Banner

Banner

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO

SELAMAT MEMBACA NOVEL NBKARA..SILA KLIK LOGO
layarilah blog kami...
Kepada peminat novel yang ingin membaca novel karya penulis NBkara yang sudah diterbitkan dan bakal diterbitkan, sila layari blog www.nbkara.com


SUDAH BERADA DIPASARAN

Para pembaca boleh memesan buku tersebut melalui laman store kami di www.nbkara.net
Pembayaran boleh melalui ke account no.

Maybank Norhayati Berahim 164267408855
Maybank NBKARA 512026007663
Alliance bank account NBkara 120340010015114

Segala maklumat pembelian/transaksi perlu di e-mail kepada nbkara@yahoo.com atau nbkara_ofis@yahoo.com dan jangan lupakan sertakan alamat pembeli

atau dengan menggunakan wangpos/cek/kiriman wang yang dialamat kepada

D26-GB Jalan Prima Saujana 2/B
Taman Prima Saujana
43000 Kajang
Selangor

Semua penghantaraan di Semanjung adalah percuma.

Harga Sabah Sarawak harus mengikut harga Sabah/Sarawak. Penghantaraan adalah percuma.

layari www.nbkara.net untuk pesanan..


Related Posts with Thumbnails

Thursday, April 30, 2009

INSAF SUNGGUH!



Pemenang cerita pendek festival filem Berlin sudah pasti akan menginsafkan kita yang terlalu mewah dengan makanan. Selamat menonton.

Wednesday, April 29, 2009

MASAK MASAKAN TURKI

Asyik bercerita pasal buku dan pesta buku bosan jugakan. Sebenarnya banyak gambar yang saya belum download lagi pasal pesta buku ni. Nanti kalau saya mood saya cerah untuk bercerita mengenai pesta buku saya akan cerita lagi. Tapi kali ini biar kita cerita pasal makan. Hari ini mari kita belajar memasak satu masakan Turki yang diberi nama mante. Pertama kali saya makan mante adalah di Yalova, Turki. Ketika itu saya tidak begitu suka tetapi bila sudah selalu masakkan untuk suami. Saya mula suka untuk menikmatinya.

Bahan-bahan membuat kulit mante ini. Tepung, air dan juga telur. Diadun dan dijadikan doh.

Yogurt adalah bahan penting untuk mante, kalau tidak ada mante tidak jadilah makanan tersebut. Yogurt adalah makan utama orang-orang Turki.

Ini inti untuk Mante. Bawang dicincang dan ditumis bersama dengan daging cincang, diletak perasa, garam dan juga sedikit lada putih.

Tepung yang sudah diadun, dikepal-kepal kecil begini. Saya mengunakan acuan membuat karipap kecil untuk membentuk mante.

Buat seperti karipap kecil dan masukkan daging cincang sebagai inti. Kemudian didihkan air dan rebus sehingga mante tersebut timbul.


Mante yang sudah siap direbus.

Kemudian taburkan yogurt di atas mante yang sudah direbus bersama dengan tomato puree yang sudah dicampur dengan sedikit air dan dimasak di atas api.

Mungkin makanan ini pelik dengan selera kita, tetapi kata suami mante style malaysia yang saya buat ini (kerana bentuk karipap..ha..ha.ha) lebih sedap daripada yang dijual di sesetengah kedai di Turki. Suami saya kalau bab membodek bini, bagilah pada dia. Tetapi suami cakap, dia kagum kerana saya boleh membuatnya sendiri kerana menurut suami. Di Turki mante selalunya dibuat secara bergotong royong kerana agak leceh kerana terlalu kecil. Suami saya bukannya tahu saya menggunakan acuan karipap..ha.ha.ha..bukan mengentelnya sendiri.

Tuesday, April 28, 2009

SUSAHNYA MENJADI PENULIS

Baru-baru ini saya menerima panggilan dari seseorang. Mahu menjemput saya memberikan ulasan buku pada para pelajar sekolah menengah. Jemputan tersebut dari seorang guru. Hari Selasa telefon, hari Khamis dia mahu saya hadir. Tidak ada hitam putihnya. Saya menolak kerana terlalu banyak kerja yang perlu saya uruskan memandangkan pesta buku Kuala Lumpur baru sahaja berlalu. Kami pula akan menghadapi READ Malaysia pada penghujung Mei ini.

Bertahun-tahun menjadi penulis, saya berasa begitu kesal. Jemputan yang selalu saya terima melalui mulut. Tidak ada hitam putihnya dan mahu saya hadir di dalam kadar segera. Mereka seolah-olah tidak menghormati proffesion penulisan. Bagi mereka penulis seperti saya ini tidak ada harga langsung. Pihak yang menjemput biasanya suka-suka hati sahaja menjemput dalam masa 2 hari, dapatkan pihak penganjur mencari orang menghadiri majlis tersebut?

Baru-baru ini penulis saya dijemput memberikan ceramah penulisan. Penonton yang hadir hanya 8 orang. Terkial-kial mereka mahu mencari penonton sedangkan pihak panel sudah datang sejak dari awal lagi. Sudahlah itu dibuat di dalam pejabat yang kecil. Seolah-olah hanya untuk lepak-lepak sahaja. Kalau lepak-lepak di pejabat NBKara pun mereka boleh datang..

Saya tidak berbicara mengenai bayaran. Kalau penceramah ugama yang mencari makan meletakkan harga sehingga RM2500 tapi saya langsung tidak meletakkan harga. Berapa bayaran yang diberi saya terima. Tetapi yang tidak berbayar pun saya pergi. Asalkan ada peserta dan mereka benar-benar berminat dengan bidang penulisan.

Saya memang tidak kisah mengenai bayaran. Pernah perpustakaan sebuah universiti memanggil saya tanpa apa-apa bayaran. Tetapi saya terima kerana mereka membenarkan kami menjual buku sebagai balasannya. Di samping sifat professional mereka dan mereka sungguh beradab sebab itu saya terima dengan hati yang ikhlas (membuat beberapa followup dan menghantar surat lamaran).

