Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Sunday, January 4, 2009

PETIKAN UTUSAN MALAYSIA

Hubungan sains dan sastera
Dewasa ini, novel remaja menjadi satu bahan bacaan yang popular dalam kalangan remaja yang suka membaca. Novel-novel ini memperkatakan tentang dunia mereka iaitu dunia remaja daripada pelbagai segi dan yang paling dominan ialah permasalahan cinta. Semacam menjadi satu keperluan untuk mereka memiliki novel daripada pengarang yang mereka gemari. Ada pengarang-pengarang novel remaja ini yang mempunyai kelab peminatnya sendiri untuk bukan sahaja mempromosikan karya-karya mereka tetapi juga bertemu dengan peminat novel-novel mereka. Mereka menjadi semacam selebriti dan tidak kalah dengan pengarang tersohor dunia J.K Rowling yang menghasilkan novel remaja Harry Potter. Sesetengah jualan novel-novel remaja ini sangat laris dan diulang cetak beberapa kali.
Tambahan pula, novel-novel remaja ini boleh di dapati di kedai-kedai buku terkenal tanah air dan diletakkan di ruang yang strategik di kedai-kedai ternama ini. Perkara ini tidak berlaku pada masa dahulu dan novel-novel remaja Melayu dikatakan tidak ada nilai sastera dan pembacanya pula kurang. Namun keadaan telah jauh berubah. Ada di antara pengarang-pengarang ini telah menjadi senang dengan menikmati royalti daripada penjualan novel-novel yang dihasilkan. Daripada satu segi, perkembangan ini sangat baik, misalnya ia memperlihatkan minat remaja kita untuk membaca sudah meningkat, industri penerbitan buku kita turut memperlihatkan peningkatan yang memberangsangkan.
Namun di dalam suasana yang menggembirakan ini, terserlah satu kebimbangan yang munasabah. Apakah novel-novel remaja yang disajikan di ruang-ruang strategik kedai- kedai buku itu adalah novel- novel yang baik?. Baik di sini bermaksud dalam konteks pembinaan personaliti remaja itu sendiri. Remaja adalah satu angkatan muda yang sedang melalui proses pembentukan personaliti yang penting dan mencabar. Mereka sedang melepasi zaman kanak-kanak dan sedang memasuki alam dewasa. Zaman yang penuh cabaran dan dugaan, di samping keseronokan dan keindahan. Namun adakah novel-novel remaja itu membantu remaja membina personaliti yang sihat atau sebaliknya? Kalau kita teliti novel-novel remaja yang popular itu, kebanyakannya membincangkan tentang cinta dan cinta yang dikupas itu adalah cinta sensasi yang mengarah kepada khayalan yang melalaikan.
Perlambakan novel-novel remaja yang sensasi sifatnya ini seperti tidak dapat dibendung lagi. Ada yang melihat perkembangan ini sangat baik dan kita tidak perlu bimbang kerana ia menandakan remaja kita sudah minat membaca khususnya sastera dan mereka akan menjadi khalayak masa depan sastera Melayu. Betulkah ini akan terjadi? Apa yang kita dapati, khalayak sastera Melayu semakin kecil. Mereka yang menjadi pembaca novel-novel remaja yang sensasi itu, apabila dewasa mereka menyedari bahawa novel-novel yang mereka pernah baca itu adalah hampas sahaja.
Mereka membuat satu generalisasi yang mungkin kurang tepat dengan mengatakan bahawa sastera adalah hampas sahaja atau khayalan murahan sahaja. Kenapa ini berlaku? Banyak jawapan yang boleh kita peroleh. Namun yang jelas, mereka tidak mendapat novel-novel remaja yang bermutu yang boleh menyebabkan mereka jatuh cinta kepada sastera. Mereka tidak terdedah dengan novel-novel yang bermutu daripada segi persoalan-persoalan yang dibincangkan. Mereka terlepas daripada isu-isu sejagat yang berada di sekeliling mereka. Kesedaran mereka tentang isu-isu global tidak terusik. Mereka gagal untuk menjadi orang dewasa yang boleh berfikir dan mempunyai idealisme yang dapat menggerakkan mereka ke hadapan.
