg pandang rendeh.. suke banding kan ngan org lain... tp x pe laaa.. ade jugak guru sy yang baikk2.. hidup x semestinyee indahkan kakkk..
saya sendiri tak ada kenangan manis dengan guru dari sekolah rendah hingga sekolah menengah...saya memang sedih sangat. sebab tu bila sekarang saya jadi guru... saya cuba elakkan dari jadi cikgu macam cikgu saya dulu. saya tak nak anak didik saya benci saya...saya nak mereka semua sayang saya...biar diorang ada kenangan manis dgn saya walaupun secebis...
...semuga tiada lagi guru seperti yang telah yatie temui, di zaman kini..
...harapan saya, semuga saya tidak termasuk dalam golongan mereka juga..
semuga anak2 didik ku menerima ajaran yang seikhlasnya dari ku..
insyaallah.amin.
semoga Mak Uda tidak menjadi seperti guru yang kak yati cerita, sejarah mengajar kak yati ketabahan, Mak Udajuga pernah dicabar semasa form 3 masa ambil SRP utk subjek Bahasa Melayu, Mak Uda memang kurang minat tetapi atas cabaran guru tersebut Mak Uda dapat A dan sekarang pun tercabar mengajar BM...itu yg menguatkan semangat...
Post a Comment