Sampai bila penulis seperti saya akan dilayan dengan secara tidak beradab saya tidak pasti. Saya berharap orang yang diluar sana, kalau mahu menjemput penulis walaupun bukan saya. Sediakan perjanjian hitam putih dan paling penting penonton atau peserta yang hadir mestilah orang yang berminat dengan bidang penulisan. Dan sediakan sedikit ganjaran kerana duit minyak dan masa orang juga perlu dibalas. Jangan hanya mahukan sesuatu secara percuma.

Lagi satu, jangan apabila hari tersebut tiba, baru terkial-kial mahu mencari peserta. Natijahnya..kami hanya bercakap seorang diri kerana yang datang sebenarnya tidak berminat dalam bidang penulisan!

Monday, April 27, 2009

MACAM-MACAM CERITA

1. Macam-macam cerita pesta buku. Tetapi paling saya ingat bila pembaca datang membawa buku yang dibelinya di sebuah penerbitan besar yang sudah lama tidak membayar royalty saya. Sejak tahun 2006! Saya tahu buku saya habis. Laju. Tapi mereka tidak membayarnya. Hati saya sakit tetapi pembaca dan peminat saya tidak tahu. Jadi saya terpaksa melayan mereka. Kerana mereka tidak bersalah. Yang bersalah adalah penerbit. Saya sayangkan semua peminat saya…


2. Hairan dengan sikap sesetengah penulis yang berlumba-lumba untuk menjadi glamour di pesta buku. Ini teguran ikhlas untuk penulis baru dari saya penulis OTAI. Menulis bukan untuk glamour. Menulis adalah tanggungjawab social yang perlu kita lunaskan. Jangan menulis kerana mahu menunjukkan muka dan dipuji oleh para pembaca. Saya sebenarnya tidak suka ke pesta buku. Tetapi kerana saya mula sedar betapa pembaca mengasihi saya dan mahu berjumpa dengan saya. Saya gagahkan diri bersama-sama dipesta buku. Apatah lagi sejak setahun yang lalu saya ada penulis lain di bawah NB Kara. Saya rasa tanggungjawab saya untuk memperkenalkan penulis-penulis saya dan memberi kredit kepada mereka dan menunjukkan betapa saya bangga mempunyai penulis-penulis seperti mereka.


3.Ramai penulis yang saya temui kecewa kerana buku mereka tidak keluar di pesta buku. Jangan kecewa. Tidak ada perkataan kecewa dalam menulis. Mantapkan diri dan penulisan dan setiap pembaca akan mengingati kalian bukan hanya di Pesta Buku tetapi setiap masa kerana penulisan yang baik.


4. Saya mendapat fitnah yang bukan main dahsyat lagi. Orang mengatakan saya bekas isteri seorang penulis terkenal A----t A---h. Astaghfiruallah! Seyit Kara adalah suami saya yang pertama dan terakhir (saya mohon begitu). Dia suami yang amat memahami saya. Menyokong saya dalam bidang penerbitan dan dialah yang berpeluh-peluh mengangkat buku dalam pameran Pesta Buku tersebut. Tahukah pembaca penulis yang dimaksudkan amat gusar melalui booth NB Kara kerana telah berhutang ratusan ribu dengan saya?

5. Saya amat senang dengan penulis-penulis yang tidak bermusuhan. Sanggup datang ke booth NB Kara Saya alu-alukan kedatangan mereka. Lepaklah saya tidak kisah. Kalau saya tidak sibuk, saya akan layan sebaik mungkin. Itu konsep NB Kara, Mersik Romoyu contohnya telah menghadiahkan dua buah buku kanak-kanaknya kepada saya dan saya sudah menghabiskan salah satunya dan saya sangat terhibur.

6. Lama sungguh saya tidak berjumpa dengan krew2 ALAF21, minta maaf kerana terlalu sibuk saya hanya sempat singgah sekejap. Wah Encik Norden! Makin handsome dekat poster Meniti Maut…ha.ha.ha. Teringat nasihat kat Wan Rohana jangan gemuk sangat nanti nak berjalan pun susah nak bernafas macam dia. Ha.ha.ha..ingat Kak Wan..ingat…

BERAKHIRNYA PESTA BUKU

Di hari terakhir, tanpa diduga kami penulis yang hadir memakai tema baju hitam putih. Sambutan disaat akhir terhadap buku Viva Sakura dan Lagu Cinta cukup memberangsangkan! Baik lagu Cinta dan Viva Sakura sudah masuk cetakan ke dua.

Alhamdulilah! Tamat sudah pesta buku. Ianya benar-benar melegakan dan mengembirakan kami semua. Ramai yang datang bertandang dan kami dapat menjual lebih daripada 5 ribu buah buku! Terima kasih kepada semua penulis NBkara yang memberi kerjasama terutama Nora dan Lily yang saban hari terpaksa duduk di booth kami. Kepada suami Nora, Ieja dan suami Lily, Cik Lan dan anak-anak Haikal dan Adib yang datang membantu. Kepada Kak Zara Aluwi yang menolong sehingga kakinya yang sakit. Kepada Wan Upeh yang sanggup mengambil cuti sehingga berhari-hari.

Selamat tinggal semua. Gambar selepas kami berkemas. Adik ipar saya Hamdan, Suami, saya, Suraya dan Wan upeh..
Selamat tinggal! Panjang umur kita berjumpa lagi ya PWTC! Huhu..huhu..sedihnya...