Pandangan seorang saintis Melayu yang luar biasa minatnya kepada kesenian dan kebudayaan yang sedang menerajui sebuah universiti tempatan perlu dibincangkan difikirkan untuk kemajuan sastera remaja Melayu. Pandangannya tentang sastera remaja sangat menerik difikirkan. Beliau telah memberi satu hala tuju kepada sastera remaja di dalam satu persidangan iaitu Persidangan Kebangsaan Kesusasteraan Remaja 2008 baru-baru ini di Universiti Sains Malaysia. Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak adalah seorang saintis dalam bidang farmasi dan beliau telah memberi pandangannya bagaimana sastera remaja itu perlu dibangunkan sesuai dengan perkembangan negara sekarang dan dunia amnya. Sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia iaitu sebuah universiti yang berakarkan kepada sains dan teknologi, beliau melihat sastera juga memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia dan keprihatinan beliau kepada hal ini diperlihatkan di dalam wacana- wacananya dan yang terbaru ialah melalui ucap utama yang disampaikan di dalam persidangan ini. Melalui ucap utama yang bertajuk Kesusasteraan Remaja: Menjana Korpus, Membina Khalayak, beliau telah meletakkan satu halu tuju sastera remaja yang diasaskan kepada empat koordinat iaitu; sastera sebagai dunia idea, remaja sebagai dunia hari muka, korpus sebagai dunia ilmu dan khalayak sebagai dunia sejagat yang sejahtera. Koordinat ini berhubungan dan membentuk satu makna yang besar terhadap sastera remaja.
Bagi Prof. Dzulkifli, sastera sebagai dunia idea tidak harus terpisah membincangkan tentang hari muka iaitu memperkatakan tentang kemanusiaan dalam dalam arus perdana sains dan teknologi. Krisis kemanusiaan yang terjadi daripada kesan sains dan teknologi kepada manusia perlu mendapat perhatian sastera remaja. Permasalahan "manusia itu robot dan robot itu manusia" seperti dalam genre "cyborg" perlu diperbanyakkan dalam sastera remaja dan bukan tentang permasalahan cinta yang sensasi itu semata. Beliau selalu merujuk kepada genre cereka sains sebagai satu alternatif sastera remaja untuk mendokong sastera sebagai dunia idea. Sebagai seorang Profesor farmasi, Prof. Dzulkifli selalu meluahkan rasa kecewanya betapa ilmu sains yang diceburinya selama tidak memperkatakan seluruh dimensi manusia. Beliau penuh yakin berpandangan bahawa seni dan budaya seperti sastera dapat menyatakan dimensi yang ditinggalkan oleh sains dan teknologi. Maka remaja perlu menyelami dimensi manusia yang diabaikan oleh sains dan teknologi. Baginya, remaja adalah manusia masa depan dan sebagai manusia masa depan mereka perlu sensitif dan mempunyai kesedaran tentang bukan sahaja masa depan mereka sendiri tetapi juga masa depan dunia. Remaja mesti juga memikirkan hal-hal global seperti tentang pencemaran alam yang sangat kritikal sekarang. Remaja tidak boleh dilalaikan oleh novel-novel sensasi kerana mereka mempunyai peranan yang penting untuk mengatasi masalah dunia pada masa depan. Di tangan mereka terletak kesejahteraan masa depan dunia yang semakin terancam. Maka remaja perlu mencari kebenaran ini dan bukan dikurung dalam kotak fikiran dan emosi yang sempit. Jika kita tidak menyedarkan remaja bahawa mereka adalah manusia masa depan maka mereka akan terus dirantai dengan kejumudan tentang diri dan persekitarannya. Remaja sebagai manusia masa depan perlu dibentuk menjadi manusia masa depan yang kukuh peribadinya dan kental identitinya dalam menghadapi rembatan globalisasi. Maka novel-novel remaja futuristik harus memaparkan bagaimana seharusnya mereka mendepani masa depan mereka.
