Qaisara bersama sepupu dan mak usunya.
"Umi betulkah orang tidur boleh mati?"
Dua hari lepas Qaisara masuk ke dalam bilik saya dan bertanya. Dengan muka yang sedih dia duduk di sebelah saya.
"Iye, boleh.."
Saya yang tak tahu hujung pangkalnya menjawab. Qaisara termenung di birai katil. Wajahnya masam mencuka dan dia kelihatan letih. Kebetulan kami berada di kampung. Tahulah kalau ada dikampung Qaisara bukan lekat di rumah. Merayau sahaja dengan sepupunya, kebetulan rumah abang dan kakak saya hanya beberapa kaki antara satu sama lain.
"Betulkah umi orang tidur boleh mati.."
"Iye boleh sayang.."
Qaisara bangun dan keluar dari bilik saya dan ke ruang tamu. Kenapa dengan Qaisara? Saya mengikutnya.
"Qaisara tak mahu tidurkah?"
Saya tegur Qaisara, melihat wajahnya yang mengantuk dan sangat penat itu.
"Teta tak mahu tidur. Karang Teta tidur, Teta mati atau Teta tidur nanti umi mati.."
Lah kenapa pula ini. Adik saya yang sedang bermain dengan anaknya diruang tamu bersuara.
"Tadi dia cakap dia nak tidur, jadi orang cakaplah. Pergi salam umi, minta maaf dengan umi, manalah tahu nanti umi mati dalam tidurkah?"
Patutlah muka Qaisara begitu. Rupanya ada yang termengkelan di hatinya.
"Iyelah kalau umi mati macam mana. Teta tak tak mahu umi mati. Teta tak mahu tidur. Teta takut umi mati."
Sedih sungguh muka Qaisara. Saya peluk Qaisara dan saya cium dia.
"Sebab itu umi selalu cakap dengan Qaisara , sebelum tidurkan kita selalu doa. Doa ucap terima kasih pada ALLAH, doa supaya baba dan umi dipanjangkan umur."
"Teta tak tahu macam mana nak berdoa.."
Balas Qaisara perlahan. Qaisara kalau dikampung tidak suka tidur dengan saya. Kalau dia tidak tidur dengan sepupu-pupunya dia akan tidur dengan mak usu dan pembantu rumah saya.
"Aikkan kita selalu doa sama-sama.."
"Yelah, umi jom doa umi.."
Lalu saya ajarlah Teta doa yang ringkas dan saya ulang beberapa kali.
"Ya ALLAH ya tuhanku panjangkan umur babaku Seyit Qara, panjangkan umiku Norhayati Berahim, panjangkan umur saya. Panjangkan umur bibikku Siti Sariyanti.."
"Umi nanti umi tak matikan dalam tidur.."
'Insya-ALLAH tak sayang."
Barulah wajah Qaisara cerita sedikit dan dia memberitahu dia mahu masuk tidur sambil memeluk saya.
"Cara orang salahlah ya.?."
Adik saya yang melihat apa yang berlaku bertanya.
"Dia ni lain sikit Teh. Dia amat sensitif. Kalau cakap-cakap begitu harus ada penerangan yang panjang lebar. Tak boleh saje-saje. Nasib baik aku boleh jawab tadi. kalau tak boleh, mahu dia tak tidur semalaman.."
Adik saya ketawa seraya berkata
"Payah juga ya dapat budak terlebih cerdik ni..."
Ya..sekarang baru 5 tahun, esok-esok ketika usia Qaisara makin meningkat apa pula tingkah dan pertanyaannya. Ketika itu saya tidak pasti apakah saya boleh menjawabnya atau tidak. Harap-harap saya cukup ilmu untuk mengajarnya..
1 comments:
alahai cerdiknya budak comel nih
Post a Comment