Saturday, April 25, 2009

MENANTI


Sepanjang perjalanan pulang malam tadi, saya memberitahu suami saya. Tidak ada anak-anak sekolah rendah yang singgah membeli novel saya!
"Novel you untuk orang dewasa. Rata-rata yang membaca novel you orang sudah berumur.."
Balas suami, memang rata-rata yang membaca novel saya orang yang sudah berusia dan matang pemikirannya. Bahkan saya terharu sungguh apabila seorang pembaca lelaki yang sudah amat berumur, giginya sudah hilang datang ke booth NBkara dan memberitahu dia peminat buku saya. Saya hampir menangis!
Cuma bila difikir-fikirkan, saya teringatkan diri saya. Pada usia 9 tahun, saya leka mengulit Sandera yang ditulis oleh Arena wati. Buku yang diterbitkan pada tahun 1971 itu memang agak tebal dan besar untuk budak berusia 9 tahun, tapi saya habis membacanya dalam masa 3 hari! Saya juga membaca buku Keluarga Gerilya dari Pramoedya Ananta Toer. Ketika itu ada kisah salah seorang karektornya diperkosa. Hanya selepas lima tahun kemudian saya tahu..apa maknanya diperkosa..ha.ha.
Saya teringatkan satu buku terjemahan daripada Afrika, mengenai perjuangan apartheid yang saya habis baca dalam masa seminggu. Ketika itu saya dalam usia 10-11 tahun sahaja. Buku itu terlalu sukar untuk saya fahami ketika itu. Kenapa karektor di dalam buku tersebut terpaksa dihantar ke penjara dan mengalami proses perbicaraan yang terlalu sukar mengasak minda saya yang masih kecil. Saya masih ingat, betapa saya gembira membaca bagaimana tongkol-tongkol jagung dijadikan kayu api dan bagaimana jagung ditumbuk untuk dijadikan tepung! Saya baca berkali-kali.
Banyak lagi buku cerita berteraskan perjuangan dan falsafah yang saya pinjam dan baca di bawah cahaya lampu pelita. Dan rata-rata usia saya ketika itu hanya 9-12 tahun.
Dan anehnya selama beberapa hari di pesta buku, saya tidak pernah melihat seorang anak berusia 9 tahun membaca buku-buku saya..yang tidak seberat penulisan Arena Wati..
Apakah anak-anak sekarang sudah tidak boleh berfikir seperti saya satu masa dahulu..atau saya ini sudah terlebih cerdik ketika itu? Ha..ha..ampun2 pembaca kerana khilaf mengangkat diri dan sedikit menyombong..he..he..
Tapi baki pesta buku yang hanya tinggal dua hari ini, saya masih menanti..seorang anak berusia 9 tahun datang kepada saya dan mengakui membaca buku saya...

Thursday, April 23, 2009

RINDU YANG BERBALOI

Pesta buku masih berlangsung. Hati saya gembira kerana Qaisara sudah sembuh.
Tapi dalam masa yang sama..saya rindu..
Rindu yang bukan kepalang..
Rindu yang terakam dalam kepala..sentiasa...
Rindu kerana sudah lama tidak menulis.
Tapi kerinduan terubat dengan kehadiran peminat yang saya anggap teman saya.
Rindu saya berbaloi!
Kenapa rindu saya berbaloi?
Lihatlah gambar2 ini...

Kesibukan di tempat pembayaran..

Pengunjung tetap NBKara Booth. Nik Fauziah. Dia selalu ada PC (Press conference) di PWTC ini. Jadi selalulah dia menyinggah. Sekejap dia bawak karipap (sedap sungguh karipap dia). Sekejap dia bawak pulut kuning..dan sesekali dia pulak makan juadah yang disediakan NBkara..ha.ha

Booth NBkara. Sentiasa dikunjungi. Syukur dan terima kasih pada peminat yang membeli.

Penulis dikerumuni oleh para pembaca yang mahukan tandatangan.

Ibujunes yang sanggup datang dari Johor menaiki keretapi bersama suami dan anak-anak. Hakim anaknya yang bongsu baru baik demam....sayang ibujunes.

Ida taukeh nasih beryani. Rupanya tempat tinggal Ida tempat lepak suami minum kopi. Kecilnya dunia. lain kali kita jumpa dan sembang lagi ya dik. Ida..sorry akak songlap gambar ini dalam blog Ida. Ingat ada gambar Ida dalam kamera akak rupanya tak ada..muahhh..muah..sayang kat Ida..

Hertinylaiman yang datang dari Sabah. Banyak kami bualkan. Jaga diri dik! Sayang Tiny..

Dhan datang bersama suami dan anaknya Tia, sicomel yang dipangku oleh kak Zara. Bertemu jua akhirnya..kita yang Dhan..muahh..muaah..utk Dhan dan Tia. Memakai cermin mata itu, penulis Viva Sakura, sebelahnya Kak Zara Aluwi dan memakai tudung putih Sarnia Yahya.

Ramai lagi yang datang ke booth saya. Insya-ALLAH saya akan tulis lagi selepas selesai pesta buku nanti.

Tuesday, April 21, 2009

SYUKUR YA ALLAH!

Kaki saya cramp! Penat tetapi gembira sangat-sangat. Setiap Jumaat sudah terjual hampir 1 ribu di Pesta Buku Chinta, Aku ada Kamu karangan Lily Haslina Nasir dan Tuhan lebih tahu karya Nora Ismail sudah melebihi 300 buah terjual. Tanya Fajar Fakeer yang tidak jauh daripada booth kami, beliau telah menjual lebih 500 buku Setiap Jumaat. Kata dia, buku NB Kara lebih banyak dijual daripada buku yang lain. Syukur..syukur pada mu Ya ALLAH. Sesiapa yang membeli di tempat lain pun kami tanda-tangan dan layan. Tak mengapa semuanya sama saja.
Terima kasih pada pengunjung yang mengunjungi booth NB Kara..dan saya benar-benar gembira kerana yang datang itu bukan sahaja pembaca wanita tetapi pembaca lelaki yang rata2 mereka mengikuti penulisan saya dari awal lagi! Terima kasih yang tidak terhingga. Ada masa nanti saya masukkan gambar di pesta buku ini.

Monday, April 20, 2009

BUKAN UMI NAIK KAPALTERBANG KE?

Inilah pas masuk untuk exhibitor di Pesta Buku yang disangka Qaisara kad pengenalan diri untuk pelancong.