Sastera remaja sebagai satu korpus atau sebagai satu ilmu, membicarakan tentang satu genre yang kaya dengan unsur-unsur penerokaan, pemikiran dan penyelidikan. Novel-novel remaja yang dihasilkan mampu mengerakkan minat remaja untuk meneroka ilmu-ilmu yang diperkatakan pelbagai perkara seperti alam sekitar, sains dan teknologi, angkasa lepas dengan lebih mendalaminya. Sastera remaja harus mampu menggerakkan remaja ke arah melakukan penerokaan ilmu melalui bahan-bahan bacaan tambahan dan barangkali membaca novel-novel yang memperkatakan hal yang sama. Baginya, sastera remaja yang berasaskan ilmu mampu menghasilkan sifat-sifat pembaca seperti ingin meneroka ilmu baru atau mendalami ilmu yang sedia ada, berbudaya berfikir yang bernas dan Baginya, novel remaja mesti boleh mengerakkan remaja bertanya dengan pertanyaan yang betul tentang perkara-perkara yang mereka lalui dan akan mereka tempuhi. Bertanya dengan soalan yang betul perlu kepada budaya berfikir dan budaya ini perlu disuburkan dalam sastera remaja sebagai korpus ilmu. Persoalan yang penting terlintas di fikiran ialah, adakah pengarang-pengarang sastera remaja kita banyak membaca untuk menambah ilmu mereka dan mampu menghasilkan novel-novel yang diharapkan oleh saintis ini?
Sebagaimana yang telah dijelaskan pada awal esei ini, pembaca sastera remaja khususnya novel remaja semakin bertambah, namun kelangsungan mereka sebagai pembaca masa depan membimbangkan dan ini ada hubungannya dengan mutu novel-novel yang dihasilkan. Bagi Prof. Dzulkifli , sastera remaja mesti membentuk khalayak yang lebih luas iaitu khalayak sejagat dan kesejagatan itu boleh dicapai dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara yang dihadapi oleh manusia sejagat seperti kemiskinan, peperangan, pencemaran alam dan sebagainya. Sastera remaja dapat memberi makna, kebenaran dan kesejahteraan kepada pembacanya. Makna yang ingin disampaikan haruslah benar dan bukan satu rembasan daripada kepalsuan. Maka penulisan sastera remaja harus berdasarkan kepada ilmu kental dan bukan imaginasi serta rasa semata-mata. Lantaran itu, bagi Prof. Dzulkifli jika ilmu dijadikan asas penulisannya maka sastera remaja tidak akan menjadi sastera yang remeh. Sastera remaja boleh dan mampu menjadikan khalayaknya beradab dan bertertib dengan pelbagai nilai-nilai murni dan agama. Sastera remaja yang berasaskan ilmu dapat menyuntik kesedaran di dalam diri khalayaknya tentang pelbagai isu yang penting yang mengancam masa depan mereka dan seterusnya menyedarkan mereka tentang tanggungjawab untuk mengatasinya.
Pandangan dan harapan Prof. Dzulkifli ini sangat penting difikirkan dan sudah lama kita mendengar rungutan demi rungutan tentang buku-buku sastera yang digunakan di sekolah-sekolah kita yang tidak mencerminkan perkembangan semasa dan masa depan yang sesuai untuk pembentukan personaliti remaja yang menjadi manusia masa depan seperti yang dinyatakan oleh saintis ini.
Kesimpulannya, pandangan seorang saintis seperti Prof. Dzulkifli terhadap sastera seperti sastera remaja ini menunjukkan bahawa golongan saintis seperti beliau berfikir tentang sastera dan keistimewaannya sehingga menaruh harapan dan kepercayaan bahawa sastera remaja sangat penting dalam membentuk personaliti remaja yang menjadi manusia masa depan yang sejahtera hidup dan fikirannya. Namun, adakah pengarang-pengarang sastera remaja terpanggil dengan pandangan dan harapan saintis ini untuk berkarya seperti yang dimahukan atau masih mahu atau rela dibelenggu oleh kongkongan konsumerisme sehingga gagal membentuk remaja yang sejahtera personalitinya dan gagal membentuk personaliti manusia masa depan yang teguh dengan pelbagai kesedaran yang membawa kebaikan. Pandangan Prof. Dzulkifli ini menuntut direnung dan difikirkan dengan mendalam dan bijaksana demi kebaikan sastera remaja dan manusia masa depan ini.
P/s saya cuma nak tanya komen pembaca blog ini..apakah sebenarnya kategori buku remaja? Sedangkan yang membaca novel-novel ini ramai yang melebihi usia 40an dan apakah penulisan buku remaja ini benar-benar hampas?

