Saya masih ingat ketika saya berulang alik menaiki bas mini di pertengahan tahun 90an, dari Ampang ke Kuala Lumpur. Ada seorang lelaki yang suka menghimpit perempuan dan saya juga pernah terkena dengan perlakuannya yang tidak bermoral itu. Ketika itu saya tidak melakukan apa-apa tindakan. Sebagai penghuni Kuala Lumpur yang baru sampai rasa malu masih menebal. Saya hanya membiarkan tanpa membuat apa-apa tindakan.
Perkara itu tidak habis di situ sahaja. Apabila menaiki kereta api dari Kajang ke Kuala Lumpur saban hari, perkara ini pernah terjadi lagi dengan saya. Saya hanya memberi peringatan pada kawan-kawan lain, berhati-hati dengan lelaki yang mengambil kesempatan. Saya membuat tindakan menjauhkan diri ketika itu.
Gambar lelaki ini ketika cuba menghimpit telah sempat kami ambil.
Tetapi apabila sudah semakin dewasa, kekuatan sudah mula timbul. Rasa marah yang saya simpan meledak apabila hari minggu yang lepas apabila seorang lelaki menghimpit saya ketika saya sedang menyaksikan satu peragaan pakaian muslimah di ruang legar PWTC. Saya tahu saya sedang diancam lelaki gatal yang mengambil kesempatan. Pantas sahaja saya mengelakkan diri dan memberitahu kawan saya Khamisah dan juga Kusyi yang kebetulan berada di booth NB Kara.
Kami segera mengekori lelaki itu dan memerhatikan tingkahnya. Dia cuba menghimpit seorang wanita tetapi wanita itu pantas sahaja beredar dan akhirnya lelaki itu mendapat mangsanya yang terbaru. Seorang pelajar berusia 13 tahun yang juga seorang pelakon.
Khamisah dan saya sempat mengambil gambar. Bahkan saya sempat menarik pelajar tersebut menjauhkan diri daripada lelaki kurang ajar itu. Tangan saya mengigil perasaan marah saya tidak dapat dikawal lagi.
Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Kami perlu membawa ke pihak atasan dan dengan kerjasama pengawal keselamatan di PWTC yang sangat cekap, lelaki ini dapat ditangkap ketika berada di dalam bilik Tun Hussin Onn, mencari peluang di dalam keadaan bersesak-sesak begitu. Beliau sekarang berada di dalam lokap. Jika sabit kesalahan, hukum 10 tahun penjara dan sebatan 5 kali menunggu beliau.
Kami membuat laporan di balai polis Dang wangi dan kemudian ke Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur dan saya berharap sangat supaya mana-mana mangsa yang mengalami peristiwa ini tampil membuat laporan, memberi maklumat atau mengambil gambar supaya kegiatan yang tidak bermoral ini dapat disekat. Jangan dibiarkan perkara ini terjadi kerana perasaan malu, sampai masanya kita wanita bertindak terhadap lelaki yang melakukan perbuatan tidak bermoral ini!
6 comments:
saya pernah kena himpit dgn lelaki gatal dalam bas masa umur 14thn. saya xtau nk buat apa, dah mengelak dan gerak pun dia tetap menghimpit. sekarang kalau jadi lagi, saya akan buat perkara yg sama dgn apa yg akak buat ni.
thanks aka sbb berkongsi pengalaman berharga yg saya rasa ramai wanita pernah melaluinya sewaktu dlm kenderaan awam
Syabas kak... Itu yang kita perlukan pada setiap wanita sebenarnya.
Tahniah kak.. diatas keberanian akak ini.. semoga saya dan kaum wanita lain mendapat keberanian seperti akak..
tahniah kak... betul lelaki biadab mesti diajar.
tahniah kak,sgt hebat tindakan akak,..baru padan muka dia tu...
saya pernah kena..tp sekejap je rase2 nya..huhuhuhu..dlm komuter..ngeri nk nek komuter lag..huhuhuhu..
Post a Comment