Semalam semasa saya mahu ke pesta buku Qaisara menangis.
"Umi..janganlah pergi pejabat. Kakak Qasiarakan sakit..."
Rayu Qaisara. Sejak bila dia bahasakan diri dia Kakak tak tahulah saya.Tersedu-sedu saya menangis mendengar rayuan dia, sampai suami saya marahkan saya. Kata dia, kalau saya menangis, jiwa Qaisara akan menjadi lemah dan bertambah sedih. Manakan tidak saya menangis, Qaisara saya jarang tinggalkan terlalu lama. Kalau ke pejabat saya bawa, membeli barang dapur pun saya bawa. Dia amat rapat dengan saya dan ketika sakit begini saya tinggalkan dia! Saya benar-benar rasa bersalah!
Semalam ketika balik, dia menyelongkar beg saya..
"Umi! Umi pergi office ke?"
"Yalah sayang.."
"Betul ke Umi, ini apa?"
Tanya Qaisara sambil menunjukkan pas masuk untuk exhibitor kepada saya.
"Ini umi pakai di pejabat."
Saya lihat dahi Qaisara berkerut kerut. Huh! Macam menteri ada masalah pulak!
"Bukan umi pergi jalan-jalan naik uchak (kapal terbang) ke?"
"Hey..tidaklah.."
"Ya..umi pergi jalan-jalan naik uchak ni.."
Muka Qaisara sudah mencebik-cebik. Seolah-olah terlalu sedih dan mahu menangis.
"Tidaklah sayang...."
Jenuhlah saya memujuk dan menerangkan Qaisara perkara yang sebenar. Saya tahu pass masuk itu sama seperti pengenalan diri bersama nama agensi yang kami pakai ketika bercuti ke Jepun tahun lepas.
Jadi Qaisara berfikir saya pergi melancong tanpa membawa dia kali ini! Inilah anak kalau sudah terlalu pandai! Ada sahaja soalannya.

Friday, April 17, 2009

QAISARA DEMAM DAN PESTA BUKU


Hari ini pesta buku bermula. Semalam kami sibuk mengemas. Ada beberapa orang penulis yang datang membantu. Lily Haslina dan Nora Ismail yang begitu setia dengan kami. Dan iejay Zakari yang datang menjenguk. Malam bila balik ketika saya mencium dan mengomol Qaisara saya perasaan badannya panas. Alamak! Hati saya sudah tidak sedap.
Saya bagi dia makan ubat. Tetapi malam demamnya kian hebat. Saya berjaga sepanjang malam, membasahkan tuala dan menuam badan, badan, kepalanya. Sekejap dia merengek. Sekejap dia terlelap. Hati saya terlalu hiba dan sedih. Ini dugaan tuhan. Dalam itu sempat saya membaca beberapa ayat Al-Quran ditelinganya sambil berdoa.
"Kenapa umi doa untuk teta.."
Qaisara bertanya apabila saya menadah tangan di sebelah telinganya memohon supaya anak saya disembuhkan (memang itu saya lakukan setiap kali Qaisara atau suami sakit- tapi suami ni kebal dalam 6 tahun berkahwin saya rasa dia sakit cuma 1-2 kali aje).
"Sebab umi sayang Qaisara.."
"Terima kasih umi.."
Aduhai..menitik air mata saya. Walau berusia 3 tahun, Qaisara memang tidak pernah lengkang dengan perkataan terima kasih dan maaf. Saya cium pipinya yang panas membahang.
Ketika itu saya membuat keputusan tidak akan pergi ke pesat buku hari ini. Tetapi apabila menjelang pagi. Panas badan Qaisara sudah mula urut.
"Sayang umi pergi office hari ini boleh.."
"Boleh. Tapi umi belikan teta buku ya..."
"Betul ke.."
"Betul..pergilah. Umi lepas Teta sembuh kita pergi Genting ya.."

Huwahh..ha.ha..anakku-anakku. Dalam sakit-sakit pun masih mahu fikir pasal berjalan.
Dan moga hari ini Qaisara akan bertambah baik. Saya berpesan dengan Mami Ah Kua, kalau apa-apa terjadi pada Qaisara tolong bawak Qaisara ke klinik. Syukur saya ada jiran yang baik walaupun berlainan bangsa!
Dan Terima kasih pada mu ya ALLAH..kerana memberi aku dugaan ini.!

Wednesday, April 15, 2009

JOM BUAT KACANG BOTAK

Sebelum pesta buku, sementara ada masa ini saya buatlah kacang botak. Botak ke kacang ni? Entahlah tapi kacang yang bersalut tepung ini memang sedap di makan dengan teh dan kopi sesiapa yang gemar kopilah. Krap krup bunyinya.

Bahan-bahan wajib, tepung, telor dan juga gula. Saya pakai gula icing. Senang larut.


Kacang. Kalau tak ada kacang..tak menjadi le kan. Kalau boleh gunakan kacang yang kecil. Senang masak dan manis rasanya.

Pukul telor dengan gula sehingga gula larut. Ini kerja saya..bukan susah mana pun.

Masukkan gula dan telor tadi ke dalam kacang. Gaulkan..

Kemudian masukkan kacang yang sudah disalut telor dan tepung tadi, gelek-gelekan sehingga kacang bersalut tepung. Bibik saya pakar dalam bab ini.


Goreng sehingga garing di atas api yang sederhana. Ini kerja pembantu rumah saya. Saya cukup malas bab goreng mengoreng ini. Ha.ha.ha

Dah siap. Tapi kalau nak makan tunggu sehingga kacang yang digoreng sejuk. Botak ke kacang ni?

Ini anak dara saya melaram di dapur. Jadi tukang kacau. Semua dia tahu buat kecuali mengoreng..he.he. Mestia pembaca cakap..setiap entry ada aje gambar anda dara saya ni. Nak buat camana..dialah satu2 yang saya ada. Kalau ada 3-4 orang, bergilir2la saya ambil gambar.