4 comments:

sayangibu said...

Puan...pendapat saya kategori buku remaja ini merupakan jenis bacaan ringan untuk pembaca. Memang benar ramai pembaca yang bukan lagi dalam golongan 'remaja' yang meminati bacaan ringan seperti ini. Namun begitu, pendapat tersebut diberi secara rawak,bukan untuk semua penulisan yang ada. Kita ketahui penulisan novel remaja sekarang begitu berleluasa. Ada penulis yang menulis dengan hati, maksudnya menulis dengan berpandukan nilai-nilai moral yang boleh dijadikan panduan hidup, namun saya dapati, ada juga penulis yang menulis untuk keuntungan. Dilambakkan kisah-kisah keindahan cinta yang bagi saya tiada nilai-nilai murni yang menjadi igauan remaja. Kita tahu golongan remaja ini fikirannya mengikut emosi. Mereka belum mampu meilai logik, lebih suka mengikut kata hati. Jadi kadangkala bacaan sebegini mempengaruhi pemikiran mereka. Jika golongan yang melepasi usia remaja ini kita tidak risau. Kerana itulah,saya sendiri selaku peminat setia novel Melayu, hanya memilih novel dari penulis tertentu. Bukan semua novel yang saya beli kerana bila saya baca, banyak novel yang tulisannya kisah cinta yang melampau,yang memaparkan keindahan cinta yang tak mungkin ada di alam nyata ini. Penulisan yang bermutu sebenarnya boleh dibilang dengan jari. Seperti novel Puan, biarpun memaparkan kisah cinta,namun ada etika dan nila-nilai murni yang boleh kita jadikan panduan hidup. Biarpun saya pernah mendengar ada yang berkata novel puan selalu memaparkan kisah seseorang yang amat 'perfect',namun bagi saya tidak salah. Kerana watak yang puan ciptakan mempunyai nilai-nilai murninya sendiri.
Puan, saya seorang guru, sebagai seorang guru, saya akui turut bimbang dengan penulisan novel remaja yang tiada etika atau nila-nilai murni kerana bimbang mempengaruhi pemikiran anak-anak remaja yang saya didik,yang mana belum mampu menilai erti hidup sebenarnya. Mungkin puan selaku penulis, boleh mengetengahkan isu ini. Boleh berbincang sesama penulis agar sentiasa menghasilkan penulisan yang lebih mempunyai etika dan nilai-nilai murni yang nyata agar boleh diikuti oleh para remaja. Atau mungkin, di dalam novel yang dihasilkan, di akhir novel tersebut,penulis boleh menyenaraikan nilai-nilai murni yang terkandung di dalam novel mereka supaya dapat direnung dan dinilai oleh pembaca.
Puan,ini sekadar pendapat saya. Jika menyinggung hati puan,maafkanlah...

iejay said...

Pertamanya... Dah masuk usia kategori belia ni, iejay tak tahu nak klasifikasikan novel remaja tu mcama mana; terutamanya seperti yang dinayatakan dlm artikel tu kerana tak ada contoh yg di sebut pun...

Tapi kalau berdasarkan pengalaman iejay semasa dia lam remaja (dlm 10thn yang lalu) iejay boleh klasifikasikan novel remaja adalah novel2 seperti novel ahadiat i.e. budak rap, budak setan, dan juga novel2 keluaran syarikatnya...

Sememangnya novel2 tersebut banyak sangat unsur cinta yg konon dikatakan mengkhayalkan, kisah hip-hop, melepak, etc; TETAPI perlu diingatkan itu adalah budaya biasa buat remaja2 masa tu...

Sama juga seperti novel2 remaja keluaran creative pada tahun 90-an dahulu yg banyak membawakan tema kisah2 cinta...

Rasanya sekarang ini sudah tiada cerita2 macam itu dan remaja zaman sekarang pun tak hingin nak membaca kisah2 yg dah lapuk...

Pada pendapat iejay, sekarang ini lebih banyak penerbitan kisah2 dewasa kerana sasaran pembaca lebih tertumpu kepada yg berumur
20-an dan ke atas. Jadi kalau ada remaja yg berminat nak membaca novel2 seperti ini.. tak dapat lah den nak menolongnya. Ddah dia org nak beli dan baca, tak kan nak halang mcm remaja2 yg tidak dibenarkan menonton cerita rating 18Sx, 18SG, 18PL, 18PA (kena tunjuk I/C baru lepas)?

Lagipun kebanyakan novel zaman sekarang ni ditulis dengan info yg tepat/ kajian oleh penulis (mungkin ada sesetengahnya main hentam fakta)... contohnya novel2 Norhayati Berahim, sekalipun kisahnya memang kisah dewasa tetapi ada banayk yg boleh dipelajari oleh pembacanya yg remaja seperti pilihan kerjaya watak utama yg selalu dijelaskan dengan terperinci.

Nah bukankah ini satu kebaikan sebab remaja yg membacanya boleh mengetahui pilihan kerjaya buat mereka selain drp arkitek, doktor, peniaga...

Berkaitan kekurangan novel2 yg mempunyai unsur sains dipasaran... seharusnya persoalan ini ditujukan pada ahli2 sains atau lulusan sains di luar sana yg mempunyai kepakaran dlm bidang tersebut supaya lebih kreatif dan berusaha hasilkan novel2 berkaitan sains... Tentu sahaja sukar kalau penulis biasa2 yg lulusan perniagaan/perundangan contohnya hendak menghasilkan novel berkaitan sains. Fakta kena tepat bila menghasilkan novel. bukan boleh main hentam sahaja.


