Kelmarin, saya sedikit sesak nafas, mungkin kerana keluar masuk kedai borong. Mencari asam boi untuk hadiah cendera hati bagi pembaca yang membeli asam boi. Tahulah kedai borong berabuk sana sini. Tapi saya mana ada pernah seriknya..h ehe..
Melihat saya yang tidak begitu sihat. Qaisara bertanya saya.
"Umi sakitkah?"
"Iye sayang, Qaisara kalau umi mati malam ni, Qaisara duduk dengan baba tau!"
"Habis bibik?"
"Bibik balik Indonesialah.."
Jawab saya perlahan. Qaisara termenung buat seketika.
"Habis siapa nak buatkan Teta susu?"
'Hmm..babalah?"
Lama Qaisara temenung di pinggir katil saya.
"Baba, buat susu tak ada rasalah umi. Baba letak air banyak sangat.."
Ha ha ha.saya ketawa dalam hati. Anak-anak manalah faham pasal mati.
Bila suami balik. Saya dengar Qaisara mengadu saya sakit.
Entah apa yang dicakap oleh suami. Qaisara datang semula pada saya di dalam bilik dan duduk sebelah saya sambil memegang kepala saya untuk dipicit.
"Umi janganlah mati umi, umi buat susu sedap. Nanti umi mati siapa nak buat.."
Qaisara sudah menangis dan saya peluk dia sambil mencium-cium dia.
Bila suami masuk ke bilik, dia tegur saya yang suka bercakap pasal mati pada anak.
dan
Semalam pesta buku bermula.
Saya seperti biasa akan berkampung selama 10 hari di sana.
Disebabkan Qaisara bersekolah, maka dia tinggal dengan pembantu rumah sahaja.
Namun sepanjang hari saya sangat rindukan anak saya ini.
Bila balik dari pesta buku, suami saya yang memandu terlupa menurunkan brek tangan.
Bila separuh jalan, sudah bau terbakar.
Orang Turki ni kalau dapat stering mana ingat dunia..ha ha
Dia main lanyak sahaja.
Kemudian suami cakap brek kaki sudah tidak berfungsi dengan baik.
Alamak..fikir saya. Janganlah apa-apa.
Mendadak saya teringatkan Qaisara. Sempatkah saya berjumpa dengan anak saya?
Sepanjang jalan saya berdoa. Dapatlah saya berjumpa dan peluk anak saya.
Kalaulah saya mati, bagaimana keadaan anak saya?
Qaisara anak yang manja
Tiap kali tidur, saya harus temankan dia dan dia harus pegang tangan saya.
Saya akan bacakan dia buku cerita.
Kalau saya tidak ada macam manalah anak saya ini.Macam-macam berada di dalam fikiran saya.
Janganlah saya mati, janganlah. Saya berdoa.
Alhamdulilah, kami selamat sampai ke rumah.
Terbuka sahaja pintu pagar, Qaisara sudah melompat kegembiraan melihat saya.
Dicium-ciumnya saya, Gembira sungguh dia melihat saya. Sampai saya nak berjalan pun susah dan terpaksa mendukung dia.
Malam melihat Qaisara tidur pulas dan tenang.
Saya sebenarnya sedar.
Mengucap perkataan mati adalah mudah, tetapi sebenarnya saya masih belum bersedia...