99 BALLONS



Mungkin ada pembaca blog saya telah menonton video ini di Youtube. Saya melihatnya ketika menyaksikan rancangan Oprah baru-baru ini. Ketika menonton video ini, memang perasaan sayu dan sebak tidak dapat ditahan. Bagaimana sepasang suami isteri Ginny dan Matt menantikan kelahiran bayinya yang menurut anggaran doktor tidak sempat dilahirkan. Kelahirannya adalah satu keajaiban, dan diberi nama Eliot. Eliot menghidapi penyakit Trisomi 18. Penyakit di mana dia mempunyai jantung yang lemah, kekeliruan DNA dan juga masalah buah pinggang.
Walau harapan untuk anaknya membesar memang langsung tidak ujud, Ginny dan Matt, menikmati setiap hari kehadiran Elliot dengan rasa gembira. Mereka mengadakan sambutan hari jadi ketika Elliot berusia 1 bulan dan menyambutnya setiap bulan yang berikutnya. Setiap detik bersama Elliot bagi mereka sangat berharga walaupun terpaksa bersengkang mata menjaga Elliot yang sakit.
Akhirnya Elliot diambil tuhan ketika dia berusia 99 hari. Ketika dihari pegebumian Elliot sebanyak 99 belon telah dilepaskan.
Saya amat kagum dengan sikap positif ibubapa Elliot yang menerima segala takdir dnegan hati yang terbuka. Bahkan setiap detik yang berlalu bersama Elliot mereka nikmati dengan sesungguh hati.
Ini mengingatkan saya pada diri saya sendiri? Syukur anak saya dilahirkan sihat, comel dan bijak. Tapi apakah saya nikmati setiap saat bersama dengan anak saya? Adakah saya sabar dengan anak saya yang kadangkala nakalnya keterlaluan? Kenapa setiap kali membuat sesuatu yang menaikkan kemarahan saya, cepat sahaja saya menghukum dia?
Contohnya, apabila dia membongkar barangan mainnya dan melambakkannya saya sudah menjerit marah walau tidak sampai memukul. Apabila dia sudah menyapu yogurt di seluruh telivisyen dan sofa saya sudah menghukumnya. Bukankah sebagai ibu saya perlu sabar dan menikmati segala perlakuan anak saya itu, sesuatu yang positif dan dengan lapang dada.
Diakhir menonton video ini saya benar-benar menangis. Saya kagum dengan ketabahan Ginny dan Matt dan saya malu pada diri saya sendiri yang kadangkala kurang sabar.

Monday, April 13, 2009

GOOD BABA GOOD!


"Please baba, please.."
Saya mendengar Qaisara bersuara, dia berdiri di sebelah Babanya yang hampir memejamkan matanyanya.
"What?"
Suami saya bersuara agak kuat. Mungkin marah kerana mahu sahaja melelapkan matanya, Qaisara sudah berdiri di sebelahnya.
"Please stand up.."
Qaisara menyuruh babanya. Qaisara ini memang agak pelik, kalau dengan saya dia akan bercakap di dalam bahasa melayu, kalau dengan babanya dia tahu bercakap bahasa inggeris atau Turki.
"Why I have to stand up?" Suami merenung Qaisara dengan pandangan yang pelik.
"Stand up and walk baba, please.."
Qaisara menemukan kedua-dua telapak tangannya sambil mengoyangkan tangannya beberapa kali di hadapan babanya. Saya ketawa besar melihat kelakuan Qaisara.
"Please baba, stand up and walk. Dont sleep baba.."
Suami saya tersengeh, mahu dengan tidak. Suami saya terpaksa bangun dan berjalan jalan di ruang tamu rumah.
"Good baba, good.." saya dengar Qaisara memuji babanya.
Huh! Bagus Qaisara bagus, saya berkata dalam hati. Kalau saya cakap, suami tidak akan bangun, berdiri tegak pun tidak mahu. Manakan tidak, dia baru sahaja lepas makan malam. Lepas makan terus membaringkan badan di sofa. Tebiat yang sering saya tegur tapi tidak diendahkan langsung. Kata dia, memang selepas makan..matanya akan mengantuk. Suami pasti akan melelapkan mata, barang sepuluh atau dua puluh minit.
"You ajar dia cakap macam tu ke?" Suami bertanya. Saya geleng kepala.
"Habis macamana dia boleh suruh I bangun dan berjalan."
Saya tersengeh. Saya memang jarang makan malam bersama suami kerana waktu makannya yang terlalu lewat (10 malam kadangkala) saya sering makan selewat2 pukul 7 malam., ketika itu suami masih belum pulang lagi Sejak akhir-akhir ini selepas makan saya akan berjalan sebanyak 100 langkah. Petua yang saya dapat daripada satu majalah kesihatan. Qaisara tidak pernah bertanya tetapi sering memerhati dan mengikut saya berjalan dari belakang.
Mungkin sebab itu agaknya dia memaksa babanya bangun dan berjalan selepas makan. Huh..sekali lagi. Suami kalau isteri menegur mana pernah nak dengar!

ADUH..NYILU DI HATI DAN SAKIT KEPALA...

Susah! Memang susah mahu menghabiskan cerita terbaru saya. Ini cerita untuk penghujung tahun. Selepas Jumaat saya sudah menyiapkan satu naskah menuskrip. Syukur kepada ALLAH. Jadi saya memulakan satu cerita yang berada di dalam kepala saya sejak lama dahulu. Tetapi saya tidak tahu kenapa saya tidak sukakan cerita ini. Ianya terlalu berat untuk saya tuliskan. Terlalu menyakitkan..Cerita mengenai rumah hospis di mana seorang demi seorang pesakit meninggalkan dunia dan kembali ke alam yang lebih abadi. Hampir 400ms saya menulisnya. Ianya penuh kesedihan, penuh rasa pilu walau kesudahannya nanti penuh dengan kegembiraan. Saya tertanya-tanya. Mahukan pembaca buku saya yang sebegini? Tapi saya tahu..saya harus menyampaikan mesej yang tersirat. Ramai yang tidak tahu apa itu rumah hospis, perasaan orang yang berada di dalamnya. ..
Aduh. Kepala saya sakit, hati saya pedih. Mungkin pedih dan sakit lagi orang-orang yang berada di dalam rumah hospis itu. Saya tidak tahu sama ada saya berjaya menghabiskannya. Kalau tidak berjaya..ianya sejarah bagi saya dan kalau berjaya saya tahu saya akan berjaya mengatasi rasa sakit dalam diri saya..

Sedikit apa yang sudah saya lakaran. Tidak tahulah apa pandangan pembaca.

“Aku akan terkurung dalam kegelapan. Kalau kau, kau mahu terkurung dalam kegelapanan?”

“Kematian seperti kamar mandi..”

Sofea berkata perlahan. Sejak menerima berita kematian Alfian, dia sering membaca. Bahkan banyak perkara yang dipelajarinya tentang kematian.