Secara kesimpulannya, bagi iejay rasanya apa yg Prof. Dzulkifli tu kata memang betul kita perlukan lebih banyak novel sains fiksyen utk membantu membina jiwa remaja... cuma apa yg wartawan tu ulas mungkin kurang tepat kerana dia seolah2 menyalahkan novel2 yg terletak di rak2 kedai buku utama semuanya novel picisan remaja... sedangkan akalu pergi tengok betul2 di MPH, Kinokuniya, Times Bookstore, Borders... semuanya novel2 dewasa utk 20-an ke atas / novel inggeris import/ novel kanak-kanak @ pra-remaja sahaja.


p/s: Rasanya kebelakangan ini sudah agak banyak novel untuk kanak-kanak dan remaja berumur 8-15thn yang dihasilkan oleh beberapa penerbitan; yang mana temanya adalah berkaitan sains.

Anonymous said...

bagi saya...novel sekadar hiburan. Sama seperti filem-filem..drama..seksta..kalau ada yg boleh dijadikan panduan dan tauladan saya ambik...mana2 yg rasa tak sesuai saya buang. Mana2 buku yg saya rasa menarik..tak kisahlah cinta ker..sastera ke..kisah remaja ke..kisah kanak2 ke..saya tetap baca dan saya tak pilih siapa penulis tu. sbb bagi saya setiap penulis yg menulis tentu ada sesuatu yg ingin disampaikan..sama ada secara direct atau tak direct.

persoalan yg bermain difikiran saya..sejak akhir ni..ada je pihak nk salahkan penulis bukan sastera...kenapa?sbb mereka ni mampu memancing minat golongan remaja?jadi kepada penulis sastera diluar sana yg rasa dirinya hebat..kenapa mrk tak fikirkan satu pendekatan sastera yg boleh diterima oleh remaja?

lagi satu..kalau penulis yg bukan sastera hentikan semua penulisan mereka ni...para remaja kita tetap terdedah dengan cerita2 begitu dari penulis luar, malah cerita2 tu lagi 'panas' dari penulis tempatan yg masih mengekalkan adat sopan serta ciri2 timur dlm novel mereka.Bukan tu sahaja..kemasukkn filem luar pun tetap penyumbang kepada isu cinta..lembik..tak ada sastera..tak ilmiah.

Apa pun...saya tetap akan baca apa yg menarik utk saya baca...tak kisah jika itu novel cinta...remaja..fantasi..thriller..atau novel santai..peace!!

liya71 said...

Sebenarnya penulis esei tu seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri. Sebenarnya tak semua novel yang tidak ada nilai sastera, tapi jika kita sendiri tak menyelak dan membaca sesebuah novel tu, adakah kita tahu yang novel tu ada nilai sastera atau tidak.

Pada saya sebagai peminat novel-novel melayu, tak salah jika ada pelbagai jenis novel, ini membuatkan lebih saingan. Tapi pembaca sendiri kena pandai buat pilihan. Ada sesetengah penulis menulis ikut sesedap rasa, tanpa memikirkan adakah logik atau tidak sesuatu cerita itu, ini yang menyebabkan pembaca rasa tertipu dengan jalan cerita dan rasa membuang masa dan duit utk baca dan beli.

Tetapi dalam banyak-banyak novel, novel kak yati memang tetap jadi pilihan, pertama sebab suka dengan stlye kak yati. Mesti ada gambaran sesuatu tempat, dan diselit dengan kisah keluarga. Tak semestinya kisah cinta semata-mata. Dan juga ada sebab-akibat-pembalasan-pengajaran. Itu yang penting pada saya disamping kata-kata indah sasteranya.

Pendekata, tepuk dada tanya selera. Pada saya, sebahagian besar pembeli novel adalah yang sudah bekerja dan berpendapatan sendiri, terpulanglah pada masing-masing untuk memilih bahan bacaaan yang mana. Cuma utk anak-anak remaja yang masih bersekolah, itu yang perlu ibubapa pantau bahan bacaan mereka. Tapi saya dulu mak ayah tak pernah pantau apa yang saya baca, seawal usia 12 saya dah baca Mills n Boon (bukan kah buku tu kategori 18SX?). Tapi saya tetap menjadi orang, tidak pula saya nak terlalu mengikut bahan bacaan waktu itu.