“Kau jangan nak merepek. Kematian bukan macam kamar mandi. Kematian menakutkan, when life ends, the mistery of life begins…”

Tun Mustapha sudah berkerut-kerut dahinya. Sofea berpandangan dengan Muaz

“Kita takut dengan kematian kerana tidak memahami makna kematian. Cuba Tun bayangkan, andai tubuh kita dilumuri kekotoran sehingga kita berasa tidak enak dan merasakan kepedihan dalam seluruh tubuh kita. Lalu kita bersihkan di kamar mandi, sehingga kita berasa bebas dari kotoran dan rasa sakit itu. Dalam keadaan demikian, apa yang hendak kita lakukan: Ingin membersihkan diri dari kotoran itu atau enggan mandi dan senang dalam keadaan kotor”

“Kau boleh bercakap, mungkin kau orang yang baik-baik. Kau boleh membersihkan diri kau kerana kau berasa kau akan di terima oleh ALLAH…”

Tun Mustapha memang seorang yang degil. Tidak akan menerima pendapat orang begitu sahaja. Namun entah mengapa, Sofea seperti dicabar dengan kedegilan tersebut.

“Serahkan diri pada ALLAH Tun, kematian bukan kita menentukan. ALLAH tentukan. Kasih sayang ALLAH pada Tun ada di mana-mana sahaja. ALLAH maha mendengar, berbisik dan merayulah pada dia. Kesakitan itu bukan tanda Tun akan mati, mungkin dugaan tuhan. Kasih sayang ALLAH pada Tun…”



Saturday, April 11, 2009

MANUSIA PASTI AKAN MATI

Menerima perkhabaran isteri kepada sahabat suami saya meninggal secara tiba-tiba kerana kemalangan jalan raya membuat saya termenung lama. Kata suami baru 2 hari lepas dia bertemu dengan wanita tersebut di kedainya dan hari itu dia menerima berita kematian wanita yang berasal dari Indonesia itu. Banyak yang suami ceritakan mengenai perjalanan hidup wanita ini. Biarlah saya dan suami sahaja yang tahu. Namun mendengar beliau mati di dalam perjalanan dari Jeddah ke Madinah kerana kemalangan jalan raya, membuat saya berfikir berkali-kali. (beritanya ada di suratkhabar. 4 jemaah kita yang mahu melakukan umrah meninggal dunia dan seorang wanita Indonesia terkorban. Wanita Indonesia itu adalah isteri kepada rakan suami saya). ALLAH menjadikan sesuatu memang kadangkala sukar dicapai oleh akal kita, manusia yang lemah. Bayangkan, wanita itu membayar ribuan ringgit mahu menunaikan umrah tetapi meninggal dunia sebaik sahaja menjejakkan kaki di bumi Madinah.
Untuk apa membayar ribuan ringgit hanya untuk mati di tempat yang asing? Jauh daripada keluarga, sanak saudara? Semuanya ALLAH sahaja yang tahu, segala yang diatur begitu cantik dan kemas tetapi tidak tercapai dek akal kita.
Dan saya rasa kematian isteri sahabat suami saya ini sungguh bertuah. Nyawanya diambil ketika dia cuba menyempurnakan niatnya yang cukup suci itu. Menjadi tetamu ALLAH di bumi Mekah dan Madinah. Walau saya sedar, syurga dan neraka itu semuanya di tangan ALLAH, mengikut amalan kita ketika di dunia.
"Esok kalau awak mati dahulu, Qaisara sudah berkahwin saya mahu tinggal di Mekahlah.."
Saya suarakan hasrat hati saya pada suami ketika kami berbual mengenai kematian isteri sahabat suami itu.
"Awak nak buat apa di sana?"
"Saya tolong mopkan air zam-zam yang tumpah di masjdililharam. Dapat makan sikit-sikit jadilah.."
"Jangan merepek, awak kalau mati di Mekah belum tentu boleh masuk syurga tau! Dari minta makan dari orang, baik awak duduk di Malaysia, teruskan publisher awak tu dan ramai lagi boleh awak tolong untuk cari makan.."
Saya ketawa dan dalam diam, mengakui kebenaran kata-kata suami.

Friday, April 10, 2009

BULAN DARI RUMAH ATOK MANA JAUH?

Semalam ketika saya bebaring sambil menemani Qaisara tidur di katilnya, tanpa sedar Qaisara menyelak langsir dan dia kemudian menjerit.
"Eye dedeh umi..Eye dedeh, chock guzel " (mata atok umi, cantiknya..)
Itu bahasa Turki. Menurut suami kalau anak-anak ternampak bulan orang tua-tua akan menyebut perkataan tersebut. Mereka mungkin membuat perbandingan, bulan itu seperti mata atuk.

"Umi..moon umi, so nice..."
Qaisara sudah bangun. Sekejap dia cakap moon, sekejap dia cakap eye dedeh. Biarkanlah. Apabila Qaisara sudah menyelak langsir saya pun ikut duduk sambil melihat keluar dengannya. Memang cantik bulan malam tadi.


Saya ambil gambar bulan dari celah tingkap. Malas nak bangun dan keluar. Inilah hasilnya..ha.ha.


"Umi, this moon far away umi ya..."
"Yes..sayang...."
"How far umi?"
Alamak, berapa jauh ya bulan daripada bumi. Terkebil-kebil mata saya merenung wajah Qaisara...
"Jauh umi ya..:" tanya Qaisara lagi dalam bahasa Melayu lah pulak..
"Ya sayang..."
"How far umi?"
"From our house to atok house sayang"
"Ah? Sama jauh dengan atok house dekat kampung?"
Muka Qaisara sudah berkerut-kerut. Dia macam tidak percaya itu jawapan daripada saya mungkin.
"Kenapa kita boleh nampak moon umi, kita tak boleh nampak atok house?"
Wah..ha.ha..ambik kau! Terkedu saya dibuatnya. Apa saya nak jawab?

Qaisara tengah melihat bulan. Di tangan dia yang berwarna biru itu adalah tisu. Sebelum tidur kadangkala dia suka mengentel dan mengigit tisu.

"Why we can see moon? Why we cannot see atok house?"
Sekali lagi Qaisara bertanya. Matanya bercahaya menunggu jawapan saya. Saya tahu Qaisara memang cukup suka balik kampung. Kalau dua minggu tidak balik, dia sudah menyebut dan mengajak saya balik. Macam-macam alasan saya beri kepada Qaisara kenapa bulan boleh nampak tapi rumah atok tak boleh nampak. Tapi Qaisara tidak berpuas hati. Akhirnya dia sendiri cakap.
"Umi...teta rasa rumah atok lagi jauhlah dari moon. Kalau dekat hari-hari kita boleh balik kampungkan. Moon lagi dekat sebab itu kita boleh tengok moon.."
Saya menganggukkan kepalanya. Kalaulah Qaisara tahu yang bulan itu lebih jauh daripada rumah atoknya. Aduh! Mesti bertubi-tubi soalan daripada mulutnya dan satu masa nanti saya tahu, saya harus mencari jawapan. Kenapa bulan yang begitu jauh boleh dilihat tidak rumah atoknya.

Wednesday, April 8, 2009

ULANG TAHUN DAN KELAHIRAN BARU

Semalam hari kegembiraan Lily Haslina Nasir dan kejutan buat Nik Fauziah daripada Majalah Muslimah. Ke dua-dua mereka bertamu di pejabat saya. Lily datang kerana mahu melihat buku barunya yang masih panas dan baru keluar daripada oven. Nik Fauziah pula datang kerana menemuramah saya dan penulis NB Kara yang lain iaitu Lily dan juga Nora. (anggun ke dua-duanya berbaju kurung) ha.ha.ha. Nik Fauziah datang bersama jurufota Farid dan juga Dayah bakal pengantin baru (macam terbau-bau aje akak nasi minyak)

Tengok tu Lily, tak habis-habis ketawa. Saya berdoa moga-moga buku ini diterima peminat dengan baik. Bukunya best tau...nak tahu beli dan bacalah.

Kalau da beramai-ramai ke NB Kara tu biasalah. Mesti ada makan-makan pun. Dah adatklahkan..

Saya merancang kejutan untuk Nik Fauziah yang bakal menyambut hari jadinya pada 11hb April ini bersama pembantu saya Suraya. Bila kek di bawa keluar dan kami menyanyi beramai-ramai. Nik agak terkejut. Kata dia, dia tidak pernah menyambut hari lahir. Tapi tahun ini Nik akan masuk ke kelab orang 40an macam saya. Moga-moga Nik Fauziah akan menjadi insan yang lebih matang, bertakwa, ibu yang lebih dikasihi anak-anak dan isteri yang semakin dicintai oleh suami. AMIN

Nik pernah beritahu saya dia suka cheese kek. Kek ini istimewa untuk Nik. Jangan marah ya nik..akak pamerkan kek ini sampai orang tahu usianya. Tapi kita mesti bangga dengan umur kitakan..he.he

Sebelum balik sempat mengambil ramai beramai-ramai. Nik Fauziah, Dayah, Nora, Lily dan sayalah (hessy..saya macam boss besar sungguh. Malu pulak tengoknya..ha.ha.ha).

Lily kontrol senyum masa menanda-tangani buku yang dipesan oleh pembaca.

Sebelum balik sempat mengambil gambar dengan Nik Fauziah. Terima Kasih atas segalanya ya Nik, terima kasih dengan segala majalah yang diberi dan juga hadiah buku untuk Qaisara. Harap-harap kita jumpa lagi ya.

Dan petangnya kami menerima kedatangan penulis Eka Fahara yang datang membeli buku Setiap Jumaat dan Aku Ada Kamu. Macam-macam yang kami bualkan dan Eka meminta pendapat saya mengenai beberapa idea. Tidak mengapa Eka, teruskan berkarya, walau apa dugaan pun, walau di mana pun karya Eka mahu dihantar. Teruskan menulis dengan lebih baik lagi. Kalau rasa tak ada idea tu, pergi-pergilah bawak diri pergi shopping ke..ha.ha..

Tuesday, April 7, 2009

MOHON MAAF

Sejak akhir-akhir ini banyak juga saya menerima jemputan untuk memberi ceramah mengenai penulisan. Saya mohon ampun dan maaf kerana tidak dapat memenuhi undangan tersebut kerana jadual saya yang sering bertindih dan kekangan masa. Lagi satu saya tidak suka sebenarnya memberi ceramah atau bercakap di hadapan khalayak, kerana saya tidak pandai bercakap. Saya cuma tahu menulis ....

DARI INTAN YANG COMEL LOTEH

BEZANYA KHALIFAH UMAR ABD AL-AZIZ DENGAN PEMIMPIN SEKARANG.

Khalifah Umar bin Abd al-Aziz apabila dilantik menjadi khalifah, beliau seakan tergamam dan begitu hiba. Ketika para pembesar menanti kemunculannya setelah dilantik, mereka berbisik bertanya anaknya, mengapa ayahnya belum keluar ke khalayak ramai. Kata anaknya:

“Ayahku sejak dilantik, beliau terus bersendirian bersolat dan menangis. Apabila ibuku masuk kepadanya, airmatanya bercucuran hingga ke janggutnya. Apabila ditanya, dia berkata: “Wahai Fatimah! Aku telah dikalungkan urusan umat Muhammad ini yang berbagai bangsa. Maka aku terfikir tentang orang yang fakir, yang lapar, yang sakit lagi derita, orang biasa yang susah, orang yang dizalimi lagi dipaksa, tawanan perang yang jauh, orang tua yang uzur, orang yang mempunyai keluarga yang ramai sedangkan wangnya sedikit dan seumpama mereka yang berada di segala tempat dan penjuru negara. Aku tahu tuhanku akan bertanya aku mengenai mereka pada hari kiamat kelak. Aku bimbang alasanku tidak cukup kukuh untuk menjawabnya, lalu aku pun menangis” (lihat: Mahmud al-Baji, Muthul ‘Ulya min Qada al-Islam, 144).

Pemimpin sekarang? Tersenyum lebar menerima berita diangkat sebagai pemimpin, bahkan ada yang sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mendapat jawatan waima berbohong, membuat fitnah dan membunuh.

Monday, April 6, 2009

BAGAN LALANG OH BAGAN LALANG

Saya pelawa Qaisara naik Poney, dia tak mahu. Takut kata dia, setahu saya dia bukan jenis penakut begitu. Mungkin baru bangun tidur agaknya.

Semalam saya ke Bagan Lalang, pantai yang 14 kilometer daripada bandar Sepang. Aduh..saya terlupa atau sebenarnya saya tidak tahu smlm ada F1 di litar Sepang. Kami bertolak dari rumah jam 2.30 petang. Masuk sahaja jalan ke LCCT, kami terperangkap dalam jam yang sangat teruk dan amat malang sekali, kami yang berada di sebelah kanan jalan tidak dibenarkan masuk ke simpang jalan ke Sepang.
"U turn..sebelah sana, U turn.."
Arah polis traffik. Suami sudah marah-marah, cari-cari jalan untuk U turn masih tidak jumpa, jadi sampailah kami ke LCTT, bila mahu Ke Kuala Lumpur semula. Polis suruh pula kami masuk semula mengikut ke jalan KLIA. Bengang sungguh kami. Saya hanya diam sahaja, tapi suami sudah marah-marah dan tiba di KLIA dia cuba masuk semula ke Bandar Sepang. Terperangkap lagi..hampir 3 jam di perjalanan. Tapi sempat lagi melihat daripada atas bukit, perlumbaan F1 itu. Suami ajak lepak lama sikit tapi saya malas. Pening kepala saya tengok kereta dipandu laju begitu dengan bunyi yang sungguh bising. (ramai rupanya orang tengok percuma).
Saya ke Bagan lalang kononnya nak tengok2lah macam mana bagusnya Bagan Lalang yang diuar-uarkan oleh Nora. (Dia sebenarnya tak pernah pergi pun tapi dengar kawan-kawan cakap..huawahh..ha.ha). Manalah tahu NB kara nanti boleh buat family day di sana dengan para penulisnya.
Habis kisah, jam yang teramat dahsyat itu. Kami sampai ke Bagan lalang dalam pukul 6 petang. Sempatlah berjalan2 sekejap dan Qaisara minta dibelikan, alat pengorek pasir dengan baldinya. Saya pula tak bawa baju renang untuk dia. Jadi saya pakaikan dia panties sahaja. Namun komen Qaisara terpaksa saya akui.
'Umi kenapa kotor. Kotornya umi.." Qaisara tak habis-habis mengomel, kata pantainya kotor. Mungkin banyak pantai dia pergi, dia tidak pernah jumpa pantai sekotor itu. (selalu pantai kami di Tanjung Bidara dan PDla).

Hujan lebat di Bagan lalang..tapi laut tidak berombak.

Kasihan Qaisara baru main 5 minit, petir sudah berdentum dan hujan turun dengan selebat-lebatnya. Terpaksala kami bungkus dan masuk ke dalam kereta.
Kami singgah makan di salah sebuah restoran yang dikatakan sedap, murah di Bagan Lalang ini. Hasilnya. Setengah kilo sotong di masak bertepung, seekor ikan jenahak (tak besar manapun), sayur kailan, nasi kosong dan air milo satu dan 2 air kosong. Harganya RM70.

Ini ikan dan sotong, dengan air kosong dan juga nasi kosong harga RM70. Rasanya, mgkn lebih sedap saya masak kot..

Aduh...cekik darah sungguh. Saya yang selalu makan ikan bakar di bandar Melaka, terkejut sungguh dengan harga tersebut. Baru sahaja saya makan ikan bakar dengan suami dan adik ipar. Dua ekor ikan jenahak, ikan cencaru, nasi lemak, air 100plus 4, dalam RM60 sahaja..
Aduh..Nora, Lily.! Kita carilah tempat lain untuk berkelah dan makan-makan nanti!

Sunday, April 5, 2009

GILA BUAT KEK...

Sejak dua tiga hari ini saya, Qaisara dan babanya galak sungguh membuat kek. Macam-macam kek yang kami buat. Ada setingkat, dua tingkat dan tiga tingkat. Macam-macam warna, ada kek cokelat, kek oren, kak merah jambu. Kadangkala kami terjerit-jerit kerana kek kami di makan oleh makhluk yang tidak dikehendaki.
Paling seronok Qaisaralah di mana-mana dia mahu membuat kek, tapi kek kegemarannya berwarna merah jambulah. Topping nak merah jambu, kek nak merah jambu. Bila saya sudah penat melayannya jadi baba dialah yang mengambil alih untuk membuat kek ini. Sehingga mahu tidur pun dia menyuruh babanya membuat kek di atas katil..
Hesy! Kek apa yang dibuat sehingga atas katil? Ha.ha.ha..


Alah game comfy cake yang saya baru jumpa dalam komputer yang baru saya beli 2 bulan yang lalu. Tapi rasanya di internet kalau cari boleh download free ni....

Thursday, April 2, 2009

MASAK-MASAK LAGI

Setiap hari-hari biasa, kerja kita orang perempuan memang memasaklah. Hari ini saya memasak lagi, lagi dan lagi. Apa nama masakan ini, saya tidak berapa ingat. Walaupun sebenarnya suami ada beritahu berkali-kali. Tapi salah satu masakan Turki. Biasa mereka menggunakan kacang dalam masakan tersebut tetapi saya menukarnya kepada asparagus. Masakan ini mudah sahaja dan biasanya di makan dengan roti.

Isi ayam, tomato yang dipotong dadu, bawang putih dan bawang merah dihiris.

Tomato puree. Dalam masakan Turki tomato puree cukup banyak digunakan.

Asparagus..


Minyak zaitun.

Tumis bawang putih, bawang merah dengan minyak zaiton, tak perlu garing kemudian masukkan isi ayam.

Masukkan air, tomato puree, tomato dan penghabisan bila sudah mendidih barulah dimasukkan asparagus dan sedikit garam.


Nah..dah siap dah pun, biasanya makanan ini di makan dengan roti (wholemeal untuk jaga kesihatan..ha.ha.). Hidangan ini untuk suami dan Qaisara. Untuk saya? Sambal dengan nasi, ikan masinlah..he.he.he


Kacang kuda ni apa kena mengena pulak? He.he. saya ingat nak buat humus. (ada dalam Kembalikan Cintaku) Tapi malaslah. Baik saya makan sahaja. Senang-senang nanti saya masukkan di dalam blog bagaimana mahu membuat humus...senang aje..